Tuesday, September 2, 2008

Pemansuhan Pemain Import Bukan Jalan Penyelesaian!



Tindakan FAM untuk memansuhkan kehadiran pemain import dalam kancah liga Malaysia pada tahun hadapan merupakan satu langkah ke belakang. Alasan kehadiran mereka merencatkan pembangunan bakat dan merampas peluang pemain tempatan untuk beraksi sekaligus menjejaskan mutu bolasepak Malaysia adalah sangat dangkal dan tidak tepat sama sekali. Selama ni pun mutu bolasepak kita sememangnya merudum. Dulu kita setanding malah ada masanya jauh lebih baik daripada Korea dan Jepun. Perlu diingat Jepun lebih lambat melancarkan Liga J-nya berbanding Liga-M tapi kita boleh tengok di mana mereka berada sekarang.

Pada pandangan aku mutu bolasepak kita tidak meningkat bukan kerana faktor luaran tapi faktor dalaman atau tepat lagi mentaliti pemain dan pegawai bolasepak Malaysia. Majoriti pemain kita tidak mempunyai wawasan yang jauh dan rasa selesa dengan apa yang mereka dah ada. Dengan gaji antara 5 hingga 10 ribu sebulan (malah ada yang lebih dari itu) mereka merasakan apa yang didapati itu sudah cukup. Aku berani kata tiada seorang pun yang berani mengambil risiko untuk mencuba nasib di liga yang lebih kompetitif untuk meningkatkan mutu permainan sekaligus mendapat hasil yang lebih lumayan. Lupakan saja tentang mencuba nasib di EPL atau liga Eropah tapi cukup untuk mencuba nasib di Liga-liga negara Asia. Kalau tak Liga Jepun atau Korea pun, cukuplah kalau dapat menembusi liga negara-negara Arab mahupun liga Thailand atau Singapura. Yang pernah ke luar negara sebelum ini pun macam Akmal Rizal, Juzaili Samion, Rudie Ramli, Fadzli Saari, Lim Chan Yew dan lain-lain bukanlah dengan inisiatif sendiri tapi dengan bantuan FAM. Berlainan dengan pemain-pemain di era 70-an dan 80-an seperti Dali Omar yang beraksi di Australia dan Lim Teong Kim (Jerman) yang merantau ke luar negara dengan usaha mereka sendiri. Jadi para pemain harus mempunyai cita-cita dan azam yang tinggi untuk berjaya.

Pihak pengurusan pula harus lebih professional dalam mengendalikan persatuan dan kelab. Persatuan dan kelab bolasepak dia Malaysia harus dikendalikan secara korporat dan dilihat sebagai entiti perniagaan yang boleh mendatangkan keuntungan. Setidak-tidaknya suntikan elemen perniagaan akan memberi lebih motivasi kepada pihak pengurusan untuk mengendalikan kelab-kelab bolasepak dengan lebih baik sekaligus menghapuskan masalah-masalah memalukan seperti tunggakan gaji pemain dan sebagainya.

Aku ni bukanlah selalu ke stadium untuk tengok Liga Malaysia kerana bagi aku ianya kurang tarikan dan membosankan. Akan tetapi setiap kali pasukan kebangsaan beraksi aku pasti akan turun memberi sokongan di stadium terutamanya jika perlawanan diadakan di sekitar lembah klang. Aku bercita-cita untuk melihat team Malaysia beraksi di Piala Dunia. Namun berdasarkan prestasi semasa aku tak pasti sama ada impian aku tu tercapai dalam hayat aku ni. Apapun aku ucapkan Selamat Maju Jaya buat team bolasepak Malaysia. Malaysia Boleh!!!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...