Tuesday, December 24, 2013

JOM Usrah

Dah lama dah saya tak menghadiri majlis usrah..Alhamdulillah malam ni insya Allah akan hadir ke usrah Munsyid Malaysia.. Perkataan Usrah ni saya kenal sejak dari zaman taski lagi.. Masa tu saya tahu sebab Taski tempat saya belajar jadi port ABIM Machang berusrah setiap minggu.. Tapi tak faham la apa itu usrah usrah cuma saya tengok pakcik-pakcik tu duduk dalam bulatan then bercakap-cakap sesama diorang.. Itu jela yang saya faham. Naik sekolah rendah, perkataan usrah seolah-olah hilang dari kamus hidup saya namun selepas naik ke sekolah menengah ianya muncul kembali. Apa tidaknya budak form1 dan form2 wajib jalani usrah setiap khamis malam jumaat. Hujung form tu saya dipilih pulak senior join usrah elit untuk jadi kader naqib selepas masuk tingkatan 3. Maka jadilah saya naqib usrah sampai habis form 5.


Masuk universiti saya masih aktif berusrah melalui badan kepimpinan pelajar di kolej mahupun persatuan. Masa ni usrah pun dah ada level-level pulak.. lebih kurang macam main video game la..haha..setiap level ada fikrah dan approach tersendiri yang dibawa. Ade yang fokus kpd tarbiyyah, ada juga qiyadi dan ada juga bersifat haraki. Tak kisah la tu, janji semuanya ajak kita buat benda baik dan tinggalkan benda yang jahat. Dalam umur sekarang, usrah lebih berfungsi kepada institusi yang menjaga dan memperingatkan diri. Kira macam recharge diri kita supaya sentiasa ingat Allah dan jangan dok buat tak ketahuan.Selain itu kita menambah ilmu kita yang sedikit ini tentang agama. Alamaakkkk... dah lambat nak pegi usrah... joooommmm

Friday, November 15, 2013

NASIB HARIMAU MALAYA DITENTUKAN MALAM INI..

Malam ini kita bakal menyaksikan pertemuan pusingan kedua Kelayakan Piala Asia 2015 antara Malaysia dan Bahrain yang bakal berlangsung di Manama. Ketika ini Malaysia berada di kedudukan ketiga di belakang Bahrain dan Qatar dengan mengumpul 4 mata. Dalam pusingan pertama kedua-dua pasukan berkongsi mata apabila seri 1-1. 

Malam ini dikhabarkan skuad negara agak tempang dengan kecederaan beberapa tonggak seperti Aidil Zafuan, Amirridwan Taj, Fadhli Shas, S.Kunalan dan beberapa orang lagi. Para peminat tentunya mengharapkan keputusan yang postif pada malam ini dengan sekurang-kurangnya seri. Jadi sama-sama kita doakan agar skuad negara akan beraksi cemerlang malam ini. Jangan lupa menonton aksi mereka di Astro Arena 801 pukul 10.00 malam.

Aksi pusingan pertama

Friday, October 18, 2013

Kalimah Allah: Islam Membenarkan TAPI..

Isu penggunaan kalimah Allah kembali hangat diperkatakan oleh masyarakat Malaysia selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja katolik melalui penerbitan akhbar mereka The Herald. Saya pernah ulas isu ini ketika peringkat awal ianya disebut dalam blog ini. Saya kira keputusan ini melegakan banyak pihak termasuklah diri saya sendiri. 

Penjelasan ilmiah oleh Dr MAZA dalam isu kalimah Allah

ASAS PENENTANGAN
Namun apa yang harus difahami oleh semua orang adalah asas kepada penentangan terhadap permintaan pihak gereja katolik tersebut. Ia ditentang bukan kerana agama Islam melarang penganut lain menggunakan kalimah tersebut tetapi wujud kebimbangan di kalangan penganut Islam terhadap kesan yang bakal timbul ekoran penggunaan kalimah tersebut oleh gereja katolik. Apatah lagi mereka meminta penggunaan kalimah Allah hanya dalam bible atau akhbar terbitan dalam bahasa Melayu sahaja dan bukan dalam bahasa-bahasa lain. Ini menimbulkan rasa syak wasangka seolah-olah pihak gereja katolik punya hidden agenda berupa cubaan menyebarkan agama kristian di kalangan orang Melayu yang sememangnya telah diikat oleh perlembagaan secara definisinya sebagai seorang muslim.

TANGGUNGJAWAB KERAJAAN
Kebimbingan oleh umat Islam inilah yang menjadi asas kepada tindakan kerajaan untuk mewujudkan peraturan tertentu bagi menjaga keharmonian rakyat dan negara. Ia tidak bermaksud menyatakan bahawa kalimah Allah adalah hak ekslusif  umat Islam kerana Allah adalah tuhan sekalian alam. Dalam erti kata lain, Allah dirujuk sebagai Supreme Being  atau Tuhan yang mencipta alam ini dan isinya. Dalam konteks  semenanjung Malaysia, jika isu ini tidak ditangani dengan betul ia boleh mencetuskan konflik yang serius.Ia tidak boleh disamakan dengan situasi atau waqi' di Sabah dan Sarawak yang mana penduduk pribumi mereka ada yang beragama kristian sejak sebelum kerajaan Malaysia wujud lagi. Maka dengan itu adalah penting untuk kerajaan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan pertimbangan dan keutamaan dalam konteks bernegara. 

FAKTOR LINGUISTIK & DASAR AGAMA
Saya melihat pertimbangan yang dibuat kerajaan dalam meletakkan polisi dan peraturan berkaitan isu ini adalah berdasarkan beberapa perkara seperti berikut:
  1. Penggunaan nama Allah dalam konteks agama Kristian bukanlah syarat mendasar bagi menjadikan seseorang itu Kristian atau lebih kristian daripada yang lain. Ini terbukti melalui penggunaan nama-nama lain yang ditulis dalam bible yang digunakan di seluruh dunia seperti Lord, Jesus, God dan lain-lain bagi merujuk kepada supreme being atau tuhan.
  2. Adapun hujah pihak gereja yang mengatakan bahawa Lord atau God dalam bahasa Inggeris bermaksud Allah dalam bahasa Melayu juga tidak boleh diterima kerana terjemahan God dalam bahasa Melayu di Malaysia adalah Tuhan dan bukannya Allah. Kalimah Allah dalam konteks Malaysia adalah kata nama khas yang dirujuk sebagai Tuhan Yang Maha Esa menggunakan takrifan tuhan dalam konteks Islam.
  3. Jika kalimah Allah ini begitu penting bagi umat kristian dan boleh menjejaskan akidah dan pegangan mereka sekiranya ia tidak digunakan maka tentulah pihak Vatican dan gereja katolik seluruh dunia akan mengarahkan selurtuh umat kristian menggunakan kalimah yang sama untuk merujuk kepada The Supreme Being atau Tuhan dalam semua bible, penulisan mahupun upacara-upacara keagamaan mereka. Dalam erti kata lain, Allah bukanlah satu kata nama khusus bagi umat kristian sebagaimana yang digunakan oleh umat Islam. Sebab itulah ianya boleh diganti dengan kalimah-kalimah lain dalam bahasa yang berbeza. Namun bagi umat Islam, mereka konsisten menggunakan kalimah Allah dalam apa jua bahasa.
JANGAN JADI ALAT POLITIK
Saya mengharapkan isu ini tidak dipolitikkan atau dijadikan alat untuk kepentingan pihak tertentu. Kita telah membina negara ini dengan masyarakatnya yang hidup dengan aman dan harmoni biarpun berbeza agama dan bangsa sejak sekian lama. Janganlah kita memperjudikan apa yang kita ada hari ini demi mencapai sesuatu perkara yang belum tentu kesannya akan menjadi baik mahupun buruk.Isu kalimah Allah ini bukanlah isu agama secara teologi tetapi lebih kepada isu pentadbiran dan siasah dalam sesebuah negara.









Thursday, October 17, 2013

KONTROVERSI PERNIKAHAN AERIL ZAFRL DAN WAWA ZAINAL


Saya baru sempat menonton sidang media kontroversi pernikahan Aeril dan Wawa Zainal.Melalui kenyataan yang dibuat saya dapat simpulkan beberapa perkara:
  1.  Pernikahan mereka yang mana cukup syarat sah nikah dengan bverwalikan bapa Wawa sendiri sah dari sudut syariat tetapi tidak sah dari sudut undang-undang kerana tidak mengikut prosedur pihak berkuasa agama seperti soal kursus kahwin, kebenaran bernikah luar mukim, kehadiran jurunikah yang diiktiraf dan sebagainya.
  2. Apabila Wawa mengandung, mereka perlu bernikah sekali lagi mengikut undang-undang dan prosedur yang betul untuk membolehkan pernikahan tersebut didaftarkan sekaligus memastikan anak yang bakal lahir tidak berstatus anak tak sah taraf atau  turut dikenali anak seksyen 13.
  3. Walau bagaimanapun sekiranya anak tersebut lahir kurang daripada tempoh 6 bulan selepas pernikahan kedua didaftarkan maka anak tersebut tetap dikira sebagai anak seksyen 13 sekaligus tidak boleh di"bin"kan kepada nama Aeril sebagaimana yang diinginkan. Namun kalau sebaliknya, takde masalah.
  4. Daripada pengamatan saya, semua ini berpunca daripada percubaan untuk 'mengelak' daripada syarat kontrak Wawa dengan MIG yang menghalang Wawa untuk berkahwin dalam tempoh tertentu namun akhirnya sampai ke tahap boleh menjejaskan status anak yang bakal dilahirkan.

Nasihat saya kepada teman-teman dan diri saya sendiri, sebelum kita buat sesuatu yang di luar kebiasaan, kita harus berfikir panjang akan kesan yang bakal timbul daripada perbuatan kita walaupun niat kita suci dan murni.. :)

Friday, October 11, 2013

RM, Emas atau Makanan?



Ramai yang masih terkejut dengan berita "Government Shutdown" di US yang kita tak pernah terbayang akan berlaku ( Tapi saya rasa lebih ramai yang tak tahu dan tak kisah pun...hehehe). Sebuah negara superpower yang dikatakan kuat dari segala segi akhirnya terpaksa tunduk kepada sistem riba yang menyebabkan hutang negaranya melebihi 4 kali ganda daripada nilai aset. Dalang kepada krisis ini tidak lain dan tidak bukan adalah Federal Reserve Bank yang ramai menganggap ianya bank negara tapi hakikatnya ia adalah bank persendirian milik keluarga Rothschild. Kebetulan saya baru sahaja habis baca buku tentang Rothschild.Alhamdulillah ianya lebih memahamkan saya secara praktikal kenapa Islam sangat memerangi riba.



Di saat dunia yang mungkin dilanda krisis bermula dengan krisis ekonomi dan matawang di US, ramai tokey-tokey dinar emas berkata,"Lihatlah inilah buktinya mengapa kita perlu menyimpan dan melabur emas"..Namun saya lebih berpihak kepada pendapat bahawa dalam keadaan krisis, asset yang paling penting bagi sesebuah negara adalah sumber makanan yang cukup untuk menampung keperluan rakyatnya..

Masa untuk Dinar dan Dirham? No more "Fiat Money"?

Lihat saja perjanjian Camp David.Israel/US meletakkan syarat Mesir tidak boleh mengeluarkan makanan melebihi 30% keperluan negara.Mereka tidak meletakkan syarat Mesir tidak boleh memiliki wang dalam jumlah tertentu tetapi yang dihalang ialah pengeluaran makanan.. Emas atau Fiat Money takkan memberi makna apa-apa apbila tiada "barang" untuk dibeli..Malangnya kita di Malaysia, kerajaan seolah-olah tidak serius memajukan teknologi pertanian utk memastikan ia menampung keperluan makanan dalam negara seperti negara-negara seperti Thailand, Brazil mahupun negara Eropah seperti Belanda. Kita lebih selesa meratakan dusun dan bendang kita untuk projek perumahan dan berbangga memakan beras siam.Adakah kita fikir, Thailand akan dengan rela mengeksport beras ke negara kita di saat mereka juga dilanda krisis nanti? Tidakkah kita mengingati kisah Nabi Yusof A.S apabila Mesir dilanda krisis kemarau yang teruk?

Kalaupun kita memerlukan tanah sawah untuk perumahan, keluasan tertentu perlu
dikekalkan malah kadar pengeluaran perlu ditingkatkan dengan bantuan teknologi 



Thursday, September 26, 2013

Belasungkawa : Al Fatihah buat Tan Sri Azizan Abdul Razak..


Hari ini negara kita telah kehilangan seorang pemimpin yang disenangi kawan dan lawan. Biarpun hanya menjadi MB Kedah selama satu penggal, Almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak telah membawa beberapa pembaharuan dalam pentadbiran beliau. Sikap beliau yang lunak dengan kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional seringkali dikritik namun beliau berpegang kepada perlunya kerjasama yang erat antara kerajaan negeri dan persekutuan demi kebaikan rakyat biarpun berbeza ideologi politik. Beliau cuba bersikap profesional dan membezakan antara tanggungjawab kepada parti dan tanggungjawab kepada rakyat sebagai ketua kerajaan negeri. Ramai mungkin mengatakan sikapnya ini akhirnya memakan diri apabila menyaksikan kerajaan PR Kedah tumbang pada PRU-13. Namun bagi saya itu adalah satu legasi yang patut dicontohi sama ada oleh pimpinan BM mahupun PR.

Sumber photo : Greenboc
Almarhum Ustaz Azizan telah dijemput kembali mengadap Yang Maha Esa pada pukul 11.10 pagi tadi di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. Puluhan ribu jemaah telah menyembahyang jenazah beliau dan ramai kenamaan yang hadir menziarahi jenazah beliau termasuklah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.Jenazah beliau telah dikebumikan di perkarangan Muassasah Darul Ulum selepas solat asar tadi. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau.Al fatihah..

Friday, September 20, 2013

Nasyid @ Persada : Takkan Berpaling Dari-Mu oleh Pedoman 2

Melihat kepada posting sebelum ini, nampaknya dah lebih 3 bulan saya tak menulis sebarang coretan di sini. Nak menulis ni mungkin senang bagi sesetengah orang tapi bagi saya yang hanya menulis secara suka-suka, soal mood dan momentum sangat penting untuk menggerakkan jari jemari manaip apa yang terlintas di benak fikiran. Namun sedar tak sedar, saya dah berjaya menjadi kolumnis di majalah Dara.Com terbitan Karangkraf sejak 2005. Pergh! Lama jugak tu! Sampai saya pun dah tak ingat berapa orang editor wartawan yang bertukar ganti namun alhamdulillah kolum Bro Razin masih bertahan sehingga masuk tahun ke-8.

Inilah dia Pedoman 2
Oklah, sebenarnya bukan pasal babak dunia penulisan saya yang ingin saya kongsikan hari ini. Sebagaimana biasa kalau korang perasan la, setiap kali saya berhenti lama menulis di sini, posting pertama saya selepas itu akan berkisarkan tentang lagu and mostly nasyid of course. Pada era kemuncak kegemilangan irama nasyid kontemporari yakni sekitar penghujung tahun 90-an dan awal millenium, artis-artis pop juga berlumba-lumba menerbitkan album nasyid atau lagu berunsur ketuhanan. Salah satu yang agak melekat dalam ingatan saya adalah kumpulan Pedoman yang dianggotai penyanyi yang popular pada era 80-an iaitu Ebby Saiful, Ahmad Fauzee, Syed Sobrie dan Nasseir Wahab.
Wan Ajaib

Nampaknya tahun ini Pedoman kembali dengan single terbaru mereka berjudul Takkan Berpaling Dari-Mu.Cuma kali ini ada tambahan seorang ahli baru iaitu Dato Shah Reza. Sebenarnya saya mengetahui kewujudan karya baru dari Pedoman yang kini dikenali dengan nama Pedoman 2 secara tidak sengaja. Ketika berjalan bersama isteri mencari dewan di sebuah hotel di Bukit Bintang untuk menghadiri majlis iftar, kami terserempak dengan sahabat lama saya yang kini menjadi penyampai Suria FM iaitu Wan Ajaib. " Nok gi launching Pedoman jugok ko? " tanya Wan Ajaib. " Oh dok, kawe ado majlis lain,"jawab saya. Saya dan Awae ( Wan Ajaib) pernah berkongsi pentas nasyid bersama. Tak silap saya dia pernah menganggotai kumpulan nasyid The Young Muslims. Apapun mendengar single terbaru Pedoman ini seolah-olah membawa kita kembali ke era 80-an. Saya sangat respect penyanyi era itu. Suara mereka memang merdu dan mantap. Tak seperti penyanyi hari ini yang banyk dibantu oleh hardware dan software untuk memerdukan suara.Buktinya anda boleh dengarkan sendiri suara mereka ini yang masih punya aura tersendiri walaupun sudah agak berumur.Selamat menonton!



Saturday, June 15, 2013

Pintu Jihad Telah Dibuka untuk Bumi Syria!

Sebagaimana yang diisytiharkan oleh Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Dr Yusuf Al Qaradhawi baru-baru ini, umat Islam di seluruh dunia berhimpun pada hari ini 14 Jun 2013 sebagai Hari Untuk Syria. Di Kuala Lumpur sendiri Dewan Pemuda PAS Malaysia mengetuai himpunan yang turut disertai NGO Islam seperti ABIM, Muslim Care, Gamis dan lain-lain serta ribuan umat Islam untuk menyatakan bantahan terhadap kekejaman Bashar Al Assad terhadap rakyat sunni Syria. Memorendum yang cuba dihantar kepada Kedutaan Syria walau bagaimanapun enggan diterima oleh pihak kedutaan.Begitulah angkuhnya kerajaan syiah Syria.


Sementara itu di Kaherah, para ulamak Islam sedunia telah berhimpun untuk mencapai satu resolusi yang bakal membawa kepada satu tindakan konkrit untuk membela saudara-saudara kita di Syria. Dalam muktamar itu juga, Dr Sofwat Hijazi turut mengumumkan pembentukan Batalion Jihad Ulamak Ummah yang akan turun ke medan jihad menentang Bashaar Al Asaad serta sekutunya, Esok pula 15 Jun 2013, Presiden Mesir Dr Mohamed Mursi sendiri akan mengetuai himpunan raksasa rakyat Mesir bagi menyokong perjuangan rakyat Syria.Berikut adalah resolusi yang dicapai dalam persidangan atau muktamar khas tersebut.

Muktamar Khas Ulamak Ummah

SOLUSI MUKTAMAR ULAMA' UMMAH

1) Wajib Jihad untuk membantu saudara-saudara kita di Syria. Jihad melalui tubuh badan, kewangan dan menghantar senjata kepada mujahidin. Selain itu, diusahakan setiap cara lain untuk jihad dan bantuan kepada Mujahidin.

2) Apa yang berlaku di Bumi Syam, dari pencerobohan teruk oleh Iran dan Hizbu Syaitan dan rakan-rakan mazhab mereka tindakan "mengisytiharkan perang" terhadap Islam dan setiap negara Islam bukan sahaja Syria.

3) Wajib untuk menyatukan semua negara-negara Islam secara amnya dan menyatukan Mujahidin khasnya. Dan jika mana-mana pihak yang mempunyai pertikaian, kita kembali kepada al-Quran dan Sunnah.

4) Jemaah Ulama Umat Islam meminta negara Barat, Islam, PBB, negara-negara teluk, pakatan islam dan Liga Arab mengambil pendirian yang berani dan jelas terhadap penceroboh mazhab dan perlu membantu Mujahidin secara terbuka dengan semua yang mereka perlukan terutamanya senjata dan wang.

5) Memboikot semua negara yang membantu mereka seperti Rusia, China dan Iran (snake head). Wajib untuk mempunyai sokongan politik dengan melantik Duta dari rakyat Syria yang bersama perjuangan rakyat bukan sama sekali dari puak pembunuh.

6) Wajib kepada semua umat Islam untuk memboikot syarikat-syarikat dan apa-apa sahaja yang manfaat kepada Iran. Ia adalah bagi membalas dendam atas darah kanak-kanak Syria di tangan Iran.

7) Menjemput semua pemikir, penulis, ahli politik dan media untuk memulakan menyokong perjuangan Syria dengan semua cara.

8 ) Mengingatkan tentera Basyar, haram untuk membunuh mereka yang tidak bersalah dan haram untuk menyokong kezaliman alim Bashar. Dan adalah wajib untuk menyertai Mujahidin terhadap kuffar.

9) Mengingatkan PBB akan tanggungjawab Antarabangsa mereka terhadap apa yang berlaku di Syria. Meletakkan segala jenis tekanan ke atas mereka (Hizbu Syaitan dan Iran) kerana mereka mempunyai double standard dan kami mahu mendedahkan mereka kepada seluas-luasnya kepada umat Islam.

10) Membantah tindakan memanggil Mujahidin di Syria sebagai pengganas atau pemberontak daripada mana-mana media Islam. Mereka Mujahidin dan Pejuang Kebebasan. Pada masa yang sama, mereka menutup satu mata tehadap jenayah dahsyat yang dilakukan oleh Iran dan sekutunya.

11) Wajib ke atas semua Badan Bukan Kerajaan dan Organisasi-Organisasi Bantuan Kemanusiaan untuk segera dan bekerja keras untuk membantu Syria. Menyediakan mereka dengan ubat-ubatan dan makanan dan tempat tinggal. Dengan apa jua cara bagi membantu mereka sehingga mereka berjaya menentang musuh mereka.

Khamis 4 Syaaban 1434 Hijrah
Ulama Ummah Muslimin.
Kaherah,
Mesir.

Friday, June 14, 2013

Kembali Kepada Asas

Ketika saat dan ketika artikel ini ditulis, dunia nasyid di Malaysia masih mengalami demam qasidah. Saya boleh katakan lagu nasyid yang paling popular pada masa  ini bukan lagi lagu Maher Zain, Hijjaz, Raihan, Rabbani mahupun Inteam. Tetapi yang menjadi trend sekarang ini adalah lagu-lagu berbentuk Qasidah seperti Ya Hanana.

Berbeza dengan di negara tetangga kita Indonesia, qasidah dikategorikan sebagai salah satu cabang dalam seni nasyid. Sebab itulah sebahagian besar penggerak  qasidah di Malaysia juga adalah di kalangan penggiat nasyid sendiri. Namun di Indonesia sebagaimana yang diceritakan oleh teman-teman penasyid di sana, nasyid dan qasidah bukan sahaja mempunyai penggiat yang berlainan malah peminat mereka juga berbeza. Di Malaysia, seni qasidah dipelopori oleh kelas-kelas pengajian agama dan tarikat termasuk madrasah, maahad tahfiz mahupun pondok-pondok moden. Qasidah juga dikatakan sinonim dengan guru-guru agama atau para habib yang berasal atau mengikuti pengajian di Yaman.

Habib Ali Zainal Abidin bersama Inteam dan Al Mawlid
Bagi saya, perkembangan ini adalah satu perkara yang sangat positif dan membantu memperkasakan lagi industri nasyid tanah air. Satu ketika, saya agak bimbang terhadap perkembangan nasyid tanah air apabila melihat penasyid-penasyid baru terlalu cenderung kepada irama pop, balad, R&B serta irama-irama moden yang lain. Ketika itu kemahiran bertarannum dan qasidah seolah-olah dikesampingkan sebagai pra syarat kepada sesebuah kumpulan nasyid. Saya tidaklah meletakkan syarat agar semua ahli kumpulan nasyid itu mahir berqasidah namun cukup sekurang-kurangnya salah seorang daripada mereka mampu berqasidah dan bertarannum dengan baik biarpun tidak benar-benar mahir.

Antara acara mawlid yang dianjurkan baru-baru ini
Namun dengan ‘kegilaan’ atau peningkatan minat masyarakat Islam di Malaysia setidak-tidaknya memaksa para penasyid untuk mempelajari kemahiran asas dalam berqasidah dan bertarannum untuk membolehkan mereka mengalunkan irama tersebut dalam persembahan-persembahan pentas. Dari dilihat dari sudut pemasaran sekalipun, mereka tidak boleh melawan arus untuk kekal relevan dalam industri nasyid. Mereka perlu menawarkan apa yang dimahukan oleh pasaran. 



Secara kesimpulannya, saya melihat minat fenomena qasidah di Malaysia telah membawa para penasyid terutamanya di kalangan generasi baru untuk kembali kepada asas irama nasyid itu sendiri. Ini akan memperkasakan lagi jatidiri para penasyid yang ada pada hari ini. Memang benar tidak salah untuk penasyid mengalunkan nasyid dalam irama pop, R&B mahupun rock namun asas qasidah dan tarannum perlu ada dalam diri dan jiwa mereka.Sekian.

Tuesday, May 21, 2013

SELATAN THAI: PASARAN BARU NASYID MALAYSIA


Assalamualaikum wbt..
 Kali ini saya ingin kongsikan sedikit tentang perkembangan positif yang berlaku dalam indsutri nasyid tanah air ketika ini. Umum mengetahui bahawa keadaan industi muzik di Malaysia dewasa ini tidaklah begitu menggalakkan. Jualan album dalam bentuk CD tidaklah setinggi dahulu. Namun artis dan penggiat muzik kini lebih bergantung kepada jualan produk dalam bentuk digital seperti caller ringtones, itunes, true tones dan sebagainya. Namun begitu, jualan produk digital bagi lagu-lagu nasyid tidaklah serancak mana tidak seperti lagu-lagu dari artis-artis bukan nasyid. Kebanyakan artis nasyid lebih banyak bergantung kepada persembahan pentas untuk menjana pendapatan. Pada masa yang sama pasaran baru juga perlu diteroka supaya industri nasyid akan lebih kukuh dan teguh dalam mendepani cabaran.

Tour Devotees di Thailand
Alhamdulillah, pasaran baru yang dicari selama ini kini kelihatan sudah ditemui. Selatan Thai atau lebih kita kenali sebagai bumi Patani merupakan sebuah bumi yang sangat subur dan sangat sesuai untuk memasarkan produk-produk nasyid dari Malaysia. Apabila saya maksudkan pasaran baru bukanlah bermaksud nasyid dari Malaysia belum pernah menjengah Selatan Thai sebelum ini kerana sememangnya kumpulan-kumpulan nasyid dari Malaysia sememangnya telah melebarkan sayap mereka ke sana sejak awal kemunculan nasyid konteporari lagi. Cuma penerimaan dan suasana masyarakat di sana lebih kondusif  untuk perkembangan irama nasyid di sana.

Show Inteam dan UNIC di Patani..
Saya difahamkan sebelum ini sebahagian besar anggota masyarakat dan para ahli agama di Selatan Thai mengambil pendapat yang agak “keras” terhadap muzik. Malah para remaja mereka dilarang untuk terlibat dengan aktiviti hiburan dan muzik menyebabkan mereka yang sukakan hiburan mencari jalan keluar dengan menikmati hiburan yang akhirnya melalaikan mereka biarpun mereka asalnya merupakan pelajar dari pondok mahupun madrasah yang sangat menekankan soal agama. Melihat kepada perkembangan yang tidak sihat ini, sebahagian besar ahli agama kini menggunakan pendekatan yang lebih lunak dan terbuka terhadap nasyid. Dengan itu kini kumpulan-kumpulan nasyid tumbuh bagaikan cendawan dan banyak kumpulan nasyid dari selatan thai yang menyanyikan semula lagu-lagu yang dipopularkan oleh kumpulan-kumpulan nasyid dari Malaysia dengan versi mereka sendiri.

Asyik orang lain je.. Mestica bila nak pi Thailand? Hehehe

Kini hampir setiap bulan ada saja kumpulan nasyid Malaysia yang membuat persembahan di sana. Kumpulan nasyid Inteam juga telah menubuhkan syarikat Inteam Records Thailand untuk memasarkan album mereka di sana. Semoga perkembangan yang sihat ini akan membantu mengembangkan lagi irama nasyid ke seantero dunia sekaligus mengukuhkan industry nasyid kita.

Saturday, May 18, 2013

Machang: Parlimen untuk BN, DUN untuk PAS

Selepas balik dari mengundi di Machang, ramai kawan-kawan yang terkejut bagaimana keputusan di Machang boleh jadi macam tu; Ketiga-tiga DUN Pulai Chondong, Kemuning dan Temangan dimenangi PAS tetapi BN berjaya merampas kerusi Parlimen Machang. Berdasarkan pemerhatian dan maklumat yang ada, saya menyimpulkan keadaan ini berlaku kerana faktor-faktor berikut:


Faktor orang tempatan merupakan faktor yang paling kritikal. Memang benar calon Keadilan, Dr Wan Zawawi Wan Ismail dilahirkan di Kedai Labok Machang tetapi dia tidak menetap di Machang. Sebaliknya Calon BN Dato Jazlan Yaakob bukan sahaja anak tempatan tetapi beliau memang menetap di sini. Sebagai Ketua UMNO Bahagian Machang, beliau sememangnya lebih dikenali ramai berbanding Dr Zawawi yang baru saja muncul menjelang penamaan calon. Lebih parah lagi, saya difahamkan Dr Zawawi tak berkesempatan menjelajah ke semua kawasan di Machang.Dato Jazlan pula boleh dikatakan telah 'berkempen' di machang sejak tamatnya pilihanraya yang lepas.
Kedua,Sebahagian orang machang sebenarnya masih berasa 'perit' dan mungkin sedikit 'trauma' dengan kesusahanuntuk bertemu wakil rakyat PKR sebelum ini iatu Dato Saifudin Nasution yang banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur memenuhi tugasannya sebagai Setiausaha Agung PKR. Saya masih ingat sekumpulan anak muda yang tinggal berhampiran rumahnya mengeluh apabila sukar untuk menemuinya. "Toksoh kato nok mitok bola nga jersi, nok jupo dio pun payoh.Tiap kali gi, kalu tok tidur pun dio tak dok di ghumoh.." Kenduri kendara rakyat pun jarang dia kelihatan. Pengundi di kawasan sub urban seperti Machang  memerlukan seorang YB yang sentiasa berada di kawasan.Mereka ni suka 'bermanja' dengan YB-YB mereka. Kadang-kadang bukan sebab nak duit atau bantuan sangat namun cukup sekadar YB bertanya khabar dan hadir di majlis-majlis mereka.


Pendekatan kempen "Parlimen ko Barisan, DUN ko Pas" yang digunakan sebahagian jentera UMNO juga memberi kesan. "Parlimen bui ko ambo la, mudoh ambo nok wak kelik projek persekutuan. Kalu Parlimen bui ko BN pun, kerajaan negeri Tok Guru jugok pegey,," Kata-kata sebegini 'memakan' pengundi juga. Ini bukan kali pertama pengundi Machang membuat pemilihan sebegini. PRU11 pun keputusannya sama.Cuma harapnya biarlah Dato Jazlan benar-benar bawak balik projek ke sini. Jangan jadi macam wakil rakyat BN 2004 dulu.Alhamdulillah Machang dah ada UiTM yang sedikit sebanyak merancakkan pertumbuhan ekonomi di sini. Kalau boleh Dato Lan tolong usahakan agar projek pembinaan Universiti Lim Kok Wing dan Kolej Universiti Twintech benar-benar direalisasikan. Kedua-dua projek ini rasanya memerlukan kerjasama kedua-dua pihak baik kerajaan negeri mahupun persekutuan. Mohon juga Dato Jazlan tolong guna network yang ada khususnya di MAIK untuk membantu menggerakkan projek pembesaran Kompleks Masjid Sultan Yahya Petra yang turut melibatkan pembinaan Maahad Tahfiz. Projek ni dah bertahun tertangguh.Pengambilan tanah pun tak settle-settle lagi. Kalau tak keberatan, silalah Dato jenguk AJK masjid Machang nanti ye..

Masjid Sultan Yahya Petra
Jadi kalau PKR memang nak menang di Machang silalah 'groom' bakal calon anda dari sekarang. Gerak kerja hendaklah dimulakan dari sekarang dan bukan main letak je menjelang PRU akan datang. Di Machang, "candidate really matters". PAS sendiri pun hakikatnya tidaklah terlalu kuat di Machang. Namun sejak dulu, saya kira UMNO pun tidak serius meletakkan calon yang benar-benar berkaliber di peringkat DUN.Isu dan rasa tak puas hati bukannya tiada langsung terhadap sesetengah ADUN Pas tetapi rakyat tidak ada alternatif yang lebih baik untuk memilih. Apatah lagi, pimpinan PAS di peringkat negeri ada yang cuba memilih 'anok beranok' masing-masing menjadi calon seperti yang berlaku di DUN Kemuning baru-baru ini. Nasib baik mereka akhirnya akur dengan bantahan akar umbi. Saya sendiri pun hairan mengapa Ustaz Pi yang punya reputasi yang sangat baik di Machang itu digugurkan. 

Sebagai anak jati Machang, saya mengaharapkan agar wakil-wakil rakyat yang terpilih dapat menjalankan amanah dengan penuh dedikasi. Ketepikanlah perbezaan politik anda dan lakukanlah tanggungjawab secara professional demi kami rakyat Machang. Kami mahu melihat Machang yang lebih maju dan sejahtera.

Thursday, May 16, 2013

Kabinet Pasca PRU13: KJ Akhirnya Tersenarai

Selepas PRU 2008, YB Khairy Jamaludin atau KJ seolah-olah dipinggirkan oleh Dato Seri Najib biarpun dia memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO. Sebaliknya lawannya yang tewas dalam perebutan jawatan tersebut iaitu YB Dato Mukhriz Mahathir pula yang tersenarai sebagai Timbalan Menteri MITI. Tidaklah sukar untuk kita menilai mengapakan senario tersebut berlaku. Reputasi KJ ketika itu agak buruk dengan pelbagai tuduhan biarpun tidak pernah mampu dibuktikan melalui proses undang-undang. Sebagai menantu kepada Perdana Menteri sebelum itu, KJ dilihat terlalu berkuasa dan mempengaruhi banyak keputusan-keputusan penting kerajaan.Tun Mahathir antara tokoh yang sangat marah dan dilihat benci dengan geng tingkat 4 JPM ketika itu.Walaupun tidak terpilih menyertai kabinet pasca 2008, KJ tetap menunjukkan kesetiaannya kepada UMNO dan menjalankan tugasnya sebagai Ketua Pemuda. Kesabarannya terbalas nampaknya hari ini apabila beliau akhirnya diberi kepercayaan oleh Dato Seri Najib untuk mengepalai Kementerian Belia dan Sukan.

Dengan pendekatan dan penampilan beliau yang agak mesra remaja, saya melihat pemilihan KJ mampu sedikit sebanyak menambah sokongan anak-anak muda. Beliau dilihat pandai mengambil hati anak muda dengan pelbagai strategi. Sebagai contoh program realiti bolsepak MyTeam yang dihasilkan oleh beliau dan rakan-rakannya seperti Jason Lo, Bojan Hodak dan Tony Fernandes berjaya menaikkan imej beliau sebagai seorang yang serius dan gigih dalam menaikkan imej bola sepak negara sehinggalah ke hari ini. Biarpun tidak berjaya mengubah FAM selepas diangkat sebagai Timbalan Presiden, KJ tetap tidak dipersalahkan oleh para peminat bolasepak tanah air sebaliknya yang menjadi mangsa kutukan bos beliau. Kita boleh melihat dalam page-page bola popular di facebook, ramai peminat yang mengharapkan beliau mengetuai KBS dengan harapan beliau akan mampu mengangkat bolasepak negara ke tahap yang lebih tinggi.

KJ sebagai pemandu teksi dalam filem pendek

Imej beliau yang bersahaja dan tidak kekok untuk berlakon dalam projek filem pendek 15Malaysia satu ketika dulu contohnya memperlihatkan beliau seorang yang "cool dan sempoi" di kalangan anak muda.Dia berjaya membuang imej mat skema yang hanya memakai songkok tinggi dan berkemeja yang sebelumnya sinonim dengan ketua-ketua pemuda UMNO sebelumnya. Dalam erti kata lain, beliau berjaya 'blend in' dengan 'environment' anak muda yang dipimpinnya.

KJ terserempak dengan Dato Wan Abd Rahim di Manik Urai

Bagi saya beliau juga boleh dikategorikan sebagai generasi pemimpin UMNO yang punya pendekatan dan pandangan baru dalam berpolitik.KJ boleh diletakkan satu bakul denganKu Li, Dato Saifudin Abdullah, Dato Razali Ibrahim mahupun Dato Sahlan Ismail dari sudut idea dan pendekatan. Mereka ini berjaya mengurangkan elemen emosi dan lebih menggunakan hujah yang berasaskan fakta yang bersifat lebih akademik dalam menangani sesuatu isu. Keberanian mereka mengeluarkan idea yang berbeza dengan parti mereka ada kalanya dilihat merugikan UMNO sendiri. Namun bagi saya, untuk UMNO menjadi lebih dinamik dan  relevan, pemimpin-pemimpin sebegini harus lebih ramai dalam UMNO.

Akhir kata selamat berjaya diucapkan kepada YB KJ dan semua anggota kabinet yang terpilih kali ini. Jalankanlah tanggungjawab anda dengan penuh amanah.Teringat pula kata-kata guru saya satu ketika dulu, "Leadershp is about action and not position"..

Tuesday, May 14, 2013

Tak Tahu Nak Mula Kat Mana

Lama sungguh aku biarkan blog ni terbiar. Kalaulah ianya sebuah kebun, tentulah ianya dah penuh dengan semak samun. Kalau ianya sawah, tentunya dah ditumbuhi lalang. Tengok la bila tarikh posting terakhir aku sebelum ini.Dan terlalu banyak perkara yang berlaku dalam tempoh itu..Status pun dah lain..hehe.. Insya Allah aku akan kembali aktif menulis selepas ini..Ia adalah sebahagian daripada minat aku selain daripada nyanyian dan muzik. Semoga perkongsian idea dan pandangan aku di sini akan sedikit sebanyak membawa manfaat buat semua.. biiznillah.. :)

Dulu Lain, Sekarang Lain, Dahulu Bujang Sekarang dah Kawin :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...