Friday, June 3, 2011

SHOWCASE SYUHADA AT TAQWA

EDARAN MEDIA
SHOWCASE SYUHADA AT TAQWA

SHOWCASE NASYID AMAL TERBESAR DI MALAYSIA

            Tragedi tanah runtuh yang menimpa Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Al Hidayah Madrasah Al Taqwa, Hulu Langat pada 21 Mei lalu begitu menyentuh hati sanubari segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Rasa simpati dan keinginan untuk membantu jelas terlihat bilamana bantuan, tidak kira dalam bentuk apa saja datang mencurah-curah.

Perasaan ini juga turut dikongsi oleh Majlis Usrah Nasyid Malaysia atau lebih dikenali dengan nama MUNSYID MALAYSIA. Susulan daripada program ziarah dan penyampaian sumbangan kepada mangsa tragedi yang berlangsung pada 27 Mei di Lembah Azwen Resort, Munsyid Malaysia yang terdiri daripada penasyid, pemuzik, penggiat nasyid dan kelab-kelab peminat telah mengambil inisiatif untuk bergabung tenaga bagi menjayakan Showcase Syuhada At-Taqwa. Showcase ini bakal berlangsung pada 11 Jun 2011, bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Selangor. 
 
            Showcase Syuhada At Taqwa khusus bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu mangsa kejadian tempohari. Atucara program bermula seawal selepas solat asar diikuti dengan mini showcase bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Selepas solat Maghrib dan Isyak berjemaah di Masjid Negeri atucara program kemudiannya diteruskan dengan persembahan nasyid, perkusi, kutipan derma, dan upacara penyampaian sumbangan yang akan berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Acara kemuncak akan bermula pada pukul 9.00 malam dan dijangka tamat sekitar pukul 11.00 malam.Persembahan ini adalah secara terbuka tanpa dikenakan sebarang bayaran dan para pengunjung boleh menderma melalui tabung-tabung yang disediakan.

            Program ini boleh dianggap sebagai showcase nasyid amal terbesar pernah diadakan dengan penglibatan hampir 50 artis nasyid solo atau berkumpulan diiringi para pemuzik professional. Walaupun program ini dirancang dalam masa yang amat singkat (tidak sampai 2 minggu) ianya mendapat sokongan dan kerjasama yang sangat memberangsangkan daripada komuniti nasyid. Mereka bukan sahaja sanggup membuat persembahan secara percuma malah memberi sumbangan dalam bentuk wang ringgit, masa, tenaga mahupun peralatan dan kemudahan tanpa apa-apa bayaran. Program yang dirancang ini juga mendapat kerjasama penuh dari Majlis Bandaraya Shah Alam, Persatuan Anak-Anak Yatim Malaysia, Perbadanan Adat dan Warisan Melayu Negeri Selangor (PADAT) serta rakan-rakan media cetak dan elektronik terutamanya IKIM FM yang bertindak sebagai radio rasmi showcase ini.

            Pihak penganjur juga menyeru kepada mana-mana badan korporat mahupun orang perseorangan agar turut sama menyumbang sekaligus merealisasikan usaha murni ini. Mereka akan diberi ruang dan peluang untuk menyampaikan sendiri sumbangan mereka kepada wakil rumah anak yatim di pentas showcase nanti.
            Kepada mana-mana badan korporat dan orang perseorangan yang ingin menyumbang pada malam tersebut boleh terus berhubung dengan Saudara Azadan ( Rabbani) di talian 019-2110300 atau Saudara Isman (Hijjaz) di talian 03-61408280. Sumbangan secara terus juga boleh dibuat ke akaun Maybank 564137300901 atas nama PERSATUAN ANAK-ANAK YATIM MALAYSIA.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...