Friday, June 18, 2010

Malam Hapuskan Air Mata Gaza

World Cup diNikmati, Gaza diIngati

Penulisan aku di blog ni terhenti seketika atas sebab kesibukan aku dengan kerja-kerja office. Bulan ni setiap minggu out station. FB pun sempat bukak sekejap-sekejap je pakai mobile phone. Penulisan aku terhenti pada saat isu konvoi ke Gaza sedang memuncak. Masa tu MV Rachel Corrie masih dalam perjalanan. Namun sekarang ni aku rasa semua dah tahu kesudahan cerita mereka. Alhamdulillah semua sukarelawan Malaysia yang menyertai misi pun dah selamat pulang ke tanah air. Mungkin secara umumnya kita lihat misi ini tak berjaya sebab bantuan gagal disampaikan secara terus namun misi tetap berjaya secara moralnya.Kat sini ada 2 kejayaan yang aku dapat gariskan; pertama hampir seluruh dunia mula berani mengecam Israel secara terbuka walaupun kita memang tahu Israel ni tak makan saman sebab dilindungi US. Negara Eropah yang sebelum ni takut-takut atau malu-malu kucing nak kutuk Israel pun dah mula mengecam secara terbuka. Kedua, kejadian ke atas Mavi Marmara telah memberi tekanan secara tidak langsung kepada Mesir yang dikecam kerana selama ini turut bersekongkol dengan Zionis bagi menyekat bantuan masuk ke Gaza. Sebab tulah kita tengok, Mesir serta merta membuka sempadan Gaza di Rafah selepas tragedi Mavi Marmara yang telah ditutup sekian lama walaupun masih mengenakan syarat yang ketat untuk melaluinya.

Sidang media Konsert Mahabbah Al Gaza

Semalam aku sempat bertegur sapa dengan Hj Noorazman Mohd Shamsudin iaitu ketua sukarelawan Malaysia dalam misi Freedom Flotilla semasa hadir dalam sidang media Konsert Mahabbah Al Gaza yang bakal diadakan di Stadium Melawati Shah Alam pada 10 Julai ini. Menurut beliau, misi seterusnya  untuk menghantar bantuan ke Gaza akan dilaksanakan menjelang Ramadhan nanti. Alhamdulillah, usaha-usaha untuk membantu saudara kita di Gaza tetap dilaksanankan dengan kaedah yang pelbagai walaupun sebahagian besar kita tengah demam Piala Dunia.


Sebut pasal Piala Dunia, aku rasa German akan muncul juara walaupun aku lebih suka Holand. Tengok pada aksi diorang membenam Australia, memang mengagumkan. Lagipun diorang punya kelebihan sebab sebahagian besar pemain mereka dah biasa guna Jabulani ( bola rasmi Piala Dunia kali ni) walaupun banyak pasukan yang merungut sebab bola baru ni sukar untuk dikawal. Even pasukan macam Argentina dan Brazil pun merungut pasal bola ni.Apapun segalanya masih di peringkat awal. Aku rasa masuk suku akhir, barulah kita dapat agak team mana yang akan menang. Korang pilih team ape?

Thursday, June 3, 2010

Tentera Laut Turki akan Mengiringi MV Rachel Corrie ke Gaza?

Beberapa media antarabangsa melaporkan bahawa Perdana Menteri Turki Raceip Tayyip Erdogan telah menyatakan bahawa kapal bantuan seterusnya yang akan ke Gaza akan diiringi oleh Kapal Tentera Laut Turki dengan sokongan pesawat pejuang demi memastikan tragedi MV Mavi Marmara tidak berulang. Dalam satu kenyataan semalam, beliau menyatakan "Israel harus dihukum atas serangan mereka ke atas kapal bantuan kemanusiaan pada Isnin lepas dan hubungan antara Turki dan Israel takkan lagi sama seperti sebelum ini. Perlakuan Israel sememangnya patut dibalas dengan hukuman.Tiada siapa yang sepatutnya cuba menguji kesabaran Turki."



Untuk rekod kapal bantuan yang masih dalam perjalanan ke Gaza ialah MV Rachel Corrie yang turut dinaiki oleh 6 rakyat Malaysia yang terdiri daripada 3 sukarelawan Perdana Global Peace Organisation, 2 orang wakil TV3 dan Ahli Parlimen Parit iaitu Mohd Nizar Zakaria.Kapal ini dijangka sampai di perairan Gaza lewat hari Jumaat atau awal Sabtu. Sama-sama kita doakan agar misi mereka tercapai.



Sementara itu, kita tentunya tertunggu-tunggu apakah reaksi Israel andai Turki benar-benar berbuat demikian. Adakah perang yang membawa kepada kehancuran Zionis akan bermula? Turki tentunya berhak berasa amat marah terhadap Israel kerana dikhabarkan  sebilangan besar sukarelawan yang terbunuh dalam tragedi serangan MV Mavi Marmara adalah rakyat mereka. Sekiranya perang tercetus, tentunya negara Islam lain seperti Iran, Syria, Libya, Lebanon tidak akan berdiam diri. Begitu juga sekutu kuat Israel USA. Adakah perang dunia ke-3 bakal tercetus? Semoga Allah memberi kemenangan kepada orang-orang yang benar dan menghancurkan kezaliman.Takbir!!

sumber berita:


Sukarelawan Malaysia kini di Jordan

Pihak Pasukan Pengurusan Krisis Freedom Flotilla Lifeline4Gaza (CMT-LL4G) mengesahkan bahawa kesemua 12 sukarelawan Malaysia yang sebelum ini ditahan oleh pihak Israel kini telah dibebaskan dan berada di Kedutaan Malaysia di Jordan. Setelah dibebaskan sehelai sepinggang, kesemua 120 aktivis telah dibawa ke Jordan dengan menaiki bas. Kesemua peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit,kamera dan pasport telah dirampas oleh pihak berkuasa Israel. 



Liputan daripada Al Jazeera

Kesemua sukarelawan Malaysia telah menghubungi keluarga masing-masing bagi memaklumkan berita gembira tersebut.Pihak CMT-LL4G juga telah berjaya menghubungi Ketua Misi iaitu Saudara  Noorazman Shamsudin yang memaklumkan perkembangan terkini mereka. Wisma Putra sedang berusaha untuk membawa kesemua mereka pulang secepat mungkin. Menteri Luar Malaysia Dato Anifah Aman sendiri akan ke Amman untuk menguruskan hal tersebut.



Laporan Wartawan Astro Awani selepas tiba di Jordan

Tuesday, June 1, 2010

Freedom Flotilla: Sukarelawan Malaysia Selamat, MV Rachel Corrie Teruskan Misi

Pihak Wisma Putra telah mengesahkan bahawa 12 orang rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla dan sebelum ini berada di atas kapal Mavi Marmara kini dalam keadaan selamat walaupun masih ditahan oleh pihak berkuasa Israel di Haifa. Mereka juga dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Menteri Luar Malaysia, Dato Anifah Aman menyatakan pihak Kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk membawa pulang kesemua rakyat Malaysia ke tanah air dengan bantuan serta kerjasama daripada kerajaan Turki, Ireland dan Filipina yang mempunyai kedutaan di Tel Aviv.



Sementara itu sebuah lagi kapal yang membawa bantuan dari Malaysia iaitu MV Rachel Corrie tetap meneruskan misi ke Gaza. Kapal tersebut membawa 6 rakyat Malaysia termasuk 3 orang sukarelawan Perdana Global Peace Organisation (PGPO) yang terdiri daripada Shamsul Akmar Musa Kamal, Mathhias Chang, Ahmad Faizal Azumu dan ahli Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria. Mereka turut disertai oleh wartawan dan jurugambar TV3 iaitu Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin. MV Rachel Corrie ialah kapal utama bagi 6 buah armada kecil yang menjadi kelompok kedua yang cuba memasuki Gaza. Selain Rachel Corrie, Malaysia turut menaja kapal Challenger 1 dan Challenger 2. Menurut Shamsul Akmar selaku ketua misi PGPO, mereka akan cuba memasuk Gaza namun sekiranya terdapat ancaman daripada Israel mereka akan berpatah balik. Rachel Corrie dijangka akan memasuk perairan Gaza pada hari Rabu 2 Jun 2010.



Sementara itu, di sebalik kecaman dunia ke atas tindakan ganas Israel terhadap kapal Mavi Marmara, Timbalan Menteri Pertahanan Israel dengan angkuhnya menyatakan bahawa mereka tetap tidak akan membiarkan mana-mana kapal memasuki Gaza. Pernyataan itu dibuat sebagai respon terhadap usaha kelompok kedua sukarelawan kemanusiaan yang diketuai kapal MV Rachel Corrie. Dalam satu siaran radio Israel seorang anggota Marin berpangkat leftenan menyatakan, mereka berharap dapat menawan MV Rachel Corrie dengan mudah kerana pasukan Israel telah besedia menghalang kapal tersebut. Sama-samalah kita doakan agar Allah SWT menghalang niat jahat Israel dan memberi kejayaan kepada MV Rachel Corrie dalam mencapai misinya.


Tragedi Freedom Flotilla: Dunia Mula Bangkit Bersuara



Hari ini dan semalam masyarakat sivil di seluruh dunia mula menyuarakan bantahan mereka terhadap tindakan Israel menyerang konvoi bantuan kemanusian Freedom Flotilla. Majoriti masyarakat antarabangsa menuntut kerajaan masing-masing untuk bertindak terhadap negara haram yahudi itu. Ada yang meminta hubungan diplomatik diputuskan, ada yang meminta hubungan dagang dikaji semula, memboikot produk yang menyokong zionis dan sebagainya. Masyarakat di Eropah terutamanya mula sedar akan hakikat bahawa walaupun satu ketika masyarakat yahudi dikatakan pernah dizalimi Nazi German, tidak bermakna ia menjadi lesen kepada mereka untuk menzalimi orang lain. Insiden kali ini ternyata lebih membuka mata dunia tentang kezaliman Israel terhadap insan lain yang tak berdosa.




Tunjuk perasaan dan demonstrasi anti Israel mendapat sambutan hangat bukan sahaja di kota-kota negara umat Islam seperti Istanbul, Tehran, Jakarta, Kuala Lumpur dan Islamabad tetapi juga di New York, London, Toronto, Dublin, Sydney, San Fransisco dan lain-lain walaupun kebanyakannya dirancang dalam tempoh tidak sampai 24 jam. Ia adalah reaksi spontan masyarakat dunia yang marah dan jijik dengan kekejaman Israel. Peserta-peserta tunjuk perasaan bukan saja muslim tapi juga non-muslim dari pelbagai latar belakang dan budaya. Semoga mereka akan terus bersatu dan mengenepikan perbezaan mereka demi menentang kezaliman dan keangkuhan zionis.




Di Kuala Lumpur, hari ini pelbagai pihak telah mengadakan demonstrasi pada skala kecil dan menyerahkan memorendum bantahan kepada wakil Kedutaan US. Wakil-wakil NGO Islam, Pakatan Rakyat dan Perkasa telah menyerahkan memorendum mereka secara berasingan di Kedutaan US manakala Pemuda BN pula telah mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat wakil PBB sekaligus menyerahkan memorendum bantahan mereka kepada wakil PBB. Walau bagaimanapun satu demonstrasi besar-besaran akan dilakukan selepas solat jumaat ini bermula dari Masjid Tabung Haji ke Kedutaan US di Kuala Lumpur. Semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan tanpa mengira bangsa dan agama diseru untuk menyertai demonstrasi ini. Ketepikan seketika perbezaan kita dan tunjukkanlah kesatuan kita dalam menentang kezaliman. Takbir!!!


Senarai Nama Rakyat Malaysia di atas Kapal Mavi Marmara


Imbas kembali: Tembual Astro Awani pada 28 Mei bersama Tuan Haji Noorazman bin Mohd Samsuddin (Haluan Palestin)

Berikut adalah nama-nama rakyat Malaysia yang menyertai Misi Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G) yang berada di atas kapal penumpang “Mavi Marmara” milik IHH, Turki ketika diserang oleh komando laut Israel di perairan antarabangsa hari ini.
  1. Tn Hj Noorazman bin Mohd Samsuddin, HALUANPalestin
  2. Dr Mohd Arbai’e bin Syawal, HALUANPalestin
  3. Dr Syed Muhammad Haleem bin Syed Hasan al-Haddad, HALUANPalestin
  4. Ust Al-Hami Husain bin Suhaimi, HALUANPalestin
  5. Mohd Nizam bin Mohd Awang, HALUANPalestin
  6. Ust Hasanuddin bin Mohd Yunus, Aqsa Syarif
  7. Tn Hj Jamuliddin bin Elias, Yayasan Amal Malaysia (AMAL MALAYSIA)
  8. Dr Selamat bin Aliman, Jemaah Islah Malaysia (JIM)
  9. Abdul Halim bin Mohd Redzuan, Muslim Care
  10. Mustafa bin Mansur, MAPIM
  11. Ashwat bin Ismail, Wartawan ASTRO
  12. Shamsul Kamal Latif, Juru kamera ASTRO

Mustafa Mansur yang mewakili MAPIM menaiki kapal Mavi Marmara pada 29hb Mei setelah kapal Challenger II yang dinaiki beliau mengalami kerosakan di tengah perjalanan. Sehingga artikel ini ditulis, nasib kesemua 12 orang rakyat Malaysia ini masih samar.

Sumber: www.lifeline4gaza.org


Imbas kembali: Temubual wartawan Astro Awani pada 29 Mei bersama Ust Hasanuddin Mohd Yunus (Aqsa Syarif) dan Haji Jamuliddin Bin Elias (Yayasan Amal).

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...