Sunday, April 26, 2009

Red Warriors: Kau Tetap Juara!

Setelah bertarung selama 120 minit, Kelantan terpaksa akur dengan kehebatan Selangor apabila tumpas 1-4 menerusi sepakan penalti dalam aksi final Piala FA malam tadi. Aku yakin para pemain, jurulatih dan pengurusan skuad telah memberikan yang terbaik cuma nasib sahaja tak menyebelahi Kelantan. Pada mulanya aku nak juga ke stadium tapi sebab takde member yang nak join skali so aku tak jadi pergi. Lagipun pada malam yang sama, anak-anak buah aku budak-budak nasyid SAMT Hisamuddin Klang, berentap dalam final pertandingan nasyid MTQ peringkat negeri. Hati aku jadi berbelah bagi jadi untuk berlaku adil, dua-dua aku tak pergi dan aku hanya menonton final Piala FA dari rumah sahaja.

Secara umumnya perlawanan berlangsung dengan menarik walaupun kedua-dua pasukan lambat panas. 10 minit pertama Selangor lebih banyak menyerang ke kubu Kelantan. Kemudian barulah Kelantan mendapat rentak. Kedua-dua pasukan saling menyerang untuk memburu gol tapi tetap gagal memecah kebuntuan sehingga tamat 90 minit masa permainan. Kelantan mendapat sekurang-kurangnya 2 peluang terbaik melalui suasana kelam kabut di kotak penalti Selangor namun gagal disempurnakan oleh Khalid Jamlus apabila Nasriq Bahrom berjaya mengeluarkan bola di depan gawang Selangor yang terbuka luas. Ia diikuti pula tendangan bebas Indraputra yang terkena palang gol walaupun Hamsani Ahmad sudah tertewas. Serangan bertali arus Selangor juga gagal menembusi gol Kelantan yang dikawal kemas oleh Shahrizan Ismail.

Harapan bersinar seketika buat Kelantan apabila Nor Farhan Mohamad menjaring gol pada awal 30 minit masa tambahan. Namun tak lama kemudian Selangor menyamakan kedudukan menerusi Amri Yahyah. Memang bahaya pemain ini. Aku tengok dia sangat rajin naik menyerang dan turun bertahan sepanjang perlawanan. Dia juga sering mampu menjaringkan gol-gol penting dalam setiap perlawanan. Lihat saja dalam separuh akhir Piala FA ketika bertemu Perlis. Dia berjaya menjaringkan gol pada minit-minit akhir permainan sekaligus meleburkan harapan Perlis. Semalam sekali lagi dia berjaya lakukan untuk memusnahkan impian Kelantan. Jika tidak kerana digantung oleh AFC ekoran insiden meludah pemain lawan ketika bertemu Kuwait beberapa tahun lalu, tentunya dia mampu memberi sumbangan bermakna kepada skuad negara.

Apapun walaupun Indraputra dan Zairul Fitree gagal menyempurnakan sepakan penalti yang membawa kepada kekalahan Kelantan, mereka tidak harus dipersalahkan. Bolasepak adalah permainan berpasukan dan masing-masing telah melakukan yang terbaik. Kelantan masih boleh tersenyum kerana mereka kalah secara bermaruah. Dan mereka tetap juara di hati kami peminat Kelantan. Kita masih ada dua piala untuk diburu iaitu Piala Malaysia dan Piala Liga. Kita hanya baru terlepas satu piala.
Disebalik kemeriahan perlawanan dan aksi di atas padang ada juga babak-babak menarik diluar padang yang terakam dan tidak ramai yang menyedarinya. Antaranya ialah kehadiran tokoh-tokoh politik dari Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional yang bersama-sama memberi sokongan kepada kemajuan bolasepak negara. Selain daripada Dato' Ahmad Shabery Cheek selaku Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Khalid Ibrahim, Tan Sri Anuar Musa, YB Azmin Ali yang terpapar wajah mereka di kaca TV, ada ramai lagi tokoh lain yang turut hadir. Ramai yang tidak menyedari Dato' Seri Anwar Ibrahim turut hadir selain daripada pimpinan kerajaan negeri Selangor antaranya YB Yaakop Sapari dan YB Iskandar Samad yang juga exco kerajaan negeri, serta pimpinan lain seperti YB Nik Nazmi, YB Amirudin Sahari, Shamsul Iskandar Mat Akin (Ketua Pemuda PKR) dan lain-lain lagi. Di sebelah kontigen Kelantan pula, selain Tan Sri Anuar Musa selaku Presiden KAFA dan mantan Pengerusi UMNO Kelantan turut hadir ialah Exco Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan Kelantan iaitu YB Abd Fatah Mahmood. Yang Amat Mulia pasangan diraja Tengku Temenggong dan Cik Puan Temenggong Kelantan yang kisah mereka sedang "panas" diperkatakan diakhbar minggu ini turut berangkat mencemar duli. Inilah uniknya bolasepak. Ianya mampu menyatukan rakyat seluruhnya.
Akhir kata syabas untuk kedua-dua pasukan. Dan kepada the Red Warriors, usahlah bersedih. Perjuangan kita masih panjang. Anda tetap juara di hati kami. Gomo Kelate Gomo!


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...