Tuesday, September 1, 2009

Ustaz Asri Terus di Kenang

Sejak Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim teman-teman dan para sahabat beliau tidak putus-putus mengadakan majlis tahlil untuk beliau. Aku sendiri sempat menghadiri 3 majlis tahlil yang diadakan oleh Rabbani Production, Kuzie Catering dan Hijjaz Trade Corporation. Rabbani Production telah mengadakannya di pejabar mereka di Manjalara, Kuzie Catering di Wisma PKPS Shah Alam dan Hijjaz Trade Corporation di Teratak Hijjaz. .Malangnya aku tak dapat hadir semasa tahlil diadakan di rumah keluarga allahyarham baik di Bukit Lanchong mahupun di Bukit Beruntung. Selain itu PIN (Persatuan Penggiat Industri Nasyid Malaysia atas inisiatif Bro Mahadi selaku Presiden turut mengadakan majlis tribute khas untuk allahyarham di Hotel Singgahsana Petaling Jaya baru-baru ini.Begitu ramai sekali yang hadir pada setiap majlis, menunjukkan ramainya teman-teman yang begitu menyayangi beliau.



Sewaktu majlis-majlis tersebut diadakan ada juga teman-teman Allahyarham yang berkongsi pengalaman manis mereka bersama hadirin. Bro Farihin Abd Fatah contohnya menceritakan bagaimana ketika bersama dengan Allahyarham di satu kawasan awam di London bersama anggota Nadamurni termasuk Bro. Isman Hijjaz, suara allahyarham yang mendendangkan lagu Maulana ketika itu telah berjaya menarik beberapa kumpulan yang bertelingkah dalam satu piket untuk meninggalkan pertelingkahan mereka dan menikmati persembahan allahyarham bersama Nadamurni. Bro Azadan pula berkongsi hari-hari terakhir beliau bersama allahyarham yang mana allahyarham bersungguh-sungguh meminta Azadan menganjurkan satu program yang dapat mempertemukan semua kawan-kawan mereka. Dalam nada sedih, Azadan menjelaskan tak disangka pula program yang dimaksudkan ialah majlis tahlil untuk Allahyarham Ustaz Asri sendiri.



Apapun, kita harus menerima hakikat bahawa Ustaz Asri Ibrahim tidak lagi bersama kita. Namun legasi perjuangannya akan tetap diteruskan oleh penasyid-penasyid yang ada. Teringat pula kata seorang teman, "Usahlah kita bersedih, mungkin kini Ustaz Asri dibawa kembali ke alam baqa oleh Allah untuk menghiburkan orang-orang soleh di sana". Aku juga doakan Rabbani akan tetap utuh dan terus berjuang walaupun tanpa Ustaz Asri. Ketika menghadiri majlis tribute khas untuk Ustaz Asri, aku sempat merakamkan persembahan Rabbani buat pertama kalinya aku tonton tanpa kehadiran Ustaz Asri Ibrahim di Hotel Singgahsana. Aku minta maaf sebab gambar dia tak elok sangat.Maklum la ambik pun pakai handphone je. Yang jadi lead vocal masa persembahan ini adalah Bro Zul dan Ustaz Asri Ubaidullah. Aku dikhabarkan Ustaz Asri Ubaidullah juga telah secara rasminya dilantik sebagai ketua kumpulan Rabbani yang baru sekaligus sebagai Pengarah Urusan Rabbani Production Sdn Bhd. Saksikanlah sedikit bingkisan yang aku sediakan khas buat korang semua.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...