Thursday, December 2, 2010

Harimau Tersungkur diCengkam Garuda

Kebimbangan segelintir penyokong Malaysia yang mempersoalkan tindakan K.Rajagopal menyenaraikan majoriti pemain muda dalam skuad Malaysia ke Piala AFF tahun ini nampaknya berasas apabila Malaysia tumpas di tangan Indonesia dalam aksi pertama peringkat kumpulan semalam. Rajagopal dikritik hebat oleh segelintir penyokong dalam forum Harimaumalaya.Com kerana tidak menyenaraikan pemain-pemain senior yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam liga Malaysia dan sebaliknya menyenaraikan majoriti pemain bawah 23 tahun yang baru beraksi dalam Sukan Asia baru-baru ini. Walaupun mereka beraksi agak baik dalam Sukan Asia dan berjaya memenangi pingat emas Sukan SEA lepas tidak bermakna mereka mampu bersaing dalam Piala AFF yang disertai oleh pasukan-pasukan utama kebangsaan negara masing-masing dan bukannya pasukan peringkat umur.



Diperingkat ini, bukan sahaja kekuatan fizikal dan kecergasan penting tetapi pengalaman dan kemampuan menyerap tekanan turut diambil kira. Indonesia semalam ternyata memanfaatkan kegugupan dan kecetekan pengalaman pemain pertahanan Malaysia. Dua orang bek tengah Malaysia iaitu Muslim Ahmad dan Fadhli Shas baru berusia 21 dan 19 tahun. Mereka juga diapit oleh Asrarudin Putra Omar yang berusia 22 tahun dan Razman Roslan yang baru dipanggil lebih kurang seminggu sebelum kejohanan bermula. Dalam liga Malaysia masih ramai pemain pertahanan yang dikira layak diberi peluang berdasarkan pengalaman dan prestasi mereka seperti Shukor Adan, Azizi Mat Ros, Khairul Anuar Bahrom, P.Gunalan, Daudsu Jamaludin mahupun Marzuki Yusuf setelah pemain tonggak seperti Zamani Misbah dan Aidil Zafuan ditimpa kerajaan.Agak mengejutkan juga apabila Rajagopal menyenaraikan Sharbinee Alawee dalam aksi semalam walaupun prestasi Khairul Fahmi Che Mat lebih meyakinkan buat masa ini. Dari sudut pemain tengah dan jentera serangan, kekuatan Malaysia boleh dikatakan agak seimbang dengan Indonesia. Cuma mereka kelihatan cuba bermain 'cantik' berbanding simple football. Indonesia pula sebaliknya bermain cara mudah dan terus menerus  menghantar bola ke dalam kawasan penalti Malaysia sambil menunggu pemain Malaysia membuat kesilapan sebelum memanfaatkan kesilapan tersebut sepenuhnya. Apapun Malaysia masih punya peluang dan mereka harus membuktikan sesuatu agar setidak-tidaknya bolasepak Malaysia tidak terus dipandang sebelah mata oleh peminat sukan tanah air.

1 comment:

akraminHARIRI said...

terlalu percaya budak2 muda...
tp betulke ada cmpur tgn 'org2 atas'...? 6 player slangor dlm team malaysia yg ada d antaranya dipanggil last minute...??

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...