Sunday, February 6, 2011

"Kegilaan" Bolasepak di Serambi Mekah

Sudah terlalu lama aku tak menjejakkan kaki ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV Kota Bharu untuk menonton bola. Selalunya aku tengok Kelantan atau Malaysia main di Stadium Shah Alam atau Stadium MPPJ. Alhamdulillah masa balik kampung baru-baru ni aku sempat menyaksikan pertemuan antara Kelantan dan Terengganu dengan seorang sahabat lama. Kebetulan kami memang ada urusan di KB jadi alang-alang tengoklah bola sekali. Aku sampai di perkarangan stadium sekitar pukul 2.00 petang. Masa tu memang orang dah ramai beratur untuk beli tiket. Suasana di perkarangan stadium sangat meriah dengan gerai-gerai jualan serta penyokong yang beratur panjang membeli tiket. Macam perlawanan akhir Piala Malaysia pulak. Aku rasa suasana macam ni memang sukar dilihat di venue-venue lain untuk perlawanan liga. Begitulah padunya sokongan rakyat Kelantan kepada pasukan kesayangan mereka.

Stadium yang menjadi nadi bolasepak Kelantan
Aku ngan Mat Din pun terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan tiket. Nasib kami baik sebab dapat tiket astaka. Kalau hujan pun takdelah basah nanti. Harga tiket astaka tentunya lebih mahal dari tiket tempat duduk biasa. Aku beruntung sebab Mat Din belanja.Orang tengah banyak projek la katakan. huhuhu..Anyway,thanks bro! Kami pun tak payah nak berebut masuk awal ke dalam stadium sebab tempat duduk penonton di astaka ada nombor seat. Aku tertanya-tanya juga mereka yang masuk stadium seawal pukul 6.00 petang tu solat maghrib kat mana sebab surau stadium kat luar. Nak kata semuanya musafir pun aku rasa agak mustahil sebab jumlahnya agak ramai. Apapun aku harap diorang semua tetap menunaikan solat walau apapun caranya. Tengok bola takde salahnya tapi kalau dah sampai tak solat memang banyak salahnya!

Tengoklah betapa ramainya orang beratur membeli tiket
Kami masuk ke stadium lebih kurang pukul 8.30 malam. Satu benda yang menarik aku lihat apabila menjejakkan kaki ke dalam stadium adalah kehadiran segelintir penonton berbangsa Cina yang turut menyokong The Red Warriors. Sejak aku bertandang ke stadium untuk menyaksikan aksi liga Malaysia rasanya inilah pertama kali aku terserempak dengan penyokong bolasepak berbangsa Cina yang menyokong sebuah pasukan negeri. Selalunya kawan-kawan kita berbangsa Cina ni tak layan liga Malaysia. Diorang cuma layan team kelab Eropah macam ManU, Chelsea, Real Madrid dan lain-lain. Apatah lagi nak tengok diorang pakai jersi pasukan negeri. Tapi aku tengok mereka di Kota Bharu ni siap dengan jersi dan mafla lagi.
Bila orang ramai lubang bisnes pun banyak
Perlawanan berlangsung menarik. Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi yang menghiburkan. Kelantan lebih awal menguasai permainan dengan menjana serangan daripada bahagian sayap. Hasilnya Piya berjaya menjaringkan gol hasil hantaran lintang Nurul Azwan Roya. Namun selepas itu, skuad "Ayoh Wang" pula yang lebih banyak mengawal bola dan melancarkan serangan merbahaya ke kubu Kelantan. Pemain Terengganu kelihatan lebih cergas dan mantap dari sudut fizikal berbanding The Red Warrios. Mereka menggunakan ketinggian sebilangan pemain mereka untuk mematahkan serangan Kelantan dan mengancam kubu lawan. Yang peliknya, pemain Kelantan tetap menghantar bola tinggi walaupun mereka seringkali kalah dalam pertembungan di udara. Sepatutnya Kelantan lebih banyak menggunakan hantaran pendek dan through pass sebelum melepaskan rembatan ke gawang lawan. Lagipun ramai pemain Kelantan yang punya kelebihan mengelecek seperti Nurul Azwan Roya, Danial Fadzly, Mat Yo dan Solehin (K.Soley).

Lautan Merah yang membanjiri stadium
Serangan bertali arus Terengganu pada separuh masa kedua akhirnya membuahkan hasil apabila Marzuki Yusof berjaya menjaringkan gol penyamaan melalui tandukan kencang yang gagal diselamatkan oleh Apex. Aksi longlai Kelantan menimbulkan rasa kurang senang para penyokong namun yang bagusnya tiada lagi bunyi mercun mahupun botol air dibaling ke tengah padang. Ini satu perkembangan positif dan pujian harus diberikan buat semua penyokong yang menunjukkan disiplin yang tinggi. Tindakan M.Karathu memasukkan Nizad Ayub dan Khalid Jamlus tidak mendatangkan kesan kepada corak permainan Kelantan. Aku rasa Datuk M.Karathu perlu mencari gandingan Mat Yo dengan segera sebab taktik meletakkan dia sebagai penyerang tunggal tidak begitu menjadi nampaknya. Kelantan ada masa 10 hari untuk mencari penyelesaian sebelum bertemu Johor FC pada 12 Febuari ini. Selamat maju jaya buat the Red Warriors!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...