Saturday, January 3, 2015

PEMULIHAN SEGERA BEKALAN UTILI DI KAWASAN BENCANA BANJIR

Dalam fasa awal pasca banjir ini, adalah penting untuk pihak berkuasa memulihkan bekalan utiliti yakni bekalan elektrik dan air di kawasan-kawasan terlibat seberapa segera bagi mempercepat dan memudahkan proses pembersihan dan pemulihan infrastruktur. Saya difahamkan ketika ini selain daripada kawasan krisis, kawasan yang tidak dilanda banjir seperti bandar Machang juga terputus bekalan air sejak beberapa hari yang lalu.

Bekalan air sangat kritikal untuk dipulihkan segera
Ini dipercayai berlaku ekoran berlakunya kerosakan pada rumah-rumah pam yang berfungsi untuk membekalkan air ke bandar ini. Buat masa ini, hanya penduduk yang punya kemudahan pam air dari telaga persendirian saja yang punya bekalan air bersih. Terdapat juga usaha daripada pihak ATM dengan dibantu Angkatan Bersenjata Singapura untuk cuba memanfaatkan air sungai berdekatan sebagai sumber bekalan air namun malangnya terdapat pencemaran pada sumber air tersebut.
Kerajaan negeri selaku pihak yang bertanggungjawab mengendalikan bekalan air melalui Air Kelantan Sdn Bhd perlu bertindak segera untuk memulihkan bekalan air supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk. Harus diingat, tanpa bekalan air bersih maka penyakit-penyakit bawaan air akan mudah tersebar di kalangan penduduk malah mungkin boleh menjadi wabak.
Rejimen Pakar Pengendaian Air ke-60 RAJD
Jika pihak AKSB kekurangan tenaga manusia dan logistik, mungkin bantuan daripada Rejimen Pakar Pengendalian Air ke-60 RAJD ( Askar Wataniah ) boleh diminta. Lagipun Rejimen ini kebanyakannya terdiri daripada kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor ( Syabas ) yang memang punya kemahiran dan pengalaman dalam soal ini. Malah jika bekalan air di Machang dapat dipulihkan sepenuhnya, ia akan mampu menjadi supply base yang lebih effisien kerana faktor lokasinya di tengah-tengah negeri kelantan dan lebih dekat dengan kawasan krisis di Tanah Merah, Kuala Krai mahupun Gua Musang berbanding bandar-bandar lain di Kelantan.


Pihak TNB juga perlu segera memulihkan bekalan elektrik ke kawasan krisis serta bandar-bandar berhampiran yang menjadi pengkalan hadapan bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.Pada masa yang sama JKR dan PBT juga diharap dapat memulihkan jalan-jalan yang terputus untuk sekurang-sekurangnya boleh digunakan untuk menyalurkan bantuan ke kawasan krisis. Ini kerana masih terdapat kawasan-kawasan di pendalaman yang sukar mendapat bantuan daripada luar ekoran masalah ini.
Saya mohon mencadang.
Muhamad Razin Che Mud
- anok mache di perantauan-

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...