Saturday, September 12, 2009

Bagan Pinang Ujian Sebenar Pakatan Rakyat

"Kalu BN kaloh terik ni, maknonyo BN ado masaloh besar.Kira paka teghak doh la," begitulah kata salah seorang kawan aku yang juga orang kuat UMNO Kelantan. Sebenarnya hari tu aku telefon dia untuk mendapatkan maklumat tentang satu urusan penting aku di Kota Bharu. Tapi oleh kerana dah lama tak berborak, kami bersembang panjang. Setiap kali bersembang, politik adalah antara tajuk wajib yang kami bincangkan terutamanya tentang keadaan semasa di negeri kelahiran kami yakni Kelantan Darul Naim. Kami berkongsi minat yang sama terhadap politik cuma aku tidak berada di barisan hadapan sepertinya. Buat masa ini aku lebih senang menjadi pemerhati politik yang punya ramai kenalan yang aktif dalam politik baik daripada pihak BN mahupun Pakatan Rakyat.



Berbalik PRK Bagan Pinang yang dijangka berlangsung selepas Aidilfitri nanti, ianya merupakan ujian sebenar kepada kekuatan pengaruh Pakatan Rakyat kerana Bagan Pinang merupakan kawasan sebelumnya milik BN yang terletak di zon selatan yang dianggap sebagai kubu kuat BN di semenanjung dengan Johor sebagai pengkalannya. Senario kali ini berbeza dengan pilihanraya sebelum ini yang berlaku di zon utara dan pantai timur seperti Permatang Pauh,Kuala Terengganu, Bukit Selambau, Bukit Gantang, Penanti, Manik Urai dan Permatang Pasir yang merupakan kawasan di mana Pakatan Rakyat punya pengaruh yang kuat. Jadi bagi aku, tak usahlah PR mendabik dada mengatakan sokongan rakyat kepada mereka kini bertambah dengan kejayaan mereka dalam PRK sebelum ini. Bagi aku hanya kemenangan di Bagan Pinang sahaja mampu membuktikan kekuatan sebenar PR. Sebelum ini PR telah gagal menawan kubu BN di Padungan dan ini adalah percubaan kedua mereka.



DUN Bagan Pinang terletak dalam Parlimen Teluk Kemang yang diwakili oleh Pengerusi PKR Negeri 9 iaitu Dato Kamarul Bahrin Abas. Berdasarkan daftar pemilih 2008 DUN ini mempunyai 14 192 pengundi dengan Melayu 66%, Cina 10.5%, India 19.9% an lain-lain 3.5%. Komposisi ini dijangka memberi kelebihan kepada PR jika mereka terus mendapat sokongan padu daripada masyarakat bukan Melayu. Dan aku menjangka sokongan ini bakal berterusan ekoran isu demo kepala lembu dan pemindahan kuil di Selangor yang akan menjadi modal kempen terbaik buat PR. Namun yang menjadi kegusaran PR tentunya kewujudan lebih 5000 pengundi pos yang mungkin menjadi faktor penyelamat kepada BN. Umum mengetahui bahawa undi pos masih diragui prosesnya perjalanannya. Walaupun wakil calon kini boleh memantau proses pengundian namun mereka masih tidak dibenarkan memantau proses pengiraan undi sebagaimana hak yang mereka dapat bagi peti-peti undi yang lain. Alasan "keselamatan" yang diberikan SPR terhadap larangan wakil calan memantau proses pengiraan undi pos pun tidak jelas dan meragukan.



Walaupun begitu BN turut mengalami krisis dalaman mereka tersendiri di sebalik keselesaan status Bagan Pinang sebagai kubu kuat mereka dan kehadiran jumlah undi pos yang besar. Bekas MB iaitu Tan Sri Isa Samad yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang telah menawarkan diri untuk bertanding sekaligus mengembalikan beliau ke dalam arus politik perdana setelah terpinggir sekian lama sejak didapati bersalah oleh Lembaga DisiplinUMNO kerana isu politik wang. Namun perkara ini dikatakan tidak disenangi oleh MB sekarang iaitu Dato Mohamed Hasan yang menganggap kembalinya Tan Sri Isa ke DUN Negeri 9 bakal memberi ancaman kepada jawatan MB yang disandangnya. Pada masa yang sama Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyidin Yassin juga kurang senang dengan kembalinya Tan Sri Isa. Hubungan mereka tidak begitu baik kerana dikatakan Tan Sri Isa adalah antara Pengerusi UMNO negeri yang tidak memihak kepada Muhyidin dalam pemilihan UMNO satu ketika dahulu. Malah Tan Sri Isa dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan Dato Seri Najib. Jika calon yang dipilih nanti gagal memuashatikan kedua-dua kem yakni Kem Isa dan Kem Mohamed Hasan maka undi protes kemungkinan besar akan berlaku dan ini akan sangat menguntungkan Pakatan Rakyat. Antara jalan paling selamat dan mungkin memuashatikan semua pihak dalam soal pemilihan calon UMNO ialah dengan melatakkan anak Tan Sri Isa iaitu Najib sebagai calon.



Apapun PRK Bagan Pinang dijangka menjadi sangat menarik kerana ianya bakal menjadi medan untuk PR membuktikan kekuatannya dan pihak BN pula akan cuba membuktikan rakyat masih berpihak kepada mereka. Kekalahan bagi BN bermakna Bagan Pinang merupakan petanda awal kepada kekalahan BN bagi pilihanraya umum akan datang. Insya Allah kalau takde aral melintang, aku akan turut sama "meninjau-ninjau" suasana PRK Bagan Pinang. Yelah tempat pun bukan jauh sangat dari tempat aku ni.. see you there!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...