Friday, January 28, 2011

M.Karathu Kembali

Kembalinya Dato M Karathu ke Kota Bharu bagi mengemudi skuad the red warriors bagi menggantikan Abe Ya ( nama timangan penyokong kelantan kepada B.Sathianathan) yang terlibat dalam penggantungan kontroversi oleh FAM, mengembalikan nostalgia kecemerlangan skuad 1993 yang pernah dibimbingnya. Untuk rekod pada waktu itu beliau adalah jurulatih pertama yang membawa Kelantan ke separuh akhir Piala Malaysia sejak 1970. Ironinya, Hashim Mustapha yang kini penolong jurulatih Kelantan merupakan tonggak utama dalam skuad 1993 selain daripada Zahasmi Ismail, Tuan Kamree Yahya, Salim Mahmood serta tonggak import Marco Kraljevic, Dimitri Kalkanov dan Michael Roki. Aku sendiri masih ingat aksi separuh akhir kedua di Kota Bharu pada tahun tersebut yang aku tonton secara langsung di TV1. Kelantan yang tumpas 2-3 sebelumnya di Alor Star gagal meneruskan kemaraan apabila tumpas 0-1 hasil jaringan Lee Kin Hong.

Dato' M.Karathu bersama skuad Kelantan 1993

Skuad Kelantan nampaknya memang 'sekung' (serasi) dengan jurulatih berbangsa India. Selepas M.Karathu pada 1993, giliran K.Rajagopal yang kini jurulatih kebangsaan meneruskan legasi kecemerlangan beliau dengan membawa Kelantan ke separuh akhir pada 2001. Selepas itu B.Sathianathan pula membawa kejayaan paling gemilang buat Kelantan apabila membawa pulang Piala Malaysia ke Kota Bharu pada 2010 untuk pertama kali. Kini selepas Sathia digantung FAM, Dato M. Karathu mengambil alih tanggungjawab menggalas harapan penyokong the reds warriors. Ujian pertama beliau adalah bertemu Selangor dalam Piala Sumbangsih esok. Untuk berlaku adil, janganlah kita mengharapkan yang bukan-bukan daripada Karathu. Beliau baru hanya 2 hari bersama pemain Kelantan. Maka andai kalah tipis kepada Selangor pun bagi aku boleh dianggap satu kejayaan. Kemenangan adalah satu bonus buat beliau. Perlawanan pada hari esok lebih kepada pertarungan antara pemain di atas padang. Aku rasa Dato' M Karathu tidak akan mengubah apa-apa yang Sathia aturkan sebelum ini untuk perlawanan esok. Beliau baru nak mengenali dengan rapat The Red Warriors.. Apapun selamat maju jaya buat Kelantan and Dato' M.Karathu.

2 comments:

PETER TANTO said...

blog anda bagus sekali, salam kenal dari solo indonesia

tokjeng said...

Terima kasih atas sokongan saudara. Semoga blog ini membawa manfaat buat kita bersama.Jenguk-jenguklah saya di sini selalu ya!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...