Tuesday, June 1, 2010

Freedom Flotilla: Sukarelawan Malaysia Selamat, MV Rachel Corrie Teruskan Misi

Pihak Wisma Putra telah mengesahkan bahawa 12 orang rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla dan sebelum ini berada di atas kapal Mavi Marmara kini dalam keadaan selamat walaupun masih ditahan oleh pihak berkuasa Israel di Haifa. Mereka juga dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Menteri Luar Malaysia, Dato Anifah Aman menyatakan pihak Kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk membawa pulang kesemua rakyat Malaysia ke tanah air dengan bantuan serta kerjasama daripada kerajaan Turki, Ireland dan Filipina yang mempunyai kedutaan di Tel Aviv.



Sementara itu sebuah lagi kapal yang membawa bantuan dari Malaysia iaitu MV Rachel Corrie tetap meneruskan misi ke Gaza. Kapal tersebut membawa 6 rakyat Malaysia termasuk 3 orang sukarelawan Perdana Global Peace Organisation (PGPO) yang terdiri daripada Shamsul Akmar Musa Kamal, Mathhias Chang, Ahmad Faizal Azumu dan ahli Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria. Mereka turut disertai oleh wartawan dan jurugambar TV3 iaitu Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin. MV Rachel Corrie ialah kapal utama bagi 6 buah armada kecil yang menjadi kelompok kedua yang cuba memasuki Gaza. Selain Rachel Corrie, Malaysia turut menaja kapal Challenger 1 dan Challenger 2. Menurut Shamsul Akmar selaku ketua misi PGPO, mereka akan cuba memasuk Gaza namun sekiranya terdapat ancaman daripada Israel mereka akan berpatah balik. Rachel Corrie dijangka akan memasuk perairan Gaza pada hari Rabu 2 Jun 2010.



Sementara itu, di sebalik kecaman dunia ke atas tindakan ganas Israel terhadap kapal Mavi Marmara, Timbalan Menteri Pertahanan Israel dengan angkuhnya menyatakan bahawa mereka tetap tidak akan membiarkan mana-mana kapal memasuki Gaza. Pernyataan itu dibuat sebagai respon terhadap usaha kelompok kedua sukarelawan kemanusiaan yang diketuai kapal MV Rachel Corrie. Dalam satu siaran radio Israel seorang anggota Marin berpangkat leftenan menyatakan, mereka berharap dapat menawan MV Rachel Corrie dengan mudah kerana pasukan Israel telah besedia menghalang kapal tersebut. Sama-samalah kita doakan agar Allah SWT menghalang niat jahat Israel dan memberi kejayaan kepada MV Rachel Corrie dalam mencapai misinya.


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...