Friday, March 18, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa: Mengecewakan

Aku dah lama menantikan kemunculan filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) terbitan KRU Studios ni. Sejak aku tengok trailernya kat youtube aku menanti tarikh tayangannya dengan penuh sabar dan teruja. Terus terang aku katakan , expectation aku terhadap filem ini agak tinggi. Walaupun mungkin tak sehebat filem epik terbitan barat seperti Braveheart, The Last Samurai mahupun The Patriot tapi sekurangnya lebih baik daripada Puteri Gunung Ledang atau Queen of Langkasuka terbitan Thailand. Aku anggap tentunya KRU akan menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada PGL sekurang-kurangnya sebab mereka tentunya dah kaji kelemahan yang ada dalam PGL tapi sangkaan aku nampaknya silap.



Trailer HMM

Aku berkesempatan menonton HMM hari Ahad lepas di Cineleisure. Memang itulah port aku tengok movie pun. Senang nak parking dan selesa. Kalau lapar pun banyak tempat untuk soru.Surau pun satu floor ngan cinema dan selesa untuk solat. Aku sampai agak awal sebab bimbang tiket habis dan alahamdulillah aku dapat tiket untuk tayangan pukul 8.30 malam. Selepas selesai solat maghrib, aku masuk dalam panggung lebih kurang pukul 8.20 malam. HMM bermula dengan babak di Goa, India di mana sebahagian askar Rom termasuk putera rajanya yang terkandas akibat kerosakan kapal yang dilanda bencana mencari bantuan saudagar India untuk membawa mereka ke Semenanjung Tanah Melayu bagi meneruskan upacara perkahwinan dengan puteri maharaja China. Mereka akhirnya berjaya mendapatkan pertolongan Merong Mahawangsa yang sebelum itu ditangkap kerana cuba membawa lari seorang gadis yang juga adik seorang bangsawan di Goa. Babak-babak seterusnya aku malas nak ulas cuma aku nak sentuh beberapa perkara yang aku rasa mendukacitakan aku sebagai penonton yang sebelumnya begitu teruja nak menonton HMM:
    • Jalan cerita HMM ni bagi aku agak longgar dan kurang menarik. Walaupun ianya gabungan antara unsur sejarah (yakni merujuk kisah dalamKitab  Hikayat Merong Mahawangsa) dan fiksyen tapi aku rasa bebrapa aspek harus diperkemaskan supaya lebih realistik dan menarik. Dalam kitab HMM Garuda yang cuba menghalang perkahwinan tersebut adalah burung Garuda yang sebelum itu memohon kebenaran Nabi Allah Sulaiman untuk melakukannya namun tidak mendapat perkenan baginda (boleh rujuk kitab HMM untuk kisah seterusnya). Dalam filem ini pula Garuda merujuk kepada satu puak lanun yang ganas serta bermaharajalela di perairan Tanah Melayu. Selain daripada kehebatan jampi serapah ketuanya tiada kehebatan lain yang boleh menjadi aset kepada Garuda sehingga mampu menandingi angkatan tentera Rom, China dan Langkasuka. Dengan hanya menaiki perahu dan beberapa buah kapal sederhana besar serta tanpa kubu pertahanan pun mereka digambarkan cukup berkuasa. Kubu mereka pun hanya umpama perkampungan nelayan dengan rumah-rumah beratap rumbia atau nipah di tepi pantai. Lebih malang lagi, tidak ada sebab yang jelas mengapa Garuda bersungguh sangat ingin menghalang perkahwinan tersebut berlangsung.
    • Tanah Melayu yang dirujuk sebagai semenanjung emas atau suvarnabumi dikatakan sebuah pelabuhan hebat yang menjadi tumpuan pedagang juga tidak diserlahkan ciri-cirinya. Pelabuhan langsung tak nampak, kapal-kapal pedagang yang berlabuh pun jauh sekali kelihatan. Yang ada hanya pondok-pondok beratap nipah yang didirikan ditepi pantai serta khemah-khemah sementara yang didirikan askar maharaja China untuk tujuan perkahwinan tersebut. Hmm.. khemah ni pun lagi elok daripada 'bangunan-bangunan' yang ada kat 'pelabuhan' tu. Aku sendiri pun tak tahu kat mana kapal 'besar' Merong tu berlabuh. Alih-alih dah sampai kat pantai je.
    • Orang Melayu yang digambarkan telah mencapai kemajuan dengan mampu membina kapal besar dan belayar ke serata dunia tapi masih tinggal dalam pondok yang nak runtuh. Keris pun dibuat daripada meteor namun 'bangunan' dalam erti kata sebenar tak wujud. Keadaan ini agak tidak logik apabila 'kemajuan' yang dicapai tidak selari. Andai tiadanya perpaduan dan peperangan antara puak/suku yang menjadi punca, tidak bermakna kemajuan fizikal dalam bentuk pembinaan bangunan yang utuh tidak boleh dibuat.
    • Pertabalan Merong Mahawangsa sebagai Raja Langkasuka yang pertama juga tidak diolah dengan baik.Apakah istimewanya Merong Mahawangsa sehingga diangkat menjadi raja. Adakah dengan hanya memenangi pertarungan dengan panglima-panglima tempatan seorang dua maka terus dia dilantik menjadi raja sedangkan secara umumnya dia dilihat sebagai orang luar? Karisma Merong sebagai pemimpin yang mampu menyatukan masyarakat yang berpecah belah juga tidak ditonjolkan secara jelas. Kalau tak silap aku menurut sejarah antara sebab lain Merong diangkat menjadi raja adalah kerana beliau adalah keturunan Raja Iskandar Zulkarnain. Memang fakta ini ada disebut oleh Kesum tapi ia tidak ditonjolkan dalam soal pertabalannya sebagai raja.
    • Satu lagi kelemahan ketara dalam filem ini adalah babak pertempuran. Jelas sekali kita kekurangan pelakon tambahan yang berkualiti dalam aspek ini. Askar yang bertempur terlalu menampakkan ke'amatur'an mereka. Mereka menumbuk, memanah mahupun menghayun pedang bukan sahaja dengan teknik yang betul malah tidak bersungguh-sungguh. Mungkin untuk menyelesaikan masalah ini KRU sepatutnya mendapatkan kerjasama daripada ahli-ahli pertubuhan silat atau seni beladiri yang lain agar babak pertempuran akan nampak lebih "real" dan bukannya mengambil pelakon secara tangkap muat di kalangan penduduk yang tinggal dengan berhampiran dengan lokasi pengambaran. Babak pertempuran antara watak-watak utama seperti Merong, Kemawas dan Marcus boleh dikatakan baik namun ia dicacatkan dengan teknik mempercepat pergerakan video yang aku yakin sebenarnya benda tu dibuat untuk menampakkan ketangkasan pelakon dalam bertempur. Malangnya ia dah jadi macam kartun dan tak normal.
    Aku rasa cukuplah setakat itu untuk aku buat 'complain' sebagai peminat filem tempatan. Actually ada lagi beberapa perkara tapi aku rasa cukup la kot. Mungkin ramai yang akan cakap, "Dah bajet takde, macam mana nak dapat filem berkualiti?". Namun bagi aku soal bajet memang penting tapi yang lebih penting adalah bagaimana kita dapat memanfaatkan kreativiti minda kita dengan sumber kewangan yang ada. KRU adalah antara tenaga kerja filem tempatan yang berbakat. Yusry contohnya antara individu terawal yang berani menggunakan CGI dalam karya-karyanya. Tapi kali ini nampaknya KRU gagal menghasilkan sesuatu yang bermutu sekurang-kurangnya dari kaca mata seorang penonton kecil seperti aku. Semoga KRU akan lebih teliti dan bersedia dalam penghasilan sebuah filem epik seperti ini.

    1 comment:

    Idmalina Mohamad Ideris said...

    eid pun baru berkesempatan menonton HMM jumaat lepas. secara rafly, filem ni ok. sekurg2nya kru keluar dr skop genre filem malaysia yg terlalu ringan. hantu la ape la...
    sepanjang eid duk menonton filem ni pun, komplain yg hampir sama dgn en razin...but i think, kru boleh bagi yg lebih baik dr ni...

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...