Friday, August 21, 2009

Selamat Menyambut Ramadhan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Aku dengan penuh takzim dan rendah diri memohon ampun dan maaf sekiranya aku ada tersalah kata, tersilap bicara atau terlanjur perbuatan selama ini. Aku harap kawan-kawan semua dapat memaafkan aku dan mengizinkan aku memulakan bulan Ramadhan al Mubarak ini dengan hati yang bersih dan tenang. Bersama-samaah kita memanfaatkan pesta ibadah kali ini dengan sebaik-baiknya dengan melipat gandakan amal ibadah dan meningkatkan iman serta ketakwaan kita kepada Yang Maha Esa. Inilah waktu yang paling subur untuk meningkatkan hasil tanaman kita di ladang ini sebelum membawanya sebagai bekal ke akhirat kelak.

Aku agak kecewa sedikit tahun ini, malam pertama terawikh kali ini aku tak dapat bersama menunaikannya secara berjemaah di masjid. Sepertimana Ramadhan yang lepas, aku terpaksa solat terawikh sensorang je atas sebab-sebab tertentu. Namun yang penting, aku harap agar segala amal ibadahku diterima.Semoga tercapai hasratku untuk mengkhatamkan Al Quran dalam bulan Ramadhan ini.Amin.

Selamat menyambut Ramadhan.Aku tinggalkan korang dengan sebuah klip nasyid Ramadhan untuk dihayati. Wasallam.



Tahniah Akhil Hayy dan Waheeda


Setelah pelbagai spekulasi dan cerita panas yang melanda pasangan popular ini, akhirnya mereka diijabkabulkan dan sah menjadi pasangan suami isteri. Mereka dinikahkan pada 16 Ogos 2009 di Masjid Jamek Ar Rahimah Kuala Kubu Bharu tepat jam 12 tengahari oleh Ustaz Zulkhairi bin Jaid dalam satu majlis serba ringkas yang dihadiri sanak saudara dan rakan terdekat. Mereka tentunya berharap pernikahan ini akan menutup segala cerita negatif yang timbul selama ini. Namun hakikatnya tidak begitu, malah ada yang bertambah marah dan mencemuh walaupun tidak kurang juga yang mengucapkan tahniah.Aku sempat membaca beberapa blog yang mendapat komen-komen yang begitu negatif sekali berkenaan pernikahan mereka. Sabarlah Ustaz dan Waheeda, ini semua adalah sebahagian ujian daripada Allah dalam hidup kalian. Jika kalian di pihak yang benar, tiada apa yang perlu digusarkan kerana Allah bersama-sama dengan orang yang benar.


Dalam satu artikel sebuah akhbar tempatan, aku ada terbaca kenyataan bahawa Waheeda akan turut bersara dalam aktiviti seni selepas berumahtangga. Dulu pernah sekali Waheeda menyatakan hasratnya untuk bersara cuma pada ketika itu alasannya industri nasyid kotor dan dicemari oleh orang yang mengambil kesempatan atas nama dakwah. Begitulah lebih kurang bunyinya alasan yang diberikan. Aku masih ingat ketika "statement" ini keluar akademi nasyid tengah rancak berlangsung. Dan setiap kali selepas siaran langsung di Plaza Alam Sentral, Allahyarham Ustaz Asri akan lepak bersama dengan Dakmie dan beberapa munsyid yang lain sambil makan-makan di restoran mamak. Ketika kami berborak di Al Rafi Seksyen 13, ustaz Asri meluahkan rasa kurang senangnya dengan statement Waheeda tu. Aku, Dakmie dan Waie yang turut minum bersama pada malam itu meluahkan perkara yang sama. Pada kami Waheeda tidak wajar meng'kambinghitam'kan nasyid sebagai alasan persaraannya sebab dia sendiri pun tak pernah declare dia orang nasyid. So she don't have any locus standi at all. Analoginya mudah, jika anda seorang pekerja PROTON dan ingin berhenti kerja kemudian anda menyalahkan PERODUA atas sebab perletakan jawatan anda maka tidakkah itu satu yang pelik dan tak masuk akal?


Namun selepas statement itu keluar, Waheeda masih terus aktif dalam dunia seni dan tak jadi bersara. Kali ini sekali lagi dia menyatakan keinginan untuk bersara. Tak tahulah kali ini jadi ke tak. Apapun aku ucapkan selaat pengantin baru kepada kedua pasangan mempelai ini.Semoga kalian berbahagian ke akhir hayat.Amin..

Friday, August 14, 2009

Ribuan Ziarahi Allahyarham Ustaz Asri

Geng Nasyeed.Com antara yang awal tiba di tapak perkuburan

Aku, Waie, Ubai, Syaarie, Kerol, Syazman, Zul, King dan Lah bergerak ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam sejurus selepas solat maghrib sebagaimana yang dirancang dengan 2 buah kereta. Kami antara golongan yang awal sampai ke lokasi lebih kurang pukul 8.10 malam. Sampai saja kami liang lahad telah tersedia dan hanya menanti jenazah tiba. Antara yang turut tiba awal ialah Asrul dari Melaka FM dan Abang Farihin Abd Fatah. Selain itu, aku agak surprise apabila melihat Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Khairul Anuar Ahmad Zainudin yang juga Ketua AMK Selangor juga telahpun lebih awal sampai menunggu jenazah tiba. Kemudian satu demi satu sahabat handai dan keluarga tiba. Antara yang kelihatan Yassin, Inteam, Ustaz Amal, Ustaz Sohibul, Tokman dan Faiz Brothers, Naim Mirwana, Halim Libya, Muadz, Abg Hasyim Ngadiman, Ustaz Wan Akashah, Dato Siti Norbahiyah dan beberapa lagi personaliti yang tak dapat aku sebut semuanya di sini. Selain itu, para peminat nasyid juga turut hadir. Antara yang sempat menyapa aku adalah Raihan dan Irah yang datang bersama seorang lagi rakan mereka yang aku tak dapat cam. Geng PA System Nasyeed.Com yang terdiri daripada Aji dan K-Own juga tiba tak lama kemudian.

Ketibaan van jenazah di tapak perkuburan

Jenazah tiba lebih kurang 8.45 malam. Sebaik sahaja nampak van
jenazah, aku dan Syazman serta Abg Farihin terus standby untuk angkat jenazah ke liang lahad dari dalam van. Memang aku dah niat sejak bertolak dari rumah untuk sama-sama mengangkat jenazah Allahyarham buat kali terakhir sebab aku rasa sedikit ralat sebab tak dapat bersama teman-teman lain untuk solat jenazah di Masjid Bukit Lanchong selepas Maghrib tadi. Turut menyertai kami mengangkat jenazah Allahyarham adalah Shamsul Iskandar (Ketua AMK Pusat) dan Asrul (Melaka FM) serta beberapa teman yang lain. Keadaan tanah yang sedikit berair dan becak kerana hujan menyebabkan kaki kami disaluti tanah. Setelah meletakkan jenazah di pinggir liang lahad yang digali, aku mengundur ke belakang untuk memberi ruang kepada sanak saudara terdekat menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir. Seorang demi seorang anak lelaki Allahyarham tampil mengucup dahi ayahanda tercinta diikuti dengan beberapa orang adik beradik Allahyarham. Aku respect habis kepada anak-anak Allahyarham. Walaupun mereka masihterlalu muda, tiada seorang pun di antara mereka yang menitiskan airmata. Ujian sebegitu besar berjaya mereka hadapi dengan tabah walaupun umur mereka masih di peringkat kanak-kanak dan awal remaja. Begitulah berjayanya Ustaz Asri mentarbiah anak-anak beliau.

Sumbangan terakhirku dan sahabat-sahabat yang lain buat Ustaz Asri

Proses pengebumian pun bermula namun aku memerhati darijauh saja. Sempat aku bertanya kepada Abg Asri Ubaidullah saat-saat akhir Allahyarham bersama Rabbani pagi tadi. Pada mulanya dia dapat menceritakan segalanya dengan tenang satu persatu. Namun apabila tiba bab doktor mengesahkan kematian Allahyarham, dia menjadi sebak. Ustaz Amal pula berkongsi dengan pengalaman beliau yang sentiasa membekalkan bahan ceramah agama untuk Ustaz Asri bila diminta oleh Allahyarham. Beliau juga menceritanya betapa ramainya jemaah yang menunaikan solat jenazah sebelumnya. Menurutnya solat jenazah terpaksa dilakukan lebih daripada 10 kali untuk memberi ruang kepada semua yang hadir menunaikannya. Di perkuburan sahaja pun dianggarkan hampir 500 orang yang hadir.

Anakanda Allahyarham yang mengiringi ayahandanya sehingga ke liang lahad

Setelah talkin dan tahlil ringkas selesai dibacakan, hadirin mula
bersurai. Namun masih ramai juga yang tidak berganjak. Ketika aku, Kerol, Abg Halim Libya dan Ustaz Amal rancak berbual, tiba-tiba kami disapa oleh YB Yaakop Sapari yang juga Adun Kota Anggerik merangkap Ahli Exco Selangor yang meminta diri untuk pulang. Tak sangka pula beliau turut hadir dengan hanya berbaju Melayu dan berkain pelekat serta berkopiah. Aku juga sempat berbual dengan dengan kawan lama aku kat UiTM, Khairy Leman. Dia kini telah menjadi pensyarah di Fakulti Muzik UiTM dan dia hadir bersama pelajarnya, Aizudin yang juga aku kenali kerana penglibatannya dalam beberapa pertandingan nasyid peringkat IPT. Dalam ramai-ramai tu, aku cuba mencari Dakmie dan Abg Zaidi Wildan yang sepatutnya dah lama sampai. Namun aku dikhabarkan bahawa Dakmie mengalami sesak nafas dan terpaksa dibawa ke klinik oleh Abg Zaidi.Menurut doktor Dakmie masih terkejut dan agak stress atas kehilangan sahabat baiknya itu.

Sebahagian teman-teman yang hadir memberi penghormatan terakhir

Aku dan geng Nasyeed.Com terpaksa menunggu hampir setengah jam sebelum kereta kami boleh dipandu keluar. Kereta yang terlalu banyak dan terpaksa di'parking' secara berlapis-lapis menyebabkan jalan utama untuk keluar dari kawasan perkuburan terhalang. Oleh kerana perut masih belum diisi, kami singgah di sebuah gerai di Batu 3 untuk menikmati makan malam. Walaupun hakikatnya makanan tu sedap tapi mulut kami terasa seolah-olah tawar je. Mungkin kesedihan kerana hilang seorang sahabat menghilangkan seketika kelazatan juadah kami malam itu. Apapun yang pergi tetap pergi dan takkan kembali lagi. Hanya doa yang mampu kita kirimkan demi kesejahteraan seorang insan yang bernama Ustaz Asri Ibrahim di alam seterusnya..Amin..

YB Yaakob Sapari dan ahli keluarga Allahyarham mengaminkan doa

Diari ditutup 2.40 pagi

Thursday, August 13, 2009

Belasungkawa: Al Fatihah Buat Ustaz Asri Ibrahim



Secara jujurnya aku masih terasa seolah-seolah bermimpi dan tak percaya apabila mendapatberita kematian Ustaz Asri vokalis Rabbani yang amat disenangi ramai itu. Namun apakan daya, hari ini lebih kurang pukul 11 pagi tadi Allah SWT menunaikan janji-Nya untuk menjemput Ustaz Asri Ibrahim kembali mengadap-Nya. Aku sebenarnya baru sahaja pulang menziarah dari rumah keluarga Allahyarham di Bukit Lancong Shah Alam bersama-sama dengan geng Nasyeed.Com.Waie, Lah dan Syazman.

Hari ini sebenarnya Nasyeed.Com menganjurkan kursus Protokol untuk semua wargakerjanya.Lebih kurang pukul 11.30 pagi ketika sedang rancak aku mendengar ceramah daripada penceramah jemputan, Ada ( salah seorang staff NC) memberitahu aku Abg Mie ( Dakmie) memberi tahunya Ustaz Asri telah meninggal dunia. Aku dengan perasaan tidak puas hati dan tidak percaya terus mendapatkan Dakmie di dalam pejabat NC. Masuk sahaja aku tengok Waie sedang bercakap ditelefon dan Dakmie juga tengah on call sambil menitiskan airmata. Jarang sekali aku lihat Dakmie dalam keadaan begitu, nampaknya berita yang aku dengar itu benar. Dakmie memang sangat rapat dengan Ustaz Asri dan aku tak hairan jika tidak lokek menitiskan airmata untuk sahabat karibnya itu.


Aku, Waie dan Dakmie terus meluncur dengan kereta ke Pusat Perubatan Pantai meninggalkan teman-teman NC yang lain untuk terus mengikuti kursus yang dirancang. Dalam perjalanan ke hospital Aku dan Waie terus menghantar SMS kepada semua kenalan bagi memaklumkan berita sedih ini. Pada masa yang
sama, telefon kami terus menerima panggilan daripada teman0teman yang ingin membuat pengesahan. Tiba sahaja di hospital, aku dapati teman-teman penasyid, wartawan dan penggiat seni tanah air sudah ramai yang telah berada di perkarangan wad kecemasan. Antara yang kelihatan kumpulan Inteam, UNIC, Raihan,Pyan dan Najran Saujana, In Heart, Muadz, Dj Erwan,Ain Jeni (Sofieya),Hafiz Hamidun, Kojem dan Azahari(NSH), Saleh dan Yassin (Brothers) dan ramai lagi yang mungkin terlupa untuk aku sebut di sini. Selain aku, Epul turut hadir mewakili Mestica. Khalil tak dapat hadir kerana berada di Johor. Hijjaz juga tidak kelihatan kerana mereka berada di Kelantan. Turut berada diperkarangan hospital ialah Abg Nash, Abg Mas Omar, Ahmad Izham Omar (8tv), Ramli MS, En Ahmad Yani ( Karang Kraf), Kak Alia (Anis), Cikgu Abu Hassan Morad dan ramai lagi.

Menunggu dalam kesedihan

Setelah jenazah dipindahkan dari wad kecemasan ke bilik mayat, kami diberi peluang untuk menatap wajah allahyarham buat kali terakhir sebelum dimandi dan dikafankan. Suasana di situ sangat menyentuh hati apabila ada antara teman-teman penasyid tidak dapat menahan airmata daripada menitis ke bumi. Langit juga kelihatan mendung seoalah-solah bersedih dengan pemergian Allahyarham. Semasa berbicara dengan teman-teman di hospital, aku diberitahu Allahyarham telah rebah ketika memulakan rehearsal persembahan sempena pelancaran program Syahadah terbitan RTM di Angkasapuri. Pada pagi itu, Allahyarham dikhabarkan memang tidak sihat malah dia meminta isterinya untuk menghantar beliau ke pejabat Rabbani di Bandar Manjalara kerana tidak dapat memandu sendiri. Pagi itu Ustaz Asri dikhabarkan telah mengambil madu yang dicampur limau untuk melegakan keadaan kesihatan. Apabila sampai di Angkasapuri pula, Allahyarham telah mengambil susu dan telur separuh masak sebagai sarapan.

Isteri dan anak-anak Allahyarham yang setia di sisi sehingga di saat akhir

Selepas lebih kurang sejam lebih berada di hospital, aku dan waie bergerak pulang ke office untuk solat zohor sebelum bergerak ke rumah keluarga Allahyarham di Bukit Lanchong Shah Alam. Kali ini kami ajak sekali Lah dan Syazman untuk shoot gambar. Sampai di sana, jenazah masih belum tiba. Cuaca ketika itu hujan namun sanak saudara dan sahabat handai telah mula memenuhi perkarangan rumah keluarga Allahyarham. Setelah jenazah tiba, bacaan yassin dan tahlil telah diadakan dipimpin oleh Ustaz Abd Manaf Imam Besar masjid Putrajaya yang datang bersama kakitangan masjid yang lain mewakili Ketua Pengarah Jakim. Kawan lama aku yang kini bertugas di Masjid Putrajaya, Shuhaidi turut hadir bersama mereka. Piak keluarga memaklumkan kepada semua hadirin bahawa solat jenazah akan dilakukan selepas solat maghrib sebelum jenazah dikebumikan. Ini demi membolehkan kaum keluarga yang jauh untuk dapat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Hadirin membaca surah yasin dan tahlil

Aku,Waie. Lah dan Syazman terus pulang ke Shah Alam menjelang waktu asar. Kami bercadang untuk mengiringi jenazah di tanah perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam selepas maghrib nanti bersama-sama dengan team Nasyeed.Com yang lain. Jadi izinkan aku berundur dulu. Aku perlu bersiap untuk ke sana. Sama-sama kita doakan roh Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim dicucuri rahmat. Al fatihah..

Menutup diari : 7.37 malam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...