Wednesday, September 9, 2009

Seri Aidilfitri Kini Di Pasaran..

Kulit depan album (photo by Mass Mohamad)

Album Seri Aidilfitri terbitan Nasyeed Edutainment Publishing Sdn Bhd yang terkenal dengan jenama Nasyeed.Com kini telahpun mula berada di pasaran terutamanya sekitar lembah kelang. Album kompilasi ini menggabungkan pelbagai artis nasyid di Malaysia antaranya Rabbani, Mestica, Wildan, Muadz, Algebra, Itqan, Sofieya, Amrain dan ramai lagi. Album ini mengandungi 8 track termasuk 2 minus one untuk lagu Mubarak Ramadhan dan Seri Aidilfitri. Lagu lain yang turut dimuatkan ialah Bacalah, Fitrah Hari Raya, Indahnya di Hari Raya dan Takbir Hari Raya. Lagu yang dijangka hits tentunya Seri Aidilfitri di mana lagu ini merupakan lagu raya terakhir yang dirakamkan oleh Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim. Malah pengambaran videoklip lagu tersebut juga dibuat tepat seminggu sebelum beliau pulang mengadap ilahi.

Kulit Album (photo by Mass Mohamad)

Bagi diri aku dan malah kebanyakan artis nasyid yang lain, album ini cukup sentimental kerana ianya merupakan kali pertama dan terakhir kami berkoloberasi dengan Ustaz Asri dalam satu lagu. Malah ia juga kali pertama dan terakhir kami dapat bergandingan dalam satu klip video bersama Allahyarham. Pihak team produksi album dan videoklip juga merasakan pengalaman yang serupa. Ini adalah kali pertama dan terakhir Nasyeed.Com dapat bekerjasama dengan Allahyarham Ustaz Asri dalam menjayakan album dan videoklip Seri Aidilfitri ini. Seri Aidilfitri merupakan buah tangan terakhir yang ditinggalkan oleh Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim buat kita semua. Bagi mereka yang tak berkesempatan atau tak jumpa produk ni kat kedai, boleh la membeli terus melalui kedai online Nasyeed.Com di url kedai.nasyeed.com . Akhirnya aku tinggalkan korang dengan videoklip Seri Aidilfitri. Semoga terhibur..

Tuesday, September 8, 2009

Welcome Aboard KD Tunku Abdul Rahman

Tanggal 2 September 2009, sejarah telah terlakar bagi sebuah negara yang bernama Malaysia apabila Tentera Laut Diraja Malaysia telah menerima kapal selam pertamanya yang diberi nama KD Tunku Abdul Rahman. Pembelian kapal selam untuk TDM ini telah menjadi polemik di kalangan ahli dan pemerhati politik tanah air apabila dikaitkan dengan skandal penyelewengan yang bernilai ratusan juta ringgit. Aku tak mahu mengulas lanjut tentangnya kerana aku percaya ramai telah mendengar cerita mengenai tuduhan penyelewengan ini. Lebih malang lagi ada di kalangan ahli politik yang menganggap pembelian peralatan pertahanan merupakan satu pembaziran. Ini adalah satu tanggapan yang sangat salah dan berbahaya.Alasan yang diberikan ialah Malaysia tiada ancaman perang dan aman. Tapi jika kita fikir secara logik, takkanlah nak tunggu berperang baru nak beli. Lagipun pepatah Melayu ada berkata, " Sediakan payung sebelum hujan". Pemilikan aset ketenteraan yang canggih adalah satu langkah cegah rintang (deterrence) yang bertujuan untuk menakutkan dan memberi kegerunan kepada musuh yang berhasrat untuk mengancam kedaulatan Malaysia.



KD Tunku Abdul Rahman adalah kapal selam jenis Scorpene yang berkuasa diesel yang dibangunkan secara usahasama oleh syarikat perancis dan sepanyol. Sebuah lagi kapal selam dari jenis yang sama iaitu KD Tun Abdul Razak akan tiba di Malaysia pada awal Januari depan. Cuma aku tertanya-tanya ke mana pula pergi Kapal Selam jenis Agosta Westland yang turut termasuk dalam pakej pembelian 2 buah kapal selam Scorpene ini. Seingat aku, dalam pakej timbal balas Malaysia turut menerima Kapal Selam Agosta terpakai sebagai kapal selam latihan serta pakej penyusunan semula jadual penerbangan pesawat MAS dengan pihak Perancis. Dalam bahasa mudah, sebenarnya kita buy 2 free 1 menjadikan kapal selam milik negara menjadi 3 buah. Cuma aku pelik akhir-akhir ini takde pulak disebut pasa kapal selam terpakai yang sepatutnya kita dapat tu.. ade sespe yang ada maklumat?

Sunday, September 6, 2009

Bantahan Kuil Seksyen 23: Pembela atau Perosak Islam?


Cadangan pemindahan kuil dari seksyen 19 ke seksyen 23

Ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Dewan Perniagaan Melayu Selangor di Masjid Negeri Shah Alam semalam, aku sempat bertemu dengan seorang ahli majlis Bandaraya Shah Alam. Dalam perbualan panjang kami, aku ada bertanya tentang isu yang sedang hangat diperkatakan oleh penduduk shah alam iaitu rancangan pemindahan sebuah kuil hindu dari seksyen 19 ke seksyen 23. Kebetulan dia turut hadir dalam majlis dialog antara pihak kerajaan negeri Selangor yang turut dihadiri oleh Dato Menteri Besar Selangor, YB Khalid Samad selaku Ahli Parlimen Shah Alam, dan YB Rodziah Rodziah Ismail selaku ADUN Batu 3 bersama dengan wakil penduduk seksyen 23. Aku difahamkan setiap keluarga hanya dibenarkan menghantar seorang wakil dan orang-orang selain daripada seksyen 23 tidak dibenarkan sama sekali masuk ke dalam dewan tempat dialog berlangsung.


Luahan masyarakat hindu

Beliau menceritakan kepada kamu bagaimana sikap dan kelakuan segelintir pihak yang kononnya ingin membela agama Islam tetapi menampilkan akhlak dan perbuatan yang memalukan. Apatah lagi perbuatan-perbuatan itu dilakukan ketika bulan Ramadhan. Aku tak tahulah sama ada mereka ni berpuasa atau tidak. Kalau tengah-tengah puasa pun dah berperangai buruk macam tu, tak tahulah kalau diorang tak puasa. Perlu aku jelaskan di sini bahawa penilaian ayang aku buat ini bukanlah berdasarkan cerita daripada kenalanku tadi semata-mata. Sebaik sahaja aku pulang ke rumah, aku telah membuat carian video di internet dan menonton sendiri rakaman video dialog tersebut. Dan hari ini aku nak kongsi dengan korang semua dan harapnya korang buatlah penilaian sendiri.



Kekecohan di majlis dialog

Majlis dialog ini diadakan bertujuan untuk mendengar pandangan daripada wakil penduduk seksyen 23 terutamanya golongan yang membantah rancangan pemindahan tersebut. Dalam Islam, kita punya adab dan peraturan dalam berdebat atau berhujah. Dan dalam sejarah Islam sendiri pun, Islam menang dengan hujah dan bukan dengan kekerasan, kezaliman atau kekuatan fizikal (perang). Memang kekuatan ketenteraan dipunyai oleh umat Islam akan tetapi ianya hanya akan digunakan sebagai pilihan terakhir setelah jalan dialog atau berhujah ditolak oleh musuh. Namun jika diteliti dalam video-video yang aku kongsikan ini, pihak yang membantah bersikap emosi dan hanya memaki hamun tanpa mahupun mendengar penjelasan daripada pihak kerajaan negeri.


Demo kepala lembu

Baru-baru ini pun pihak yang sama telah membuat demo kepala lembu yang hangat diperkatakan di seluruh negara. Walaupun cuba dinafikan, bagi aku maksud tersirat mereka sangat jelas iaitu cuba menghina agama Hindu yang menganggap lembu sebagai binatang suci mereka. Bagi aku perbuatan mereka ini sangat memalukan malah menjejaskan imej Islam sendiri. Kalau beginilah cara mereka nak membela Islam, baik tak payah lah. Mereka hanya menyebabkan Islam akan dicemuh oleh penganut agama lain malah orang non muslim yang nak cuba dekat dengan Islam pun akan tarik handbrake malah lebih malang lagi terus menjauhkan diri dari Islam. Macam mana dakwah nak sampai kalau dah macam tu? Jadi lu fikirlah sendiri..


Sidang media selepas dialog

p/s: Kat sini aku sertakan pautan artikel yang oleh membantu korang untuk memahami isu ini.selamat membaca..


Wednesday, September 2, 2009

Iftar @ Dewan Perdana Felda

Jom ke Dewan Perdana Felda

"Zin, jom ikut abang ke Dewan Perdana Felda. Abang buat show hari ni. Abang bawak Kak Sham, Syahida dan anak buah abang tapi ada dua tempat kosong lagi,"aku tiba-tiba dapat call dari abang Zaidi petang tu. "Erm.. ok kot.Lagipun memang saya free petang ni. Nanti saya ajak Mass sekali,"jawap aku selamba. "So kita jumpa kat sanalah ye,"balas Abang Zaidi. Nampaknya petang tu 26 Ogos 2009, merupakan kali pertama aku berbuka di situ. Dewan Perdana Felda ni memang antara tempat yang menjadi pilihan utama untuk orang ramai berbuka puasa.Malah tempat ini turut menyediakan artis nasyid untuk menghiburkan para pengunjungnya sejak tahun 2006. Cuma artis dia tidaklah fix macam di Singgahsana yang lock kumpulan Rabbani. Kat sini artis nasyidnya bertukar-tukar setiap hari.

Kak Sham & Co

Aku dan Mass bertolak dari office lebih kurang pukul 5.30 petang. Kami menempuh jalan yang sesak di NKVE mahupun di sekitar Jalan Kuching dan PWTC. Maklumlah, masing-masing nak cepat sampai di rumah untuk berbuka puasa. Kami sampai di Jalan Semarak lebih kurang pukul 7 malam. Sampai je terus ambik makanan. Abang Zaidi & Co dah bersedia di meja dengan juadah masing-masing, menunggu waktu berbuka. Aku ambil nasi, dan lauk pauk yang aku fikirkan sedap untuk aku. Selalunya aku akan ambik seciput-seciput supaya aku dapat merasa semua. Mass cam biasa la, sikit je makanan yang dia ambik. Jaga badanlah katakan. Turut bersama kami hari tu ialah Zamani dan Ustaz Din yang menguruskan persembahan nasyid di situ.

Abg Zaidi bersama Zamani dan Ustaz Din

Lepas habis juadah round pertama, kami turun ke surau di basement untuk solat maghrib. Actually pihak Dewan Perdana Felda turut menyediakan Imam dan bilal untuk membolehkan para tetamu menunaikan solat maghrib sehinggalah terawih secara berjemaah. Persembahan nasyid bermula lebih kurang pukul 8 malam dan tamat setengah jam kemudian. Aku untuk round kedua mulanya bercadang nak merasa spageti yang dihidangkan tapi oleh ramai orang beratur panjang jadi aku ambik laksa je. Then lepas minum aku terus berhenti walaupun ramai lagi tetamu yang meronda-ronda mencari juadah. "Hai Abang Razin, takkan dah berenti dah kot,"tiba-tiba Ika (anak buah Abg Zaidi) mengusikku. "Hujan lebat pun tahu berhenti Ika. Lagipun selera tak berapa nak ada sangat hari ni.huhuhu.." balas aku selamba.

Ika dan Mass : Best kan makan kat sini!

Balik daripada KL, aku dan Mass singgah kat Bazar Aidilfitri berdekat ngan office kitorang. Sempat jug aku membeli buah tangan untuk dibawa pulang ke Kelantan. Dalam 10.30 kami ke Kafe Jom Lepak sebab janji jumpa Ada kat sana. Actually aku nak bayar duit barang yang aku beli kat dia sebelum aku balik kelate. Lama jugak kami bertiga bersembang kat kafe tu. Bila mata masing-masing dah nak lebam barulah kami balik.hoho..

Menung apa tu Mass?

Ooo som!


Iftar @ Hotel Singgahsana: Tribute to Asri Ibrahim

25 Ogos yang lepas aku berkesempatan untuk menghadiri program iftar khas Tribute to Asri Ibrahim yang dianjurkan atas inisiatif Presiden PIN iaitu Bro Mahadi Mohd. Aku ke sana dengan Abg Zaidi yang kena jadi MC hari tu.Aku? Aku tukang makan jela.hihihi.. Majlis hari itu dihadiri tetamu kehormat iaitu bekas Ketua Pengarah IKIM iaitu Dato Dr Ismail Ibrahim. Selain itu yang turut hadir adalah rakan-rakan artis seperti Ustaz Zamri Mantop, Bro Farihin, Leya Az Zahra, Dj Erwan dan Dj Maslina (IKIM) dan ramai lagi termasuklah teman-teman dari gua.com.my serta kumpulan Rabbani sendiri.

MejaVIP: dari kiri Dato Dr Ismail, Bro Mahadi, Ustaz Zamri, Bro Farihin dan Ustaz Asri Ubai

Dalam ucapannya, Dato Dr Ismail meluahkan rasa sedihnya atas kematian allahyarham Ustaz Asri Ibrahim. Beliau masih teringat bagaimana ketika mula-mula Radio IKIM.fm dibuka, Ustaz Asri adalah antara orang yang pertama yang terlintas dibenaknya untuk bekerjasama. Iyalah,menurut beliau takkanlah Radio IKIM hanya diisi dengan tazkirah dan bacaan al quran serta zikir sahaja, tentunya lagu-lagu nasyid juga perlu berkumandang.

Leya Az Zahra dan Dj Maslina Alias

Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya tak lengkap iftar di Hotel Singgahsana jika tanpa persembahan Rabbani. Cuma kali ini tiada lagi suara Ustaz Asri untuk menjadi halwa telinga kita sambil menjamu selera. Makanan kat sini tetap tip top dan banyak pilihan. Yang menjadi tumpuan ramai tentunya kambing panggang. Aku duduk semeja dengan Dj Erwan, Dj Maslina ,Leya Az Zahra dan teman-teman dari Galeri Ilmu. Banyak juga yang kami sembangkan, maklum lah jarang jumpa. Aku, Bro Zaidi, Leya, Dj Erwan dan Dj Mas asyik berborak sampai tak sedar kebanyakan tetamu lain dah balik. Bila kami turut disertai oleh Bro Farihin, Bro Mahadi dan Ustaz Asri Ubai maka perbualan kami semakin rancak. Satu demi satu topik disembangkan. Basically semuanya berkisar tentang nasyid dan hiburan Islam. Tak silap aku, selain Rabbani, kamilah guest yang paling akhir balik sampai meja lain orang hotel dah habis kemas pun, kami masih rancak berbual...
Aku la.. sape lagi.. yang nampak bahu tu DJ Erwan

Bro Farihin dan Zaidi Wildan

Tuesday, September 1, 2009

Ustaz Asri Terus di Kenang

Sejak Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim teman-teman dan para sahabat beliau tidak putus-putus mengadakan majlis tahlil untuk beliau. Aku sendiri sempat menghadiri 3 majlis tahlil yang diadakan oleh Rabbani Production, Kuzie Catering dan Hijjaz Trade Corporation. Rabbani Production telah mengadakannya di pejabar mereka di Manjalara, Kuzie Catering di Wisma PKPS Shah Alam dan Hijjaz Trade Corporation di Teratak Hijjaz. .Malangnya aku tak dapat hadir semasa tahlil diadakan di rumah keluarga allahyarham baik di Bukit Lanchong mahupun di Bukit Beruntung. Selain itu PIN (Persatuan Penggiat Industri Nasyid Malaysia atas inisiatif Bro Mahadi selaku Presiden turut mengadakan majlis tribute khas untuk allahyarham di Hotel Singgahsana Petaling Jaya baru-baru ini.Begitu ramai sekali yang hadir pada setiap majlis, menunjukkan ramainya teman-teman yang begitu menyayangi beliau.



Sewaktu majlis-majlis tersebut diadakan ada juga teman-teman Allahyarham yang berkongsi pengalaman manis mereka bersama hadirin. Bro Farihin Abd Fatah contohnya menceritakan bagaimana ketika bersama dengan Allahyarham di satu kawasan awam di London bersama anggota Nadamurni termasuk Bro. Isman Hijjaz, suara allahyarham yang mendendangkan lagu Maulana ketika itu telah berjaya menarik beberapa kumpulan yang bertelingkah dalam satu piket untuk meninggalkan pertelingkahan mereka dan menikmati persembahan allahyarham bersama Nadamurni. Bro Azadan pula berkongsi hari-hari terakhir beliau bersama allahyarham yang mana allahyarham bersungguh-sungguh meminta Azadan menganjurkan satu program yang dapat mempertemukan semua kawan-kawan mereka. Dalam nada sedih, Azadan menjelaskan tak disangka pula program yang dimaksudkan ialah majlis tahlil untuk Allahyarham Ustaz Asri sendiri.



Apapun, kita harus menerima hakikat bahawa Ustaz Asri Ibrahim tidak lagi bersama kita. Namun legasi perjuangannya akan tetap diteruskan oleh penasyid-penasyid yang ada. Teringat pula kata seorang teman, "Usahlah kita bersedih, mungkin kini Ustaz Asri dibawa kembali ke alam baqa oleh Allah untuk menghiburkan orang-orang soleh di sana". Aku juga doakan Rabbani akan tetap utuh dan terus berjuang walaupun tanpa Ustaz Asri. Ketika menghadiri majlis tribute khas untuk Ustaz Asri, aku sempat merakamkan persembahan Rabbani buat pertama kalinya aku tonton tanpa kehadiran Ustaz Asri Ibrahim di Hotel Singgahsana. Aku minta maaf sebab gambar dia tak elok sangat.Maklum la ambik pun pakai handphone je. Yang jadi lead vocal masa persembahan ini adalah Bro Zul dan Ustaz Asri Ubaidullah. Aku dikhabarkan Ustaz Asri Ubaidullah juga telah secara rasminya dilantik sebagai ketua kumpulan Rabbani yang baru sekaligus sebagai Pengarah Urusan Rabbani Production Sdn Bhd. Saksikanlah sedikit bingkisan yang aku sediakan khas buat korang semua.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...