Monday, June 23, 2014

KREATIVITI YANG TERPANDU

Draf Garis Panduan yang menjadi inti perbincangan
Baru-baru ini saya dan beberapa pimpinan Munsyid Malaysia telah dijemput untuk menghadiri bengkel pemerkasaan garis panduan hiburan Islam yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Turut dijemput adalah wakil agamawan termasuk mufti, pengamal media serta ahli akademik. Biarpun bengkel yang dijalankan dalam waktu yang singkat yakni hanya setengah hari, namun pelbagai isu berjaya juga dirungkai dan diketengahkan untuk diperhalusi. Malah dalam usrah Munsyid Malaysia sebelum ini juga ada ahli usrah yang melontarkan kebimbangan tentang tren “buat dulu, cari dalil kemudian..” Ini adalah sesuatu yang sangat salah dan perlu dielakkan. Dalam berkarya apatah lagi sebagai seorang Islam dan pengamal seni hiburan Islam, maka kita harus memastikan sesuaru karya yang ingin di persembahkan itu menepati syariah sebelum ia diketengahkan kepada masyarakat.

Usrah Munsyid Malaysia
Antara isu yang disentuh adalah isu zikir bermuzik dan penggunaan ayat-ayat Al quran dalam lagu nasyid mahupun doa yang dirakamkan secara berlagu serta diiringi muzik. Penggunaan potongan ayat Al quran dalam lagu nasyid bermuzik pernah ditegur secara terbuka oleh Al Fadhil Tan Sri Sheikh Haji Ismail Muhammad yang sememangnya sesuatu yang dilarang dalam Islam. Penggunaan ayat Al Quran hanya dibolehkan dalam kaedah Iqtibas yang didefinisikan sebagai percakapan atau ayat yang mengandungi sesuatu yang diambil daripada Al Quran atau Al hadis tanpa menyebutkan sumbernya. Namun ianya tetap mempunyai syarat yang ketat ( al-Khatib al-Qazwiny ).

Bro Hazamin Inteam ( Bendahari Munsyid ) dan Ustaz Amal
( Pemangku Pengerusi Munsyid)
Namun pendekatan yang paling selamat adalah tidak sesekali memasukkan muzik dalam apa juga zikir atau doa yang berasal daripada ayat Al-Quran. Namun malangnya telah ada album-album tertentu yang telah 'terlepas' untuk berada di pasaran. Tanpa menafikan kemerduan dan 'feel' yang lebih baik apabila doa dan zikir diiringi dengan muzik, saya secara peribadi sedikit gusar dan bimbang apabila pendekatan ini seolah-olah menyamai kaedah yang digunakan oleh rakan-rakan kita beragama Kristian yang menggunakan muzik dalam upacara-upacara doa dan sembahyang mereka. Ianya juga hakikatnya memberi satu ujian kepada para penggiat industri nasyid apabila album sebegini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di pasaran. Maka dengan keadaan sebeginilah memungkinkan kita terdorong untuk mencari pendapat dan dalil yang membolehkan apa yang kita lakukan. Apapun sebagai karyawan seni Islam kita harus kembali kepada sumber hukum yakni Al Quran dan Sunnah serta pendapat ulamak muktabar dalam meletakkan garis pemisah antara yang haq dan batil.

Ahli bengkel.. Gambar saya memang takde la sebab jadi
tukang ambik gambar..hehe
Semoga Allah memberi kita taufik dan hidayah dalam menjalani hidup kita di dunia bagi menjamin kebahagiaan hidup kita di akhirat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...