Wednesday, October 19, 2011

MUNSYID Malaysia sertai HIMPUN!




EDARAN MEDIA

MUNSYID MALAYSIA SERTAI HIMPUN

Gabungan Penasyid Malaysia atau lebih dikenali dengan MUNSYID Malaysia yang menaungi lebih 60 artis nasyid dari seluruh Malaysia telah mencapai kata sepakat untuk menyokong sepenuhnya sekaligus menyertai Himpunan Sejuta Umat  yang akan diadakan pada 22 Oktober 2011 pukul 2.00 hingga 6.00 petang bertempat di Stadium Shah Alam.

Himpunan Sejuta Umat yang bertemakan “Selamatkan Akidah Umat” dianjurkan secara bersama oleh pelbagai NGO dan orang perseorangan yang mewakili umat Islam di Malaysia. Ia bertujuan untuk menzahirkan keperihatinan dan kesatuan umat Islam  dalam mendepani usaha-usaha pihak tertentu yang berniat jahat untuk memurtadkan umat Islam secara terancang.

MUNSYID Malaysia melihat isu ini melangkaui sempadan latar belakang, umur, taraf sosial mahupun fahaman politik. Namun semua pihak diseru supaya menangani isu ini secara rasional dan tidak terpengaruh dengan sentimen dan emosi. Islam adalah agama yang sangat menitik beratkan keamanan dan keharmonian hubungan sesama manusia sebagaimana yang dicerminkan oleh akhlak Rasulullah SAW.


Promo Himpun oleh MUNSYID Malaysia

Himpunan Sejuta Umat akan diisi dengan ucapan daripada tokoh-tokoh umat Islam tempatan yang akan mengupas dan memberi gambaran yang jelas tentang isu ini. Selain itu, tokoh dari luar negara turut dijemput menyampaikan ucapan sekaligus berkongsi pengalaman umat Islam negara mereka dalam menangani isu murtad. Himpunan ini juga akan diserikan dengan persembahan lagu-lagu berunsur keagamaan dan deklamasi puisi.

Penglibatan MUNSYID Malaysia dalam Himpunan Sejuta Umat bukan sekadar penyeri program melalui persembahan selingan yang diadakan semata-mata. MUNSYID Malaysia komited untuk turut sama mempromosikan himpunan ini melalui saluran media yang ada serta mengembeleng kelab-kelab peminat nasyid yang mempunyai ribuan ahli di seluruh negara untuk turut sama menyertai himpunan ini.

Munsyid Malaysia percaya kumpulan-kumpulan nasyid turut mempunyai pengaruh yang tersendiri sekaligus memberi impak terhadap masyarakat khususnya dalam menerbitkan kesedaran dan rasa prihatin di kalangan umat Islam terhadap isu-isu penting sebegini. Kami turut menyeru semua rakan artis, personaliti tv, penggiat seni dan seluruh umat Islam di Malaysia untuk bersama hadir dan menyokong Himpunan Sejuta Umat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...