Thursday, August 26, 2010

Serius ke?

"Tulisan abang kat blog serius sangat la..Bagi la ringan sikit.." .. begitulah luahan salah seorang pembaca blog ini kepada aku. Fatin Sakinah namanya..Baru-baru ini aku sempat berborak dengan dia selepas lebih setahun rasanya lost contact. Sampai aku pun tak tahu dia dah habis belajar dan kini menyambung pengajian di tempat baru.Luahannya itu membuatkan aku tersenyum sambil berfikir sejenak. "Serius sangatkah tulisan aku ni? " hehe..

Serius tak?
Sebenarnya memang aku akui apa yang aku tulis kat blog ini mungkin boleh dikategorikan dalam bahan bacaan yang agak berat terutamanya bagi seorang remaja sepertinya. Aku memang tak berapa pandai nak menulis benda-benda yang agak ringan dan bersifat "entertaining" ni. Kalau diperhatikan banyak benda yang aku tulis ni bersifat fakta serta ulasan tentang isu semasa, politik, sukan atau pandangan dan idea aku tentang sesuatu perkara. Memang ada artikel tentang hiburan dan seni akan tetapi ulasannya tetap bersifat sedikit  'akademik'. Namun kadang-kadang aku tetap cuba selitkan juga artikel yang agak ringan apabila berkongsi pengalaman melalui sesuatu peristiwa dalam kehidupan seharian. Kiranya macam diari jugak la..huhu

Aku memang serius tapi...
Apapun dalam kehidupan sebenar, rasanya aku tidaklah serius dan "membosankan" sangat. Adakalanya aku jugak suka bergurau dan menyakat teman-teman di sekeliling. Aku cuma tak pandai 'bergurau' dalam penulisan.Aku tak pandai nak menulis tentang gossip artis, fesyen, kontroversi dan sebagainya. Lagipun antara bidang yang aku minat dari dulu sampai sekarang ialah politik dan kepimpinan.  Itu yang nampak  serius je tu..hoho.. Namun kawan-kawan, hakikatnya inilah diri aku.Hanrapnya dapatlah korang menerima diri ini seadanya.. selamat berpuasa!

Monday, August 23, 2010

Album terbaru Aishah

Mungkin sudah terlalu lama kita tidak mendengar lagu terbaru daripada penyanyi yang  popular dengan lagu "Janjji Manismu" iaitu Aishah. Beliau kini yang tampil dengan imej bertudung telah menerbitkan album berjudul "Anak" yang menggabungkan nasyid, himpunan doa dan zikir berlagu. Antara kandungan album ini ialah Amalan Doa Nabi Zakaria, Amalan Doa Melihat Bay, Selawat Syifa dan juga lagu yang dijangka hits berjudul Anak yang dicipta oleh Dakmie dan lirik oleh Aishah sendiri. Bagi mereka yang belum pernah mendengar lagu berendoi juga boleh mendengar alunan berendoi melalui lagu Ayuhai Anak. Pembikinan album ini melibatkan penerbit nasyid terkenal iatu Dakmie dan Nordin Jaafar serta jurutera rakaman iaitu Dakmie, King Algebra dan Zairi (Sutra Studio). Muzik pula telah disusun sepenuhnya oleh Dakmie dan Eddie Marzuki.Album ini akan mula berada di pasaran bermula minggu ini secara berperingkat. Album ini diterbitkan oleh Aishah Creative Enterprise serta diedarkan oleh Nasyeed.Com dan Sony Music.


 Selain itu Nasyeed.Com juga baru saja menerbitkan album bacaan Al Mathurat dan Yassin oleh Al Hafiz Ustaz Abdul Muhaimin Mohd Shahar. Beliau pernah menjadi tenaga pengajar di Sek Ren Islam Hira' dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengetua Sek Men Islam Hira'. Di Maahad Tahfiz Al Quran Hira' Jeram Selangor, belaiu dilantik menjadi pengetua merangkap penasihat Maahad. Ustaz Muhaimin telah menjadi pendakwah bebsas sejak 1987 dan pernah diundang  ke USA, Kanada, United Kingdom dan Australia. Selain itu beliau turut menerima Anugerah Khas Huffaz Al Quran daripada Kerajaan Selangor pada tahun 1992.


Oleh itu jangan lupa untuk mendapatkan album-album mendidik jiwa terbitan dan edaran Nasyeed.Com dengan segera.Terima kasih atas sokongan anda!

Sunday, August 22, 2010

Hari Al Quds: Perjuangan Diteruskan

Imbas kembali: Demo anti Israel 4 Jun 2010
Tanggal 21 Ogos menjadi tarikh penting bagi setiap pendukung perjuangan pembebasan Palestin di seluruh dunia terutamanya di kalangan umat Islam. Tarikh ini dipilih berdasarkan peristiwa pembakaran masjid Al Aqsa oleh seorang pelampau Yahudi pada tahun 1969 yang telah membangkitkan kesedaran dan keperihatinan umat Islam seluruh dunia terhadap peri pentingnya pembebasan Al Quds daripada ancaman musuh khususnya Zionist.Dalam kejadian itu seorang lelaki Australia bernama Dennis Michael Rohan telah memulakan kebakaran dengan sengaja  sehingga menyebabkan kemusnahan sebahagian masjid termasuklah mimbar besar yang dikenali dengan Mimbar Solahuddin.Pihak berkuasa Israel yang 'berlakon' mengambil tindakan ke atas Rohan akhirnya telah dibebaskan oleh mahkamah Israel kerana didapati 'gila' dan tidak waras.

Ayuh bebaskan Al Quds!
Lakonan bodoh Israel itu terus menerus dilakukan mereka sehingga kini. Kita boleh lihat dengan jelas bagaimana penipuan dan penyelewengan fakta telah cuba dilakukan Israel dalam insiden Freedom Flotilla pada Jun lepas. Malangnya tiada satu kerajaan Islam pun yang mampu bertindak tegas ke atas kekejaman Zionist tersebut.Malah kerajaan negara-negara Islam ada yang takut-takut walaupun hanya untuk mengecam tindakan Israel.Jauh sekali untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Israel. Mungkinkah kita akan hanya beroleh kemenangan setelah kemunculan Imam Mahadi dan turunnya Nabi Isa AS menjelang akhir usia dunia nanti?

Kaum wanita turut sama menyalakan obor perjuangan
Apapun perjuangan akan tetap diteruskan walaupun dengan kemampuan yang terbatas. Di Malaysia ni pun banyak NGO yang melaksanakan usaha membantu menyalakan obor perjuangan pembebasan Al Quds dengan cara masing-masing . Antaranya Aman Palestin, Haluan, Mercy Malaysia, Mapim, PBSM, PGPO, Yayasan Amal dan banyak lagi. Terbaru Mapim dan Kelab Putra 1 Malaysia baru sahaja pulang daripada melaksana misi  bantuan kemanusiaan di Gaza secara berasingan. Dalam isu Palestin ini umat Islam sewajarnya bersatu dan mengenepikan perbezaan masing-masing. Selagi kita tidak bersatu,selama itu jugalah Zionist tidak akan segan silu memijak kepala kita. Jadi fikir-fikirkanlah..

Khaibar! Khaibar! Ya Yahud! Jaishu Muhammad Sawfa Yaud!

Monday, August 16, 2010

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak

Assalamualaikum wbt..
Aku rasa masih belum terlambat untuk aku mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al Mubarak kepada semua teman-teman di luar sana terutamanya kepada kawan-kawan yang sering menjenguk blog ini. Bersama-samalah kita mendidik diri dalam madrasah ramadhan kali ini dan meningkatkan amal ibadah kita agar ia menjadi pelaburan lumayan yang dapat kita tuai di akhirat kelak. Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk mengimarahkan fiesta ibadah 1431H ini.

Berbuka di mana kita hari ini?

ESQ: Apa pula selepas ini?

Tidak lama selepas artikel Apa Khabar ESQ diterbitkan di blog ini aku menerima kiriman dokumen penjelasan ESQ Leadership Center Mengenai Isu Larangan ESQ Leadership Training serta senaskah Majalah I keluaran Ogos 2010 yang banyak mengupas tentang isu ini. Terima kasih kepada seorang teman di ESQ Malaysia yang bersusah payah untuk menghantar dokumen ini. Dalam dokumen tersebut, isu atau dakwaan yang dikemukakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan dalam warta yang dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah dijawab satu persatu. Soal sama ada penjelasan itu diterima atau tidak itu soal kedua. Yang penting pihak ESQ telah membuat penjelasan.

Cuma aku rasa dokumen penjelasan ini harus di muatnaik di laman web ESQ ataupun lebih baik jika kenyataan rasmi ini disiarkan di akhbar-akhbar tempatan. Bagi aku isu besar sebegini harus ditangani dengan teliti oleh pihak ESQ. Memang benar di dalam majalah I atau akhbar Sinar Harian telah disiarkan wawancara bersama Pak Ary selaku pengasas ESQ yang menjelaskan satu persatu tentang isu yang ditimbulkan. Namun pada pendapat aku kenyataan rasmi tetap diperlukan untuk disiarkan.Ini kerana artikel atau wawancara yang ditulis oleh wartawan masih boleh dicabar kewibawaannya. Sebagai contoh, jika ada isu tertentu yang ditimbulkan kesan daripada penjelasan itu maka pihak yang diwawancara boleh saja menyalahkan wartawan yang menulis. " Oh saya tidak maksudkan demikian, mungkin wartawan tersalah faham terhadap apa yang saya perkatakan.." Statement macam tu selalu je keluar bila sesuatu 'masalah' timbul. Oleh itu hanya Kenyataan Rasmi daripada Pihak ESQ saja boleh dianggap accountable dan valid. Sebagai contoh kita melihat pihak Mufti Wilayah membuat kenyataan rasmi daripada pejabat beliau sendiri dalam menangani isu ini dan bukannya menggunakan saluran media. Kenyataan yang disiarkan dalam website Pejabat Mufti Wilayah itupun sudah cukup untuk menjelaskan pendirian sebenar pihak mufti.


Malangnya ketika artikel ini ditulis, dokumen penjelasan yang saya terima ini masih tidak disiarkan di laman web ESQ Malaysia. Memang ada link untuk memuat turun fail pdf  Kenyataan Rasmi Panel Syariah ESQ namun ianya gagal dimuat turun. Memang betul mungkin saya boleh buat search dan cari di laman-laman lain tetapi dari segi disiplin pengumpulan maklumat yang sah, dalam hal ini hanya dokumen yang didapati daripada laman rasmi ESQ sahaja boleh dikira valid dan accountable. Sebagaimana kita nak tahu kenyataan tentang Petronas contohnya, maka hanya maklumat daripada laman web petronas sahaja yang boleh dikira sah dan bukannya daripada laman-laman lain. Jadi saya harapkan pihak ESQ akan memperbaiki keadaan ini. Pihak yang menguruskan hal ehwal perhubungan dan komunikasi ESQ perlu mengambil berat perkara yang mungkin dianggap remeh ini. Spread the word bro!

Wednesday, August 4, 2010

Apa Khabar ESQ?

Aku bukanlah orang yang punya kepentingan perniagaan atau wang ringgit dalam polemik ESQ ni. Dalam bahasa yang mudah, aku takkan dapat apa-apa faedah material sama ada orang ramai join ESQ mahupun jika ESQ diharamkan oleh kerajaan. Aku pun memang tak pernah join pun mana-mana program ESQ. Kali pertama aku melihat presentasi ESQ ialah ketika rakaman Pertandingan akhir Pengacara Jemputan Al Hidayah terbitan TV3 di Kompleks Taman Seni Islam Shah Alam. Apa yang aku ingat, aku agak kagum dengan gaya bahasa yang digunakan oleh presenter tersebut. Sangat cantik dan indah. Sampai sekarang aku masih ingat kata-kata seorang kawan aku yang juga alumni ESQ. Aku tanya dia, "ESQ tu ape?" Dia dengan spontan menjawab " Demi matahari.... (ila akhir..) "... (sambil mengayakan tangannya ala-ala trainer ESQ).. Heheheh... Melihat aksi jenakanya itu.. aku tergelak...Dia pun ikut skali ketawa..hehehe..



Sebagai seorang yang suka mengikuti isu-isu di sekeliling masyarakat, aku masih menunggu penjelasan secara terperinci atau kenyataan rasmi daripada pihak ESQ berkenaan dengan dakwaan Mufti Wilayah Persekutuan yang membawa kepada fatwa pengharaman ESQ di Wilayah Persekutuan. Pihak Panel Penasihat Syariah ESQ wajar mengeluarkan dokumen khusus bagi menafikan dakwaan Mufti Wilayah Persekutuan bahawa program ESQ boleh menjejaskan akidah. Sebagaimana yang aku sebutkan dalam artikel lepas, soal akidah bukanlah soal yang remeh. Ia hanya antara hitam atau putih dan tiada ruang untuk warna kelabu. Majoriti ulamak di Malaysia mempunyai ijtihad yang berbeza dengan mungkin sebahagian besar ulamak Indonesia. Contoh yang paling mudah, kita di Malaysia tidak sama sekali membenarkan atau lebih tepat lagi mengharamkan perkahwinan antara seorang Muslim dan Kristian berkahwin tanpa individu non muslim itu menjadi seorang muslim terlebih dahulu. Namun di Indonesia, perkara ini merupakan sesuatu yang normal dan diamalkan secara terbuka. Walau bagaimanapun idea-idea sebegini jika dibawa ke Malaysia boleh membawa kepada pertumpahan darah! Aku tidak menuduh ESQ membawa idea sebegini cuma aku memberi salah satu contoh kepada pemikiran liberalisme atau pluralisme yang turut menjadi salah satu asas kepada dakwaan Mufti Wilayah Persekutuan. 

Aku percaya para ulamak , pemimpin mahupun rakyat jelata di Malaysia tidak mahu idea-idea atau pemikiran-pemikiran yang asing menyerap masuk ke dalam hati dan jiwa masyarakat Malaysia. Kita di sini adalah Muslim Sunii yang majoritinya mengamalkan mazhab Syafie. Dan kita tidak mahu perkara itu berubah. Sebab itulah kita menentang keras fahaman Syiah, Muktazilah, Ahmadiyah mahupun pemikiran baru seperti pluralisme dan liberalisme bertapak di Malaysia. Even pemikiran Wahabi pun kita seboleh-bolehnya nak elakkan ia bertapak bagi mengurang perpecahan di kalangan umat Islam. Sebab tulah geng wahabi di Malaysia pun tak mengaku mereka wahabi walaupun seluruh dunia mengetahui kewujudan dan mengenali kelompok ini. Sudahlah orang Islam dah berpecah sebab politik, kita tak nak nanti  umat Islam di Malaysia ni berpecah sebab isu-isu agama.





Salah satu hujah yang selalu digunakan terhadap mereka yang mengharamkan atau mengkritik ESQ ialah mereka yang mengkritik ESQ ini selalunya tidak pernah hadir ke program ESQ. Hujah yang sama turut digunakan terhadap Mufti Wilayah Persekutuan oleh pihak ESQ.Namun aku agak bersetuju dengan jawapan Dato Mufti tentang kritikan ini dalam item 9 dalam Kenyataan Berhubung dengan Fatwa Pengharaman ESQ yang berbunyi begini :

 "Tentang kritikan bahawa saya tidak wajar membuat keputusan kerana belum menghadiri Kursus ESQ seperti Mufti-Mufti lain. Perkara ini sebenarnya berkaitan dengan metodologi penyelidikan dan penyiasatan, khususnya terhadap pembawa ajaran sesat. Untuk tidak menyeret isu ini kepada perbahasan ilmiah, saya suka mengembalikan ingatan pembaca sekalian kepada keputusan mengharamkan beberapa kumpulan sesat seperti Al-Arqam dan ajaran Ayah Pin. Adakah para Mufti diperlukan menjadi pengikut Abu Ya atau Ayah Pin terlebih dahulu sebelum membuat keputusan? Apakah oleh kerana ESQ mengadakan kursus-kursusnya di hotel-hotel bertaraf lima bintang, maka diperlukan para Mufti menghadirinya terlebih dahulu. Tetapi memandangkan Ajaran Al-Arqam dan Ayah Pin diadakan di pendalaman, maka syarat ini tidak diperlukan. Saya berpendapat amalan “double standard” seperti ini tidak sesuai bagi para Mufti yang diamanahkan untuk menjaga syariat Allah yang Maha Suci. Oleh itu tidak ada keperluan bagi saya untuk menjadi pengikut “Ayah Ary” terlebih dahulu sebelum membuat keputusan."

Hmm..dah agak jauh pulak ulasan aku ni. Apa yang aku maksudkan di sini, sesiapa saja yang datang ke Malaysia pun harus mengikut peraturan dan undang-undang di sini. Pada masa yang sama, budaya,nilai dan pegangan masyarakat setempat juga harus diambil kira. Walaupun apa yang kita buat itu tidak dikira satu kesalahan di tempat  kita tapi tidak semestinya ia turut diterima ditempat orang. Bak kata orang, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Aku masih menunggu penjelasan..

FAM: Jangan Wajah Saja yang Baru..

Assalamualaikum wbt... Terlebih dahulu aku nak ucapkan tahniah kepada semua pimpinan FAM yang baru dipilih dalam Kongres FAM yang berlangsung pada 31 Julai yang lepas. Nampaknya banyak muka baru yang dipilih oleh para perwakilan. Setahu aku hanya dua orang muka lama yang mengekalkan jawatan iaitu DYMM Sultan Ahmad Shah selaku Presiden ( menang tanpa bertanding) dan Dato Afandi Hamzah ( Naib Presiden). Nama-nama 'regular' lain seperti Dato Redzuan Sheikh Ahmad, Dato Che Mat Jusoh, Dato Raja Ahmad Zainudin dan Dato Soh Chin Aun semua tersungkur dihukum perwakilan yang kecewa dengan prestasi semasa FAM. Muka-muka baru telah diangkat memimpin FAM dengan harapan agar mereka mampu melakukan transformasi ke arah membawa bolasepak Malaysia ke era gemilang.

BOLASEPAK MENYATUKAN KITA!

Ramai yang meletakkan harapan kepada Tan Sri Annuar Musa selaku Timbalan Presiden FAM yang baru dipilih untuk memimpin perubahan ini. Apa yang dilakukan beliau kepada bolasepak Kelantan diharap dapat diulangi di peringkat nasional. Namun Annuar seorang tidak mampu melakukan apa-apa. Pembaharuan dan penambaikan yang ingin dilakukan memerlukan tindakan dan usaha secara kolektif. Setiap ahli majlis FAM harus memainkan peranan masing-masing dengan berkesan. Jika tidak mampu memimpin pun, biarlah mereka menjadi pengikut yang baik. Jangan pula ada 'cah keting' dan hasad dengki sesama sendiri. Apapun aku ucapkan selamat maju jaya kepada barisan pimpinan baru FAM. Semoga Harimau Malaya kembali mengaum!

PIMPINAN FAM 2010 / 2014
Presiden
1. DYMM Sultan Haji Ahmad Shah
 
Timbalan Presiden
1. DYTM Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah
2. Tan Sri Annuar Musa

Naib Presiden
1. Datuk Subahan Kamal
2. Datuk Hamidin Mohd Amin
3. Datuk Afandi Hamzah
4. Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd Hashim

Ahli Majlis Eksekutif
1. Datuk Takiyuddin Hassan
2. Datuk Astaman Abdul Aziz
3. Mejar Rani Abdul Rahim
4. Dr Hamdan Mohamed Khalib
5. Datuk Osman Saleh
6. Rosmadi Ismail
7.Datuk Jefferey Low Han Chau
8. S.Sivasundram

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...