Monday, March 8, 2010

Tenggelam Dalam Dunia Maya

       Dewasa ini kita hidup di kelilingi oleh teknologi yang pelbagai terutamanya melibatkan teknologi maklumat dan komunikasi yang kita sebut sebagai ICT. Kalau kita tengok remaja khususnya, mereka melengkapkan diri dengan pelbagai gajet seperti iPod, GPS, PDA, DigiCam, telefon bimbit dan sebagainya. Kewujudan telefon bimbit yang mempunyai gabungan fungsi peralatan yang disebut tadi memudahkan lagi pengguna untuk memanfaatkan setiap teknologi yang ada. Ditambah pula dengan kemudahan internet yang agak mudah dan murah untuk dicapai, manusia semakin galak memanipulasi teknologi untuk memudahkan perjalanan hidup seharian. Kadang-kadang, sampai tahap kita akan rasa hidup kita tak lengkap bila tiada kemudahan internet di sisi. Padahal sebelum internet wujud, kita boleh sahaja menjalani hidup dengan lancar seperti biasa.

       Satu lagi perkara yang popular di kalangan remaja sekarang ialah laman sosial internet. Hari ini ada pelbagai laman sosial yang menawarkan pelbagai item yang menarik pelayarnya seperti Facebook, Twitter, Friendster dan bermacam lagi. Laman sosial sebegini diwujudkan dengan tujuan yang baik bagi menambah kenalan serta memudahkan kita berhubung dengan kawan-kawan sedia ada. Namun penggunaan secara tidak terkawal dan cermat boleh mendatangkan kesan buruk. Kegairahan kita berkongsi maklumat peribadi boleh mengundang padah sekiranya maklumat tersebut jatuh ke tangan yang salah. Penjenayah juga boleh mengambil kesempatan untuk memanipulasi maklumat tersebut untuk tujuan jenayah.Malah terdapat juga kes, di mana pekerja dibuang kerja didapati mengutuk atau mencerca majikan di laman sosialnya.

    Sebahagian ulama Indonesia pernah mengeluarkan fatwa mengharamkan laman “facebook” kerana penggunaan secara berlebihan boleh membawa kesan buruk apabila terdapat individu yang seolah-olah ketagih melayari laman tersebut sehingga melupakan urusan kehidupan di alam nyata. Suami atau Isteri yang terlalu asyik dengan facebook sehingga terlupa untuk melaksanakan urusan rumah tangga sehingga boleh menggugat keharmonian rumah tangga. Perkara-perkara seperti inilah yang harus dielak. Aku sendiri pun punya teman-teman yang agak ketagih dengan laman sosial ni walaupun tidaklah kronik dan mendatangkan masalah. Mereka sanggup bangun di tengah malam untuk melayari laman sosial mereka. Apatah lagi dengan kewujudan ‘internet games’ yang bersifat ‘real time’ seperti mafia wars, Farmville dan lain-lain lagi memberi keseronokan baru kepada para pelayarnya.

     Sebagai manusia yang diangkat sebagai khalifah Allah di muka bumi, kita harus bijak memanfaatkan teknologi, Janganlah pula kita yang terperangkap dengan dunia maya ciptaan kita sendiri sehingga mendatangkan kesan buruk kepada kehidupan sebenar kita di alam hakiki. Sekian.

Saturday, March 6, 2010

Ape Kerajaan Dah Takde Duit Sangat Ke?

Semasa menghadiri beberapa siri mesyuarat dengan beberapa agensi kerajaan yang terlibat dalam Bintang Nasyid Mu'min baru-baru ini, aku sempat mendengar keluhan mereka tentang bajet jabatan mereka yang dipotong dalam belanjawan terkini kerajaan. Bajet kena potong ni perkara biasa cuma apabila nilai peruntukan yang dipotong tu menyebabkan sebahagian operasi terjejas atau beroperasi dalam keadaan yang 'sesak' adalah sesuatu yang luar biasa. Apatah lagi kalau sektor yang terjejas itu adalah sektor kritikal seperti sektor pendidikan.

Menteri Pelajaran : Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tahun ini contohnya beberapa aktiviti kokurikulum pepelajar terpaksa ditiadakan kerana kekurangan peruntukan. Pada awal tahun ini, pihak Kementerian Pelajaran mengumumkan pemotongan bajet bagi program Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia ( MSSM) kepada 1.5 juta berbanding 6 juta pada tahun 2009. Ini menyebabkan 11 daripada 24 acara sukan digugurkan daripada kejohanan MSSM peringkat kebangsaan. Pengguguran acara sukan yang sebahagiannya tersenarai dalam Program Road To London 2012 turut mendapat bantahan daripada persatuan-persatuan sukan kebangsaan. Pihak Kementerian Pelajaran akhirnya menarik balik pengguguran itu setelah mendapat peruntukan tambahan lebih kurang 700 juta daripada Kementerian Kewangan. Kontroversi ini turut menimbulkan suara-suara nakal yang mempertikaikan kemana perginya wang yuran MSSM yang dibayar RM4 setahun oleh lebih 4 juta pelajar yang berjumlah 16 juta. Aku pun tak reti nak jawab soalan tu sebab mereka yang berkenaan saja yang tahu.

Aku juga mendapat maklumat, tahun ni program MTQ (Majlis Tilawah Al Quran) yang mempertandingkan acara-acara berbentuk keagamaan seperti nasyid, marhaban, tilawah, hafazan dan sebagainya tidak dilangsungkan. Malah pihak sekolah digalakkan untuk mengadakan pertandingan secara internal sahaja bagi aktiviti-aktiviti ko kurikulum yang tidak dijalankan di peringkat antara sekolah. Aku sendiri pun seringkali terlibat dalam pertandingan nasyid sempena MTQ baik sebagai jurulatih mahupun hakim. Namun nampaknya tahun ini, takdelah lagi.

Ni le anak-anak buah aku..huhu

Ini bukanlah kali pertama dunia mengalami krisis ekonomi yang turut menjejaskan Malaysia. Pada penghujung 90-an contohnya, kita juga mengalami masalah ekonomi namun seingat aku ianya tak pernah menjejaskan aktiviti pelajar-pelajar di peringkat sekolah. Ia belum lagi kita bicarakan tentang pemotongan elaun atau faedah tertentu yang diterima oleh cikgu-cikgu kita yang mungkin boleh menyebabkan moral dan produktiviti mereka terjejas.

Pada pandangan aku, kita tak perlu berbangga dengan kemampuan kita untuk menaja pasukan F1 atau menganjurkan program-program mewah sehingga menjejaskan keperluan asas rakyat. Dasar 1 Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri mesti dilaksanakan dengan semangat dan tujuan yang betul yakni memberi manfaat kepada rakyat satu Malaysia dan bukannya kelompok tertentu sahaja. Semoga para pemimpin negara mengambil serius tentang hal ini.

Wednesday, March 3, 2010

Lagu Terpanjang dan Menyentuh Hati

Kepenatan
Kebelakangan ini aku memang kurang 'motivasi' untuk menulis kat blog aku ni. Mungkin sebab banyak kerja yang perlu aku selesaikan di pejabat. 2-3 minggu lepas aku banyak menumpukan masa dan tenaga untuk buat persediaan dan melaksanakan Malam Sinar Maulidurrasul di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man Kuala Terengganu. Kemudian disambung dengan Family Day NC juga di KT. Balik ke Shah Alam, aku terus sambung dengan preparation untuk Bintang Nasyid Mu'min yang akan bermula 13 Mac ni.Kalau nak dikira letih, memang letih beb!Tapi aku tetap enjoy sebab dah memang minat dan keje aku.Hehehe..



Menyentuh Hati
Bila ada masa terluang kat office, aku selalu buka youtube dan cari lagu-lagu yang best terutamanya daripada luar negara. Sebagai orang yang terlibat dengan kerja-kerja produksi album, aku cuba mencari inspirasi dan idea-idea baru untuk produksi-produksi album yang bakal aku terbitkan nanti. Nak dijadikan cerita semalam aku terjumpa satu lagu yang sedap telinga aku mendengarnya dan sangat menyentuh hati aku. Aku mulanya tengok video yang takde sarikata. Dengan ilmu bahasa arab yang sangat sedikit masa aku belajar bahasa arab komunikasi tingkatan 1-3 dan bahasa ketiga di universiti, dapat la aku faham tak sampai 5 peratus daripada keseluruhan lirik lagu tu.



Berdasarkan melodi lagu dan susunan muziknya, aku dapat rasa ianya sebuah lagu yang mood dia agak sedih dan menginsafkan. Paparan video juga menunjukkan mood yang sama. Dalam keadaan aku hampir tak faham langsung liriknya, aku cuba hayati lagu tu dan secara spontan air mata aku menitis. Bukan sebab video yang dipapar sebab sebelum ni aku pernah tengok yang lebih teruk daripada tu tapi aku selamba je. Hati aku tersentuh sebab melodi dan muziknya. Baru aku dapat rasakan penangan bahasa muzik buat pertama kalinya. Ini memberi bukti bahawa cerita yang kita dengar tentang kehebatan Al Farabi membuat orang ketawa dan menangis apabila memainkan alat muziknya adalah sesuatu yang benar.Air mata aku terus bergenang hampir sepanjang aku mendengar lagu ini tapi yang bestnya, takde sorang pun budak office aku perasan.hohoho..



Al Dhomir Al Arabi (The Arab Conscience)
Aku kemudiannya jumpa video yang ada sarikata dalam bahasa Inggeris maka baru lah aku faham keseluruhan lagu ni. Secara umumnya mesejnya adalah untuk menyeru kepada keperihatinan umat manusia seluruhnya dan bangsa arab khususnya kepada nasib mereka yang menghadapi konflik dan penindasan terutamanya di timur tengah, orang arab juga adalah saudara kita walau berlainan negara. Lagu yang dicipta oleh Ahmed Al Arian melibatkan puluhan artis daripada negara-negara arab sepertii Lebanon, Syria, Mesir, UAE, Bahrain, Kuwait, Jordan dan diterbitkan dalam bulan Febuari 2008. 10 tahun sebelum itu, beliau telah mengetuai projek pembikinan lagu yang hampir sama objektifnya dengan penglibatan ramai artis arab melalui lagu yang berjudul The Arab Dream. Kali ini lebih ramai artis yang terlibat. Antara artis arab terlibat yang aku kenal (tapi diorang tak kenal aku) ialah Amal Hijazi, Nancy Ajram, Abdullah Rowaished, Wael Jassar dan Hany Shaker. Yang lain-lain tu first time aku dengar nama mereka. Lagu ni juga aku rasa lagu paling panjang aku pernah dengar iaitu lebih kurang 40 minit. Dalam durasi biasa 40 minit ni dah macam 8 lagu. Oleh sebab terlalu panjang jugaklah videoklip lagu ni terpaksa dibahagikan kepada 5 bahagian untuk di upload ke youtube.



Keistimewaan Lagu-Lagu Arab
Lagu-lagu arab ni punya keistimewaan tersendiri pada pandangan aku terutamanya dari sudut gaya bahasa liriknya yang sangat indah dan lenggok melodi lagunya. Setiap kali aku mendengar lagu-lagu arab, aku akan cuba cari sarikata dalam bahasa Inggeris atau Melayu. Bila aku amati memang tak dapat dinafikan jika ikut istilah majalah Ujang, lirik diorang memang sangat cantik tahap 8. Metafora yang digunakan adakalanya sesuatu yang tak pernah terlintas di fikiran kita. Patutlah Allah turunkan Al-Quran dalam bahasa Arab. Allah nak tunjukkan kat orang Arab walaupun mereka punya bahasa yang indah dan hebat, Allah berkuasa mencipta sesuatu gaya bahasa yang lebih indah dan hebat daripada apa yang mereka tuturkan.



Lenggok melodi lagu Arab juga sangat sukar untuk kita tiru atau lagukan. Notasi muzik mereka pun hingga ke peringkat quarter note yang sangat-sangat jarang kita temui dalam lagu-lagu berbahasa Melayu atau Inggeris. Half note pun jarang jumpa, ini kan pulak quarter note. Kalau korang nak mudah faham, yang dimaksudkan quarter note adalah bunyi yang cikgu-cikgu tarannum kita istilahkan sebagai suara yang sumbang tapi sedap masa kita melagukan Quran. Camtulah lebih kurang. Aku nak explain lebih-lebih, aku pun bukannya pandai sangat.huhu.. Oklah aku rasa cukuplah setakat ni buat kali ini. Korang hayatilah lagu yang aku sediakan untuk korang ni. Hayatilah ia, mana tahu kot-kot korang pun boleh tersentuh bila dengar lagu ni.. Enjoy it! Wasallam..

Thursday, February 11, 2010

2010: Industri Nasyid Kembali Meriah

Tahun 2010 insya allah akan menjanjikan kemeriahan bagi industri nasyid. Ini kerana dianggar lebih daripada 10 artis nasyid yang akan tampil dengan “full album” baru mereka.Antaranya ialah Hijjaz, Saujana, NowSeeHeart, Amrain, Rabbani dan banyak lagi selain Mestica sendiri. Ini adalah satu perkembangan yang sangat baik. Dengan adanya album-album baru maka aktiviti nasyid di seluruh negara akan kembali rancak. Masing-masing akan sibuk melakukan promosi di radio dan tv malah para peminat nasyid akan kembali berpeluang menonton prlbagai konsert nasyid di seluruh negara. 2010 seolah-olah memberi semangat baru kepada para penasyid untuk terus berkarya setelah kecewa dengan prestasi jualan album yang sangat teruk sebelum ini. Sebab itulah kebanyakan artis-artis nasyid telah hampir 2 atau 3 tahun tidak mengeluarkan full album. Kumpulan aku sendiri, Mestica, telah 2 tahun tidak tampil dengan album baru.

Apa yang kami harapkan daripada para peminat nasyid, berilah sokongan padu kepada produk-produk nasyid yang bakal di keluarkan nanti. Belilah yang original dan janganlah ‘membunuh’ kami dengan senyap melalui aktiviti download secara haram di internet, membeli produk cetak rompak dan sebagainya. Bukanlah kami terlalu mengejar keuntungan kerana terus-terang saya katakan penjualan CD baik nasyid mahupun genre lain, tidaklah menjanjikan pulangan besar malah dalam banyak kes, pelabur akan mengalami kerugian dari segi kewangan. Apa yang membuat kami masih bertahan hari ini hanyalah cita-cita, rasa tanggungjawab dan semangat perjuangan kami untuk memastikan lagu-lagu nasyid akan terus berkumandang dan tidak luput ditelan zaman.

Monday, January 4, 2010

Menjaga Kesucian Nama Allah

Emosi umat Islam di Malaysia ini mungkin sedikit terganggu dengan isu penggunaan nama Allah yang kembali hangat diperkatakan setelah Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Lau Lee Ban memutuskan bahawa bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan 'Allah' adalah tidak sah dan batal. Dalam penghakimannya, beliau menyatakan perkataan Allah bukan hanya eksklusif untuk Islam sekaligus membenarkan pihak gereja katolik melalui penerbitan The Herald mahupun penerbitan bukan Islam yang lain, menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi perkataan 'Tuhan' dalam versi bahasa Melayu mereka. KDN bagaimanapun akan memfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut bersama-sama Jabatan Perdana Menteri.

Islam Menang Dengan Hujah
Dalam menangani isu ini, mana-mana pihak sekalipun yang cenderung untuk menentang keputusan mahkamah ini harus tidak terlalu mengikut emosi walaupun hakikatnya hati kita memang terguris. Dalam sejarah panjang umat Islam, dalam setiap 'pertempuran' Islam menang dengan hujah dan bukanlah dengan menggunakan konsep "dictatorship" walaupun kita berada di pihak yang lebih 'superior'. Sebab itulah kita punya tokoh-tokoh ulamak Islam yang digelar "Hujjatul Islam" seperti Imam Al Ghazali mahupun Ibnu Taimiyyah. Malah dalam tahun terkebelakang ni pun kita punya tokoh yang terkenal dengan hujah bernas mereka dalam isu perbandingan agama seperti Almarhum Syeikh Ahmad Deedat mahupun Dr Zakir Naik. Kemenangan dengan hujah yang bernas adalah perlu agar Islam terus dihormati kawan ;dan lawan.

Penggunaan 'Allah' di Malaysia
Dalam konteks Malaysia,pada pandangan aku masyarakat umum sejak sekian lama mengiktiraf bahawa Allah dirujuk sebagai tuhan orang Islam. Dah 27 tahun aku hidup kat bumi Malaysia ni, tak pernah pula aku dengar atau terbaca penganut agama lain menggunakan istilah Allah sebagai tuhan mereka. Dalam erti kata lain istilah Allah adalah kata nama khas yang merujuk kepada tuhan orang Islam walaupun pada hakikatnya Allah adalah tuhan sekalian alam. Oleh yang demikian hujah yang mengatakan Allah ialah istilah Arab bermaksud tuhan dalam bahasa Melayu atau God dalam bahasa Inggeris adalah tidak terpakai dalam konteks Malaysia kerana ia telah menjadi kata nama khas. Sebagaimana mana istilah Yang DiPertuan Agong, sama ada dalam bahasa Inggeris, Melayu atau Arab, ianya akan tetap disebut sebegitu tanpa menukar kepada King dalam bahasa Inggeris atau Al Malik dalam bahasa Arab. Dalam kes ini alasan The Herald bahawa kalimah Allah digunakan untuk bahan penerbitan bahasa Melayu untuk menggantikan istilah God yang dalam bahan penerbitan bahasa Inggeris kerana God bermaksud Allah dalam bahasa Melayu adalah tidak boleh diterima. Jika benar mereka mahu menafsir istilah God ke dalam bahasa Melayu, perkataan yang harus digunakan ialah tuhan. Kita sebagai umat Islam konsisten dalam penggunaan istilah Allah yang merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa sama ada dalam apa jua bahasa.


Kesucian Allah Wajib Dijaga
Sebagai umat Islam adalah menjadi kewajipan kita untuk memelihara kesucian agama Islam termasuklah penggunaan kalimah Allah. Di saat kita mempunyai kekuatan, kita tentunya tidak rela kalimah Allah disamakan dengan konsep trinity anutan Kristian kerana Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa sebagaimana yang wahyukan dalam surah Al Ikhlas dalam kitab suci Al Quran. Jika kita membiarkan sahaja ianya berlaku, seolah-olah kita rela Allah disyirikkan secara terang-terangan. Malah yang lebih kita khuatir ialah umat Islam yang tidak mendalami ilmu agama akan terkeliru malah lebih buruk lagi akidah mereka akan tergugat kerana kekeliruan ini.

Bayangkan jika ada individu yang berniat jahat datang kepaada seorang kanak-kanak atau remaja Islam lalu berkata, "Adik percaya dan menyembah Allah?" Lalu remaja itu menjawab, "Tentulah, saya orang Islam". Orang itu terus berkata, "Agama Kristian juga menyembah Allah.Malah kami hanya perlu sembahyang sekali seminggu saja tak seperti orang Islam yang kena sembahyang 5 kali sehari. Mana lebih senang, sekali seminggu atau 5 kali sehari?" Jawab remaja itu, "Tentulah sekali seminggu".. Orang itu terus mencucuk jarumnya, "Kalau macam tu, lebih baik kamu ikut kami. Agama mana-mana pun takpe.Yang penting kita sembah Allah".

Nauzubillah. Perkara seperti inilah yang ingin kita elakkan berlaku pada masa hadapan.

Apa Tujuan Sebenar The Herald?
Mengapa tiba-tiba saja pihak gereja katolik memohon untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka. Adakah selama ini penganut Kristian tergugat keimanan mereka atau tidak cukup yakin dengan ajaran Kristian kerana istilah Allah tidak digunakan? Tidakkah cukup dengan istilah Jesus Christ, Rohul Kudus atau God dalam ajaran Kristian? Atau permohonan ini sememangnya ada agenda tersembunyi untuk menyebarkan dakyah Kristian kepada orang Melayu Islam? Jika itulah tujuannya, maka perbuatan The Herald itu cuba melanggar perlembagaan Malaysia yang jelas melarang keras penyebaran agama lain ke atas orang Islam. Jika inilah sebabnya KDN bukan sahaja perlu membuat rayuan tetapi juga harus mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka kerana cuba melanggar perlembagaan persekutuan. Lebih membahayakan lagi, isu ini boleh membawa kepada ketegangan kaum yang mengancam kesejahteraan negara. Sanggupkah kita mengorbankan keharmonian yang telah kita bina disebabkan isu yang tiba-tiba diungkit ini?

Bersatu Menegakkan Kebenaran
Dalam menangani isu ini, semua umat Islam tidak kira daripada mana-mana persatuan mahupun apa jua ideologi politik harus bersatu untuk menyelesaikan kemelut ini dengan bijaksana. Dalam menjaga kesucian dan kedaulatan Islam, perkiraan politik atau apa jua kepentingan lain harus ditolak ketepi seketika. Yang benar tetap benar walaupun pahit untuk ditelan. Andai tindakan kita membela agama Allah akan menyebabkan kita kehilangan undi sekalipun, kita wajib untuk melaksanakan. Buktikan kepada dunia bahawa walau seteruk manapun kita, kita akan tetap bangkit bersatu apabila akidah kita diancam. Takbir!!

Saturday, January 2, 2010

Demokrasi vs Khilafah


Adakalanya krisis politik yang melanda Malaysia hari ini seolah-olah tiada penghujungnya. Di Perak contohnya, adengan wakil rakyat bergasak dalam DUN memperlihatkan betapa kartunnya ahli politik kita.Ditambah pula dengan peristiwa persidangan DUN di bawah pokok. Satu dunia mentertawakan kita. Begitu juga dengan peristiwa kehilangan enjin jet pejuang F-5E milik TUDM yang terbongkar setelah 2 tahun kehilangannya. Penjelasan daripada Menteri Pertahanan bahawa pengkhianatan itu hanya membabitkan anggota LLP yakni anggota berpangkat rendah bagi aku amat tidak masuk akal. Adakah pimpinan tertinggi ATM terlalu bangang sehingga tidak dapat mengesan pengkhianatan anak buahnya? Ke mana pula perginya Bahagian Perisikan Tentera dan Cawangan Khas PDRM?hmmm.. ntahlah... Seminggu dua kebelakangan ni, kita dapat pula melihat gelagat orang-orang politik di Kelantan yang cuba menguji pengaruh mereka.. Ditambah pula dengan kelakuan sumbang oleh seorang pemimpin muda parti yang dianggap jemaah Islam. Apa dah jadi dengan politik Malaysia ni?

Sebahagian teman-teman aku yang mungkin dah bosan dengan keadaan politik di Malaysia ini pernah melauahkan, " Orang politik ni sama je. Umno ke, PAS ke, kalau dah politik tu politik jugak. Lebih baik kita kembalikan kuasa kepada Raja-Raja Melayu. Tak perlu lagi sistem demokrasi ala greek ni yang terbukti gagal. Kita angkat sistem khilafah yang pernah membawa Islam mengusai dunia satu ketika dulu. Kalau masih nak ikut demokrasi, aku rasa sampai ni bila pun isu rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan sebagainya tak selesai."

Dalam sistem demokrasi pemimpin diangkat berdasarkan undi majoriti. Dan untuk mendapat undi majoriti salah satunya adalah dengan cara memberi habuan material kepada pengundi. Maka dengan itu seorang pemimpin perlu punya wang yang banyak untuk meraih sokongan. Jika dia tidak memberi habuan material secara langsung kepada pengundi pun, untuk membolehkan dia memberi perkhidmatan terbaik kepada pengundi pun masih membutuhkan wang yang bukan sedikit. Dan cara yang mudah untuk mendapatkan wang adalah dengan rasuah, penyelewengan, kronisme, nepotisme dan sebagainya.

Berlainan dengan sistem khilafah atau beraja yang mana pemimpin diangkat atas dasar bloodline atau keturunan. Sama ada kaya atau miskin, mereka tetap akan diangkat sebagai pemimpin. Sebaik-baik pemimpin yang diangkat adalah dari keturunan Rasulullah SAW. Jika kita selidiki, hampir kesemua kesultanan Melayu yang ada mempunyai blood line yang bersambung dengan Rasulullah SAW. Masyarakat zaman dahulu sememangnya sedar akan kepentingan mengangkat pemimpin di kalangan keturunan Rasulullah demi kemakmuran dan keselamatan hidup di dunia dan akhirat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh At Tabrani "Bintang adalah keselamatan bagi penghuni di langit, sedang ahlul baitku keselamatan bagi penghuni bumi."

Malah Yahudi Zionist juga sedar kekuatan umat Islam akan kembali memuncak apabila keturunan Rasulullah kembali diangkat menjadi pemimpin dunia Islam. Oleh sebab itulah mereka cuba memusnahkan "genealogical aristocracy" (bangsawan warisan yakni keturunan Rasulullah) dan membina bangsawan meritokrasi yang diketuai golongan berduit yang mesra kapitalis. Dan salah satu cara untuk mengangkat bangsawan meritokrasi ini adalah melalui sistem demokrasi yang kononnya sistem politik terbaik di dunia. Protokol Zionist ada menyebut "anda akan melihat kemudian bahawa ini akan membantu kemenangan kita, ia memberi kita kemungkinan untuk mendapat 'kad induk' iaitu pembinasaan golongan bangsawan warisan (genealogical aristocracy) yang juga satu-satunya golongan menjadi pertahanan semulajadibangsa dan negara daripada serangan kita."

Mungkin ramai yang akan mempertikaikan pendapat ini di sebalik pelbagai kontroversi yang menyelubungi institusi raja-raja Melayu kebelakangan ini. Namun apapun alasannya ianya takkan mampu menafikan sabda Rasulullah SAW yang pasti benar. Kita akui mungkin ada kekurangan atau kecacatan pada institusi kesultanan kita tapi sebagai individu yang cintakan Allah dan Rasul-Nya, kita harus mencari kaedah untuk memperbaiki kekurangan yang ada dan bukannya menolak apa yang telah disarankan oleh Allah dan Rasul-Nya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...