Saturday, March 27, 2010

Perlukah Mursyidul Am Baru?

23 Mac lepas yang juga jatuh pada hari jadi aku ( sempat promote tuh..hehehe) Majlis Syura Ulamak PAS telah melangsungkan mesyuarat pertama sesi baru. Berdasarkan pindaan terbaru perlembagaan PAS, anggota Majlis Syura Ulamak adalah terdiri daripada 4 orang yang dilantik oleh AJK PAS Pusat, 4 orang daripada Dewan Ulamak PAS Pusat dan masing-masing dua daripada Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Kesemua mereka mestilah terdiri daripada ulamak. 12 orang anggota ini kemudiannya akan memilih 5 lagi individu untuk menganggotai majlis ini menjadikan jumlah keseluruhan 17 orang.


Yang paling menarik minat ramai adalah teka teki kerusi Mursyidul Am sama ada ia kekal disandang oleh Tok Guru Nik Aziz atau tidak. Semalam TGNA mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sedia menyerahkan kerusi tersebut kepada orang lain namun akan tetap akur memikul amanah sekiranya diminta oleh parti. Beliau menjelaskan rekod kehadiran beliau dalam mesyurat majlis syura agak buruk kerana masalah kesihatan beliau. Peranan beliau dalam mempengerusikan mesyuarat selalunya terpaksa diambil alih oleh timbalan beliau iaitu Dato Dr Harun Din.



TGNA Aset Strategik PAS
Tiada sesiapapun dapat menafikan bahawa TGNA adalah tokoh yang paling dihormati oleh seluruh masyarakat Malaysia baik yang Muslim mahupun non-muslim. Malah beliau juga turut menjadi rujukan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Dato Seri Anwar Ibrahim sendiri dalam mengendalikan isu-isu penting dan strategik. Ini terbukti ketika Pakatan Rakyat cuba mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan sebelum Tun Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan dimana Anwar, TG Hj Hadi diiringi Dr Harun Din terbang ke Kota Bharu untuk meminta pandangan TGNA. Orang-orang UMNO sendiri pun tak ramai yang tergamak untuk bercakap buruk tentang TGNA. Rekod 'bersih' beliau (yakni tanpa kes rasuah dan penyelewengan) sepanjang 20 tahun memerintah Kelantan menyebabkan masyarakat Cina dan India juga amat menghormati beliau. Dakwaan penyelewengan memang ada tapi ianya hanya tinggal dakwaan dan cerita kosong sebab beliau dan anak-anak buahnya tidak pernah disabitkan dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa di mana-mana mahkamah di Malaysia. Tapi aku takdela cakap pemerintahan TGNA di Kelantan langsung takde cacat cela. Mana ada insan yang sempurna selain Rasulullah beb!

TGNA ketika dikunjungi Siti Nurhaliza & Dato K

Tak Perlu Orang Baru
Jadi bagi aku PAS tak perlukan Mursyidul Am baru sebab PAS masih memerlukan TGNA sekurang-kurangnya sebagai Ikon penting untuk menarik sokongan masyarakat Malaysia. Setakat ini ketokohan dan kredibiliti beliau dari kaca mata masyarakat Malaysia belum dapat ditandingi walaupun oleh Presiden PAS sendiri. Mengenepikan Nik Aziz hanya akan menimbulkan polemik yang mungkin menjejaskan sokongan masyarakat kepada PAS sendiri. Setakat masalah tak dapat hadir mesyuarat di KL kerana faktor kesihatan bukanlah masalah besar yang boleh menyebabkan TGNA gagal berfungsi sebagai Mursyidul Am. TGNA bukan saja dilihat sebagai tokoh agama yang mempunyai ilmu yang tinggi tetapi juga seorang tokoh politik yang berjaya.

Dato Dr Harun Din

Kalau Perlu Siapa Orangnya?
Jika perlu diganti juga TGNA dengan orang baru, dalam kepala aku cuma ada satu nama iaitu Dato Dr Harun Din yang juga Timbalan Mursyidul Am sekarang. Pada pandangan aku, keilmuan beliau dalam bidang agama boleh dikatakan setanding dengan TGNA cuma masalahnya beliau masih belum mampu menterjemahkan kejayaan beliau sebagai pemimpin politik. Beliau pernah bertanding beberapa kali di Perlis tapi tewas. Maka dengan itu corak kepimpinan beliau sebagai pemimpin politik dan kerajaan belum lagi teruji.



Apapun kita tunggu sajalah keputusan mesyuarat majlis syura Isnin ini. Kita tengok ada kejutan atau tidak dalam mesyuarat itu nanti. Aku rasa ramai juga pemerhati politik macam aku yang menanti penuh minat tentang isu kerusi Mursyidul Am PAS ni. Apa lagi kita boleh buat? tunggu jelah..hehehe

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...