Friday, August 14, 2009

Ribuan Ziarahi Allahyarham Ustaz Asri

Geng Nasyeed.Com antara yang awal tiba di tapak perkuburan

Aku, Waie, Ubai, Syaarie, Kerol, Syazman, Zul, King dan Lah bergerak ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam sejurus selepas solat maghrib sebagaimana yang dirancang dengan 2 buah kereta. Kami antara golongan yang awal sampai ke lokasi lebih kurang pukul 8.10 malam. Sampai saja kami liang lahad telah tersedia dan hanya menanti jenazah tiba. Antara yang turut tiba awal ialah Asrul dari Melaka FM dan Abang Farihin Abd Fatah. Selain itu, aku agak surprise apabila melihat Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Khairul Anuar Ahmad Zainudin yang juga Ketua AMK Selangor juga telahpun lebih awal sampai menunggu jenazah tiba. Kemudian satu demi satu sahabat handai dan keluarga tiba. Antara yang kelihatan Yassin, Inteam, Ustaz Amal, Ustaz Sohibul, Tokman dan Faiz Brothers, Naim Mirwana, Halim Libya, Muadz, Abg Hasyim Ngadiman, Ustaz Wan Akashah, Dato Siti Norbahiyah dan beberapa lagi personaliti yang tak dapat aku sebut semuanya di sini. Selain itu, para peminat nasyid juga turut hadir. Antara yang sempat menyapa aku adalah Raihan dan Irah yang datang bersama seorang lagi rakan mereka yang aku tak dapat cam. Geng PA System Nasyeed.Com yang terdiri daripada Aji dan K-Own juga tiba tak lama kemudian.

Ketibaan van jenazah di tapak perkuburan

Jenazah tiba lebih kurang 8.45 malam. Sebaik sahaja nampak van
jenazah, aku dan Syazman serta Abg Farihin terus standby untuk angkat jenazah ke liang lahad dari dalam van. Memang aku dah niat sejak bertolak dari rumah untuk sama-sama mengangkat jenazah Allahyarham buat kali terakhir sebab aku rasa sedikit ralat sebab tak dapat bersama teman-teman lain untuk solat jenazah di Masjid Bukit Lanchong selepas Maghrib tadi. Turut menyertai kami mengangkat jenazah Allahyarham adalah Shamsul Iskandar (Ketua AMK Pusat) dan Asrul (Melaka FM) serta beberapa teman yang lain. Keadaan tanah yang sedikit berair dan becak kerana hujan menyebabkan kaki kami disaluti tanah. Setelah meletakkan jenazah di pinggir liang lahad yang digali, aku mengundur ke belakang untuk memberi ruang kepada sanak saudara terdekat menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir. Seorang demi seorang anak lelaki Allahyarham tampil mengucup dahi ayahanda tercinta diikuti dengan beberapa orang adik beradik Allahyarham. Aku respect habis kepada anak-anak Allahyarham. Walaupun mereka masihterlalu muda, tiada seorang pun di antara mereka yang menitiskan airmata. Ujian sebegitu besar berjaya mereka hadapi dengan tabah walaupun umur mereka masih di peringkat kanak-kanak dan awal remaja. Begitulah berjayanya Ustaz Asri mentarbiah anak-anak beliau.

Sumbangan terakhirku dan sahabat-sahabat yang lain buat Ustaz Asri

Proses pengebumian pun bermula namun aku memerhati darijauh saja. Sempat aku bertanya kepada Abg Asri Ubaidullah saat-saat akhir Allahyarham bersama Rabbani pagi tadi. Pada mulanya dia dapat menceritakan segalanya dengan tenang satu persatu. Namun apabila tiba bab doktor mengesahkan kematian Allahyarham, dia menjadi sebak. Ustaz Amal pula berkongsi dengan pengalaman beliau yang sentiasa membekalkan bahan ceramah agama untuk Ustaz Asri bila diminta oleh Allahyarham. Beliau juga menceritanya betapa ramainya jemaah yang menunaikan solat jenazah sebelumnya. Menurutnya solat jenazah terpaksa dilakukan lebih daripada 10 kali untuk memberi ruang kepada semua yang hadir menunaikannya. Di perkuburan sahaja pun dianggarkan hampir 500 orang yang hadir.

Anakanda Allahyarham yang mengiringi ayahandanya sehingga ke liang lahad

Setelah talkin dan tahlil ringkas selesai dibacakan, hadirin mula
bersurai. Namun masih ramai juga yang tidak berganjak. Ketika aku, Kerol, Abg Halim Libya dan Ustaz Amal rancak berbual, tiba-tiba kami disapa oleh YB Yaakop Sapari yang juga Adun Kota Anggerik merangkap Ahli Exco Selangor yang meminta diri untuk pulang. Tak sangka pula beliau turut hadir dengan hanya berbaju Melayu dan berkain pelekat serta berkopiah. Aku juga sempat berbual dengan dengan kawan lama aku kat UiTM, Khairy Leman. Dia kini telah menjadi pensyarah di Fakulti Muzik UiTM dan dia hadir bersama pelajarnya, Aizudin yang juga aku kenali kerana penglibatannya dalam beberapa pertandingan nasyid peringkat IPT. Dalam ramai-ramai tu, aku cuba mencari Dakmie dan Abg Zaidi Wildan yang sepatutnya dah lama sampai. Namun aku dikhabarkan bahawa Dakmie mengalami sesak nafas dan terpaksa dibawa ke klinik oleh Abg Zaidi.Menurut doktor Dakmie masih terkejut dan agak stress atas kehilangan sahabat baiknya itu.

Sebahagian teman-teman yang hadir memberi penghormatan terakhir

Aku dan geng Nasyeed.Com terpaksa menunggu hampir setengah jam sebelum kereta kami boleh dipandu keluar. Kereta yang terlalu banyak dan terpaksa di'parking' secara berlapis-lapis menyebabkan jalan utama untuk keluar dari kawasan perkuburan terhalang. Oleh kerana perut masih belum diisi, kami singgah di sebuah gerai di Batu 3 untuk menikmati makan malam. Walaupun hakikatnya makanan tu sedap tapi mulut kami terasa seolah-olah tawar je. Mungkin kesedihan kerana hilang seorang sahabat menghilangkan seketika kelazatan juadah kami malam itu. Apapun yang pergi tetap pergi dan takkan kembali lagi. Hanya doa yang mampu kita kirimkan demi kesejahteraan seorang insan yang bernama Ustaz Asri Ibrahim di alam seterusnya..Amin..

YB Yaakob Sapari dan ahli keluarga Allahyarham mengaminkan doa

Diari ditutup 2.40 pagi

2 comments:

akraminHARIRI said...

sedih, hiba sangat...~

sejak dari kecik di besarkan dgn lagu2 nasyid dendangan ustaz..
akhirnya, pergi jua seorang da'ie munsyid ini pada usia yang agak muda..

alfatihah~

Mr.BoOLaNn said...

pergi x kembali,
Moga Allah merahmati...Amin

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...