Aku dah tak tahu la apa dah jadi rakyat Malaysia kita ni. Ada jugak yang masih punya fikiran yang tidak waras sampai sanggup membunuh diri. Apatah lagi kejadian ini berlaku di Kota Bharu Bandaraya Islam yang menjadi ibu negeri bagi Negeri Serambi Mekah.Kejadian ini berlaku pada petang 24 Mac 2011. Tak pastilah apakah sebab gadis ini nekad memanjat bumbung KB Mall dan cuba terjun ke bawah untuk menamatkan riwayatnya sendiri. Alhamdulillah, nasib baiklah pihak keselamatan bertindak cekap sekaligus berjaya mengelak perkara buruk berlaku. Ada la jugak peluang untuk si gadis bertaubat. Kalaulah dia 'berjaya' membunuh diri, tak tahulah apa pula yang bakal dihadapinya di alam selepas ini. Hanya Allah sahaja yang tahu.
Jangan sesekali mencuba perkara bodoh seperti ini
Imam Al Bukhari dan Muslim meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kakal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diiri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya."
Solat berjemaah sebelum masuk ke stadium. Surau tak muat, parking lot pun boleh..(photo theredwarriors.com)
Sebagai penyokong the red warriors, aku tentunya berbangga dengan prestasi semasa yang ditunjukkan oleh pasukan Kelantan dalam saingan Liga Super mahupun Piala FA pada tahun ini. Sabtu lepas, Kelantan melangkah bergaya ke separuh akhir Piala FA selepas membenam cabaran Felda United dengan agregat 5-2. Kejayaan yang dicapai setahun dua ini bukan sahaja kerana pengurusan pasukan yang cekap, pemain yang berkualiti tetapi juga sokongan padu penyokong yang membanjiri stadium pada setiap perlawanan. Banyak pasukan yang mencemburui apa yang dimiliki Kelantan ketika ini. Mereka mengharapkan ada individu seperti Tan Sri Annuar Musa untuk memimpin pasukan dan stadium mereka penuh dengan penyokong setiap kali beraksi sebagaimana di Kota Bharu. Kecemburuan ini pernah diluahkan oleh seorang penyokong Negeri Sembilan selepas menyaksikan perlawanan antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Kota Bharu.
Tangki air disediakan oleh MPKB untuk kemudahan wuduk (photo theredwarriors.com)
Selain daripada apa yang aku sebutkan di atas, rasanya rahsia sebenar kejayaan Kelantan adalah penekanan aspek spiritual kepada pemain dan penyokong Kelantan oleh Tuan Guru Menteri Besar mahupun Tan Sri Annuar sendiri sebagaimana yang korang boleh tengok dalam gambar-gambar yang aku kongsikan di sini. Laungan "Marilah menuju kejayaan", alhamdulillah disambut oleh para penyokong dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai hamba kepada Yang Maha Esa. Walaupun masing-masing berebut nak masuk ke stadium lebih awal kerana ruang tempat duduk yang sangat terhad di dalam stadium, mereka tetap menunaikan kewajipan tanpa segan silu walaupun di kawasan terrace penonton. Malah sempena sambutan Maulidurrasul yang lepas, Stadium Sultan Muhammad ke-IV bergema dengan bacaan selawat oleh para penonton sebelum perlawanan berlangsung. Malah pihak KAFA telah mengedarkan text selawat kepada semua penonton untuk memudahkan mereka mengalunkan pujian-pujian kepada Rasulullah secara berjemaah. Sejak hayat aku ni,rasanya inilah kali pertama perkara seumpama ini (berselawat sebelum perlawanan) dilakukan di tanah air kita.
Siapa kata tak boleh solat kat tempat duduk penonton? Siap berjemaah tu..(photo kelate.net)
Semoga perkara yang baik ini dicontohi oleh semua pasukan bolasepak yang ada di Malaysia ini. Selain aksi di padang dan pengurusan yang baik, kita juga perlu menjadi hamba yang taat kepada Allah SWT sekaligus mengharapkan inayah dan pertolongan dari-Nya demi mencapai sebuah kejayaan.
Pemakaian kopiah atau songkok sejak sekian lama telah menjadi identiti kumpulan-kumpulan nasyid sejak awal kemunculan nasyid kontemporari di Malaysia. Malah jenis atau corak kopiah dinisbahkan kepada kumpulan-kumpulan nasyid walaupun hakikatnya bukannya diorang pun yang design atau buat kat kilang. Maka muncullah kopiah raihan, kopiah hijjaz, kopiah rabbani, kopiah saujana dan macam-macam lagi termasuklah 'brand' yang paling baru iaitu kopiah Inteam. Hijjaz dan Raihan adalah dua kumpulan otai yang agak konsisten dengan jenis kopiah yang dipakai. Tak silap aku kopiah Raihan tu sebenarnya dibuat di Republik Chech manakala kopiah Hijjaz pula dibuat di Bangladesh.Sebelum era nasyid kontemporari pula, kumpulan-kumpulan nasyid seperti Nadamurni, The Zikr, Nahwan Nur, Fitrah Murni dan lain-lain pula lebih sinonim dengan pemakaian serban.
3 'brand' kopiah nasyid yang popular
Secara zahirnya, pemakaian kopiah adalah ciri yang paling mudah untuk membezakan antara penyanyi nasyid dan penyanyi bukan nasyid.Apatah lagi pemakaian kopiah adalah sunnah dan syiar Islam wajar digalakkan pada semua.Alhamdulillah, selepas kemunculan kumpulan-kumpulan nasyid ini, para remaja khususnya tidak lagi segan untuk memakai kopiah dalam kehidupan seharian mereka malah ia menjadi trend dan semacam bentuk fesyen.Sebelum itu, hanya golongan yang agak berumur sahaja yang memakai kopiah atau songkok. Geng-geng muda hanya pakai sewaktu nak ke masjid atau solat sahaja.Soal sama ada pemakaian kopiah ini benar-benar dilakukan demi menepati sunnah atau sekadar fesyen sahaja kita tolak tepi dulu. Sekurang-kurangnya lambang atau syiar Islam itu di"komersial"kan kepada segenap lapisan masyarakat terutamanya anak-anak muda.
Pakai kopiah satu sunnah
Cuma yang sedikit menggusarkan aku adalah sikap sesetengah kumpulan nasyid yang kini seolah-olah sudah melupakan terus kopiah atau songkok dalam kamus kostum mereka.Alasan yang diberikan selalunya adalah untuk memudahkan mereka mendekati mad'u baru terutamanya di kalangan remaja yang lebih selesa dengan imej yang trendy dan stylo berbanding imej 'ustaz' dan 'mat surau' yang dikaitkan dengan pemakaian kopiah. Actually bukan penasyid je, pak-pak ustaz kita pun dah melakukan transformasi ini. Sebab tulah sekarang ni kita tengok dah semakin ramai ustaz-ustaz kita tampil dengan imej berkot atau berjaket tanpa kopiah. Dan aku secara jujurnya setuju dengan hujah ini.
'Brand' paling baru: Kopiah Inteam
Walau bagaimanapun bagi aku, untuk kita mengenepikan terus pemakaian kopiah daripada imej kita sebagai penasyid rasanya bukanlah tindakan yang tepat. Pengalaman aku sebagai orang yang juga terlibat dalam industri nasyid, pemakaian kopiah ini banyak kebaikannya bukan sahaja untuk diri kita tapi juga orang yang melihat kita. Pemakaian kopiah ni dapat melindungi diri kita dari terdedah kepada perbuatan yang tidak baik atau kurang enak. Paling kurang, bila tengok kita pakai kopiah, perempuan takde la nak hulur tangan untuk bersalam dengan kita. Kalau diorang dok sembang benda bukan-bukan pun, automatik ianya akan terhenti dengan kehadiran kita."Weh, jaga sikit mulut kau tu.Budak nasyid ada.. ". Even kalau diorang tu nak perli sekalipun, tak kisahlah sebab sekurang-kurangnya mereka tetap berhenti nak buat benda yang bukan-bukan depan kita.Pernah dalam satu majlis, aku dan kawan-kawan lain disediakan tempat solat di backstage yang sebelumnya tu tak wujud.Lebih best yang tolong kitorang setup tempat solat tu bukanlah seorang muslim pun. Dan alhamdulillah selepas kami buat ruang untuk solat dengan hanya menyusun kerusi sebagai penghadang, ada juga orang lain ikut sama menunaikan solat. Sekurang-kurangnya kami dapat buktikan sebesar mana pun acara atau sibuk macam mana pun, ia seharusnya tidak menghalang kita untuk menunaikan solat.
Maka dengan itu, aku rasa adalah wajar untuk para penasyid agar tidak melupakan kopiah sebagai sebahagian daripada imej mereka sekaligus mempromosikan satu sunnah dan syiar Islam secara berterusan. Kalau tak nak pakai sentiasapun, pakai pada waktu tertentu pun takpe. Jangan tak pakai terus sudah le.. :)
Aku dah lama menantikan kemunculan filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) terbitan KRU Studios ni. Sejak aku tengok trailernya kat youtube aku menanti tarikh tayangannya dengan penuh sabar dan teruja. Terus terang aku katakan , expectation aku terhadap filem ini agak tinggi. Walaupun mungkin tak sehebat filem epik terbitan barat seperti Braveheart, The Last Samurai mahupun The Patriot tapi sekurangnya lebih baik daripada Puteri Gunung Ledang atau Queen of Langkasuka terbitan Thailand. Aku anggap tentunya KRU akan menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada PGL sekurang-kurangnya sebab mereka tentunya dah kaji kelemahan yang ada dalam PGL tapi sangkaan aku nampaknya silap.
Trailer HMM
Aku berkesempatan menonton HMM hari Ahad lepas di Cineleisure. Memang itulah port aku tengok movie pun. Senang nak parking dan selesa. Kalau lapar pun banyak tempat untuk soru.Surau pun satu floor ngan cinema dan selesa untuk solat. Aku sampai agak awal sebab bimbang tiket habis dan alahamdulillah aku dapat tiket untuk tayangan pukul 8.30 malam. Selepas selesai solat maghrib, aku masuk dalam panggung lebih kurang pukul 8.20 malam. HMM bermula dengan babak di Goa, India di mana sebahagian askar Rom termasuk putera rajanya yang terkandas akibat kerosakan kapal yang dilanda bencana mencari bantuan saudagar India untuk membawa mereka ke Semenanjung Tanah Melayu bagi meneruskan upacara perkahwinan dengan puteri maharaja China. Mereka akhirnya berjaya mendapatkan pertolongan Merong Mahawangsa yang sebelum itu ditangkap kerana cuba membawa lari seorang gadis yang juga adik seorang bangsawan di Goa. Babak-babak seterusnya aku malas nak ulas cuma aku nak sentuh beberapa perkara yang aku rasa mendukacitakan aku sebagai penonton yang sebelumnya begitu teruja nak menonton HMM:
Jalan cerita HMM ni bagi aku agak longgar dan kurang menarik. Walaupun ianya gabungan antara unsur sejarah (yakni merujuk kisah dalamKitab Hikayat Merong Mahawangsa) dan fiksyen tapi aku rasa bebrapa aspek harus diperkemaskan supaya lebih realistik dan menarik. Dalam kitab HMM Garuda yang cuba menghalang perkahwinan tersebut adalah burung Garuda yang sebelum itu memohon kebenaran Nabi Allah Sulaiman untuk melakukannya namun tidak mendapat perkenan baginda (boleh rujuk kitab HMM untuk kisah seterusnya). Dalam filem ini pula Garuda merujuk kepada satu puak lanun yang ganas serta bermaharajalela di perairan Tanah Melayu. Selain daripada kehebatan jampi serapah ketuanya tiada kehebatan lain yang boleh menjadi aset kepada Garuda sehingga mampu menandingi angkatan tentera Rom, China dan Langkasuka. Dengan hanya menaiki perahu dan beberapa buah kapal sederhana besar serta tanpa kubu pertahanan pun mereka digambarkan cukup berkuasa. Kubu mereka pun hanya umpama perkampungan nelayan dengan rumah-rumah beratap rumbia atau nipah di tepi pantai. Lebih malang lagi, tidak ada sebab yang jelas mengapa Garuda bersungguh sangat ingin menghalang perkahwinan tersebut berlangsung.
Tanah Melayu yang dirujuk sebagai semenanjung emas atau suvarnabumi dikatakan sebuah pelabuhan hebat yang menjadi tumpuan pedagang juga tidak diserlahkan ciri-cirinya. Pelabuhan langsung tak nampak, kapal-kapal pedagang yang berlabuh pun jauh sekali kelihatan. Yang ada hanya pondok-pondok beratap nipah yang didirikan ditepi pantai serta khemah-khemah sementara yang didirikan askar maharaja China untuk tujuan perkahwinan tersebut. Hmm.. khemah ni pun lagi elok daripada 'bangunan-bangunan' yang ada kat 'pelabuhan' tu. Aku sendiri pun tak tahu kat mana kapal 'besar' Merong tu berlabuh. Alih-alih dah sampai kat pantai je.
Orang Melayu yang digambarkan telah mencapai kemajuan dengan mampu membina kapal besar dan belayar ke serata dunia tapi masih tinggal dalam pondok yang nak runtuh. Keris pun dibuat daripada meteor namun 'bangunan' dalam erti kata sebenar tak wujud. Keadaan ini agak tidak logik apabila 'kemajuan' yang dicapai tidak selari. Andai tiadanya perpaduan dan peperangan antara puak/suku yang menjadi punca, tidak bermakna kemajuan fizikal dalam bentuk pembinaan bangunan yang utuh tidak boleh dibuat.
Pertabalan Merong Mahawangsa sebagai Raja Langkasuka yang pertama juga tidak diolah dengan baik.Apakah istimewanya Merong Mahawangsa sehingga diangkat menjadi raja. Adakah dengan hanya memenangi pertarungan dengan panglima-panglima tempatan seorang dua maka terus dia dilantik menjadi raja sedangkan secara umumnya dia dilihat sebagai orang luar? Karisma Merong sebagai pemimpin yang mampu menyatukan masyarakat yang berpecah belah juga tidak ditonjolkan secara jelas. Kalau tak silap aku menurut sejarah antara sebab lain Merong diangkat menjadi raja adalah kerana beliau adalah keturunan Raja Iskandar Zulkarnain. Memang fakta ini ada disebut oleh Kesum tapi ia tidak ditonjolkan dalam soal pertabalannya sebagai raja.
Satu lagi kelemahan ketara dalam filem ini adalah babak pertempuran. Jelas sekali kita kekurangan pelakon tambahan yang berkualiti dalam aspek ini. Askar yang bertempur terlalu menampakkan ke'amatur'an mereka. Mereka menumbuk, memanah mahupun menghayun pedang bukan sahaja dengan teknik yang betul malah tidak bersungguh-sungguh. Mungkin untuk menyelesaikan masalah ini KRU sepatutnya mendapatkan kerjasama daripada ahli-ahli pertubuhan silat atau seni beladiri yang lain agar babak pertempuran akan nampak lebih "real" dan bukannya mengambil pelakon secara tangkap muat di kalangan penduduk yang tinggal dengan berhampiran dengan lokasi pengambaran. Babak pertempuran antara watak-watak utama seperti Merong, Kemawas dan Marcus boleh dikatakan baik namun ia dicacatkan dengan teknik mempercepat pergerakan video yang aku yakin sebenarnya benda tu dibuat untuk menampakkan ketangkasan pelakon dalam bertempur. Malangnya ia dah jadi macam kartun dan tak normal.
Aku rasa cukuplah setakat itu untuk aku buat 'complain' sebagai peminat filem tempatan. Actually ada lagi beberapa perkara tapi aku rasa cukup la kot. Mungkin ramai yang akan cakap, "Dah bajet takde, macam mana nak dapat filem berkualiti?". Namun bagi aku soal bajet memang penting tapi yang lebih penting adalah bagaimana kita dapat memanfaatkan kreativiti minda kita dengan sumber kewangan yang ada. KRU adalah antara tenaga kerja filem tempatan yang berbakat. Yusry contohnya antara individu terawal yang berani menggunakan CGI dalam karya-karyanya. Tapi kali ini nampaknya KRU gagal menghasilkan sesuatu yang bermutu sekurang-kurangnya dari kaca mata seorang penonton kecil seperti aku. Semoga KRU akan lebih teliti dan bersedia dalam penghasilan sebuah filem epik seperti ini.
Tidak terlambat rasanya untuk kita merakamkan ucapan takziah buat teman-teman kita di Jepun di atas kejadian gempa bumi dan tsunami yang membawa kepada kerosakan banyak harta benda walaupun laporan kemalangan jiwa setakat ini hanya melibat kurang lebih 30 nyawa. Sebagai umat yang beriman, kejadian ini menandakan kekuasaan Allah yang maha hebat sekaligus peringatan buat semua manusia agar berlaku amanah terhadap bumi yang dipinjamkan oleh Allah kepada kita. Kerakusan manusia mencari kekayaan dunia sehingga membawa kepada kerosakan alam sekitar menjadi antara punca bencana alam sebegini. Hutan ditebang, sungai dan laut dicemar malah bukit dan gunung yang menjadi pasak bumi diratakan sehingga struktur tanah dan pelantar benua tidak lagi stabil.
Jepun dilanda tsunami 2011
Kita di Malaysia bernasib baik kerana kita berada di luar lingkaran api pasifik yang bebas dari kejadian gempa bumi dan gunung berapi. Namun harus kita ingat, itu hanya perkiraan ilmu geo sains sahaja. Sebagai seorang yang Mukmin kita harus mengambil kira 'perkiraan' Allah juga. Jika Allah mahukan ianya berlaku, maka ia akan tetap berlaku. Buktinya kita juga dilanda tsunami pada 2005 walaupun masih ramai rakyat ketika itu tidak tahupun makna perkataan tsunami itu sendiri. Berdoalah kepada Allah agar negara kita dilindungi daripada bencana alam yang dahsyat ini.Amin..
Aku baru terjumpa tentang kewujudan filem berjudul "Bunohan" ini selepas jumpa klip video preview filem di youtube kat channel Malaysiakini. Berdasarkan preview tersebut, aku rasa filem ini akan menyajikan sesuatu yang menarik. Selain daripada dibarisi pelakon yang hebat walaupun tak begitu popular, aku tertarik untuk menonton "Bunohan" sebab ia berlatar belakangkan masyarakat Kelantan yang tinggal bersempadan dengan Siam. In fact selari dengan tajuknya, proses pengambaran pun dibuat di Kg Bunohan, Tumpat Kelantan. Dan bila dah ceritanya pun pasal orang Kelantan, tentulah medium percakapan pun adalah dialek Kelantan. Dalam tariler aku tengok pandai jugak Faizal Hussien ngan Bront Palare cakap Kelantan. Kalau Pekin ngan Wan Hanafi Su tu aku tak pelik la sebab diorang berdarah Cik Siti Wan Kembang. Cuma kat preview takde pulak dengar Zahiril Adzim cakap Kelantan.
Movie Trailer
Ceritanya berkisar tentang 3 beradik Ilham ( Faizal Hussien), Bakar (Pekin) dan Adil (Zahiril Adzim) yang mempunyai latar belakang yang agak extreme. Bakar adalah seorang peniaga yang bercita-cita tinggi manakala Ilham pula seorang pembunuh upahan dan Adil adalah seorang jaguh tomoi. Kalau era 70an atan 80an dulu memang kawasan-kawasan sempadan ni memang 'panas'. Karier pembunuh upahan ni memang wujud. Even aku rasa sekarang pun masih ada. Selepas diorang 'buat kerja' diorang akan lari ke seberang. Kalau 'urusannya' di Malaysia so diorang akan lari ke sebelah Siam dan begitu jugalah sebaliknya. Diorang akan bersembunyi lama di seberang sempadan sehingga keadaan reda then barulah diorang akan kembali.
The Sneak Preview
Orang-orang di sempadan pun memang terkenal dengan karakter 'gedebe' mereka. Tapi jangan silap, gedebe bukan bermaksud jahat. Tapi bagi aku ia lebih kepada dihormati kerana "keberanian yang extreme". Sebab itulah orang luar tak berani cari pasal dengan geng-geng sempadan ni. "Kalu demo nok katok kawe sajo baik tok payoh la, sebab lepas tu kalu kawe jupo demo balik demo mati.. " ( "Kalau kau sekadar nak belasah aku, baik tak payah la sebab lepas tu kalau aku jumpa kau balik, kau mati.."), Begitulah antara ayat 'extreme' yang digunakan oleh sebilangan mereka. Walaupun punya keberanian yang luar biasa diorang tidaklah nak kacau orang tak tentu hala. Diorang tetap sama macam orang lain. Ada yang jual baju, jadi tokey beras, pengusaha kedai makan, kerja swasta mahupun kakitangan kerajaan. Memang sama macam kita cuma jangan sama sekali buat kacau dan cari pasal dengan mereka. Kalau kita buat baik, nak buat risau ye tak? Ramai je orang pergi shopping kat Rantau Panjang, Pengkalan Kubor atau Bukit Bunga tanpa ada masalah. Bak kata orang, buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat.. Nantikan kemunculan filem Bunohan di penghujung 2011.
p/s: Tengah cari time nak tengok Merong Mahawangsa
Kali ini aku nak kongsikan satu lagu nasyid yang kira sangat menarik walaupun ianya takdelah popular sangat. Lagu nyanyian Inteam ini ditulis seenuhnya oleh Abai Os aka Abang Faizal Hijjaz. Sewaktu lagu ini dirakam oleh Inteam, aku turut berada di studio NAR Records bersama Abai Os selaku penerbit. Aku masih ingat, bila aku dengar suara Bro Hazamin Inteam ketika merakamkan lagu ini kat studio seraya terpacul dari mulut aku, "Mak ai, makin menjadi suara Hazamin ni. Makin lama makin best..". Masa tu umumnya orang obses dengan suara tinggi. Pendek kata orang anggap siapa punya suara paling tinggi, dialah paling mantop suaranya. Sebenarnya bagi aku hakikatnya ia tidak begitu. Selain daripada range vokal yang besar ( tinggi la tu), lenggok suara dan tone juga memainkan peranan dalam menilai kualiti vokal seseorang. Oklah, akhir kata selamat mendengar lagu yang ditujukan khas buat suami-suami dan isteri-isteri di luar sana..
Alhamdulillah, setinggi kesyukuran aku ucapkan kepada Yang Maha Esa di atas kejayaan penganjuran Karnival Maher Zain Live in Concert yang berakhir pada Ahad lepas.Untuk rekod karnival ini adalah acara berkembar yang diadakan bersempena dengan Maher Zain Live in Concert.Sebagai karnival pertama yang dikendalikan sepenuhnya oleh Nasyeed.Com aku kira karnival ini disifatkan sebagai berjaya. Sebelum ini kami hanya buat karnival untuk pihak ketiga dan diberi peranan tertentu sahaja. Namun kali ini ianya nyata mencabar sebab hampir semuanya kami yang handle sendiri. Namun aku akui juga masih banyak kelemahan yang perlu kami perbaiki untuk masa-masa akan datang.
Sebagai Pengarah Karnival aku bersyukur kerana dikurniakan sekumpulan teman-teman sekerja yang sungguh berdedikasi dan komited dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Mereka tidak mengenal erti penat dan letih walaupun pada hakikatnya mereka tidur pun tak cukup. Mereka juga saling membantu dan bekerjasama dalam menyelesaikan sebarang tugasan walaupun kadangkala ianya di luar bidang tugas mereka. Walaupun menerima tekanan dalam pelbagai bentuk, masing-masing masih boleh menguntum senyuman dan bekerja dengan tenang (ada gak la kenkadang tu kelam kabut dan tinggi suara sikit.. biasalah tu..huhu.. ). So kat sini aku nak kongsikan sedikit dengan korang semua tentang pengalaman aku bekerja dengan anggota-anggota team karnival yang sangat komited ini.
Ada
Sejak dari zaman dia praktikal kat Nasyeed.Com lagi, seingat aku Ada tak pernah fail untuk deliver. Dan kali ini sekali lagi dia buktikan bahawa beliau yang sangat komited dalam bekerja. Ada sebenarnya attach kat Nasyeed.Com untuk projek ni dan dia ditugaskan untuk mengendalikan pengisian program di pentas karnival. Walaupun sibuk dengan tugasan terakhir di tempat kerja lamanya dan pada masa yang sama sibuk juga dengan persediaan ke tempat baru, dia masih mampu memberikan yang terbaik. Pemegang Ijazah dalam bidang event management UiTM ini aku kira telah memanfaatkan segala ilmu dan pengalaman yang ada untuk event kali ini. Daripada nak dapatkan peserta pertandingan, contact artist, call pengacara, liase dengan penganjur bersama, prepare hadiah, sijil dan sebagainya.Masa aku pegi hadiah untuk stage aritupun sempat lagi dia sambar Blackberry baru kat PAS.Keperluan kerja katanya. Pendek kata Ada ni mastermind stage Karnival. Kalau dia takde alamat kosonglah pentas tu. Thanks a lot Ada dan selamat mengembara (mengembara? nak tahu tanya la dia sendiri..huhu)
Cupie
Kalau Ada lebih kepada aktiviti pentas, Cupie pula mengetuai unit gerai. Dalam team karnival ni kami bahagi kepada dua iaitu unit gerai dan unit pentas. Kedua-dua unit ini pula disokong oleh unit PA System and lighting. Cupie bertanggungjawab untuk mendapatkan penggerai dan menjaga hal ehwal kebajikan mereka sepanjang karnival berlangsung. Ha, bunyi macam sikit tugasnya tapi percayalah ianya tak semudah itu. Dalam erti kata lain dia buat kerja-kerja marketing dan PR la. Nak dapatkan 50 penggerai untuk menyertai satu karnival bukanlah sesuatu yang senang. Namun alhamdulillah berkat kesabaran dan kesungguhannya, Cupie berjaya menempuh segala cabaran dengan tenang. Tahniah Cupie!
Lyn
Lyn merupakan seorang lagi sukarelawan yang membantu Nasyeed.Com untuk menampung kekurangan tenaga kerja. Dia pernah parktikal kat NC sebelum ini so dia macam dah faham dengan cara kerja kami. Lyn ditugaskan untuk membantu Cupie untuk urusan Gerai. Sepanjang karnival berlangsung aku tengok Lyn sangat rajin meronda gerai-gerai bagi memastikan kebajikan mereka terjaga. Dialah juga tempat untuk para penggerai mengadu sekiranya ada apa-apa masalah. Dan alhamdulillah segala aduan yang diterima berjaya ditangani dengan bantuan anggota team yang lain. Terima kasih Lyn..
Pyan, Panjang and Amir (The Practical Trio)
3 jejaka ini juga adalah core character dalam team Karnival selain daripada tiga nama yang aku sebutkan di atas. Diorang ni sebenarnya sedang menjalani praktikal di NC dalam bahagian grafik. Namun penglibatan mereka dalam karnival ini menyerlahkan bakat-bakat lain yang terpendam dalam diri mereka. Pada masa yang sama aku rasa mereka bertuah sebab dapat experience terlibat dalam event besar bertaraf international ini.Tapi aku tak tahulah kot-kot mereka serik..huhuhu. Maklumlah, penat tu beb! Merekalah yang buat design, gantung signage, meronda gerai, ambik gambar, bantu bahagian stage, angkat meja dan bermacam lagi kerja lain. Pyan sebenarnya diletakkan dalam unit gerai untuk membantu Cupie manakala Amir dan Panjang aka Fendi pula ditugaskan untuk membantu Ada dalam aktiviti pentas. Aku harap mereka dapat memanfaatkan pengalaman yang mereka peroleh melalui karnival ini dalam karier mereka nanti. Syukran guys!
Aji & Bob (Sound Engineer)
Aji sebagaimana biasa mengetuai team PA System dan Lighting yang dipasang di pentas karnival. Untuk rekod inilah kali pertama kami dapat menguji sepenuhnya aset Nasyeed.Com yang baru saja dibeli dalam sesebuah acara. Aji bekerja rapat dengan mentornya, Bob yang banyak membantu dalam soal-soal teknikal dan kejuruteraan bunyi. Alhamdulillah artis-artis yang membuat persembahan di tapak karnival berpuas hati nampaknya dengan kualiti sistem bunyi yang disediakan. Namun selain daripada menjalankan tugas hakiki berkaitan PA System dan Lighting, Aji & Associates turut membantu dalam banyak aspek lain khususnya soal teknikal. Congratulation to Aji and geng!
K-Own & Palie ( Technician & The Road Runner)
K-Own ditugaskan sebagai runner dalam karnival ini manakala Palie pula lebih menjurus kepada soal teknikal khususnya berkaitan bekalan elektrik, wiring dan yang 'sewaktu' dengannya. Namun oleh kerana Palie turut memiliki Motosikal, maka dia turut berperanan menjadi runner pada waktu-waktu tertentu. Bergerak menggunakan motosikal sebenarnya lebih mudah sebab takyah fikir sangat pasal parking. Kalau naik kereta atau van memang ambil masa lama la sikit sebab nak cari parking. Cuma ada kalanya van terpaksa digunakan untuk membeli barang-barang yang agak 'besar' dari luar tapak karnival. K-Own di sebalik tugas hakiki sebagai runner, dia turut membantu Palie dalam hal ehwal teknikal. Banyak juga aduan-aduan berkaitan dengan bekalan elektrik, power trip dan lain-lain berjaya diselesaikan. Jazakallah buat anda berdua.
Mawi & Faiz ( Sanitation and Supply Engineer)
Mawi dan Faiz adalah 2 watak penting yang ditugaskan untuk memantau kerja-kerja pembersihan yang dibuat oleh kontraktor kebersihan di tapak karnival. Selain itu mereka juga bertanggungjawab untuk memastikan bekalan air dan elektrik sentiasa berada dalam tahap yang baik. Di tapak karnival kita menggunakan 2 genset dan 2 buah tangki air untuk menampung keperluan selain daripada sumber air dari paip kekal yang ada disediakan oleh pihak stadium. Sebagai "Penghulu" aku amat berpuas hati dengan tahap kebersihan tapak karnival. Cuma kami berhadapan sedikit masalah apabila tandas mobile diserbu hampir serentak oleh penonton sebelum mereka masuk ke stadium. Namun segalanya berjaya ditangani oleh mereka berdua. Gracias!
Pak Nuar, Asri & Pak Jaapor ( The All Rounder)
3 watak ini boleh dikatakan sangat rajin dan ringan tulang. Mereka bertindak sebagai assistant dalam hampir semua perkara. Apabila kawasan karnival menghadapi masalah limpahan air hujan, merekalah yang bertanggungjawab 'menimba' air yang bertakung supaya tapak karnival tidak terus digenangi air. Walaupun aku tahu depa ni penat tapi aku tengok mereka ni tak pernah menolak apabila diminta tolong. Sikap ini amatlah wajar untuk kita contohi.
Nadhir & Walid ( Tukang Kata & Stage Crew)
Nadhir & Walid lebih sinonim dengan tugas-tugas teknikal di pentas. Diorang nilah membantu Ada membekalkan apa yang diperlukan oleh penyanyi atau pihak yang menggunakan pentas baik untuk pertandingan, nyanyian mahupun promosi. Pada masa yang sama nadir juga adakalanya bertindak sebagai tukang kata yakni DJ yang memberi makluman dan info kepada orang ramai terutamanya bila aku tak ade di 'konti'. Nadhir punya kelebihan menyusun dan membina ayat-ayat yang cantik bunyinya. Sebab tu bila dia bercakap adakalanya macam kita mendengar bacaan puisi walaupun sebenarnya dia hanya nak bagitahu kat orang ramai tentang kat mana nak redeem tiket. Walid dalam 'blur'2 dia pun, tetap komited ngan tugas. Ada sekali dia buat kami tergelak besar apabila bertanya tentang siapa yang nyanyi kat atas pentas yang dia lihat sebelum tu. Ironinya penyanyi yang diamksudkan itu ialah MAHER ZAIN! Oh Walid, tentu kecik hati Maher Zain, bila krew yang buat kerja untuk dia pun tak kenal siapa dia.. hahahaha.. Apapun terima kasih untuk anda berdua.
Ha itulah serba sedikit yang aku dapat kongsikan tentang kawan-kawan yang buat kerja dengan aku sepanjang Karnival Maher Zain Live In Concert. Sebenarnya memang ucapan terima kasih mahupun upah wang ringgit tidak mampu menandingi komitmen dan dedikasi semua tenaga kerja Karnival yang bekerjasama rapat dengan aku. Hanya Allah saja yang mampu membalasnya. Walau bagaimanapun aku tetap nak ucap setinggi-tinggi terima kasih buat korang semua. Semoga budaya kerja yang cemerlang ini dapat kita teruskan pada masa-masa yang akan datang. Jazakallahu Khairan Kathira!