Thursday, August 13, 2009

Belasungkawa: Al Fatihah Buat Ustaz Asri Ibrahim



Secara jujurnya aku masih terasa seolah-seolah bermimpi dan tak percaya apabila mendapatberita kematian Ustaz Asri vokalis Rabbani yang amat disenangi ramai itu. Namun apakan daya, hari ini lebih kurang pukul 11 pagi tadi Allah SWT menunaikan janji-Nya untuk menjemput Ustaz Asri Ibrahim kembali mengadap-Nya. Aku sebenarnya baru sahaja pulang menziarah dari rumah keluarga Allahyarham di Bukit Lancong Shah Alam bersama-sama dengan geng Nasyeed.Com.Waie, Lah dan Syazman.

Hari ini sebenarnya Nasyeed.Com menganjurkan kursus Protokol untuk semua wargakerjanya.Lebih kurang pukul 11.30 pagi ketika sedang rancak aku mendengar ceramah daripada penceramah jemputan, Ada ( salah seorang staff NC) memberitahu aku Abg Mie ( Dakmie) memberi tahunya Ustaz Asri telah meninggal dunia. Aku dengan perasaan tidak puas hati dan tidak percaya terus mendapatkan Dakmie di dalam pejabat NC. Masuk sahaja aku tengok Waie sedang bercakap ditelefon dan Dakmie juga tengah on call sambil menitiskan airmata. Jarang sekali aku lihat Dakmie dalam keadaan begitu, nampaknya berita yang aku dengar itu benar. Dakmie memang sangat rapat dengan Ustaz Asri dan aku tak hairan jika tidak lokek menitiskan airmata untuk sahabat karibnya itu.


Aku, Waie dan Dakmie terus meluncur dengan kereta ke Pusat Perubatan Pantai meninggalkan teman-teman NC yang lain untuk terus mengikuti kursus yang dirancang. Dalam perjalanan ke hospital Aku dan Waie terus menghantar SMS kepada semua kenalan bagi memaklumkan berita sedih ini. Pada masa yang
sama, telefon kami terus menerima panggilan daripada teman0teman yang ingin membuat pengesahan. Tiba sahaja di hospital, aku dapati teman-teman penasyid, wartawan dan penggiat seni tanah air sudah ramai yang telah berada di perkarangan wad kecemasan. Antara yang kelihatan kumpulan Inteam, UNIC, Raihan,Pyan dan Najran Saujana, In Heart, Muadz, Dj Erwan,Ain Jeni (Sofieya),Hafiz Hamidun, Kojem dan Azahari(NSH), Saleh dan Yassin (Brothers) dan ramai lagi yang mungkin terlupa untuk aku sebut di sini. Selain aku, Epul turut hadir mewakili Mestica. Khalil tak dapat hadir kerana berada di Johor. Hijjaz juga tidak kelihatan kerana mereka berada di Kelantan. Turut berada diperkarangan hospital ialah Abg Nash, Abg Mas Omar, Ahmad Izham Omar (8tv), Ramli MS, En Ahmad Yani ( Karang Kraf), Kak Alia (Anis), Cikgu Abu Hassan Morad dan ramai lagi.

Menunggu dalam kesedihan

Setelah jenazah dipindahkan dari wad kecemasan ke bilik mayat, kami diberi peluang untuk menatap wajah allahyarham buat kali terakhir sebelum dimandi dan dikafankan. Suasana di situ sangat menyentuh hati apabila ada antara teman-teman penasyid tidak dapat menahan airmata daripada menitis ke bumi. Langit juga kelihatan mendung seoalah-solah bersedih dengan pemergian Allahyarham. Semasa berbicara dengan teman-teman di hospital, aku diberitahu Allahyarham telah rebah ketika memulakan rehearsal persembahan sempena pelancaran program Syahadah terbitan RTM di Angkasapuri. Pada pagi itu, Allahyarham dikhabarkan memang tidak sihat malah dia meminta isterinya untuk menghantar beliau ke pejabat Rabbani di Bandar Manjalara kerana tidak dapat memandu sendiri. Pagi itu Ustaz Asri dikhabarkan telah mengambil madu yang dicampur limau untuk melegakan keadaan kesihatan. Apabila sampai di Angkasapuri pula, Allahyarham telah mengambil susu dan telur separuh masak sebagai sarapan.

Isteri dan anak-anak Allahyarham yang setia di sisi sehingga di saat akhir

Selepas lebih kurang sejam lebih berada di hospital, aku dan waie bergerak pulang ke office untuk solat zohor sebelum bergerak ke rumah keluarga Allahyarham di Bukit Lanchong Shah Alam. Kali ini kami ajak sekali Lah dan Syazman untuk shoot gambar. Sampai di sana, jenazah masih belum tiba. Cuaca ketika itu hujan namun sanak saudara dan sahabat handai telah mula memenuhi perkarangan rumah keluarga Allahyarham. Setelah jenazah tiba, bacaan yassin dan tahlil telah diadakan dipimpin oleh Ustaz Abd Manaf Imam Besar masjid Putrajaya yang datang bersama kakitangan masjid yang lain mewakili Ketua Pengarah Jakim. Kawan lama aku yang kini bertugas di Masjid Putrajaya, Shuhaidi turut hadir bersama mereka. Piak keluarga memaklumkan kepada semua hadirin bahawa solat jenazah akan dilakukan selepas solat maghrib sebelum jenazah dikebumikan. Ini demi membolehkan kaum keluarga yang jauh untuk dapat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Hadirin membaca surah yasin dan tahlil

Aku,Waie. Lah dan Syazman terus pulang ke Shah Alam menjelang waktu asar. Kami bercadang untuk mengiringi jenazah di tanah perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam selepas maghrib nanti bersama-sama dengan team Nasyeed.Com yang lain. Jadi izinkan aku berundur dulu. Aku perlu bersiap untuk ke sana. Sama-sama kita doakan roh Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim dicucuri rahmat. Al fatihah..

Menutup diari : 7.37 malam

1 comment:

Mr.BoOLaNn said...

pergi x kembali lg..
moga Allah merahmati Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim,

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...