Sunday, March 2, 2014

HARIMAU MALAYA : DATO OKS LULUS UJIAN PERTAMA?


Semalam, seluruh peminat dan pemerhati bolasepak tanah air memberi tumpuan penuh kepada perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A antara Malaysia dan Filipina. Saya kira sudah lama Malaysia tidak mengadakan perlawanan persabahatan berkelas A.. Pada era Dato K.Rajagopal menjadi jurulatih, beberapa perlawanan persahabatan yang pada mulanya diletakkan berstatus A akhirnya bertukar status apabila jurulatih menukar lebih daripada 6 pemain atas alasan 'eksperimen'. Perlawanan kelas A ini penting untuk mengumpul mata bagi menentukan ranking sesebuah pasukan. Pada masa ini, Malaysia berada  di kedudukan 150 dunia manakala Filipina pula berada pada tangga 127. Kedudukan terbaik yang pernah dicapai Malaysia adalah pada tahun 1993 di mana Malaysia berada di kedudukan 77 dunia. 

Lulus ujian pertama?
Namun perlawanan semalam  penting bukan hanya kerana  ianya berkelas A tetapi ia adalah perlawanan pertama pasukan kebangsaan di bawah Dato Ong Kim Swee selepas penyingkiran Dato K.Rajagopal yang dikecam hebat kerana merudumnya prestasi skuad Harimau Malaya dan sikapnya yang suka "bereksperimen" sambil memekakkan telinga dari mendengar keluhan dan pendapat orang lain terutamanya peminat. Boleh dikatakan persembahan skuad Harimau Malaya semalam sedikit berbeza dari sudut taktikal dan agak menghiburkan. Selain daripada penyudah tumpul di bahagian serangan dan beberapa kesilapan hantaran taraf budak sekolah yang dibuat barisan pertahanan, persembahan keseluruhan Malaysia wajar dipuji. 

Apabila senarai pelatih untuk perlawanan bertemu Filipina dan Yemen diumumkan, ramai peminat yang mempersoalkan mengapa pemain itu dan ini yang dianggap lebih layak tidak medapat 'call up'. Satu perkara yang mereka terlepas pandang adalah pilihan yang ada pada  Dato OKS hanyalah terhad kepada senarai 50 pemain yang didaftarkan untuk pusingan kelayakan Piala Asia oleh Rajagopal sebelum ini. Jika diberi pilihan, saya percaya akan ramai lagi muka baru yang akan dipanggil menyertai skuad kebangsaan berdasarkan prestasi semasa mereka. Namun malam semalam, kita dapat juga menonton pemain yang membuat penampilan pertama seperti Khairul Azhan ( penjaga gol Pahang ), Hafiz Kamal ( pemain tengah Pahang ) dan Bobby Gonzales ( penyerang PDRM ) beraksi dalam kesebelasan utama.

Piya perlu diberi lebih banyak peluang untuk beraksi

Walau bagaimanapun, penampilan yang paling ditunggu peminat adalah daripada kapten Kelantan iaitu Badri Radzi atau Piya. Berdasarkan prestasinya yang cemerlang mengemudi jentera tengah Kelantan dan statusnya sebagai MVP pada musim lepas, para peminat amat berharap dia dapat menyumbangkan sesuatu yang bermakna untuk skuad negara. Malangnya tidak banyak yang boleh dilakukan beliau dalam tempoh tidak sampai 45 minit.Apatah lagi, beliau diletakkan  sedikit ke bawah dan tidak di posisi kegemarannya iaitu attacking midfielder. Saya yakin jika Piya digandingkan dengan seorang defensive midfielder sama ada rakan lamanya iaitu Shakir Saari mahupun Junior Edstal, beliau akan lebih bebas bergerak menjana serangan. Akan tetapi agak malang apabila semalam beliau digandingkan bersama seorang lagi attacking midfielder iaitu Safiq Rahim. Yang lebih penting, saya kira Piya sewajarnya diberi peluang beraksi sepenuh masa.

Insiden Ultras Malaya yang membaling  bom asap ke dalam stadium juga mewarnai perlawanan semalam. Sebelum perlawanan saya ada terbaca poster kempen 30 minutes silence yang dibuat Ultras Malaya sebagai tanda protes terhadap tindak tanduk FAM dan pimpinannya sejak 30 tahun dahulu yang didakwa lebih banyak merugikan bolasepak negara. Mereka juga menuntut Presiden FAM meletak jawatan. Biarpun niat mereka boleh dikira baik, namun tindakan membaling bom asap sehingga menghentikan perlawanan saya kira tidak wajar dilakukan. Ia bukan sahaja menjejaskan rentak dan fokus pemain negara tetapi juga mengganggu keseronokan penonton lain yang ingin menyaksikan perlawanan bolasepak berkualiti.

Protes Ultras Malaya
Satu  lagi perkara yang mencuri tumpuan serta mengundang kritikan penonton adalah mutu pengadilan yang mengecewakan. Ada dua insiden utama yang menjadi sebutan. Yang pertama adalah pembatalan jaringan Amir Ridwan Taj tanpa sebab yang jelas. Pengulas Astro Arena yang menayangkan klip jaringan tersebut berulang kali dari beberapa sudut berbeza juga tidak dapat mengesan sebab pembatalan jaringan tersebut. Jika jaringan tersebut disahkan tentunya Malaysia mampu mengumpul mata penting untuk menaikkan ranking skuad negara.Satu lagi insiden yang melucukan adalah apabila pengadil memberikan sepakan sudut kepada pasukan Filipina biarpun jelas bola tersebut terkena pemain Filipina sebelum keluar. Melalui maklumat yang saya baca, pengadil yang sama pernah membuat beberapa keputusan kontroversi seumpama itu dalam aksi liga Malaysia. Saya harap FAM lebih serius menangani isu mutu pengadilan ini.

Hari ini skuad negara telahpun berangkat ke UAE untuk perlawanan terakhir kumpulan bagi pusingan kelayakan Piala Asia menentang Yemen. Biarpun misi untuk layak ke pusingan seterusnya sangat sukar namun sekurang-kurangnya kita berharap anak buah Dato OKS akan membawa pulang kemenangan sebagai hadiah buat peminat bolasepak tanah air..Selamat berjuang Harimau Malaya!





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...