Monday, November 23, 2009

Pertemuan dengan Opick

SIDANG MEDIA
Buat pertama kalinya aku berpeluang bertentang mata dengan penyanyi lagu religi atau nasyid yang begitu terkenal di Indonesia, Opick. Aku dijemput ke sidang media pihak penganjur Konsert Amal Opick untuk mengumpul dana bagi Solat Center yang dikelolakan oleh Muslim Care. Apabila aku melangkah masuk ke dalam bilik sidang media tersebut, terus bersalaman dengan semua hadirin yang dianggar sekitar 40 orang tapi aku tak perasan mana satu opick. Maklumlah first time jumpa.Aku duduk di meja bersama Fairus (PR Inteam), Fazli Far East, Bali (NC) dan kami kemudiannya disertai oleh DJ Erwan IKIM.fm dan Liza (Pro Event).

Antara wartawan dan artis yang hadir

Apabila majlis bermula barulah aku perasan. Mamat yang aku tengok dari belakang macam Nazrey Johani tulah rupa-rupanya Opick. Aku memang benar-benar tertipu, masa aku nak bersalaman dengannya tadi aku mati-mati ingat Abg Nazrey, sekali bila tengok muka orang lain. Sorrylah Mas Opick, kalau enta terbaca blog ni. Memang ana tak cam waktu tu.hehehe..

Opick dan Akhil berbicara

Selepas ucapan daripada wakil Muslim Care dan Bro Mahadi selaku Presiden PIN, majlis diteruskan dengan sesi sembang bicara yang dikendalikan oleh Bro Mahadi dan panelnya terdiri daripada Ustaz Akhil Hayy dan Opick sendiri. Aku kagum bila mendengar Opick berbicara dan bercerita tentang proses transisi dirinya daripada seorang penyanyi band rock kepada seorang penyanyi lagu-lagu dakwah. Dia juga menceritakan bagaimana kerbergantungannya kepada Allah dalam menghasilkan karya. Aku terdiam seketika..Aku terfikir mungkin sudah terlalu lama aku dan mungkin juga ramai munsyid lain di Malaysia semakin terlupa dengan aspek persediaan spiritual sebelum berkarya seperti pengekalan wuduk ketika recording, mengadap kiblat ketika merakamkan lagu, berdoa dan melakukan solat hajat sebelum memulakan proses rakaman dan sebagainya.. Aku dengan rendah diri akui, memang perkara-perkara sebegini telah lama terabai. Mungkin sebab itulah sekarang ni agak sukar untuk mendapat satu lagu nasyid yang punya roh dan mampu menyentuh jiwa pendengarnya. Terima kasih Opick kerana mengingatkan aku kembali..

Bersama Bro Mahadi dan Opick

KONSERT

Pada malam keesokannya yakni Ahad, aku hadir ke konsert tersebut walaupun sedikit terlewat. Selain berhibur, aku nak tengok approach yang digunakan Opick dalam persembahannya. Apa yang aku lihat, gayanya nyata bersahaja dan mampu menarik minat penonton tanpa perlu berjenaka di pentas. Pengisiannya dalam bicaranya agak padat dan Opick telah menyanyikan 10 lagu dalam konsert itu. Penampilannya dengan berserban, baju melayu moden dan berkain pelekat serba putih tetap kemas dan kelihatan segak. Aku rasa first time aku tengok artis berkain pelekat menyanyi di pentas. Artis lain yang turut membuat persembahan ialah Inteam, Akhil Hayy, Castury dan Pak Abu yang memimpin Solat Center Jakarta. Yang turut mencuri tumpuan ialah Leya Az Zahra yang berduet dengan Opick dalam beberapa lagu. Aku mulanya hairan tapi selepas aku tanya Leya sendiri, rupanya Leya dah lama kenal Opick. Sebab tulah Opick selamba je ajak dia nyanyi sekali.

Opick beraksi

Selepas show selesai aku ke tempat jamuan bersama DJ Erwan, DJ Maslina dan Leya. Kami lepak di meja yang sama yang kemudiannya disertai oleh Ummu Hani dan kawannya yang aku tak tempat berkenalan. Mereka ni dari Majalah Anis. Tak lama selepas itu, Opick turut bersama di meja kami. Geng majalah Anis terus tak melepaskan peluang untuk menemuramah Opick.Antara isi penting temuramah tu yang aku ingat ialah Opick ditanya apa pandangan beliau tentang artis nasyid atau penyanyi lagu dakwah yang tidak berpakaian dengan imej islamik. Jawap Opick, hal itu tidak ada masalah baginya cuma beliau khuatir jika mereka punya perasaan malu untuk tampil dengan imej Islam dan imej yang bersesuaian sebagai seorang muslim.

Cuba teka, yang mana satu Waheeda? (sorry gabar tak elok)

Sebelum pulang aku sempat bergambar dengan Opick serta Akhil Hayy dan Waheeda yang duduk di meja sebelah. Opick khabarnya akan berkunjung semula ke Malaysia pada Februari nanti. Harapnya aku dapat bertemu lagi dengannya.Bagi yang baru nak kenal Opick, sila saksikan videoklip yang aku titipkan khas untuk korang semua. Layan..

Sunday, November 22, 2009

Nasyid @ Persada: Ibu by Alveoli

Kali pertama terdengar lagu ni jumaat lepas bila Rahman pasang kat PC dia di office Nasyeed.Com. Pastu aku suh dia hantar file kat skype dan sampailah sekarang aku dok ulang dengar sampai lebam.hehe.. Lagu ni aku suka sebab instrumentasinya yang mendamaikan dan subjek utama liriknya yang menceritakan tentang pengorbanan seorang ibu. Lagu ini punya pengaruh muzik hindustan yang agak kuat. Tapi nasih dikategorikan sebagai pop. Secara jujurnya, aku tak pernah dengar nama grup Alveoli ni. Mungkin teman-teman dari tanah sebarang boleh bagi maklumat tentang Alveoli. Apapun yang penting lagu ni bagi aku memang best. So jom layan sama-sama.. huhu


Friday, November 20, 2009

Hari Tanpa Politik

Hmm.. aku rasa nak berhenti sekejap menulis hal-hal politik dan benda-benda berat kat blog ni. Nak menulis benda benda 'berat' ni memerlukan aku untuk membuat semakan fakta dan kajian ringkas sebelum mengulas. Aku cuba berhati-hati sebaik mungkin supaya fakta-fakta yang aku tulis tu tepat dan tidak menyimpang sekaligus mengelakkan fitnah berlaku. Dan kenkadang tu, research dan semakan fakta ini mengambil masa dan menyebabkan posting aku tertangguh. Otak aku pun secara tidak langsung menjadi penat ditambah pula dengan komitmen yang perlu aku sempurnakan di pejabat.

Dari Politik Ke Lipstik

So lepas ni mungkin penulisan aku lebih tertumpu kepada subjek yang
agak ringan yang tak memerlukan aku 'bekerja lebih'.Kini aku tahu, sebab apa tak semua orang yang boleh jadi penulis dan yang jelas aku pun nampaknya masih belum mampu untuk bergelar penulis. Apapun bidang penulisan ni minat cuma belum mampu untuk ke tahap yang lebih tinggi kot. Buat masa ni aku hanya punya kolum khusus di majalah bulanan Dara.Com terbitan Karangkraf. Basically kat situ aku banyak menulis tentang nasyid. Terima kasih kepada Dara.Com kerana memberi ruang dan peluang untuk aku. Satu lagi tempat untuk aku mengasah bakat menulis ialah di blog ini.Cuma bagi teman-teman yang dah lama mengikuti blog ni mungkin menganggap blog aku ni sedikit cacamerba sebab topiknya yang pelbagai. Sekejap aku tulis pasal nasyid, kejap politik, kejap sukan, kejap isu semasa, dan macam-macam lagi. Actually itulah aku. Aku punya minat yang pelbagai.Aku mungkin boleh berbicara dari politik sampailah ke lipstik.hehehe...

Tak Takut Ke?

Baru-baru ni aku ada terima mesej kat facebook daripada seorang kenalan. Katanya, "salam,cayalah bro razin....main politik...x tkut ke kalau populariti turun nnti....tp ape yg bro razin ckap 2 sy skong 100%..." Bagi aku, takde apa yang perlu dibimbangkan. Insya Allah aku
rasa apa yang aku tulis setakat ini adalah berdasarkan fakta dan maklumat yang tepat. Dan ulasan aku pun tidaklah bersifat bias kepada mana-mana pihak dan datang daripada pandangan yang jujur. Aku memang meminati bidang politik ni sejak di sekolah rendah. Ketika itu Parti Melayu Semangat 46 baru saja ditubuhkan dan pada pilihanraya tahun 1990 aku mengambil kesempatan untuk mengumpul lencana parti politik yang bertanding seperti BN, Umno, Semangat 46, Hamim, Berjasa, PAS dan sebagainya. Sampaikan aku ditegur oleh cikgu kerana meletakkan lencana-lencana pada topi yang selalu aku bawa ke sekolah. Masa tukan masih budak, mana la aku tahu sekolah ni zon larangan politik.hehehe

Teman-teman di UiTM: Sebahagian mereka kini aktif dalam politik

Sampai hari ini aku belum pernah mengisi borang mana-mana parti politik secara rasmi. Dan aku lebih suka kekal begini kerana dengan demikian aku lebih bebas mengeluarkan pandangan dan analisis tanpa prejudis. Namun pada masa yang sama aku tetap punya teman-teman yang tak kurang banyaknya baik dalam Pemuda UMNO mahupun PAS. Dah banyak kali juga mereka mengajak aku untuk aktif dalam politik tapi aku menolak. Dulu memang aku pernah memasang cita-cita untuk menjadi orang nombor wahid di Malaysia ni tapi semakin dalam aku mengenali politikdi Malaysia semakin hilang daya tarikan untuk aku menyertainya. Lagipun politik bukanlah segala-galanya. Ia hanyalah satu cabang dalam kehidupan kita di dunia. Banyak lagi cabang lain yang kita boleh terokai untuk membolehkan kita mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat.Betul tak?

Wednesday, November 18, 2009

Nik Aziz, SPRM dan Pengerusi Pakatan Rakyat

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Baru-baru ini Malaysia gempar dengan berita Tok Guru Nik Aziz akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini hasil tajaan pihak tertentu dengan pakej VIP yang bernilai RM65 ribu. Musuh-musuh politik beliau mendesak agar SPRM supaya menyiasat tajaan tersebut kerana didakwa mempunyai unsur rasuah. Pada masa yang sama Nik Aziz juga dituduh menyalah gunakan kuasa apabila melantik menantunya Ir Abdul Ariffahmi Ab Rahman sebagai Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Nama Tok Guru Nik Aziz terus panas apabila bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Zaid Ibrahim yang kini menyertai PKR telah mencadangkan agar TGNA diangkat sebagai Pengerusi Pakatan Rakyat sekaligus bertindak sebagai spiritual leader bagi PR.

Bolehkah Haji Ditaja?
Dari sudut hukum, tidak ada masalah untuk seseorang menunaikan haji atas pembiayaan individu lain asalkan sumber wang itu halal dan ianya tidak mempunyai unsur rasuah. Dalam kes TGNA ni, secara jujurnya aku pun tak tahu sama ada ianya punya unsur rasuah atau tidak. Namun trend orang kaya bagi duit atau kesenangan pada golongan alim ulama bukanlah sesuatu yang pelik malah aku rasa benda-benda macam ni 'makmur' di Kelantan dan mungkin juga di tempat-tempat lain. Ramai orang yang suka menyumbang kepada golongan alim ulamak dengan harapan mereka turut mendapat tempias pahala secara jariah atas bantuan yang diberikan. Aku kalau ada duit, bukan setakat haji, semua benda yang golongan ulamak nak, aku sponsor. Tapi oleh kerana aku masih belum punya kemampuan itu, so aku tolong manayang dapat jela. Zaman dulu pun kita tengok, masyarakat melayu memang menghormati golongan alim ulamak. Sampai berebut nak bagi anak perempuan untuk dikahwinkan dengan mereka.

TGNA gigih mentadbir Kelantan sejak 19 tahun lalu

Dalam kes TGNA ni yang menjadi persoalan ialah kapasiti TGNA sebagai Menteri Besar Kelantan. Dikhuatiri orang yang nak menaja beliau ini punya udang disebalik batu. Dalam bahasa yang mudah, dia taja TGNA dan mengharapkan satu masa nanti TGNA bagi projek kat dia. Namun bagi aku TGNA telah berjaya menjaga integriti beliau sepanjang 19 tahun memerintah Kelantan. Secara faktanya, belum ada satupun kes rasuah yang melibatkan beliau malah kerajaan PAS seluruhnya berjaya dibuktikan. Yang ada cuma tuduhan dan cerita-cerita yang dibuat oleh musuh-musuh politik beliau. Kita sama-sama boleh tanya BPR atau kini SPRM untuk mengesahkan perkara ini. Cuma tak tahulah kot-kot masuk tahun ke 20 ni penyakit rasuah dah mula menjangkiti TGNA dan Kerajaan PAS Kelantan.

Menantu jadi COO?

COO PMBK (Berbaju putih)

Pelantikan Ir Ariffahmi yang merupakan menantu TGNA sebagai Ketua Pegawai Operasi PMBK (Perbadanan Menteri Besar Kelantan) turut menimbulkan kontroversi apabila ia dikaitkan dengan unsur nepotisme. Bagi aku secara peribadi, nak lantik ahli keluarga tak salah asalkan yang dilantik itu memang berkelayakan dan bukan dilantik atas sebab hubungan keluarga semata-mata. Dari sudut logik pun, kita mungkin lebih senang bekerja dengan orang yang kita dah tahu peel perangainya berbanding seorang 'stranger'. Walau apapun masih ada risiko berlaku conflict of interest di situ dan sebab itulah nepotisme dilihat sebagai "morally wrong" walaupun sah dari sudut perundangan.

Kickdefella, orang yang "meletupkan" isu PMBK

Isu Ariffahmi ni menjadi panas apabila blogger kickdefella telah mendedahkan kepincangan-kepincangan yang berlaku dalam PMBK yang turut dikaitkan dengan COOnya sehingga SPRM mula membuka kertas siasatan. Apa yang menarik pendedahan ini dilakukan oleh kickdefella yang merupakan blogger yang punya hubungan rapat dengan Dato Husam Musa (Exco Kanan Kerajaan Kelantan) yang dikatakan orang yang turut bertanggungjawab mencadangkan nama Ariffahmi pada peringkat awal untuk dilantik sebagai COO PMBK. Jadi ada suara-suara nakal yang mepersoalkan tindakan Husam yang agak berdiam diri apabila dua kenalan rapatnya ini bertelagah. Malah ada yang menganggap ia mungkin juga satu bentuk serangan Husam kepada TGNA secara tidak langsung untuk memaksa TGNA mengundur diri sekaligus memberi laluan kepadanya untuk memimpin kerajaan Kelantan.Namun secara lagiknya teori tersebut agak mustahil kerana mana mungkin Husam sanggup menyerang gurunya sendiri?Tapi tu la.. dalam politik, apa saja pun boleh berlaku. Berita terkini yang tersebar ialah Ariffahmi telahpun diminta untuk meletak jawatan oleh TGNA sendiri namun dia menolak dan lari ke kuala lumpur. Sejauh mana kebenaran berita ini, aku pun tak tahu.

TGNA Sebagai Pengerusi Pakatan Rakyat?

Zaib, Anwar dan Tok Guru

Selain itu, cadangan Dato' Zaid Ibrahim untuk melantik TGNA sebagai Pengerusi Pakatan Rakyat yang turut bertindak sebagai Spiritual Leader bagi PR turut menimbulkan pelbagai reaksi. TGNA akan bertindak sebagai orang yang memastikan dasar dan halatuju PR tidak terpesong daripada apa yang dipersetujui bersama oleh semua parti komponen. Yang lebih penting, Pengerusi PR tidak akan berada di dalam kerajaan tapi sebaliknya memantau dari luar sebagaimana yang dipraktikkan di Britain yang mana Pengerusi Parti Buruh tidak menjadi ketua kerajaan akan tetapi akan bertindak sebagai De Facto leader untuk parti. Pendukung-pendukung Anwar Ibrahim kurang senang dengan cadangan Zaid kerana dianggap sebagai tidak menghormati Anwar Ibrahim sebagai pemimpin utama PR. Bagi aku cadangan Zaid amat baik kerana TGNA merupakan seorang tokoh yang sangat berpengaruh dalam PR malah dihormati kawan dan lawan. Dia juga sering menjadi rujukan kepada pimpinan PR untuk diambil pandangan apabila timbul sesuatu isu. Ini jelas menunjukkan sekarang ni pun, TGNA sudah berperanan sebagai Spiritual Leader PR secara tak rasmi. Jadi takde salahnya untuk make it official kan?




Sunday, November 8, 2009

Sanjungi Ulama, Hormati Undang-Undang

Apabila mantan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin ditahan penguatkuasa JAIS baru-baru ini maka gemparlah seluruh negara dengan pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak. Ada yang menentang dan tak kurang juga yang menyokong. Daripada pemimpin PR sampailah Perdana Menteri, semua bagi komen. Aku melihat dua-dua pihak ada silapnya. Aku memang meminati juga corak pemikiran revolusioner Dr Asri dalam mengulas sesuatu isu. Namun tak semua pendapat dia tu aku terima. Aku juga pernah bekerjasama dengan Dr Asri khususnya dalam pembikinan Album kumpulan Algebra yang menyanyikan puisi-puisi nukilan beliau. So sedikit sebanyak aku tahu peel perangai insan yang bernama Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Berbeza Pendapat

Aku ni tak suka merujuk pada hanya seorang guru.Walaupun aku selalu tengok ceramah Dr Asri kat Youtube, aku juga menonton ulamak-ulamak yang mungkin berbeza pandangan dengannya seperti Sheikh Nuruddin Al Banjari, Dato Harussani (Mufti Perak) mahupun Ustaz Rasul Dahri. Tapi Rasul Dahri ni aku dah tolak tepi dah. Malah aku juga pernah menonton bagaimana Dr Asri berhempas pulas berhujah dengan Dr Aziz Hanafi. Sepertimana Astora Jabat 'pening' nak berdebat dengan beliau dalam satu majlis dulu, begitu jugalah Dr Asri 'berpeluh' berhadapan dengan Dr Aziz. Muzakarah sebegitu memang bagus, bukanlah kita nak mencari siapa betul atau siapa salah tetapi yang lebih penting kita menggalakkan percambahan pemikiran dan ilmu. Selagi ia tidak menjejaskan akidah, maka tidak salah untuk kita bersetuju untuk tidak bersetuju antara satu sama lain

Kontroversi Tangkapan

Penangkapan Dr Asri menimbulkan pelbagai persoalan. Penggunaan terlalu ramai anggota polis dan pengiatkuasa JAIS yang terlalu ramai dilihat keterlaluan. Ia seolah-olah operasi untuk menangkap seorang penjenayah yang berbahaya. Kemudian Dr Asri telah dibawa ke balai polis untuk di ambil keterangan dan diminta hadir ke Mahkamah Syariah Gombak pukul 8 pagi keesokannya. Namun setelah 3 jam menunggu pendakwa, akhirnya Dr Asri dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan. Ini adalah satu perkara yang sangat mendukacitakan kerana seolah-olah JAIS main tangkap je tanpa memastikan kesalahan yang telah dilakukan Dr Asri. Dato Kushrin Munawi dalam sidang media selepas itu menyatakan penangkapan Dr Asri telah lama dirancang ekoran kesalahannya mengajar tanpa tauliah. Namun yang peliknya, jika benar kesalahan beliau telah lama dikenal pasti mengapa kertas pendakwaan gagal disediakan sebagaimana yang sepatutnya? Perkara ini benar-benar telah menjejaskan kredibiliti JAIS sendiri sehinggakan ada yang mendakwa JAIS menjadi alat kepada konspirasi pihak tertentu.

Mengajar Tanpa Tauliah

Secara jujurnya aku amat bersetuju dengan undang-undang yang melarang individu mengajar agama tanpa tauliah JAIS ni. Perkara ini amat penting demi mengelak daripada individu tidak bertanggungjawab menyebarkan ajaran atau fahaman yang salah kepada masyarakat. Namun dalam kes Dr Asri ni, untuk kita mengatakan dia tidak punya kelayakan dalam bidang agama adalah tidak masuk akal atas kapasitinya sebagai mantan Mufti Perlis dan pensyarah USM. Malah dia punya rancangan agamanya sendiri yang disiarkan di Astro Oasis dan kepakarannya dalam bidang agama memang diiktiraf masyarakat umum. Cuma yang Dr Asri tiada ialah tauliah daripada JAIS. Sebagaimana orang agama lebih elok jika kedua-dua pihak dapat berunding untuk menyelesaikan masalah ini. Apa salahnya jika Dr Asri merendah diri dan memohon tauliah daripada pihak JAIS sekaligus boleh mengelakkan kejadian memalukan ini berlaku. Dengan mengikut prosedur sebagaimana yang diminta, maruah beliau tak jatuh sikit pun malah akan lebih dihormati dan disegani. Tak tahulah, kot-kot Dr Asri pernah mohon tapi JAIS tak luluskan. Pada pandangan orang biasa macam aku ni, takde sebab pun permohonan Dr Asri tak diluluskan JAIS.

Wahabi Faktor Utama?

Aku ade dengar-dengar citer daripada sumber tertentu, Dr Asri ni memang tak ngam ngan banyak Mufti sewaktu dia menjadi Mufti Perlis dulu. Ini kerana dia sering mempunyai pendapat yang berbeza dan dilihat mengembangkan fahaman Wahabi ke dalam negara kita. To be frank, sampai sekarang pun aku masih belum jelas apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Wahabi ni. Tapi geng yang dipanggil Wahabi ni lebih senang jika diri mereka dikategorikan sebagai kelompok Salafi yakni orang-orang yang mengamalkan sunnah secara menyeluruh dan menolak bidaah. Selalunya yang menjadi pertikaian antara kelompok salafi dan orang biasa macam aku ni ialah dari sudut isu-isu macam doa qunut, doa lepas solat, zikir, tahlil arwah, baca yasin pada malam jumaat dan sebagainya yang pada aku hanyalah soal furuq yang tak perlu diperbesarkan. Kalau korang tak nak buat takpelah, tapi janganlah sampai halang atau menuduh yang bukan-bukan terhadap kami yang dok buat semua tu. Dalam kalangan penasyid sendiri pun memang ada yang secara terbuka yang mengaku mereka berfahaman salafi dan aku takde masalah langsung dengan mereka. Setakat yang aku tengok pertikaian yang timbul bukanlah isu pokok yang boleh menjejaskan akidah malah yang lebih penting baik dinamakan salafi ataupun wahabi, mereka masih tergolong dalam dokrin ahlus sunnah wal jamaah. Apatah lagi tiada satupun negeri di Malaysia yang menfatwakan fahaman wahabi atau salafi itu sebagai sesat. Yang perlu kita tentang habis-habisan adalah penyebaran fahaman syiah yang sememangnya telah difatwakan sesat di negara kita. Pendukung-pendukung syiah dikatakan sedang galak mengembangkan pengaruh di kampus-kampus sama ada di kalangan pelajar mahupun pensyarah.Ini yang harus diberi lebih perhatian oleh pihak berkuasa agama kita!

Selesaikanlah Secara Elok

Aku harap kemelut yang berlaku ini dapat diselesaikan secara baik. Damage has been done. Imej kedua-dua pihak baik JAIS mahupun Dr Asri telah tercalar. Malah yang lebih menyedihkan, imej agama Islam sendiri turut terjejas. Berbincanglah dengan baik supaya kami yang orang biasa ni pun, tak pening kepala.Dua-dua pihak ada authority dalam bidang agama. Yang mana satu kami nak ikut??

Saturday, November 7, 2009

Red Warriors Tersungkur!

Dah lama aku tak menulis kat blog ni sebab kekangan masa. Banyak keje kat office yang aku kena settlekan. Tambah pulak sekarang ni aku selalu outstation untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat sebagai persediaan bagi Bintang Nasyid Mu'min 2010. Namun nampaknya aksi perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan N.Sembilan akhirnya memberi aku momentum baru untuk menulis. Aku pada mulanya nak ke stadium tapi aku tak dapat tiket. Lagipun aku dapat rasa yang nasib tak akan menyebelahi kelantan kali ini. So aku tak begitu ghairah untuk ke stadium. Bukan tak nak tengok kekalahan, tapi aku malas nak menghadapi sikap segelintir penyokong bolasepak yang akan bertindak liar apabila keputusan tidak berpihak kepada mereka.

Minda Kelas Ketiga
Apa yang berlaku di Bukit Jalil td menjadi bukti. Kerusi stadium dibakar, jurukamera RTM pun kena baling sampai berjahit kat kepala. Apa punya mentaliti nih? Itu tak dicampur lagi kemungkinan-kemungkinan insiden di luar stadium yang mungkin berlaku seperti pergaduhan dan vandalisme. Aku masih ingat insiden pergaduhan penyokong kelantan dengan penyokong Selangor yang berlaku di depan mata aku. Khabarnya pergaduhan terbawak-bawak dari perkarangan Stadium Shah Alam sehinggalah ke restoran mamak seksyen 7. Kalau macam nilah caranya, baik tak yah datang stadium. Orang datang nak happy-happy tengok bola. Bukannya bergaduh! Kalah menang adat pertandingan. Takyah la nak emo sangat!

Depan TV Je Tahun Ni
Aku balik awal hari ni dan terus tercongok depan TV lepas Maghrib. Sementara tunggu siaran langsung, aku layan Sinchan dan Doraemon, dua kartun yang jadi kegemaran aku sejak sekian lama. Then tengok berita kat TV1 yang banyak berkisar tentang krisis kepimpinan parti-parti politik kat Malaysia dan juga berita banjir yang dah mula melanda pantai timur. Akhirnya siaran langsung pun bermula tepat pukul 8.40 malam. Mulanya aku sedikit bengang dengan pengulas kat studio sebab dia boleh pulak tak kenal Pemangku Raja Kelantan. Dia cuma sebut Yang Dipertuan Besar N.Sembilan je, padahal Tengku Mahkota Kelantan ada jugak kat situ. Nasib baiklah Hasbullah Awang tak melakukan kesilapan yang sama ketika mengulas dari stadium.


Kelantan Serba Tak Menjadi
Apabila melihat pada kesebelasan utama Kelantan, aku agak terkejut bila ada nama Norhisham Hassan. Sepanjang pengamatan aku, dia ni tak pernah pun dapat 1st eleven malah prestasi dia sepanjang Piala Malaysia pun tidaklah bagus. Posisi Atacking Miedfielder yang diisinya itu selalunya milik Che Hishamudin Hassan. Aku pun tak pasti apa muslihat Sathianathan. Yang pastinya sepanjang separuh masa pertama dia tidak memberi impak bermakna kepada pasukan.Barisan pertahanan Kelantan pada malam ini gagal bermain dengan baik. Banyak kesilapan mudah yang dilakukan yang memudahkan N9 menjaringkan gol. Gol pertama dan kedua N9 jelas membuktikan kenyataan ini. Sebahagian pemain seperti Zamri Ramli kelihatan agak gugup dan membuat hantaran yang entah ape-ape. Begitu juga dengan Daudsu Jamaludin yang gagal mengatur gerakan untuk barisan serangan Kelantan sehinggakan Indra langsung tak dapat bola.Nizad Ayub dan Farhan juga tak begitu mengancam malam ini.



N9 Mantap di Segenap Posisi
Gol kedua N9 seawal minit pertama babak kedua seakan menyentap terus semangat juang Kelantan walaupun Khalid Jamlus dan Che Hishamudin dibawa masuk. Kemasukan 2 pemain ini memberi semangat baru kepada sisa-sisa perjuangan Kelantan melalui serangan bertali arus yang mula di atur. Dalam keghairahan memburu gol sekali lagi benteng pertahanan membuat kesilapan mudah yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Negeri 9 yang disempurnakan oleh Zaquan Adha. Setelah kedudukan menjadi 3-0 sebahagian penyokong Kelantan mula meninggalkan stadium. Walaupun semangat mereka semakin hilang Kelantan masih cuba melawan dan akhirnya Indra berjaya mendapatkan gol saguhati melalui set piece yang menarik.Negeri 9 memang mantap di semua segi dan mereka bermain dengan baik. Dengan Shukor dan Aidil di bahagian pertahanan, Rizal Zambery dan Idris Karim di tengah serta Zaquan & Hairudin Omar sebagai striker, N9 cukup ramuan untuk bergelar juara. Ketiadaan Piya dan Azlan Zainal di pihak Kelantan pula cukup dirasai. Ketiadaan mereka menyebabkan Kelantan langsung gagal mengusai bahagian tengah.

Tahniah Walaupun Tewas
Apapun aku tetap ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemain ,jurulatih,pengurusan pasukan serta pimpinan tertinggi KAFA kerana berjaya membawa Kelantan ke final Piala Malaysia kali ini. Nampaknya Kelantan telah mula menemui sinar dalam arena bola sepak sejak KAFA dipimpin Tan Sri Anuar Musa. Tahniah juga buat teman-teman penyokong the Red Warriors terutamanya di Kelate.Net. Sama-samalah kita terus menyokong pasukan kebanggaan kita. So Piala Malaysia dah habis. Tumpuan aku selepas ini akan beralih pula kepada Sukan Sea di Laos. Harapnya tahun ni skuad bolasepak Malaysia dapat bawa balik pingat emas yang dah ditunggu sejak tahun 89.Wasallam..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...