Friday, September 25, 2009

Family Gathering On Raya Day

Borak-borak lepas makan
Assalamualaikum wbt..
Pertama sekali aku nak mohon maaf kepada teman-teman yang menjenguk blog ini sebab ambil masa yang lama untuk update. Nak kata aku sibuk tu takde la sangat cuma maklum jelah raya-raya camni masa banyak dihabiskan dengan menziarahi teman dan sanak saudara serta bersembang dari satu topik ke satu topik. Kadang-kadang tu bersembang sampai tak sedar jam dah melewati tengah malam. Sesekali bersua muka, tentunya banyak perkara yang ingin diceritakan. Masa aku masih belajar dulu, hari raya banyak aku habiskan dengan menonton tv. Tapi sejak dah dewasa sikit nih TV pun aku tak berapa nak layan dah. Tambah-tambah pulak rancangan TV tahun ni memang tak best. Iklan raya pun dah takde. Aku tengok iklan Petronas pun recycle yang tahun-tahun lepas. Mungkin ini petanda ekonomi kita memang tengah gawat sampai company besar macam petronas pun tak berani nak invest.

My cousins @ my open house

Bila aku sembang dengan kawan-kawan yang buat business macam aku pun, ramai yang menjangka keadaan ekonomi pada tahun depan akan lebih teruk. Buktinya, nilai projek dah semakin menurun. Tiada lagi company atau businessman yang boleh jadi OKB atau jutawan segera dengan hanya satu projek macam dulu. Lebih teruk lagi, company besar yang dulunya hanya layan projek yang mencecah 6 angka pun dah mula sebat projek-projek kecil walaupun nilainya hanya 10 ribu! Kalau dah sampai macam tu, company-company kecil dan barulah yang akan jadi mangsa sebab projek-projek yang bernilai kecil pun dah mula dirembat oleh syarikat-syarikat besar.Yang tak tahan mungkin terpaksa gulung tikar. Akan tetapi bila aku tengok balik, sektor yang akan terjejas teruk nanti adalah sektor pembuatan, perkilangan dan mungkin juga peruncitan. Service based industry macam bank, komunikasi dan sebagainya mungkin takde effect sangat.Uppsss...alamak! Jauh pulak aku menyimpang. Tadi kata nak cerita pasal raya, ini dah sampai ekonomi pulak dah..hehehehe... jangan mara aaa..

Makan-makan kat rumah Ayah Harun

Berbalik kita pasal raya.Setiap kali hari raya benda yang paling aku suka ialah dapat berjumpa dan berkumpul dengan family. Family aku ni agak besar sikit walaupun adik beradik aku cuma 3 orang. Mak aku punya 6 orang adik beradik dan ayak aku pun punya jumlah adik beradik yang sama. Kebanyakan diorang dah punya cucu termasuklah mak dan ayah aku.Jadi korang bayangkanlah berapa ramainya sedara mara yang aku ada. Itu belum masuk family lapisan ketiga, maksud aku family sepupu kepada mak dan ayah aku. Tak seperti masyarakat di sesetengah negeri, kami di Kelantan selalunya mengenali ahli keluarga kami dengan sanad atau susur galur keturunan yang jelas. Senang cite we can easily identify pangkat seseorang ahli keluarga dengan yang lain. Kami tahu siapa mak/ayah saudara kepada siapa, siapa sepupu kepada siapa, siapa mak/ayah sepupu kepada siapa, siapa dua pupu, cucu, cucu sedara anak sepupu dan sebagainya.

Aktiviti wajib hari raya; menziarahi kubur atuk dan nenek

Berbeza dengan ada sesetengah kenalan aku, diorang main timbang kilo je pangkat kat dalam family ni. Contohnya gelaran pakcik dan makcik. Semua dia panggil makcik/makcik tak kiralah adik beradik parents dia ke, sepupu parents dia ke, semua dia panggil makcik/pakcik. Sama gak dengan cousin, tak kiralah anak adik beradik mak/ayah dia ke, anak kepada sepupu mak/ayah dia ke, semua dia panggil cousin atau dalam bahasa melayunya sepupu. Kalau kat Kelate ni gelaran makcik/pakcik ni hanya dirujuk kepada adik beradik mak/ayah kita. Cousin or sepupu pulak dirujuk kepada anak kepada adik beradik mak/ayah kita. Tapi takleh salahkan diorang jugak.Dah culture depa macam tu.Kata orang, lain padang lain belalang.. Opss sorry..nampaknya sekali lagi cerita aku dah merewang jauh.Tadi nak cerita pasal raya ni ke lain pulak.huhu..

Midah and family @ my house

Gathering family aku tahun ini hampir lengkap. Kecuali maksu aku yang tinggal di Johor, yang lain semua ada termasuklah dua sepupu aku yang tengah belajar kat Mansoura, Egypt. Sebagaimana tahun-tahun lepas, my mum and dad buat open house hari raya ke-3. Menu tahun ni sedikit berbeza, selalunya main dish masakan arab seperti biryani dan sebagainya tapi kali ini masakan ala kampung dengan ulam-ulaman sebagai aksesori selain ketupat dan kuih raya. Actually seorang pakcik aku yang cadangkan menu ni. Tak kisah la tu, yang penting bagi aku bukan makanannya tapi keseronokan berkumpul dan bertemu sanak saudara. Sampai ke malam jugak la rumah aku di kunjungi tetamu.

In my Raya dress in front of my home sweet home

Makcik and pakcik aku yang lain pun buat open house jugak mengikut jadual yang disusun secara tak rasmi. Bukannya apa, nak mengelak daripada bertembung. Tapi selalunya masing-masing dah faham, raya pertama rumah sape, kedua rumah sape dan seterusnya.. Apapun yang dapat aku simpulkan, raya tahun ni memang menyeronokkan walaupun takdelah sama macam zaman kanak-kanak dulu. Dulu kita dapat duit, sekarang kita pulak yang bagi duit raya.Dulu baju raya berpasang-pasang, sekarang satu pasang pun dah cukup..huhu

Sunday, September 20, 2009

Selamat Hari Raya Idulfitri


Assalamualaikum wbt..
Di kesempatan ini, aku ingin mengucapkan selamat hari raya idulfitri buat semua teman-teman yang sering berkunjung ke laman blog yang tak seberapa ini. Terima kasih di atas sokongan kalian semua. Disamping itu aku juga ingin memohon ampun dan maaf jika ada coretakan aku di sini yang menyinggung perasaan korang.Mana la tahukan tapi sesungguhnya aku tiada niat buruk cuma aku ingin berkongsi sedikit pandangan dan pengetahuan yang Allah anugerahkan ini untuk manfaat bersama.


Kepada yang pulang memandu ke kampung halaman masing-masing sebagaimana aku, sama-samalah kita memandu dengan cermat agar kita selamat sampai ke destinasi yang dituju. Ingatlah orang-orang tersayang yang setia menunggu kita untuk beraya bersama di hari lebaran ini. Kalau makan kuih raya, ketupat, lemang mahupun rendang, ingat-ingatlah aku tak sini. Aku juga ingin ucapkan Selamat hari raya buat teman-teman di perantauan sama ada di Mesir, US, Jordan, UK dan di mana-mana saja seluruh pelusuk dunia ini. Terima kasih juga kerana sudi menjenguk blog ini walaupun berada nun jauh di negara orang.

Akhir kata, salam lebaran untuk semua dan semoga berbahagia di hari raya ini. Sepuluh jari aku susun, maaf aku pohon.Kullu am waantum bikhair...

Monday, September 14, 2009

Nasyid @ Persada: Mahabbah Awards

Bismillahirahmanirrahim..
Sempena dengan minggu terakhir Ramadhan ni aku nak kongsikan 2 lagu nasyid yang aku kira menarik untuk kita dengar. Actually klip ini diambil semasa Mahabbah Awards 2008 dan dinyanyikan oleh penyanyi Mesir Hamada Helal dan Abdul Rahman Muhammad. Mahabbah Awards adalah satu majlis anugerah yang memberi penghargaan kepada karya-karya seni yang mengangkat kecintaan kepada Rasulullah sebagai intipati utamanya. Raihan adalah satu-satunya artis Malaysia yang pernah dijemput untuk menyertai acara itu.


Muhammad Nabeena by Hamada Helal

Secara jujurnya aku tak pernah dengar nama Hamada Helal dan Abdul Rahman Muhammad ni sebelum aku tengok videoklip ni kat youtube. Antara penasyid arab yang aku agak familiar cuma Muhaamad Al Husayyan dan Imad Rami. Satu yang aku belajar daripada munsyid arab ni,diorang amat mementingkan vokal berbnading muzik. Dalam erti kata lain, setakat yang aku dengar belum pernah bunyi muzik lebih kuat atau diletakkan di depan berbanding vokal. Masa mixing mungkin mereka dah tetapkan macam ni. Benda ni sangat bagus sebab bertepatan la dengan penekanan terhadap penyampaian mesej dakwah melalui lirik lagu. Kita kat Malaysia ni kenkadang terbabas dari aspek tu. Muzik kadangkala lebih kuat dan menenggelamkan vokal. Kalau pendengar tak dengar dengan jelas apa yang disebut, macam mana mesej nak sampai ye tak? Semoga para penasyid kita lebih berhati-hati selepas ini.


Lagu yang aku tak tahu tajuk daripada Abdul Rahman Muhammad

Kalau korang ada lagu-lagu nasyid dari tanah arab yang best, bagitau la. Boleh kita sesama kongsikan kat sini. Dan kalau ada sesape yang ada maklumat tentang Hamada Helal dan Abdul Rahman Mohammad ni pun. Bagitaulah ye... Selamat berpuasa!

Sunday, September 13, 2009

Memori Lagu Iklan Raya

Kali ini aku just nak kongsi ngan korang semua lagu iklan raya yang sangat aku ingati dari zaman kecik-kecik dulu sampai la sekarang. Sebagai bayi tahun 80-an dua lagu iklan ini aku rasa ramai yang ingat sebab ia akan muncul setiap tahun dengan versi yang baru pada pertengahan tahun 80-an sehinggalah awal 90-an. Lagu iklan yang aku maksudkan ialah lagu iklan raya EON dan juga Salem. Namun kini kedua-dua lagu ini tidak lagi berkumandang. EON telah menggunakan pendekatan iklan yang berbeza manakala Salem pula tidak lagi boleh mengiklankan produk mereka di TV kerana dasar kerajaan yang melarang iklan produk tembakau untuk disiarkan di TV dan radio.



Kedua-dua lagu ini pernah dinyanyikan oleh pelbagai penyanyi dalam versi yang berbeza. Selalunya EON dan Salem akan memilih penyanyi yang paling top pada tahun itu untuk menyanyikan lagu iklan mereka ini. Kalau sekarang lagu-lagu itu masih disiarkan mungkin Mawi dan Siti Nurhaliza akan menyanyikannya. Seingat aku juga, lagu ini pernah menjadi siulan ramai semasa zaman aku kecik-kecik dulu. Aku rasa kalu ianya masih wujud, mungkin ianya akan menjadi antara ringtone yang popular bagi pengguna handphone.



Lagu-lagu iklan ini mengimbau nostalgia yang cukup indah dalam hidup aku. Masih aku terkenang ketika aku dan kawan-kawan berkunjung dari rumah ke rumah "memungut" duit raya yang kemudiannya kami gunakan untuk beli mercun dan bunga api. Selain itu setiap kali musim raya, main tikam-tikam juga popular waktu tu. Alhamdulillah tikam-tikam sekarang dah takde.Bila dah besar sikit baru la aku tau yang tikam-tikam tu rupanya sebahagian daripada perjudian yang haram di sisi Islam walaupun nilainya cuma sepuluh sen setiap 2 cabutan ketika itu. Haa.. adik-adik jangan tiru pulak apa yang abang buat dulu tu. Kalau dapat duit raya, simpan elok-elok dalam bank. Jangan beli benda yang bukan-bukan pulak.



Satu lagi aku nak juga kongsikan satu iklan raya petronas yang aku pun tak ingat secara tepat tahun bila ia diterbitkan. Cuma yang aku pasti ianya terbit semasa aku menuntut di SM Sains Dungun dulu antara tahun 95-99 sebab iklan ni pernah menjadi topik discussion kelas bahasa Inggeris. Aku ingat lagi masa tu cikgu aku Sir Hakim yang menyebut tentang iklan ini dalam kelas. Kalau korang tanya apa yang menarik tentang iklan ni, baik korang tengok sendiri. Tapi bagi aku memang best la. Bila korang tengok, insya allah korang akan faham. Petronas memang menerbitkan iklan-iklan raya yang menarik setiap tahun sampai orang tertunggu-tunggu. Tahun ini pun kita tak tahu ape pulak modal iklan petronas.Kita tunggu dan lihat sajalah nanti..huhu

Saturday, September 12, 2009

Bagan Pinang Ujian Sebenar Pakatan Rakyat

"Kalu BN kaloh terik ni, maknonyo BN ado masaloh besar.Kira paka teghak doh la," begitulah kata salah seorang kawan aku yang juga orang kuat UMNO Kelantan. Sebenarnya hari tu aku telefon dia untuk mendapatkan maklumat tentang satu urusan penting aku di Kota Bharu. Tapi oleh kerana dah lama tak berborak, kami bersembang panjang. Setiap kali bersembang, politik adalah antara tajuk wajib yang kami bincangkan terutamanya tentang keadaan semasa di negeri kelahiran kami yakni Kelantan Darul Naim. Kami berkongsi minat yang sama terhadap politik cuma aku tidak berada di barisan hadapan sepertinya. Buat masa ini aku lebih senang menjadi pemerhati politik yang punya ramai kenalan yang aktif dalam politik baik daripada pihak BN mahupun Pakatan Rakyat.



Berbalik PRK Bagan Pinang yang dijangka berlangsung selepas Aidilfitri nanti, ianya merupakan ujian sebenar kepada kekuatan pengaruh Pakatan Rakyat kerana Bagan Pinang merupakan kawasan sebelumnya milik BN yang terletak di zon selatan yang dianggap sebagai kubu kuat BN di semenanjung dengan Johor sebagai pengkalannya. Senario kali ini berbeza dengan pilihanraya sebelum ini yang berlaku di zon utara dan pantai timur seperti Permatang Pauh,Kuala Terengganu, Bukit Selambau, Bukit Gantang, Penanti, Manik Urai dan Permatang Pasir yang merupakan kawasan di mana Pakatan Rakyat punya pengaruh yang kuat. Jadi bagi aku, tak usahlah PR mendabik dada mengatakan sokongan rakyat kepada mereka kini bertambah dengan kejayaan mereka dalam PRK sebelum ini. Bagi aku hanya kemenangan di Bagan Pinang sahaja mampu membuktikan kekuatan sebenar PR. Sebelum ini PR telah gagal menawan kubu BN di Padungan dan ini adalah percubaan kedua mereka.



DUN Bagan Pinang terletak dalam Parlimen Teluk Kemang yang diwakili oleh Pengerusi PKR Negeri 9 iaitu Dato Kamarul Bahrin Abas. Berdasarkan daftar pemilih 2008 DUN ini mempunyai 14 192 pengundi dengan Melayu 66%, Cina 10.5%, India 19.9% an lain-lain 3.5%. Komposisi ini dijangka memberi kelebihan kepada PR jika mereka terus mendapat sokongan padu daripada masyarakat bukan Melayu. Dan aku menjangka sokongan ini bakal berterusan ekoran isu demo kepala lembu dan pemindahan kuil di Selangor yang akan menjadi modal kempen terbaik buat PR. Namun yang menjadi kegusaran PR tentunya kewujudan lebih 5000 pengundi pos yang mungkin menjadi faktor penyelamat kepada BN. Umum mengetahui bahawa undi pos masih diragui prosesnya perjalanannya. Walaupun wakil calon kini boleh memantau proses pengundian namun mereka masih tidak dibenarkan memantau proses pengiraan undi sebagaimana hak yang mereka dapat bagi peti-peti undi yang lain. Alasan "keselamatan" yang diberikan SPR terhadap larangan wakil calan memantau proses pengiraan undi pos pun tidak jelas dan meragukan.



Walaupun begitu BN turut mengalami krisis dalaman mereka tersendiri di sebalik keselesaan status Bagan Pinang sebagai kubu kuat mereka dan kehadiran jumlah undi pos yang besar. Bekas MB iaitu Tan Sri Isa Samad yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang telah menawarkan diri untuk bertanding sekaligus mengembalikan beliau ke dalam arus politik perdana setelah terpinggir sekian lama sejak didapati bersalah oleh Lembaga DisiplinUMNO kerana isu politik wang. Namun perkara ini dikatakan tidak disenangi oleh MB sekarang iaitu Dato Mohamed Hasan yang menganggap kembalinya Tan Sri Isa ke DUN Negeri 9 bakal memberi ancaman kepada jawatan MB yang disandangnya. Pada masa yang sama Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyidin Yassin juga kurang senang dengan kembalinya Tan Sri Isa. Hubungan mereka tidak begitu baik kerana dikatakan Tan Sri Isa adalah antara Pengerusi UMNO negeri yang tidak memihak kepada Muhyidin dalam pemilihan UMNO satu ketika dahulu. Malah Tan Sri Isa dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan Dato Seri Najib. Jika calon yang dipilih nanti gagal memuashatikan kedua-dua kem yakni Kem Isa dan Kem Mohamed Hasan maka undi protes kemungkinan besar akan berlaku dan ini akan sangat menguntungkan Pakatan Rakyat. Antara jalan paling selamat dan mungkin memuashatikan semua pihak dalam soal pemilihan calon UMNO ialah dengan melatakkan anak Tan Sri Isa iaitu Najib sebagai calon.



Apapun PRK Bagan Pinang dijangka menjadi sangat menarik kerana ianya bakal menjadi medan untuk PR membuktikan kekuatannya dan pihak BN pula akan cuba membuktikan rakyat masih berpihak kepada mereka. Kekalahan bagi BN bermakna Bagan Pinang merupakan petanda awal kepada kekalahan BN bagi pilihanraya umum akan datang. Insya Allah kalau takde aral melintang, aku akan turut sama "meninjau-ninjau" suasana PRK Bagan Pinang. Yelah tempat pun bukan jauh sangat dari tempat aku ni.. see you there!

Wednesday, September 9, 2009

Seri Aidilfitri Kini Di Pasaran..

Kulit depan album (photo by Mass Mohamad)

Album Seri Aidilfitri terbitan Nasyeed Edutainment Publishing Sdn Bhd yang terkenal dengan jenama Nasyeed.Com kini telahpun mula berada di pasaran terutamanya sekitar lembah kelang. Album kompilasi ini menggabungkan pelbagai artis nasyid di Malaysia antaranya Rabbani, Mestica, Wildan, Muadz, Algebra, Itqan, Sofieya, Amrain dan ramai lagi. Album ini mengandungi 8 track termasuk 2 minus one untuk lagu Mubarak Ramadhan dan Seri Aidilfitri. Lagu lain yang turut dimuatkan ialah Bacalah, Fitrah Hari Raya, Indahnya di Hari Raya dan Takbir Hari Raya. Lagu yang dijangka hits tentunya Seri Aidilfitri di mana lagu ini merupakan lagu raya terakhir yang dirakamkan oleh Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim. Malah pengambaran videoklip lagu tersebut juga dibuat tepat seminggu sebelum beliau pulang mengadap ilahi.

Kulit Album (photo by Mass Mohamad)

Bagi diri aku dan malah kebanyakan artis nasyid yang lain, album ini cukup sentimental kerana ianya merupakan kali pertama dan terakhir kami berkoloberasi dengan Ustaz Asri dalam satu lagu. Malah ia juga kali pertama dan terakhir kami dapat bergandingan dalam satu klip video bersama Allahyarham. Pihak team produksi album dan videoklip juga merasakan pengalaman yang serupa. Ini adalah kali pertama dan terakhir Nasyeed.Com dapat bekerjasama dengan Allahyarham Ustaz Asri dalam menjayakan album dan videoklip Seri Aidilfitri ini. Seri Aidilfitri merupakan buah tangan terakhir yang ditinggalkan oleh Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim buat kita semua. Bagi mereka yang tak berkesempatan atau tak jumpa produk ni kat kedai, boleh la membeli terus melalui kedai online Nasyeed.Com di url kedai.nasyeed.com . Akhirnya aku tinggalkan korang dengan videoklip Seri Aidilfitri. Semoga terhibur..

Tuesday, September 8, 2009

Welcome Aboard KD Tunku Abdul Rahman

Tanggal 2 September 2009, sejarah telah terlakar bagi sebuah negara yang bernama Malaysia apabila Tentera Laut Diraja Malaysia telah menerima kapal selam pertamanya yang diberi nama KD Tunku Abdul Rahman. Pembelian kapal selam untuk TDM ini telah menjadi polemik di kalangan ahli dan pemerhati politik tanah air apabila dikaitkan dengan skandal penyelewengan yang bernilai ratusan juta ringgit. Aku tak mahu mengulas lanjut tentangnya kerana aku percaya ramai telah mendengar cerita mengenai tuduhan penyelewengan ini. Lebih malang lagi ada di kalangan ahli politik yang menganggap pembelian peralatan pertahanan merupakan satu pembaziran. Ini adalah satu tanggapan yang sangat salah dan berbahaya.Alasan yang diberikan ialah Malaysia tiada ancaman perang dan aman. Tapi jika kita fikir secara logik, takkanlah nak tunggu berperang baru nak beli. Lagipun pepatah Melayu ada berkata, " Sediakan payung sebelum hujan". Pemilikan aset ketenteraan yang canggih adalah satu langkah cegah rintang (deterrence) yang bertujuan untuk menakutkan dan memberi kegerunan kepada musuh yang berhasrat untuk mengancam kedaulatan Malaysia.



KD Tunku Abdul Rahman adalah kapal selam jenis Scorpene yang berkuasa diesel yang dibangunkan secara usahasama oleh syarikat perancis dan sepanyol. Sebuah lagi kapal selam dari jenis yang sama iaitu KD Tun Abdul Razak akan tiba di Malaysia pada awal Januari depan. Cuma aku tertanya-tanya ke mana pula pergi Kapal Selam jenis Agosta Westland yang turut termasuk dalam pakej pembelian 2 buah kapal selam Scorpene ini. Seingat aku, dalam pakej timbal balas Malaysia turut menerima Kapal Selam Agosta terpakai sebagai kapal selam latihan serta pakej penyusunan semula jadual penerbangan pesawat MAS dengan pihak Perancis. Dalam bahasa mudah, sebenarnya kita buy 2 free 1 menjadikan kapal selam milik negara menjadi 3 buah. Cuma aku pelik akhir-akhir ini takde pulak disebut pasa kapal selam terpakai yang sepatutnya kita dapat tu.. ade sespe yang ada maklumat?

Sunday, September 6, 2009

Bantahan Kuil Seksyen 23: Pembela atau Perosak Islam?


Cadangan pemindahan kuil dari seksyen 19 ke seksyen 23

Ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Dewan Perniagaan Melayu Selangor di Masjid Negeri Shah Alam semalam, aku sempat bertemu dengan seorang ahli majlis Bandaraya Shah Alam. Dalam perbualan panjang kami, aku ada bertanya tentang isu yang sedang hangat diperkatakan oleh penduduk shah alam iaitu rancangan pemindahan sebuah kuil hindu dari seksyen 19 ke seksyen 23. Kebetulan dia turut hadir dalam majlis dialog antara pihak kerajaan negeri Selangor yang turut dihadiri oleh Dato Menteri Besar Selangor, YB Khalid Samad selaku Ahli Parlimen Shah Alam, dan YB Rodziah Rodziah Ismail selaku ADUN Batu 3 bersama dengan wakil penduduk seksyen 23. Aku difahamkan setiap keluarga hanya dibenarkan menghantar seorang wakil dan orang-orang selain daripada seksyen 23 tidak dibenarkan sama sekali masuk ke dalam dewan tempat dialog berlangsung.


Luahan masyarakat hindu

Beliau menceritakan kepada kamu bagaimana sikap dan kelakuan segelintir pihak yang kononnya ingin membela agama Islam tetapi menampilkan akhlak dan perbuatan yang memalukan. Apatah lagi perbuatan-perbuatan itu dilakukan ketika bulan Ramadhan. Aku tak tahulah sama ada mereka ni berpuasa atau tidak. Kalau tengah-tengah puasa pun dah berperangai buruk macam tu, tak tahulah kalau diorang tak puasa. Perlu aku jelaskan di sini bahawa penilaian ayang aku buat ini bukanlah berdasarkan cerita daripada kenalanku tadi semata-mata. Sebaik sahaja aku pulang ke rumah, aku telah membuat carian video di internet dan menonton sendiri rakaman video dialog tersebut. Dan hari ini aku nak kongsi dengan korang semua dan harapnya korang buatlah penilaian sendiri.



Kekecohan di majlis dialog

Majlis dialog ini diadakan bertujuan untuk mendengar pandangan daripada wakil penduduk seksyen 23 terutamanya golongan yang membantah rancangan pemindahan tersebut. Dalam Islam, kita punya adab dan peraturan dalam berdebat atau berhujah. Dan dalam sejarah Islam sendiri pun, Islam menang dengan hujah dan bukan dengan kekerasan, kezaliman atau kekuatan fizikal (perang). Memang kekuatan ketenteraan dipunyai oleh umat Islam akan tetapi ianya hanya akan digunakan sebagai pilihan terakhir setelah jalan dialog atau berhujah ditolak oleh musuh. Namun jika diteliti dalam video-video yang aku kongsikan ini, pihak yang membantah bersikap emosi dan hanya memaki hamun tanpa mahupun mendengar penjelasan daripada pihak kerajaan negeri.


Demo kepala lembu

Baru-baru ini pun pihak yang sama telah membuat demo kepala lembu yang hangat diperkatakan di seluruh negara. Walaupun cuba dinafikan, bagi aku maksud tersirat mereka sangat jelas iaitu cuba menghina agama Hindu yang menganggap lembu sebagai binatang suci mereka. Bagi aku perbuatan mereka ini sangat memalukan malah menjejaskan imej Islam sendiri. Kalau beginilah cara mereka nak membela Islam, baik tak payah lah. Mereka hanya menyebabkan Islam akan dicemuh oleh penganut agama lain malah orang non muslim yang nak cuba dekat dengan Islam pun akan tarik handbrake malah lebih malang lagi terus menjauhkan diri dari Islam. Macam mana dakwah nak sampai kalau dah macam tu? Jadi lu fikirlah sendiri..


Sidang media selepas dialog

p/s: Kat sini aku sertakan pautan artikel yang oleh membantu korang untuk memahami isu ini.selamat membaca..


Wednesday, September 2, 2009

Iftar @ Dewan Perdana Felda

Jom ke Dewan Perdana Felda

"Zin, jom ikut abang ke Dewan Perdana Felda. Abang buat show hari ni. Abang bawak Kak Sham, Syahida dan anak buah abang tapi ada dua tempat kosong lagi,"aku tiba-tiba dapat call dari abang Zaidi petang tu. "Erm.. ok kot.Lagipun memang saya free petang ni. Nanti saya ajak Mass sekali,"jawap aku selamba. "So kita jumpa kat sanalah ye,"balas Abang Zaidi. Nampaknya petang tu 26 Ogos 2009, merupakan kali pertama aku berbuka di situ. Dewan Perdana Felda ni memang antara tempat yang menjadi pilihan utama untuk orang ramai berbuka puasa.Malah tempat ini turut menyediakan artis nasyid untuk menghiburkan para pengunjungnya sejak tahun 2006. Cuma artis dia tidaklah fix macam di Singgahsana yang lock kumpulan Rabbani. Kat sini artis nasyidnya bertukar-tukar setiap hari.

Kak Sham & Co

Aku dan Mass bertolak dari office lebih kurang pukul 5.30 petang. Kami menempuh jalan yang sesak di NKVE mahupun di sekitar Jalan Kuching dan PWTC. Maklumlah, masing-masing nak cepat sampai di rumah untuk berbuka puasa. Kami sampai di Jalan Semarak lebih kurang pukul 7 malam. Sampai je terus ambik makanan. Abang Zaidi & Co dah bersedia di meja dengan juadah masing-masing, menunggu waktu berbuka. Aku ambil nasi, dan lauk pauk yang aku fikirkan sedap untuk aku. Selalunya aku akan ambik seciput-seciput supaya aku dapat merasa semua. Mass cam biasa la, sikit je makanan yang dia ambik. Jaga badanlah katakan. Turut bersama kami hari tu ialah Zamani dan Ustaz Din yang menguruskan persembahan nasyid di situ.

Abg Zaidi bersama Zamani dan Ustaz Din

Lepas habis juadah round pertama, kami turun ke surau di basement untuk solat maghrib. Actually pihak Dewan Perdana Felda turut menyediakan Imam dan bilal untuk membolehkan para tetamu menunaikan solat maghrib sehinggalah terawih secara berjemaah. Persembahan nasyid bermula lebih kurang pukul 8 malam dan tamat setengah jam kemudian. Aku untuk round kedua mulanya bercadang nak merasa spageti yang dihidangkan tapi oleh ramai orang beratur panjang jadi aku ambik laksa je. Then lepas minum aku terus berhenti walaupun ramai lagi tetamu yang meronda-ronda mencari juadah. "Hai Abang Razin, takkan dah berenti dah kot,"tiba-tiba Ika (anak buah Abg Zaidi) mengusikku. "Hujan lebat pun tahu berhenti Ika. Lagipun selera tak berapa nak ada sangat hari ni.huhuhu.." balas aku selamba.

Ika dan Mass : Best kan makan kat sini!

Balik daripada KL, aku dan Mass singgah kat Bazar Aidilfitri berdekat ngan office kitorang. Sempat jug aku membeli buah tangan untuk dibawa pulang ke Kelantan. Dalam 10.30 kami ke Kafe Jom Lepak sebab janji jumpa Ada kat sana. Actually aku nak bayar duit barang yang aku beli kat dia sebelum aku balik kelate. Lama jugak kami bertiga bersembang kat kafe tu. Bila mata masing-masing dah nak lebam barulah kami balik.hoho..

Menung apa tu Mass?

Ooo som!


Iftar @ Hotel Singgahsana: Tribute to Asri Ibrahim

25 Ogos yang lepas aku berkesempatan untuk menghadiri program iftar khas Tribute to Asri Ibrahim yang dianjurkan atas inisiatif Presiden PIN iaitu Bro Mahadi Mohd. Aku ke sana dengan Abg Zaidi yang kena jadi MC hari tu.Aku? Aku tukang makan jela.hihihi.. Majlis hari itu dihadiri tetamu kehormat iaitu bekas Ketua Pengarah IKIM iaitu Dato Dr Ismail Ibrahim. Selain itu yang turut hadir adalah rakan-rakan artis seperti Ustaz Zamri Mantop, Bro Farihin, Leya Az Zahra, Dj Erwan dan Dj Maslina (IKIM) dan ramai lagi termasuklah teman-teman dari gua.com.my serta kumpulan Rabbani sendiri.

MejaVIP: dari kiri Dato Dr Ismail, Bro Mahadi, Ustaz Zamri, Bro Farihin dan Ustaz Asri Ubai

Dalam ucapannya, Dato Dr Ismail meluahkan rasa sedihnya atas kematian allahyarham Ustaz Asri Ibrahim. Beliau masih teringat bagaimana ketika mula-mula Radio IKIM.fm dibuka, Ustaz Asri adalah antara orang yang pertama yang terlintas dibenaknya untuk bekerjasama. Iyalah,menurut beliau takkanlah Radio IKIM hanya diisi dengan tazkirah dan bacaan al quran serta zikir sahaja, tentunya lagu-lagu nasyid juga perlu berkumandang.

Leya Az Zahra dan Dj Maslina Alias

Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya tak lengkap iftar di Hotel Singgahsana jika tanpa persembahan Rabbani. Cuma kali ini tiada lagi suara Ustaz Asri untuk menjadi halwa telinga kita sambil menjamu selera. Makanan kat sini tetap tip top dan banyak pilihan. Yang menjadi tumpuan ramai tentunya kambing panggang. Aku duduk semeja dengan Dj Erwan, Dj Maslina ,Leya Az Zahra dan teman-teman dari Galeri Ilmu. Banyak juga yang kami sembangkan, maklum lah jarang jumpa. Aku, Bro Zaidi, Leya, Dj Erwan dan Dj Mas asyik berborak sampai tak sedar kebanyakan tetamu lain dah balik. Bila kami turut disertai oleh Bro Farihin, Bro Mahadi dan Ustaz Asri Ubai maka perbualan kami semakin rancak. Satu demi satu topik disembangkan. Basically semuanya berkisar tentang nasyid dan hiburan Islam. Tak silap aku, selain Rabbani, kamilah guest yang paling akhir balik sampai meja lain orang hotel dah habis kemas pun, kami masih rancak berbual...
Aku la.. sape lagi.. yang nampak bahu tu DJ Erwan

Bro Farihin dan Zaidi Wildan

Tuesday, September 1, 2009

Ustaz Asri Terus di Kenang

Sejak Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim teman-teman dan para sahabat beliau tidak putus-putus mengadakan majlis tahlil untuk beliau. Aku sendiri sempat menghadiri 3 majlis tahlil yang diadakan oleh Rabbani Production, Kuzie Catering dan Hijjaz Trade Corporation. Rabbani Production telah mengadakannya di pejabar mereka di Manjalara, Kuzie Catering di Wisma PKPS Shah Alam dan Hijjaz Trade Corporation di Teratak Hijjaz. .Malangnya aku tak dapat hadir semasa tahlil diadakan di rumah keluarga allahyarham baik di Bukit Lanchong mahupun di Bukit Beruntung. Selain itu PIN (Persatuan Penggiat Industri Nasyid Malaysia atas inisiatif Bro Mahadi selaku Presiden turut mengadakan majlis tribute khas untuk allahyarham di Hotel Singgahsana Petaling Jaya baru-baru ini.Begitu ramai sekali yang hadir pada setiap majlis, menunjukkan ramainya teman-teman yang begitu menyayangi beliau.



Sewaktu majlis-majlis tersebut diadakan ada juga teman-teman Allahyarham yang berkongsi pengalaman manis mereka bersama hadirin. Bro Farihin Abd Fatah contohnya menceritakan bagaimana ketika bersama dengan Allahyarham di satu kawasan awam di London bersama anggota Nadamurni termasuk Bro. Isman Hijjaz, suara allahyarham yang mendendangkan lagu Maulana ketika itu telah berjaya menarik beberapa kumpulan yang bertelingkah dalam satu piket untuk meninggalkan pertelingkahan mereka dan menikmati persembahan allahyarham bersama Nadamurni. Bro Azadan pula berkongsi hari-hari terakhir beliau bersama allahyarham yang mana allahyarham bersungguh-sungguh meminta Azadan menganjurkan satu program yang dapat mempertemukan semua kawan-kawan mereka. Dalam nada sedih, Azadan menjelaskan tak disangka pula program yang dimaksudkan ialah majlis tahlil untuk Allahyarham Ustaz Asri sendiri.



Apapun, kita harus menerima hakikat bahawa Ustaz Asri Ibrahim tidak lagi bersama kita. Namun legasi perjuangannya akan tetap diteruskan oleh penasyid-penasyid yang ada. Teringat pula kata seorang teman, "Usahlah kita bersedih, mungkin kini Ustaz Asri dibawa kembali ke alam baqa oleh Allah untuk menghiburkan orang-orang soleh di sana". Aku juga doakan Rabbani akan tetap utuh dan terus berjuang walaupun tanpa Ustaz Asri. Ketika menghadiri majlis tribute khas untuk Ustaz Asri, aku sempat merakamkan persembahan Rabbani buat pertama kalinya aku tonton tanpa kehadiran Ustaz Asri Ibrahim di Hotel Singgahsana. Aku minta maaf sebab gambar dia tak elok sangat.Maklum la ambik pun pakai handphone je. Yang jadi lead vocal masa persembahan ini adalah Bro Zul dan Ustaz Asri Ubaidullah. Aku dikhabarkan Ustaz Asri Ubaidullah juga telah secara rasminya dilantik sebagai ketua kumpulan Rabbani yang baru sekaligus sebagai Pengarah Urusan Rabbani Production Sdn Bhd. Saksikanlah sedikit bingkisan yang aku sediakan khas buat korang semua.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...