Monday, May 31, 2010

Berita Terkini: Freedom Flotilla Lifeline 4 Gaza

Taklimat daripada Saudara Zulkifli Mohd Nani

Aku baru saja pulang daripada sidang media Pasukan Pengurusan Krisis Freedom Flotilla Lifeline 4 Gaza yang diadakan di Hotel D'Palma Shah Alam lebih kurang pukul 4.00 petang tadi. Aku ke sana bersama Waie (CEO Nasyeed.Com) dan Zana (Praktikum UiTM) untuk membuat liputan selain mendapatkan maklumat terkini. Setibanya di bilik sidang media, ianya telahpun telah dipenuhi oleh wartawan media cetak dan elektronik serta orang ramai yang ingin mengetahui perkembangan semasa misi tersebut. Sebahagian ahli keluarga 12 orang sukarelawan Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara turut hadir. Taklimat bermula lewat daripada dijadualkan kerana Pengerusi Pasukan Pengurusan Krisis iaitu Saudara Zulkifli Mohd Nani lewat tiba kerana masih cuba berhubung dengan pasukan komunikasi di Gaza.


Dalam taklimatnya, Saudara Zukifli telah menjelaskan pasukan keselamatan Israel telah menyerbu Kapal Mavi Marmara iaitu kapal induk yang membawa semua sukarelawan berjumlah 540 orang daripada pelbagai negara sekitar pukul 5 pagi waktu Malaysia. Maklumat rasmi yang beliau perolehi kira-kira 15 minit sebelum sidang media, seramai 10 orang sukarelawan telah syahid dan berpuluh lagi cedera dalam serbuan ganas tersebut. Pihak Israel melalui media massa mereka mendakwa, mereka melakukan serbuan setelah kapal perang mereka ditembak oleh sukarelawan dari kapal Mavi Marmara. Zulkifli telah menegaskan berita tersebut adalah satu pembohongan besar oleh Israel demi menutup kekejaman mereka kerana pihak konvoi tidak membawa sebarang senjata waima sebatang paku. Semua peralatan yang dibawa adalah berbentuk makanan, ubatan, bahan binaan, alat tulis, peralatan perubatan dan bantuan kemanusiaan yang lain. Dalam perbualan telefon dengan pasukan komunikasi di kota Gaza selama lebih kurang 2 minit, beliau turut dimaklumkan Kapal Mavi Marmara telah ditunda ke Pelabuhan Haifa dan bukannya ke pelabuhan Ashdod seperti yang dinyatakan oleh Israel pada awalnya.

Buat masa ini pasukan pengurusan krisis di Malaysia hanya mengharapkan maklumat yang diperolehi daripada sukarelawan-sukarelawan Palestin di Gaza kerana gagal berhubung secara langsung dengan anggota konvoi. Zulkifli turut menyatakan belaiu masih tidak dapat mengetahui nasib 12 sukarelawan Malaysia yang telah diamanahkan untuk mengetuai unit keselamatan kapal Mavi Marmara bersama sukarelawan-sukarelawan Indonesia. Untuk rekod, sukarelawan Malaysia telah dipimpin oleh Haji Norazman Shamsudin yang juga pimpinan Haluan Palestin.

Serangan yang dilakukan oleh Israel ke atas konvoi Freedom Flotilla ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa kerana ianya telah dilakukan di perairan antarabangsa iaitu kira-kira 65 kilometer daripada pantai Gaza. Oleh itu semua wakil NGO yang menyertai misi Freedom Flotilla Lifeline 4 Gaza menggesa pihak kerajaan Malaysia untuk menggunakan segala saluran dan kekuatan yang ada khusunya untuk mendapatkan maklumat yang tepat daripada kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur tentang kejadian yang berlaku sekaligus memastikan keselamatan semua peserta konvoi. Pemimpin-pemimpin dunia yang cintakan keamanan khususnya pemimpin negara Islam digesa mengutuk sekeras-kerasnya dan melakukan tindakan yang praktikal sebagai tanda bantahan di atas tindakan biadap Israel ini.

Ahli keluarga sukarelawan Malaysia

Turut berucap dalam sidang media tadi adalah wakil-wakil NGO terlibat serta ahli keluarga peserta konvoi dari Malaysia. Ada diantara mereka tidak dapat mengawal emosi kerana memikirkan nasib suami atau bapa mereka yang menyertai misi tersebut. Namun mereka tetap bersemangat dan redha atas apa saja risiko yang bakal diterima demi menjayakan misi kemanusiaan ini. Malah seorang isteri sukarelawan Malaysia dengan tenang menyatakan beliau akan melaksanakan amanat suaminya untuk tidak membawa pulang jenazah beliau ke Malaysia seandainya suaminya itu syahid dalam misi kali ini.
Ucapan penutup wakil-wakil NGO

Zulkifli turut memaklumkan pihak wakil-wakil NGO Malaysia akan menghantar memorendum bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada pukul 11 pagi esok. Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyertai demonstrasi dan perarakan aman yang bakal dilakukan selepas solat Jumaat pada hari jumaat ini bermula di masjid Tabung Haji ke Kedutaan Amerika sebagai menzahirkan bantahan rakyat Malaysia terhadap tindakan ganas Israel ke atas peserta misi kemanusiaan ini. Semua masjid dan surau juga diseru untuk melakukan solat hajat dan bacaan qunut nazilah pada malam ini bagi memohon kepada Allah agar menghalang Israel terus bertindak kejam dan melindungi semua peserta konvoi.
Antara wartawan dan orang ramai yang hadir


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...