Sunday, October 11, 2009

Masih 50:50 di Bagan Pinang

Proses pengundian bagi PRK Bagan Pinang telah pun bermula sejak awal pagi tadi.Lebih 95 peratus pengundi pos telah menunaikan tanggungjawab mereka semalam berjumlah 4604 undi. Sehingga pukul 1 tengahari tadi SPR telah mengumumkan 51 peratus pengundi telah keluar membuang undi iaitu seramai 4905 orang. Melihat kepada suasana di pusat-pusat pengundian masih ada pihak yang boleh mendabik dada bahawa mereka akan memang walaupun sumber UMNO menyatakan bahawa mereka akan menang dengan majoriti antara 600 hingga 1000 undi. Aku melihat ada faktor yang mungkin diambil kira oleh para pengundi dalam pilihanraya ini.



  • Integriti atau Pembangunan?
Aku tidak pasti sejauh mana isu rasuh politik yang dikaitkan dengan Tan Sri Isa akan mempengaruhi mood pengundi. Berdasarkan pilihanraya 2008, isu integriti tidak begitu diambil perhatian oleh para pengundi di luar kota. Yang penting bagi mereka adalah pembangunan. Jika kemudahan dan fasiliti yang disediakan oleh kerajaan yang memerintah ( dalam konteks ini BN di Negeri 9) memenuhi keperluan mereka, tiada sebab untuk mereka mengalih undi mereka kepada Pakatan Rakyat. Isu pembangunan jugalah yang hampir menewaskan PAS di Manik Urai. Namun soalnya adakah pengundi berpuas hati dengan apa yang ada di kawasan mereka sekarang?
  • Populariti Calon
Dari sudut populariti, Tan Sri Isa mempunyai kelebihan kerana tentunya dia dikenali oleh seluruh rakyat Negeri Sembilan ketika dia menjadi Menteri Besar dahulu. Populariti yang dimaksudkan disini hanyalah merujuk kepada soal kenal atau tidak pengundi terhadap calon yang bertanding. Calon PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkifley Omar tidaklah begitu dikenali penduduk tempatan malah beliau juag tidak menetap dikawasan berkenaan. Isu calon bukan tempatan ini juga dimainkan oleh jentera UMNO dalam kempen mereka. Nama Zulkifley sebenarnya mula harum apabila beliau mengetuai jawatankuasa yang menentang pembinaan insenerator di Broga satu ketika dahulu dan akhirnya berjaya menghalang pembinaan yang dikatakan membawa kesan buruk kepada penduduk.
  • Isu Nasional
Isu di peringkat nasional rasanya tidak mempengaruhi sangat PRK kali ini. Malah di peringkat negeri pun rasanya tiada isu besar boleh dimanipulasikan oleh Pakatan Rakyat. Yang ada pun mungkin melibatkan pergeseran antara Tan Sri Isa dan MB sekarang iaitu Dato Mohamed Hassan. Tapi ianya dinafikan oleh kedua-duanya dan mereka dilihat menjalankan kempen secara bersama. Walau bagaimanapun ada maklumat yang menyatakan bahawa Isa akan disembelih secara senyap oleh kem Mohamed Hassan. Dalam erti kata lain, secara zahirnya sahaja beliau menyokong tetapi hakikatnya tidak. Dakwaan ini ada logiknya kerana Tok Mat tentunya merasakan kedudukan jawatan MBnya terancam dengan kemasukan semula Isa ke DUN Negeri Sembilan.
  • Kempen Samseng
PRK kali ini turut dihiasi dengan dakwaan berlakunya kejadian serangan ala samseng ke atas petugas kedua-dua parti bermula dengan dakwaan oleh Ketua Putera UMNO,Dato Azeez Abd Rahim bahawa beliau ditumbuk. Beberapa hari sebelum kempen terdapat pula dakwaan petugas PAS dipukul malah dilibas dengan pedang samurai. Aku sendiri tak tahu sejauh mana kebenaran kedua-dua kejadian ini namun aku yakin insya Allah rakyat Bagan Pinang akan menghukum mereka yang berbohong. Bagi aku kejadian samseng ini sangat memalukan dan mencemarkan proses demokrasi di Malaysia.


Masih ada lebih kurang 2 jam proses pengundian akan berlangsung. Kita nantikan sahaja keputusannya malam nanti.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...