Thursday, April 30, 2009

Menjelang Muktamar: Nik Abduh Meletup!

Ramai pemerhati politik negara terkejut dengan pendedahan berani anak Tok Guru Nik Aziz yang mendedahkan tindak tanduk pembantu-pembantu ayahandanya yang didakwa melakukan kerja bodoh dengan cuba melaga-lagakan Tok Guru Nik Aziz sebagai Mursyidul Am PAS dan Tok Guru Hj Hadi selaku Presiden PAS. Mereka-mereka ini juga dilabel sebagai ulama "mee celup". Korang semua boleh baca lebih lanjut tentang posting terbaru beliau tentang isu ini terutamanya setelah dia menerima panggilan daripada ayahanda daripada kota Mekah dalam blog Nik Abduh sendiri. Beberapa akhbar tempatan hari ini turut menyiarkan komentar daripada beberapa ahli politik tentang isu ini. Malah Mufti Selangor pun diheret sama oleh sebuah akhbar tempatan untuk mmberi ulasan tentang ulama "mee celup". Ada yang positif, ada yang negatif. Haji Khalid Samad yang juga MP Shah Alam pula meminta Nik Abduh mendedahkan siapakah pembantu-pembantu Tok Guru Nik Aziz yang dimaksudkan supaya tidak timbul sebarang spekulasi negatif mahupun fitnah.

Sebagai sebuah jemaah Islam, adalah sesuatu yang malang dan memalukan jika dakwaan Nik Abduh ini benar-benar berlaku. Dalam mana-mana parti siasah atau gerakan politik konvensional adalah menjadi kebiasaan apabila kelompok berkepentingan akan cuba "menguasai" atau "mempengaruhi" pemimpin mereka supaya setiap kenyataan mahupun tindakan senantiasa berpihak kepada mereka. Perkara ini dilakukan dengan cara menyampaikan maklumat yang menyokong kepada aspirasi mereka sahaja kepada pemimpin terbabit. Sebarang maklumat atau idea yang bertentangan akan disekat agar tidak sampai ke pengetahuan pemimpin terbabit. Kelompok ini juga akan cuba sedaya upaya untuk mempunyai hubungan yang rapat dengan pemimpin terbabit malah mereka akan cuba untuk menghalang orang lain untuk rapat dengan pemimpin terbabit. Namun bagi sebuah parti Islam seperti PAS, perkara ini tidak sewajarnya berlaku. Walau tujuannya mungkin baik, matlamat tetap tidak menghalalkan cara! Apatah lagi tindakan cuba melaga-lagakan 2 individu. Jika mereka berdua bukan ulama pun, ianya tetap salah.

PKR juga pernah mengalami fenomena yang hampir sama satu ketika dahulu. Dikhabarkan pada masa itu, dua pemimpin kanan PKR iaitu Azmin Ali dan Ezam Mohd Noor masing-masing cuba "menguasai" Dato Seri Anwar Ibrahim. Akhirnya kumpulan Azmin yang berjaya sekaligus membawa kepada keluarnya Ezam Mohd Noor daripada PKR. Aku juga pernah mendengar cakap-cakap beberapa teman aku dalam PAS yang mendakwa memang ada kelompok-kelompok tertentu yang cuba "menguasai" Tok Guru Nik Aziz. Mereka menyekat maklumat tertentu untuk sampai ke pengetahuan beliau. Setiap maklumat atau berita yang cuba disampaikan hatta daripada ahli akar umbi akan ditapis supaya hanya maklumat yang "perlu" sahaja yang sampai. Aku sendiri tak pasti sejauh mana benarnya dakwaan ini.

Jika dalam PKR sebelum ini ada kumpulan Azmin dan kumpulan Ezam, dalam PAS pula ada kumpulan professional yang turut digelar Edorgan dan kumpulan ulama atau "ustaz-ustaz" yang juga digelar pro muzakarah. Walaupun dinafikan oleh pimpinan PAS, 2 kelompok ini dilihat memang wujud. Mereka berbeza dari sudut corak pemikiran, strategi mahupun idea dalam mengukuhkan jemaah. Namun aku tidaklah melihat mereka ini berpecah dalam erti kata sebenar. Kedua-dua pihak punya matlamat yang sama cuma jalannya saja yang mungkin berbeza. Mereka masih bersatu dalam kepelbagaian dan masih mampu bersetuju untuk tidak bersetuju. Nik Aziz dilihat lebih dikuasai oleh golongan professional sedangkan Hj Hadi didokong oleh kelompok ustaz. Walau bagaimanapun, dalam struktur organisasi PAS sebarang keputusan berkaitan parti bukanlah hak mutlak presiden atau mursyidul am. Ianya perlu dibawa ke majlis syura yang bermesyuarat untuk menentukan sebarang pendirian parti. Dan bukanlah mudah sesuatu kelompok untuk menguasai ahli majlis syura yang agak ramai juga bilangannya.

Sseorang pemimpin yang hebat harus mengelak diri daripada dikuasai oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Seorang pemimpin jemaah harus bertindak memenuhi aspirasi semua ahli yang mengangkatnya dan tidak hanya tunduk kepada tuntutan sebilangan ahli. Dalam mengatasi cabaran dikuasai oleh mana-mana pihak, aku lihat Tun Dr Mahathir Mohamad adalah antara pemimpin yang berjaya melakukannya. Beliau sama sekali tidak hanya bergantung kepada pegawai atau penasihat di sekelilingnya untuk mendapatkan maklumat atau pandangan tentang sesuatu isu. Sewaktu menjawat Perdana Menteri pun beliau tidak hanya bergantung kepada maklumat daripada SB (cawangan khas) ataupun MIO (military intellegent officer) semata-mata. Dikatakan beliau ada agen-agen atau "spy" beliau sendiri yang punya struktur pemantauan berlapis. Ada yang kata sampai 3 lapis atau "triple agent". Lapisan pertama akan memantau pegawai-pegawai sekeliling beliau dan mungkin juga termasuk anggota kabinet. Lapisan kedua pula akan memantau tugasan agen dilapisan pertama dan agen dilapisan ketiga pula akan memantau tugasan agen dilapisan kedua. Dengan cara ini beliau dapat memastikan kesahihan sesuatu maklumat yang diutarakan kepadanya malah beliau dapat mengumpul banyak maklumat yang diperlukan untuk memastikan anak-anak buahnya tidak belot atau melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendaknya. Sebab itulah sepanjang menjadi perdana menteri tidak ada seorang pun pemimpin UMNO mahupun komponen BN berani "angkat muka" dan berkonfrontasi secara terbuka dengan Mahathir. Malah beliau berjaya menjinakkan bekas musuh-musuh politiknya seperti Tengku Razaliegh Hamzah dan Joseph Pairin Kitingan.

Suara lantang Nik Abduh kali ini ternyata mencetuskan polemik baru dalam PAS dan aku percaya ramai juga pemimpin PAS yang tidak senang dengan tindakannya itu. Namun aku harap dan berdoa agar Allah memberi kemenangan kepada orang-orang yang benar dan beriman. Kita saksikan saja apa yang berlaku dalam muktamar PAS akan datang.

Sunday, April 26, 2009

Red Warriors: Kau Tetap Juara!

Setelah bertarung selama 120 minit, Kelantan terpaksa akur dengan kehebatan Selangor apabila tumpas 1-4 menerusi sepakan penalti dalam aksi final Piala FA malam tadi. Aku yakin para pemain, jurulatih dan pengurusan skuad telah memberikan yang terbaik cuma nasib sahaja tak menyebelahi Kelantan. Pada mulanya aku nak juga ke stadium tapi sebab takde member yang nak join skali so aku tak jadi pergi. Lagipun pada malam yang sama, anak-anak buah aku budak-budak nasyid SAMT Hisamuddin Klang, berentap dalam final pertandingan nasyid MTQ peringkat negeri. Hati aku jadi berbelah bagi jadi untuk berlaku adil, dua-dua aku tak pergi dan aku hanya menonton final Piala FA dari rumah sahaja.

Secara umumnya perlawanan berlangsung dengan menarik walaupun kedua-dua pasukan lambat panas. 10 minit pertama Selangor lebih banyak menyerang ke kubu Kelantan. Kemudian barulah Kelantan mendapat rentak. Kedua-dua pasukan saling menyerang untuk memburu gol tapi tetap gagal memecah kebuntuan sehingga tamat 90 minit masa permainan. Kelantan mendapat sekurang-kurangnya 2 peluang terbaik melalui suasana kelam kabut di kotak penalti Selangor namun gagal disempurnakan oleh Khalid Jamlus apabila Nasriq Bahrom berjaya mengeluarkan bola di depan gawang Selangor yang terbuka luas. Ia diikuti pula tendangan bebas Indraputra yang terkena palang gol walaupun Hamsani Ahmad sudah tertewas. Serangan bertali arus Selangor juga gagal menembusi gol Kelantan yang dikawal kemas oleh Shahrizan Ismail.

Harapan bersinar seketika buat Kelantan apabila Nor Farhan Mohamad menjaring gol pada awal 30 minit masa tambahan. Namun tak lama kemudian Selangor menyamakan kedudukan menerusi Amri Yahyah. Memang bahaya pemain ini. Aku tengok dia sangat rajin naik menyerang dan turun bertahan sepanjang perlawanan. Dia juga sering mampu menjaringkan gol-gol penting dalam setiap perlawanan. Lihat saja dalam separuh akhir Piala FA ketika bertemu Perlis. Dia berjaya menjaringkan gol pada minit-minit akhir permainan sekaligus meleburkan harapan Perlis. Semalam sekali lagi dia berjaya lakukan untuk memusnahkan impian Kelantan. Jika tidak kerana digantung oleh AFC ekoran insiden meludah pemain lawan ketika bertemu Kuwait beberapa tahun lalu, tentunya dia mampu memberi sumbangan bermakna kepada skuad negara.

Apapun walaupun Indraputra dan Zairul Fitree gagal menyempurnakan sepakan penalti yang membawa kepada kekalahan Kelantan, mereka tidak harus dipersalahkan. Bolasepak adalah permainan berpasukan dan masing-masing telah melakukan yang terbaik. Kelantan masih boleh tersenyum kerana mereka kalah secara bermaruah. Dan mereka tetap juara di hati kami peminat Kelantan. Kita masih ada dua piala untuk diburu iaitu Piala Malaysia dan Piala Liga. Kita hanya baru terlepas satu piala.
Disebalik kemeriahan perlawanan dan aksi di atas padang ada juga babak-babak menarik diluar padang yang terakam dan tidak ramai yang menyedarinya. Antaranya ialah kehadiran tokoh-tokoh politik dari Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional yang bersama-sama memberi sokongan kepada kemajuan bolasepak negara. Selain daripada Dato' Ahmad Shabery Cheek selaku Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Khalid Ibrahim, Tan Sri Anuar Musa, YB Azmin Ali yang terpapar wajah mereka di kaca TV, ada ramai lagi tokoh lain yang turut hadir. Ramai yang tidak menyedari Dato' Seri Anwar Ibrahim turut hadir selain daripada pimpinan kerajaan negeri Selangor antaranya YB Yaakop Sapari dan YB Iskandar Samad yang juga exco kerajaan negeri, serta pimpinan lain seperti YB Nik Nazmi, YB Amirudin Sahari, Shamsul Iskandar Mat Akin (Ketua Pemuda PKR) dan lain-lain lagi. Di sebelah kontigen Kelantan pula, selain Tan Sri Anuar Musa selaku Presiden KAFA dan mantan Pengerusi UMNO Kelantan turut hadir ialah Exco Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan Kelantan iaitu YB Abd Fatah Mahmood. Yang Amat Mulia pasangan diraja Tengku Temenggong dan Cik Puan Temenggong Kelantan yang kisah mereka sedang "panas" diperkatakan diakhbar minggu ini turut berangkat mencemar duli. Inilah uniknya bolasepak. Ianya mampu menyatukan rakyat seluruhnya.
Akhir kata syabas untuk kedua-dua pasukan. Dan kepada the Red Warriors, usahlah bersedih. Perjuangan kita masih panjang. Anda tetap juara di hati kami. Gomo Kelate Gomo!


Cik Puan Temenggong Didera?


Awal minggu ini, akhbar dan blog di Indonesia begitu galak melaporkan tentang bekas model jelita dari Indonesia Manohara Odelia Pinot telah dilarikan serta didera oleh suaminya Tengku Muhammad Fakhry Petra yang juga Tengku Temenggong Kelantan. Mereka berdua telah diijabkabulkan 26 Ogos 2008 sekaligus memasyhurkan Manohara sebagai Cik Puan Temenggong Kelantan. Baru-baru ini ibu kepada Manohara iaitu Daisy Farajina mendakwa anaknya itu dilarikan dan didera oleh Tengku Muhammad Fakhry Petra. Sebahagian akhbar dan blog di Indonesia memberi respon yang agak agresif terhadap dakwaan yang belum tentu kebenarannya ini sehingga ada yang melaungkan Ganyang Malaysia. Seingat aku ketika pulang ke Kelantan Ogos lepas, perkahwinan Tengku Temenggong memang menjadi bualan majoriti masyarakat Kelantan. Ianya dilangsungkan dengan penuh meriah dan tidak lama selepas diijabkabul, Cik Puan Temenggong telah mula menyertai majlis-majlis anjuran Istana mahupun kerajaan negeri malah beliau turut kerap kelihatan di majlis-majlis bertemu rakyat.

Gambar-gambar terkini pasangan diraja ini langsung tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa mereka dalam keadaan yang tidak bahagia. Malah kemesraan mereka berdua begitu terserlah.Semalam contohnya, mereka telah menghadiri majlis perkahwinan anak sulung Exco Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Datuk Husam Musa di Kota Bharu. Lihat sahaja gambar di atas yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan hari ni. Di sebelah malamnya pula mereka telah bersama-sama 50 ribu penyokong setia Kelantan menonton perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Selangor yang menyaksikan Kelantan tewas 1-4 menerusi sepakan penalti.

Sebagai rakyat Kelantan yang memandang tinggi kedaulatan dan kemuliaan Kesultanan Melayu Kelantan, aku berharap agar isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Sewajarnya pihak Istana Kelantan dapat mengeluarkan satu kenyataan rasmi demi menjawab segala pertuduhan yang aku rasakan tidak berasas ini. Ini penting untuk membersihkan sebarang fitnah yang mungkin dilontarkan kepada institusi raja-raja Melayu di negara ini. Daulat Tuanku!

Thursday, April 23, 2009

Cinema@Persada:Queen of Langkasuka


Baru-baru ini aku berkesempatan untuk menonton sebuah filem epik terbitan negara jiran kita Thailand yang berjudul Queen of Langkasuka. Pada peringkat awal penerbit filem ini meletakkan tajuk Queen of Patani akan tetapi oleh kerana bimbang pada sentimen konflik yang sedang berlaku di selatan Thai. Apa yang kuat mendorong aku menyaksikan filem ini ialah aku nak tengok bagaimana epik sejarah sebuah Kerajaan Melayu diolah dan diangkat sebagai sebuah filem oleh sebuah produksi yang mana hampir keseluruhannya terdiri daripada bukan Melayu. Kesultanan Melayu Patani merupakan sebuah kerajaan yang tidak wujud lagi pada masa kini. Namun waris atau keturunan Sultan Patani masih ada antaranya ialah Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis bt Tengku Abdul Hamid.


Aku rasa para penggemar filem epik dan sejarah patut melihat filem ini. Ia penuh dengan aksi dan penggunaan CGI juga boleh dikira baik. Jika selama ini kita hanya melihat seni Muay Thai diketengah dalam filem-filem Thailand, kali ini elemen silat pula di ketengahkan. Cuma yang kurang dari sudut gerak tari silat Melayu. Hampir tiada langsung. Namun keadaan ini diselamatkan dengan penggunaan keris sebagai senjata utama dalam pertempuran. Dari sudut kostum juga boleh dikatakan menepati budaya orang Melayu dengan pemakaian songket, tengkolok, baju kebaya dan sebagainya. Cuma cara mengadap sembah raja yang agak berlainan daripada apa yang selalu kita lihat. Aku tak tahulah kot-kot Patani atau Langkasuka ada cara tersendiri dalam soal mengadap sembah raja.



Watak-watak yang diketengahkan seperti Ratu Hijau, Puteri Ungu dan Puteri Biru sememangnya wujud dalam sejarah Patani. Watak-watak lain seperti Tok Rahman, Lord Jaring, Pari, Haji Khadir tak pasti pulak aku betul-betul wujud atau tak. Begitu juga fakta tentang pernikahan antara Puteri Ungu dengan Putera Raja Pahang. Penggunaan dan kewujudan ilmu Dum Lum yang menjadi sebahagian elemen besar dalam filem ini juga tak dapat dipastikan. Apapun bagi aku filem ini tetap best dan menarik untuk ditonton. 4 bintang!!



Wednesday, April 22, 2009

Pertahanan Negara: Jangan Dipolitikkan


Soal keselamatan dan pertahanan negara merupakan satu isu yang penting kepada semua rakyat di Malaysia ini tanpa mengira bangsa, agama mahupun ideologi politik. Ianya harus dilihat secara objektif demi kepentingan bersama. Baru-baru ini, Menteri Pertahanan yang baru YB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan penubuhan 1 batalion Rejimen Askar Wataiah dengan kekuatan anggota 3000 orang di setiap 222 kawasan parlimen seluruh negara. Dalam tempoh 5 tahun, dijangka kekuatan askar wataniah akan mencapai 600 ribu orang.Malangnya ianya ditentang oleh beberapa tokoh pembangkang kerana bimbang batalion ini akan dimanipulasi untuk memenangkan BN dalam pilihanraya melalui undi pos. Datuk Johari Abdul ahli parlimen PKR dari Sungai Petani contohnya mendakwa cadangan ini bertentangan dengan konsep "pertahanan menyeluruh"(HANRUH) atau "total defence". Aku sendiri tak faham apa yang beliau maksudkan.

Setahu aku konsep HANRUH ini adalah satu konsep yang melibatkan semua agensi kerajaan, swasta dan anggota masyarakat dalam mempertahankan negara sekiranya perang tercetus. Perkara ini termasuklah pembentukan pasukan-pasukan tentera simpanan seperti Rejimen Askar Wataniah. Dalam dokrin pertahanan dewasa ini, adalah menjadi amalan biasa dalam sesebuah negara bilangan askar simpanan atau kerahan melebihi bilangan tentera "regular" atau tetap. Bilangan anggota tetap dikurangkan ditahap minimum demi untuk menjimatkan kos operasi pada waktu aman. Angkatan Tentera Malaysia ketika ini secara umumnya memiliki 100 ribu anggota merangkumi 70 ribu tentera darat dan 15 ribu setiap satu bagi TLDM dan TUDM. Jumlah ini tentunya bukanlah satu jumlah yang besar jika berlaku sesuatu konflik. Oleh sebab itulah kita memerlukan jumlah anggota tentera simpanan yang efektif dan mampu dikerah mempertahankan negara apabila diperlukan.


Begitu juga dengan isu pembelian aset-aset ketenteraan di mana sebahagian ahli parlimen menganggapnya satu pembaziran. Hujah mereka mudah. Pembelian tidak perlu kerana Malaysia aman dan tidak terlibat dalam sebarang konflik ketenteraan. Hakikatnya mereka terlupa bahawa kita terlibat dalam beberapa konflik yang belum selesai antaranya isu perebutan kepulauan Spratly, pertikaian blok petroleum Ambalat dengan Indonesia dan pelbagai isu tertunggak dengan Singapura. Lagipun takkanlah bila berlaku peperangan barulah nak beli peralatan. Aku tak nafikan bahawa Malaysia lebih cenderung untuk menggunakan pendekatan diplomatik dalam menyelesaikan sesuatu isu. Namun harus diingat, perundingan yang didokong oleh kekuatan ketenteraan akan lebih bermakna dan berkesan.

Pembelian helikopter SAR model EC 725 Cougar baru untuk menggantikan pesawat Nuri contohnya terpaksa ditangguhkan oleh kerajaan ekoran bantahan keras oleh pembangkang kerana ianya didakwa mempunyai unsur penyelewengan. Sebagai rakyat Malaysia, aku juga tidak mahu penyelewengan berlaku apatah lagi apabila melibatkan pembelian aset pertahanan negara namun ianya bukan menjadi alasan untuk membatalkan pembeliannya. Nuri contohnya sangat kritikal untuk diganti kerana sejak digunakan pada tahun 60-an, ia telah terlibat dalam banyak kemalangan yang mengorbankan nyawa perajurit negara. Sampai bila kita mahu mendedahkan perajurit kita kepada risiko kemalangan apabila menggunakan helikopter yang layak digelar keranda terbang ini?

Walau apapun setiap pembelian aset-aset ketenteraan ini mestilah bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan. Perolehan aset ketenteraan harus telus agar wang rakyat dapat dibelanjakan dengan berhemah dan berkesan. Penilaian dari sudut teknikal dan strategik juga harus dilakukan dengan teliti agar tidak tersilap langkah. Malaysia pernah membeli lebih 80 buah pesawat pejuang A4 Skyhawk dari US namun akhirnya sebahagian besar pesawat tersebut tersadai di padang pasir Ariziona. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed pernah mengakui dalam satu seminar bahawa pembelian pesawat F-18 Hornet dari US merupakan satu kesilapan strategik. Menurut beliau walaupun pesawat tersebut dijual kepada Malaysia, "source code"nya tetap disimpan dan dikawal oleh US. Kesannya Malaysia secara hakikatnya tidak boleh menggunakan pesawat tersebut mengikut keperluannya tanpa "blessing" Amerika. Beliau menambah lagi, perkara ini berbeza dengan pembelian pesawat MIG-29 dari Rusia yang mana pihak Rusia tidak mengenakan sebarang kekangan atau syarat tersembunyi. Pendek kata kita boleh menggunakannya dengan bebas. Untuk mendengar ucapan tersebut, sila klik pada video di bawah.


Kesimpulannya, aku berharap agar pimpinan negara dan masyarakat tidak mempolitikkan isu-isu yang melibatkan soal kedaulatan dan pertahanan negara. Berbincanglah secara ilmiah dan tanganilah ia secara objektif. Malaysia adalah negara tumpah darah kita dan ianya milik kita bersama. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan kedaulatan dan keamanan Malaysia terjaga.Gempur Wira!!!

Monday, April 20, 2009

Dah Lama tak Jalan-Jalan..

Aku rasa dah berbulan aku tak jenjalan dalam erti kata yang sebenar walaupun di hujung minggu. Selalunya kalau aku pergi mana-mana pun semuanya atas sebab kerja. Lagipun memang aku lebih suka "bertapa" di rumah dari merewang-rewang tanpa arah tujuan. Even kalau aku pegi shopping mall sekalipun aku akan terus beli barang yang aku nak dan bergegas pulang. Bagi aku nak window shopping semua ni membazir masa je.huhu.. Tapi semalam 19 April 2009, aku lepaskan gian jenjalan kat KL. Kebetulan pulak ada KL International Book Fair kt PWTC. Actually aku dah set ngan beberapa kengkawan lama untuk jumpa kat sana.

Lebih kurang pukul 10.15 pagi aku ambik mass kat apartment dia. Oleh sebab masing-masing tak sarapan lagi, kitorang pun singgah kat restoran sri ttdi. Aku makan nasi dagang dan pulut ikan kering yang memang aku gemar sejak kecik, mass pulak ambik bihun goreng. Ade la "sejeput" kot bihun yang dia ambik tu.Hmm.. jaga badan agaknya. Maklum la model sambilan la katakan.hehehe.. Baru aku nak menjamah nasi dagang yang enak tu Mass tanya "Itu apa abang razin?" sambil menunjuk ke arah pulut ikan kering. Lor rupanya dia tak pernah tengok makanan yang jadi kegemaran aku ni. Lalu aku pun berceritalah tentang hikayat pulut ikan kering sejak zaman cik siti wan kembang, zaman pendudukan jepun sehinggalah cara-cara membuatnya di zaman moden ini.Korang percaya ke apa yang aku cakap ni?? Hahaha... aku memain jela. Aku cuma cakap kat Mass nama makanan tu je. Aku sendiri pun tatau macam mana nak buat pulut tu. Yang aku tahu makan jela.huhu..

Lepas sarapan kami terus gerak ke KL. Sampai kat PWTC parking pulak penuh. Nasib baik la last-last dapat jugak parking space. Masuk je kawasan exhibition, aku tengok orang sangat ramai. Nak berjalan pun susah. Aku dan Mass mula meronda. Baru beberapa minit, aku terpandang sebuah buku yang dah lama aku cari. Tajuk dia "Islam dan Muzik" yang mana kandungannya ialah fatwa-fatwa berkenaan dengan muzik yang dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan Brunei Darussalam. Dulu kat Nasyeed.Com memang ada buku ni tapi dah hilang entah ke mana. So kenalah aku beli balik. Masa kat gerai JAKIM pulak aku beli sebuah buku karangan Dr Yusuf Al Qaradhawi bertajuk "Seni Dalam Islam". Actually aku memang sedang berusaha mengumpul buku-buku berkaitan muzik dari perspektif Islam untuk dijadikan rujukan. Sebagai aktivis seni Islam aku rasa aku perlu punya pengetahuan tentang perkara-perkara sebegini. Kalau korang ada tahu kewujudan buku-buku macam tu bagitaulah aku ye.

Masa aku dan Mass singgah di gerai Hijjaz, pengunjung sangat ramai. Diorang tengah promote buku pasal NikMadihah, pelajar cemerlang SPM yang hebat tu. Aku pun respect habis kat dia. Walaupun dalam kesusahan, dia masih boleh berjaya dengan flying colours! "Siapa ni bang? Tunang ek?" Shima menyapa bila melihat aku dan Mass. "Ooo.. bertunang tak bagi tau!" Aku hanya tersenyum mendengar pertanyaan tu seraya membalas "Ini Mass awek abang yang paling bongsu..hehehe... takdelah ini officemate abang la!" Shima tergelak dengar respon aku. Then aku sempat juga menyapa Abai Os, David dan Abang Os. Takleh nak cakap lama-lama sebab diorang sibuk melayan pelanggan. Abai bagitahu aku Tuan Guru Nik Abd Aziz baru je masuk satu dewan yang berhampiran gerai hijjaz untuk pelancaran buku tentang isteri kesayangannya berjudul "Bidadari Dari Timur". Bila kami masuk, dewan tu penuh sesak. Aku sempat jumpa dan menyapa beberapa kenalan yang turut sama dalam majlis tu. Antaranya Ana ex-staff Saba Islamic Media dan seorang peserta saringan akhir AN Tv9. Aku juga nampak Intan Abdullah, wartawan harakah yang aku kenal masa Nisa' Games dulu cuma aku tak sempat nak tegur dia.

Habis je majlis aku dan mass teruskan rondaan kami. Semua level kami pergi. Masa kat tingkat atas aku jumpa Yosman, classmate aku zaman MBA. Dia jaga gerai UTM. Sempat juga sembang-sembang tentang peluang business yang aku boleh buat dengan UTM. Kami berhenti penat seketika sambil menjamah ais krim. Kitorang lepak kat depan stage dan tengok persembahan sajak daripada warga UPSI. Then kami ke gerai Anbakri Publika iaitu penerbit kepada buku yang dilancarkan Tok Guru Nik Aziz tadi untuk jumpa kawan kami Rabiatul Adawiyah @ Bee. Actually, dia nak sangat jumpa Mass. Lama la jugak kitorang borak. Aku pun tak lepaskan peluang beli buku tu.Oleh kerana gerai tu sebelah je gerai Inteam, so aku pun sempat menyapa dan borak ngan warga Inteam Records antaranya Hazamin, Shah, Abang Ito, Frizdan dan lain-lain. Sebelum pulang kami sekali lagi singgah di gerai Hijjaz. Kali ni Abang Isman dan Muadz pun ada. "Bila Razin nak masuk minang?" tetiba Abg Isman mengusik Mass."Ko jangan lambat Zin, melepas nanti..." Aku pun selamba respon, "Camne nak masuk bang, quotation dia tak keluarkan lagi.. " Abg Isman tergelak mendengar jawapan aku. Abang Isman bagitau kat aku yang dia nak ke Mekah esok untuk menunaikan umrah.

Aku dan Mass meninggalkan PWTC lebih kurang pukul 3.30 petang. On the way balik Shah Alam kami singgah pulak di Mid Valley. Perut pun lapar jadi lepas solat zohor kami makan kat Domino's Pizza. Then kitorang jenjalan kejap pastu terus balik. Sampai kat Shah Alam lebih kurang pukul 6.30 petang. Lepas hantar Mass, aku terus balik rumah. Hmm.. penat betul rasanya. Walaupun penat sekali sekala jenjalan macam ni best jugak!

Sunday, April 19, 2009

Tahniah Red Warriors!


Sebagai salah seorang daripada ribuan penyokong pasukan bolasepak Kelantan, aku nak ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemain, team pengurusan dan teman-teman penyokong terutamanya geng-geng Kelate.Net kerana kejayaan the Red Warriors melangkah ke perlawanan akhir Piala FA 2009. Malam ini 18 April 2009 di stadium Tuanku Abd Rahman Paroi, sejarah tercipta apabila Kelantan buat pertama kali dalam sejarah menjejakkan kaki ke final Piala FA. Setahu aku, kali terakhir pasukan utama Kelantan layak ke perlawanan akhir ialah pada awal tahun 70-an ketika era Dali Omar. Itupun Kelantan hanya mampu muncul sebagai naib juara Piala Malaysia setelah tumpas di tangan Perak.

Walaupun pada awalnya ketinggalan dengan agregat 0-1 setelah tumpas di Kota Bharu dan seterusnya 0-2 apabila N.Sembilan menjaringkan gol awal, Kelantan tetap mampu bangkit melakar kejutan. Pada babak kedua, Kelantan menjaringkan dua gol dramatik melalui Nor Farhan Mohamed dan Indraputra Mahyudin menjadikan kedudukan agregat 2 sama namun Kelantan layak berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.

Buat semua penyokong pasukan Kelantan, ayuh kita penuhkan stadium Bukit Jalil 25 April depan untuk memberi sokongan kepada Wira Merah. Semoga kita dapat membawa pulang piala ke Kota Bharu. Jupo set kito belako denu! Hidup Kelate!


Thursday, April 16, 2009

Nasyid : Antara Celaru dan Keliru

Assalamualaikum wbt..
Sebagaimana yang dijanjikan aku akan mengulas berkenaan dengan artikel nukilan Abd Aziz Itar yang telah disiarkan dalam utusan malaysia beberapa minggu lalu. Secara umumnya aku simpulkan antara intipati artikel beliau adalah seperti berikut:
  1. Nasyid telah hilang keaslian muziknya dan kini bercampur aduk dengan muzik-muzik moden
  2. Lirik sesetengah lagu nasyid telah lari dari maksud asal yang bertujuan sebagai medium dakwah. Penasyid juga tidak sepatutnya memetik semula maksud ayat suci Al quran untuk dijadikan lirik.
  3. Penggunaan instrumen muzik moden seperti gitar, bass, dram dan lain-lain harus dikurangkan agar lagu nasyid lebih mendamaikan dan tidak bingit sehingga menenggelamkan nyanyian kerana kekuatan nasyid sebenarnya terletak pada vokal berharmoni yang menyampaikan lirik-lirik yang bermesej
Definisi Nasyid
Sebelum mengulas dengan lebih jauh ingin aku kongsikan maksud dan definisi nasyid dari kacamata aku dan mungkin sebahagian besar aktivis nasyid yang lain di Malaysia. Suka aku tegaskan di sini bahawa nasyid BUKANLAH satu genre muzik sebagaimana yang mungkin difahami oleh ramai orang. Kesenian nasyid datang dengan 3 elemen dalam satu pakej seperti berikut:
  1. Lagu dan lirik harus sesuai dengan kehendak syarak dengan mesej yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah perkara mungkar
  2. Nasyid harus dipersembahkan dalam suasana yang terkawal dan tidak bercampur dengan unsur maksiat seperti hidangan minuman keras dan percampuran melampau antara lelaki dan wanita
  3. Penyanyi nasyid itu sendiri harus mempunyai keperibadian dan akhlak yang menepati syariat Islam. Oleh sebab itu kita tidak mengkategorikan penyanyi-penyanyi "mainstream" lain sebagai penyanyi nasyid walaupun mereka menyanyikan lagu ketuhanan. Lagipun seseorang penyanyi nasyid itu akan "declare" dia sebagai penyanyi nasyid.
Dalam konteks berbeza, nasyid juga harus mempunyai 3 elemen penting seperti berikut:
  1. Risalah: Ini merujuk kepada intipati lirik yang membawa mesej-mesej yang baik bersumberkan petikan maksud ayat suci Al Quran, Hadis mahupun kata-kata atau cetusan minda seseorang individu
  2. Dakwah: Nasyid harus mampu menjadi salah satu instrumen atau medium dakwah yang menyeru kepada kebaikan dan mencegak kemungkaran
  3. Tarbiyyah: Nasyid juga harus punya kemampuan untuk mentarbiyyah pendengar dan lebih penting penyanyi nasyid itu sendiri secara langsung atau tidak langsung sekaligus memangkin pengamalan kehidupan sejajar dengan syariat Islam.
Dari sudut muzik, nasyid boleh jadi apa saja daripada irama padang pasir, pop, raggae, hip hop, zapin, joget hinggalah rock. Islam itu agama yang sarwajagat sifatnya. Begitu juga nasyid sebagai wadah hiburan Islam.Kita tidak boleh memaksa sesuatu golongan atau bangsa itu menerima corak muzik atau budaya kita. Orang Jamaica yang membesar dengan irama raggae tentulah tak boleh nak layan lagu zapin. Begitu juga dengan orang Arab pun mungkin payah nak "masuk" dengan irama jazz. Biarlah mereka memilih nasyid dengan irama yang kena dengan jiwa mereka selagi mana mana apa yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat. Namun saya sangat setuju jika diwajibkan setiap penasyid itu harus mampu membawakan lagu-lagu berasaskan taranum Al Quran sama ada lagu berunsur Masri seperti Nahwan, Soba, Jiharkah, Rast, Hijaz, Bayati dan Sikah mahupun lagu berunsur Hijazi seperti Husaini, Mayyah, Rakbi dan Dukah. Tak perlulah perfect cuma cukup sekadar tahu melagukan atau paling teruk pun boleh tiru la. Ini kerana irama-irama inilah yang menjadi akar atau asas kepada kepada irama nasyid. Sebab itulah pada satu ketika irama nasyid di Malaysia ini di salah tafsirkan sebagai irama padang pasir.

Instrumen Muzik dalam Nasyid
Pada era nasyid dipopularkan oleh pergerakan Al-Arqam melalui kumpulan nasyid Nadamurni (Rabbani + Hijjaz) dan The Zikr (Raihan), Intrumen yang digunakan ketika itu hanyalah perkusi. Ini kerana mereka berpendapat hanya alatan muzik sebegitu sahaja halal digunakan amanakal alatan muzik berasaskan tali dan berturus udara seperti gitar, seruling, bass dan sebagainya haram. Namun pada masa yang sama sebenarnya telah wujud kumpulan nasyid seperti Al Jawaher, Al Mizan, Al Suraya dan lain-lain yang telahpun menggunakan instrumen muzik moden sejajar dengan konsep pop yang mereka bawa. Menurut cerita teman-teman yang pernah bersama Al Arqam, mereka pernah juga menganggap semua instrumen muzik itu haram untuk digunakan. Sebab itulah album-album nasyid yang diterbitkan oleh Al Arqam pada peringkat awal hanyalah nyanyian semata-mata tanpa iringan muzik. Menurut cerita, antara orang yang bertanggungjawab memperkenalkan penggunaan perkusi dalam Al Arqam ialah Habib Asasi yang popular dengan lagu Az Ziarah yang kini dinyanyikan semula oleh Inteam.

Pada awal era nasyid kontemporari irama nasyid masih terikat dengan perkusi. As time goes by, para penggiat industri nasyid mendapatkan pandangan ulamak-ulamak tertentu baik di kalangan kakiktangan kerajaan, pendakwah bebas mahupun di kalangan tokoh parti pembangkang tentang penggunaan alat muzik dalam nasyid. Majoriti berpendapat bahawa semua perkara yang wujud dibumi ini pada asalnya adalah HARUS selain daripada perkara yang jelas diharamkan dalam Al Quran dan Hadis dan hukumnya bersifat Qat'ie (putus) contohnya babi atau arak. Ini termasuklah alat-alat muzik sama ada perkusi, bertali mahupun bertiup. Selagi mana ia digunakan untuk tujuan dan dengan cara yang tidak bercanggah dengan syarak maka hukumnya harus untuk digunakan. Ulamak terdahulu mengharamkan alat muzik bertali dan bertiup bukan kerana zat alat itu sendiri tetapi kerana pada satu ketika ia menjadi syiar kepada golongan fasik.

Walau bagaimanapun aku setuju dengan pandangan saudara Aziz bahawa muzik nasyid harus tidak bingit dan terlalu kuat sehingga menenggelamkan nyanyian sekaligus menghalang mesej yang dibawa melalui lirik nasyid untuk sampai ke telinga pendengar. Apabila mesej tidak dapat disampaikan kepada pendengar maka hilanglah asas kepada tujuan nasyid itu sendiri yakni dakwah dan tarbiyyah.


Nasyid style dulu-dulu..

Wednesday, April 15, 2009

Apabila nasyid hilang identiti

Semasa mengendalikan salah satu event di Stadium Malawati Shah Alam aku sempat bertemu dengan kawan lama aku Akramin. Dia ada sebut kat aku tentang satu artikel yang ditulis dalam Utusan Malaysia oleh seorang yang bernama Abd Aziz Itar. Akramin mintak aku ulas tentang artikel tu dari sudut pandang aku sebagai seorang aktivis nasyid. Berikut aku sertakan bersama artikel tersebut untuk rujukan korang semua sebelum aku buat ulasan..

IRAMA nasyid mula mendapat sambutan hangat dalam industri muzik tanah air pada tahun 1997 apabila kumpulan Raihan muncul dengan album sulung mereka, Puji-Pujian. Album itu mencatat sejarah album paling laris yang dijual lebih 750,000 unit.

Mulai saat itu, Raihan bukan setakat meniti puncak populariti, malah turut mencetuskan suatu fenomena baru dalam bidang rakaman album di negara ini. Antaranya menyaksikan kemunculan banyak kumpulan nasyid yang dibaratkan cendawan selepas hujan. Kemudian banyak pula penerbitan banyak album nasyid yang mempergayakan dalam pelbagai rentak.

Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-16 (AIM) yang akan diadakan pada 2 Mei depan misalnya, turut memberi pengiktirafan kepada irama nasyid sama seperti genre muzik yang lain.Sayangnya, selepas 12 tahun, irama yang berasal dari Asia Barat itu dikatakan semakin jauh tersasar daripada segi tema lirik serta keaslian muziknya.

Irama nasyid kini semakin hilang identitinya daripada segi elemen-elemen muzik di dalamnya yang bercampur aduk dengan muzik-muzik lain. Pada peringkat awal, irama nasyid banyak disaluti melodinya yang lembut serta mendamaikan dengan menggunakan alat-alat muzik tidak bertali terutamanya gendang, tabla dan kompang.Penyanyi Nazrey Johani dan Raihan antara artis nasyid yang dilihat masih mengekalkan penggunaan alat-alat muzik itu yang dianggap sebagai konservatif dalam irama nasyid.

Secara umumnya ramai yang mungkin bersetuju irama nasyid digunakan sebagai medium untuk berdakwah. Namun, terdapat kekeliruan apabila segelintir penyanyi atau kumpulan yang mendakwa mengetengahkan lagu-lagu nasyid tetapi tidak pula membawa mesej dari lirik yang sepatutnya. Penggunaan banyak alat-alat muzik moden juga dilihat kurang perlu kerana apa yang penting ialah kekuatan melodi dan harmoni vokal serta mesej yang ingin disampaikan.

Irama nasyid juga kini tidak jauh bezanya dengan muzik-muzik moden lain kerana ia turut menggunakan instrumen-instrumen seperti gitar, bass, deram dan keyboard.Dengan adanya instrumen seperti itu, lengguk irama nasyid kini tidak lagi selembut dulu, sebaliknya tempo serta semangatnya lagu-lagunya juga seakan-akan lebih rancak daripada lagu pop.Malah, percampuran elemen-elemen muzik dari Barat seperti hip hop yang adakalanya kasar gaya sebutannya turut diselitkan dalam lagu-lagu nasyid moden sejak kebelakangan ini.

Bukan tidak mahukan pembaharuan, tetapi tokok tambah muzik moden yang agak melampau seperti itu adakalanya bukan setakat menjejaskan identiti asal irama nasyid. Kalau sudah dipergayakan, tidak usah menggunakan nama “nasyid”, sebutlah apa saja nama baru yang lebih sesuai.Ini kerana eksperimentasi seperti itu akan mencetuskan persoalan-persoalan lain seperti hala tuju dan keaslian irama nasyid dalam menyampaikan mesejnya kepada khalayak.Contohnya, bagaimana untuk menyampaikan mesej atau dakwah jika lagu-lagu nasyid yang disampaikan itu bingit, rancak, terkinja-kinja dan bercelaru pula sebutan vokalnya?

Tidak seperti kumpulan-kumpulan nasyid tahun 1970-an dan 1980-an seperti Al-Jawahir, El Suraya dan Al-Mizan, pendekatan mereka dalam bernasyid tidak banyak mencetuskan pertikaian ramai.Meskipun tampil dengan konsep muzik pop, tetapi lengguk melodi lagu serta lirik-lirik yang mereka sampaikan jelas masih berada dalam jalur irama nasyid yang sopan dan bermatlamat.Kumpulan-kumpulan nasyid moden hari ini bukan tidak bermatlamat tetapi matlamat itu lebih untuk mencari pembaharuan muzik dan berorientasikan komersial semata-mata.

Pada masa sama, ada juga di kalangan penyanyi nasyid yang merakamkan album dengan menyanyi atau membacakan semula petikan surah-surah dari al-Quran dalam karya-karya mereka.Pendekatan itu bolehlah dianggap sebagai Islamik, tetapi yang kurang eloknya ialah, ia dilihat sebagai jalan mudah untuk menambahkan lagi produk-produk nasyid di pasaran.Sepatutnya, golongan ini tampil dengan melodi lagu-lagu nasyid dan lirik-lirik terbaru berdasarkan situasi semasa serta tidak lari daripada landasan asal iaitu menyampaikan mesej-mesej yang baik.Apabila berlakunya lambakan album nasyid yang berkonsepkan sedemikian, ia telah menimbulkan kekeliruan bukan sahaja di kalangan pendengar, tetapi juga panel juri pada sesuatu anugerah.

Para juri AIM16 misalnya, mungkin keliru mengadili album atau lagu nasyid yang dipertandingkan jika ia menampilkan petikan ayat-ayat suci al-Quran yang tidak boleh dipertikaikan.Kesukaran mengadili lagu atau album nasyid seperti itu dapat dirasai kerana, bagaimana untuk memberi pemarkahan kepada ayat-ayat al-Quran yang terbukti jelas tiada cacat celanya?Kalau boleh biarlah kemunculan album-album nasyid bukan setakat memberi hiburan, sumber ekonomi dalam industri muzik tetapi juga tanggungjawab sosial mereka kepada khalayak.Justeru, niat untuk menerbitkan album-album nasyid haruslah jelas kerana biarlah keuntungan sesebuah album itu seiring dengan manfaat yang bakal diperoleh oleh para pendengar kelak.

Oleh ABD. AZIZ ITAR
sumber daripada utusan.com.my

Tuesday, April 14, 2009

Kelahiran Orang Baru


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Dah lebih sebulan 5 hari aku tak update blog ni. Aku mohon maaf buat semua penjenguk-penjenguk setia blog aku ni. I really appreciate your support! Cuma sekali lagi kekangan masa dan tugasan di ofis membuatkan aku terpaksa abaikan seketika blog kesayanganku ini. Hmm..lagipun aku belum dapat momentum sepenuhnya untuk menulis walaupun aku kira banyak juga peristiwa besar yang berlaku di sekeliling aku di pelbagai peringkat antaranya 3 pilihanraya Kecil, Perang Tempoyak yang belum berkesudahan, PM Baru, Perhimpunan Agung UMNO, Kabinet Baru dan sebagainya.

Namun yang paling baru bagi aku tentunya bilangan ahli keluarga aku yang baru sahaja bertambah dengan kelahiran anak saudara terbaru aku. Sehingga artikel ini ditulis, kakak aku yang sulung ( Kak Reny) belum lagi dapat sepenuhnya nama anaknya tu. So far baru dapat Mohd Zikri **** bin Erekhsham. Dia cakap nak letak satu lagi nama belakang nama Zikri tu. Aku sempat balik ke Machang minggu lepas untuk join majlis kenduri cukur jambul anak sedara aku tu. Alhamdulilah majlis telah berlangsung dengan jayanya. Tetamu yang hadir pun ramai, lebih 100 orang. Tapi yang paling seronok aku dapat jumpa sedara mara yang dah agak lama tak jumpa. Mak Ayah aku pun nampak sangat happy dengan kelahiran cucu baru diorang cuma diorang ada jugak la bersungut bila pulak diorang nak dapat menantu baru... heheheh... Sabar ye mak, insya Allah. Tak hujung tahun ni, tahun depan pun boleh...huhu.. Bak kata budak-budak dalam friendster, Anakanda masih dalam status "it's complicated" .. Namun percayalah anakanda memang punya perancangan ke arah itu. Umur pun dah 27 tahun..memang sesuai sangat dah pun untuk kawin.. So doakan saja...

So untuk menutup artikel kali ni aku nak kongsikan dengan korang semua satu lagu yang aku dok tengah suka dengar sekarang ni.Lagu ape? Korang dengar dan tengolah sendiri.Layan...


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...