Friday, November 26, 2010

Fenomena Maher Zain

Sejak kebelakangan ini para peminat dan aktivis nasyid mula bercakap memberi perhatian mereka kepada seorang ikon baru dalam industri nasyid antarabangsa yang turut sama menarik minat penggiat industri muzik secara umumnya. Aku masih ingat ketika menghadiri majlis kesyukuran anjuran Inteam Records tidak lama dulu,  seorang penggiat muzik terkenal tanah air berkata, “ Hmm.. tak sangka ya album nasyid pun boleh macam ni..”. Beliau sebenarnya merujuk kepada album Maher Zain yang menjadi buah mulut di kalangan peminat muzik nasyid ketika ini. Memang benar, apa yang dibawa oleh Maher Zain sangat segar dan menepati citarasa peminat muzik dewasa ini. Malah aku rasa tidak salah jika aku katakan bahawa Maher Zain telah membawa nasyid ke satu tahap baru yang mencetuskan satu fenomena dalam dunia nasyid khususnya.



Ni la video klip Maher Zain yang pertama aku tengok

            Kali pertama aku mendengar tentang Maher Zain adalah ketika saya menonton videoklip persembahan beliau dalam satu persembahan pentas yang disebarkan secara meluas melalui youtube dan facebook. Melodi lagu berjudul Barakallah yang dinyanyikannya terus ”melekat” di telinga aku. Sejak itu aku mula mengikuti perkembangan dan album dia melalui internet. Jika para peminat melihat dari sudut keenakan melodi dan lirik lagunya, penggiat nasyid seperti aku lebih berminat untuk mengkaji kualiti bunyi, intrumentasi, elemen muzik, pengisian lirik serta proses produksi secara keseluruhannya. Setelah aku teliti aspek-aspek ini, ternyata Maher Zain jauh kehadapan berbanding kami di Malaysia. Maka tidak hairanlah peminat Maher Zain di Malaysia sahaja pun dikatakan mencapai angka ratusan ribu.

Aksi Maher Zain di Shah Alam

            Namun untuk menghasilkan album atau karya yang mendapat mendapat sambutan hangat di peringkat antarabangsa sebagaimana yang dilakukan Maher Zain memerlukan kos yang bukan sedikit. Bakat semata-mata tidak mampu membawa kita ketahap itu. Sebaliknya usaha gigih yang disokong oleh pelaburan yang besar serta strategi pemasaran yang berkesan diperlukan dalam merealisasikannya. Mungkin kos penghasilan sebuah videoklip Maher Zain sahaja pun boleh menampung kos produksi 2 atau 3 album nasyid di Malaysia. Mungkin begitulah boleh aku gambarkan betapa tingginya pelaburan wang ringgit untuk menghasilkan karya sebegitu. Soal modal dan sumber kewangan sememangnya menjadi kekangan bukan sahaja kepada penggiat nasyid tetapi penggiat seni di Malaysia secara umumnya. Namun segalanya itu tidak sama sekali akan mematahkan semangat kami untuk terus berkarya dan  memberikan yang terbaik kepada para pencinta irama nasyid agar ianya tidak akan hilang di telan masa.


p/s: Khabarnya Maher Zain akan datang lagi ke Malaysia Febuari depan

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...