Saturday, March 27, 2010

Maher Zain : Barakallah

Seorang teman kat facebook tag videoklip Maher Zain ni kat aku beberapa minggu lepas. Bila aku dengar sedap pulak lagu ni. So aku dengarlah lagu ni berulang-ulang kali. Sebelum ni terus terang aku cakap, aku tak ambik port sangat pasal Maher Zain ni. Aku cuma tahu kewujudan dia sebagai penyanyi nasyid tapi lagu dia satu pun aku tak pernah dengar. Kiranya lagu ni lagu dia yang pertama la aku dengar. Aku pun selidik sikit la latar belakang Maher Zain ni. Rupanya dia ni artis Awekening Records yang banyak buat album nasyid Inggeris. Dia ni menetap di Sweden dan lulusan ijazah dalam bidang kejuruteraan aeronautik. Kira mamat ni pun bukan calang-calang orang la. Nama dia pun dah kira besar jugak dalam industri nasyid antarabangsa. Dah merata dia buat show dari Eropah sampailah ke Asia dan Afrika. Bila la grup aku nak dapat peluang macam tu. Apapun enjoy the video!


Perlukah Mursyidul Am Baru?

23 Mac lepas yang juga jatuh pada hari jadi aku ( sempat promote tuh..hehehe) Majlis Syura Ulamak PAS telah melangsungkan mesyuarat pertama sesi baru. Berdasarkan pindaan terbaru perlembagaan PAS, anggota Majlis Syura Ulamak adalah terdiri daripada 4 orang yang dilantik oleh AJK PAS Pusat, 4 orang daripada Dewan Ulamak PAS Pusat dan masing-masing dua daripada Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Kesemua mereka mestilah terdiri daripada ulamak. 12 orang anggota ini kemudiannya akan memilih 5 lagi individu untuk menganggotai majlis ini menjadikan jumlah keseluruhan 17 orang.


Yang paling menarik minat ramai adalah teka teki kerusi Mursyidul Am sama ada ia kekal disandang oleh Tok Guru Nik Aziz atau tidak. Semalam TGNA mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sedia menyerahkan kerusi tersebut kepada orang lain namun akan tetap akur memikul amanah sekiranya diminta oleh parti. Beliau menjelaskan rekod kehadiran beliau dalam mesyurat majlis syura agak buruk kerana masalah kesihatan beliau. Peranan beliau dalam mempengerusikan mesyuarat selalunya terpaksa diambil alih oleh timbalan beliau iaitu Dato Dr Harun Din.



TGNA Aset Strategik PAS
Tiada sesiapapun dapat menafikan bahawa TGNA adalah tokoh yang paling dihormati oleh seluruh masyarakat Malaysia baik yang Muslim mahupun non-muslim. Malah beliau juga turut menjadi rujukan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Dato Seri Anwar Ibrahim sendiri dalam mengendalikan isu-isu penting dan strategik. Ini terbukti ketika Pakatan Rakyat cuba mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan sebelum Tun Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan dimana Anwar, TG Hj Hadi diiringi Dr Harun Din terbang ke Kota Bharu untuk meminta pandangan TGNA. Orang-orang UMNO sendiri pun tak ramai yang tergamak untuk bercakap buruk tentang TGNA. Rekod 'bersih' beliau (yakni tanpa kes rasuah dan penyelewengan) sepanjang 20 tahun memerintah Kelantan menyebabkan masyarakat Cina dan India juga amat menghormati beliau. Dakwaan penyelewengan memang ada tapi ianya hanya tinggal dakwaan dan cerita kosong sebab beliau dan anak-anak buahnya tidak pernah disabitkan dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa di mana-mana mahkamah di Malaysia. Tapi aku takdela cakap pemerintahan TGNA di Kelantan langsung takde cacat cela. Mana ada insan yang sempurna selain Rasulullah beb!

TGNA ketika dikunjungi Siti Nurhaliza & Dato K

Tak Perlu Orang Baru
Jadi bagi aku PAS tak perlukan Mursyidul Am baru sebab PAS masih memerlukan TGNA sekurang-kurangnya sebagai Ikon penting untuk menarik sokongan masyarakat Malaysia. Setakat ini ketokohan dan kredibiliti beliau dari kaca mata masyarakat Malaysia belum dapat ditandingi walaupun oleh Presiden PAS sendiri. Mengenepikan Nik Aziz hanya akan menimbulkan polemik yang mungkin menjejaskan sokongan masyarakat kepada PAS sendiri. Setakat masalah tak dapat hadir mesyuarat di KL kerana faktor kesihatan bukanlah masalah besar yang boleh menyebabkan TGNA gagal berfungsi sebagai Mursyidul Am. TGNA bukan saja dilihat sebagai tokoh agama yang mempunyai ilmu yang tinggi tetapi juga seorang tokoh politik yang berjaya.

Dato Dr Harun Din

Kalau Perlu Siapa Orangnya?
Jika perlu diganti juga TGNA dengan orang baru, dalam kepala aku cuma ada satu nama iaitu Dato Dr Harun Din yang juga Timbalan Mursyidul Am sekarang. Pada pandangan aku, keilmuan beliau dalam bidang agama boleh dikatakan setanding dengan TGNA cuma masalahnya beliau masih belum mampu menterjemahkan kejayaan beliau sebagai pemimpin politik. Beliau pernah bertanding beberapa kali di Perlis tapi tewas. Maka dengan itu corak kepimpinan beliau sebagai pemimpin politik dan kerajaan belum lagi teruji.



Apapun kita tunggu sajalah keputusan mesyuarat majlis syura Isnin ini. Kita tengok ada kejutan atau tidak dalam mesyuarat itu nanti. Aku rasa ramai juga pemerhati politik macam aku yang menanti penuh minat tentang isu kerusi Mursyidul Am PAS ni. Apa lagi kita boleh buat? tunggu jelah..hehehe

Saturday, March 20, 2010

Bernama Radio 24

Sejak kemunculan Bernama Radio 24, sesiapa je naik kereta aku akan turut secara terpaksa atau tidak mendengar siarannya. Aku mendengar radio ni sejak siaran percubaannya berkumandang. Aku masih ingat sehari sebelum pelancarannya, penyanyi lagu korporat Radio 24 ni ditemuramah kat konti tapi aku dah tak ingat nama dia sape. Best jugak la lagu korporat diorang.

Benda yang paling aku suka pada Radio 24 ni ialah konsepnya yang berteraskan berita dan maklumat. Di kala radio-radio lain menjadikan muzik sebagai intipati utamanya, Radio 24 menjadikan berita sebagai bahan utama siarannya malah ia dinobatkan sebagai radio berita pertama di Malaysia.

Memandu sambil layan Radio 24

Sebagai orang yang terlibat dalam dunia muzik secara langsung yang sememangnya hidup di kelilingi dengan elemen muzik, aku memang nak cuba elak daripada terus-menerus menghidangkan telinga aku dengan muzik. Radio 24 sekurang-kurangnya memberi ruang untuk telinga aku mendengar selain daripada muzik. Mendengar muzik membuatkan aku berasa seolah-olah sedang bekerja. Jika orang lain mendengar muzik dan menikmatinya sebagai hiburan, aku pula akan secara automatik akan "bekerja". Otak aku akan mula menganalisis benda-benda macam kualiti rakaman, instumen muzik yang digunakan, susunan muzik, susunan vokal dan lain-lain. Sama la kalau aku pegi tengok performance. Aku bukan enjoy the show sangat tapi aku akan tengok set pentas dia, cara krew-krew bekerja, sistem bunyi yang diguna, sistem lampu dan sebagainya.. So kalau aku nak menghiburkan diri sendiri, aku akan pegi tengok benda lain contohnya pegi tengok bola kat stadium atau tengok movie..huhu..

Personaliti Radio 24: Zaleha Khairene, Kam Kamarudin dan Wan Syahrina

Radio 24 ni kita nak dengar lagu pun jenjarang je. Yang banyaknya adalah kita akan dengar orang bercakap, berdiskusi dan menyalurkan maklumat. Antara program yang aku suka kat Radio 24 ni ialah Black Maria yang dikendalikan oeh Dr Kamal Effendi Hashim dan Yunus Sabri.Ianya program bercorak analisis jenayah. Satu lagi yang aku suka dengar ialah Kerusi Panas kendalian Azlan Idris. Radio 24 juga dah hidupkan kembali drama radio yang memang dah lama kita tak dengar. Malah mungkin generasi muda hari ni memang tak pernah dengarpun drama radio sepanjang hidup mereka. Kemunculan radionovella "Embun Hibiscus" sekurang-kurangnya mengimbau kembali kenangan drama radio popular satu ketika dulu macam Felda di Bumi Permata walaupun masih ada kekurangan dari sudut lakonan. Maklumlah yang belakon tu pun bukan pelakon professional tapi personaliti-personaliti Radio 24. Apapun ianya satu usaha yang sangat baik. Syabas Radio 24! Hmm... kalau korang nak rasa macam mana bestnya radio ni, korang boleh tune ke FM 93.9 untuk lembah klang dan bagi di luar lembah Klang korang boleh lah dengar secara online di www.radio24.com.my. Selamat mendengar!

Tuesday, March 16, 2010

Apa Salahnya Perigi Mencari Timba?

"Perigi mencari timba" secara umumnya masyarakat Melayu menafsirkan perumpamaan ini sebagai sesuatu yang sangat negatif. Ia dinisbahkan kepada perbuatan wanita yang memulakan langkah untuk mencari pasangan hidupnya tanpa menunggu seorang lelaki datang dan masuk melamarnya. Dalam bahasa mudah remaja sekarang, ertinya perempuan mengorat lelaki."Mengorat" hmm.. perkataan ini pun kena ditakrifkan betul-betul sebab iapun dilihat negatif oleh sebilangan orang.. Jadi aku rasa aku guna perkataan "Memikat" la kot supaya tidak prejudis bunyinya. Atau mungkin perkataan 'tackle' juga bisa digunakan. Dan istilah tackle di sini tidak sama maksudnya dengan istilah tackle dalam sukan bolasepak mahupun ragbi..hehehe. Soalnya adakah perkara ini dibolehkan? Kita boleh timbangkan perkara ini daripada 3 perspektif berbeza. Aku namakan pertimbangan 3A iaitu Agama, Adat dan Akal.

Akal
Kalau kita fikir dari sudut logik, memang tiada apa-apa masalah untuk perigi mencari timba. Pertimbangan akal ini selalunya melihat sesuatu perkara itu dari sudut kesan secara langsung kepada fizikal kita atau kita boleh katakan pertimbangan akal adalah lebih kepada pertimbangan secara permukaan atau 'surface' sahaja. Akal selalunya akan kata macam ni.. "Ala.. kalau lelaki boleh mulakan, apa sebab perempuan tak boleh?"

"Berembun" di kedai mamak dah jadi kebiasaan di bandar-bandar besar

Adat
Pertimbangan adat pula dibuat berdasarkan nilai atau persepsi yang diletakkan oleh masyarakat umum terhadap sesuatu isu. Dalam konteks masyarakat Melayu yang mementingkan nilai adab kesopanan yang tinggi, soal perigi mencari timba dilihat sebagai sesuatu yang negatif. Persoalan seperti seks juga tidak boleh dibincangkan secara terbuka walaupun dari sudut ilmiah kerana dianggap sebagai taboo. Begitu juga dengan wanita yang keluar waktu malam atau balik lewat malam dianggap sesuatu yang tak elok. Namun perubahan gaya hidup, suasana dan ekonomi masyarakat menyebabkan persepsi masyarakat tentang sesuatu perkara itu juga berubah. Sebab itulah dalam era globalisasi dan kebebasan maklumat hari ini, semakin ramai anggota masyarakat yang lebih terbuka apabila membicarakan soal seks atau perkara-perkara yang dianggap taboo suatu masa dulu. Di bandar-bandar besar juga, orang dah tak hairan kalau tengokperempuan yang lepak kedai mamak sampai pukul 2-3 pagi. Nak pelik apa, kalau diorang keje pun balik pukul 12 malam. Itu belum dikira wanita yang keje syif malam.Walau bagaimanapun bagi masyarakat di luar bandar-bandar besar, mungkin it's still a BIG NO!

Saya suka kat awak tapi takkan saya pulak yang nak tackle awak. Mana boleh perigi cari timba!

Agama
Sebagai seorang Muslim yang mukmin, pertimbangan hukum agama adalah yang paling kritikal untuk kita penuhi. Kita ni bukan hidup kat dunia sahaja, satu masa kita akan mati dan menempuh alam akhirat yang membawa kita ke syurga atau neraka (nauzubillah). Maka adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk menitik beratkan soal pertimbangan agama ni. Berbalik kita kepada soal perigi mencari timba, adakah ia dibolehkan dalam agama? Mari kita rujuk sirah Rasulullah SAW. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Siti Khadijah R.A yang memulakan langkah untuk mendekati Rasulullah SAW.Aku nak cerita panjang tak reti tapi korang boleh rujuk cerita detail dia kat sini. Dato Dr Mashitah Ibrahim yang kini Timbalan Menteri di JPM pernah menyatakan bahawa perempuan memang dibolehkan memikat lelaki dengan syarat, cara serta kaedah yang digunakan itu tidak bertentangan dengan syariat Islam. Seingat aku antara hujah beliau ialah dalam keadaan bilangan perempuan yang lebih ramai daripada lelaki, maka kemungkinan untuk mereka mendapat calon suami yang terbaik adalah sukar jika mereka hanya 'menunggu' dan bukan 'mencari'. As what the Mat Salleh says, "If you want the best, you must go for it and not just wait & see."

Kesimpulan
Di kalangan kawan-kawan perempuan aku pun ada yang punya pandangan pro dan tidak kurang juga yang kontra dalam isu ini. Bagi yang kata perigi mencari timba tu tak salah, hujah mereka lebih kurang sama dengan apa yang Dato' Dr Mashitah cakap. Bagi yang kata perigi mencari timba tu salah pula, mereka berpendapat wanita mesti mengekalkan "kemahalan" mereka. Kata mereka, "Tak class la kalau perempuan pulak yang nak tackle lelaki". Kalau korang tanye aku, aku akan kata, memang tak salah perigi mencari timba selagi cara yang digunakan tidak bertentangan dengan syariat. Bagi aku, baik timba mahupun perigi, masing-masing kena 'berusaha' kalau nak dapat pasangan hidup yang terbaik buat mereka. Kalau dok tunggu je, pilihan yang kita ada hanyalah terhad kepada "siapa yang masuk mai". Namun inikan pendapat, tak semestinya betul dan tak semestinya juga salah. Lu pikirlah sendiri!

Friday, March 12, 2010

Mengenang Otai Nasyid

Aku mendapat berita kepulangan otai irama padang pasir dan nasyid, Ahmadi Hasan ke rahmatullah ketika aku tengah sibuk menguruskan perjalanan program Malam Sinar Maulidurrasul di Terengganu. Belumpun hilang kesedihan di atas kehilangan Ustaz Asri Rabbani, Pak Ahmadi Hassan pula pergi meninggalkan. Bagi aku kematian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada irama nasyid Malaysia khususnya bagi mereka yang meminati irama padang pasir. Mungkin penggemar-penggemar nasyid aliran "Al Arqam" seperti Nadamurni, The Zikr, Fitrah Murni mahupun kumpulan-kumpulan nasyid sezaman dengan mereka seperti Al Anwar, Nahwan Nur, Suara Hati, Ibnu Sabil dan lain-lain tidak begitu mengenali Pak Ahmadi Hassan. Sebagai follower "kaset nasyid RM6", aku pun tak berapa kenal Allahyarham.

Antara karya beliau dalam album Bahagia Berkasih

Nama Allahyarham kembali mendapat perhatian peminat nasyid selepas album Bahagia Berkasih menggondol Anugerah Album Nasyid Terbaik AIM 2006. Mungkin pada awalnya ramai juga peminat nasyid yang mempertikaikan kemenangan album tersebut yang berjaya mengalahkan calon-calon heavyweight seperti Raihan, Rabbani dan Hijjaz kerana nama beliau tidak sepopular calon-calon lain. Namun setelah diamati dan mendengarnya, aku rasa memang album allahyarham layak memenangi anugerah tersebut berdasarkan kualiti produksinya.Tu lah kenkadang tu geng-geng nasyid kontemporari ni silap strategi, mereka lebih cenderung hantar lagu-lagu yang popular dan bukannya lagu-lagu yang bagus dari sudut kualiti produksinya. Al fatihah buat Allahyarham Pak Ahmadi Hassan.

Tuesday, March 9, 2010

Menangani Homesick!


SMSD: Ini le tempat aku habiskan 5 tahun pertama di hostel

Aku masih teringat ketika pada hari pertama aku berdaftar di UiTM lebih kurang 9 tahun yang lalu. Sebagai seorang yang sudah biasa dengan kehidupan asrama dan berjauhan dengan keluarga, melangkah masuk ke UiTM hanya seperti bertukar tempat belajar sahaja cuma kali ini ianya pada tahap yang lebih tinggi. Namun bagi mereka yang tidak biasa berdepan situasi ini, ia mungkin satu cabaran besar. Pada usia 18 tahun, seorang rakan sebilik aku menangis teresak-esak apabila keluarganya berangkat pulang ke kampung. Ia mengimbas kenangan aku mengendalikan minggu orientasi ketika di sekolah menengah dulu yang mana majoriti pelajar tingkatan satu akan memulakan hari mereka di asrama dengan mata yang merah kerana bersedih ekoran berjauhan dengan keluarga. Kadang-kadang, fenomena yang disebut “homesick” ini berterusan sehingga berminggu-minggu lamanya. Seseorang yang mengalami homesick akan hilang selera makan, tidak banyak bercakap dan kelihatan murung. Sebahagian masa juga akan dihabiskan untuk menelefon keluarga di kampung.

Kolej Perindu : 3 tahun kedua aku di hostel dan lepas tu sambung 2 tahun kat Puncak Perdana

Bagi mereka yang tidak cukup cekal hatinya, jalan penyelesaian terbaik ialah berhenti belajar dan pulang ke kampung untuk belajar di tempat yang berdekatan dengan keluarga. Kes-kes sebegitu tidak kurang banyaknya ketika era aku di kampus dulu. Bagi saku ia satu kerugian besar buat mahasiswa berkenaan. Sepatutnya mereka harus mampu mengadaptasi diri dalam suasana baru dan mempunyai jiwa yang cekal dan tabah. Dalam usaha menggapai satu kejayaan besar dalam hidup tentunya melibatkan pengorbanan dan salah satunya ialah berjauhan dengan keluarga. Antara jalan terbaik menangani homesick ini adalah dengan bergaul dengan rakan-rakan di sekeliling dan elakkan daripada berseorangan. Jika perlu, telefonlah keluarga pada waktu tertentu (bukan sepanjang masa!). Libatkan juga diri anda dengan aktiviti di kolej kediaman dan fakulti. Sekurang-sekurangnya ia dapat membantu anda melupakan seketika rasa rindu anda kepada keluarga di rumah. Selamat mencuba!

Monday, March 8, 2010

Tenggelam Dalam Dunia Maya

       Dewasa ini kita hidup di kelilingi oleh teknologi yang pelbagai terutamanya melibatkan teknologi maklumat dan komunikasi yang kita sebut sebagai ICT. Kalau kita tengok remaja khususnya, mereka melengkapkan diri dengan pelbagai gajet seperti iPod, GPS, PDA, DigiCam, telefon bimbit dan sebagainya. Kewujudan telefon bimbit yang mempunyai gabungan fungsi peralatan yang disebut tadi memudahkan lagi pengguna untuk memanfaatkan setiap teknologi yang ada. Ditambah pula dengan kemudahan internet yang agak mudah dan murah untuk dicapai, manusia semakin galak memanipulasi teknologi untuk memudahkan perjalanan hidup seharian. Kadang-kadang, sampai tahap kita akan rasa hidup kita tak lengkap bila tiada kemudahan internet di sisi. Padahal sebelum internet wujud, kita boleh sahaja menjalani hidup dengan lancar seperti biasa.

       Satu lagi perkara yang popular di kalangan remaja sekarang ialah laman sosial internet. Hari ini ada pelbagai laman sosial yang menawarkan pelbagai item yang menarik pelayarnya seperti Facebook, Twitter, Friendster dan bermacam lagi. Laman sosial sebegini diwujudkan dengan tujuan yang baik bagi menambah kenalan serta memudahkan kita berhubung dengan kawan-kawan sedia ada. Namun penggunaan secara tidak terkawal dan cermat boleh mendatangkan kesan buruk. Kegairahan kita berkongsi maklumat peribadi boleh mengundang padah sekiranya maklumat tersebut jatuh ke tangan yang salah. Penjenayah juga boleh mengambil kesempatan untuk memanipulasi maklumat tersebut untuk tujuan jenayah.Malah terdapat juga kes, di mana pekerja dibuang kerja didapati mengutuk atau mencerca majikan di laman sosialnya.

    Sebahagian ulama Indonesia pernah mengeluarkan fatwa mengharamkan laman “facebook” kerana penggunaan secara berlebihan boleh membawa kesan buruk apabila terdapat individu yang seolah-olah ketagih melayari laman tersebut sehingga melupakan urusan kehidupan di alam nyata. Suami atau Isteri yang terlalu asyik dengan facebook sehingga terlupa untuk melaksanakan urusan rumah tangga sehingga boleh menggugat keharmonian rumah tangga. Perkara-perkara seperti inilah yang harus dielak. Aku sendiri pun punya teman-teman yang agak ketagih dengan laman sosial ni walaupun tidaklah kronik dan mendatangkan masalah. Mereka sanggup bangun di tengah malam untuk melayari laman sosial mereka. Apatah lagi dengan kewujudan ‘internet games’ yang bersifat ‘real time’ seperti mafia wars, Farmville dan lain-lain lagi memberi keseronokan baru kepada para pelayarnya.

     Sebagai manusia yang diangkat sebagai khalifah Allah di muka bumi, kita harus bijak memanfaatkan teknologi, Janganlah pula kita yang terperangkap dengan dunia maya ciptaan kita sendiri sehingga mendatangkan kesan buruk kepada kehidupan sebenar kita di alam hakiki. Sekian.

Saturday, March 6, 2010

Ape Kerajaan Dah Takde Duit Sangat Ke?

Semasa menghadiri beberapa siri mesyuarat dengan beberapa agensi kerajaan yang terlibat dalam Bintang Nasyid Mu'min baru-baru ini, aku sempat mendengar keluhan mereka tentang bajet jabatan mereka yang dipotong dalam belanjawan terkini kerajaan. Bajet kena potong ni perkara biasa cuma apabila nilai peruntukan yang dipotong tu menyebabkan sebahagian operasi terjejas atau beroperasi dalam keadaan yang 'sesak' adalah sesuatu yang luar biasa. Apatah lagi kalau sektor yang terjejas itu adalah sektor kritikal seperti sektor pendidikan.

Menteri Pelajaran : Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tahun ini contohnya beberapa aktiviti kokurikulum pepelajar terpaksa ditiadakan kerana kekurangan peruntukan. Pada awal tahun ini, pihak Kementerian Pelajaran mengumumkan pemotongan bajet bagi program Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia ( MSSM) kepada 1.5 juta berbanding 6 juta pada tahun 2009. Ini menyebabkan 11 daripada 24 acara sukan digugurkan daripada kejohanan MSSM peringkat kebangsaan. Pengguguran acara sukan yang sebahagiannya tersenarai dalam Program Road To London 2012 turut mendapat bantahan daripada persatuan-persatuan sukan kebangsaan. Pihak Kementerian Pelajaran akhirnya menarik balik pengguguran itu setelah mendapat peruntukan tambahan lebih kurang 700 juta daripada Kementerian Kewangan. Kontroversi ini turut menimbulkan suara-suara nakal yang mempertikaikan kemana perginya wang yuran MSSM yang dibayar RM4 setahun oleh lebih 4 juta pelajar yang berjumlah 16 juta. Aku pun tak reti nak jawab soalan tu sebab mereka yang berkenaan saja yang tahu.

Aku juga mendapat maklumat, tahun ni program MTQ (Majlis Tilawah Al Quran) yang mempertandingkan acara-acara berbentuk keagamaan seperti nasyid, marhaban, tilawah, hafazan dan sebagainya tidak dilangsungkan. Malah pihak sekolah digalakkan untuk mengadakan pertandingan secara internal sahaja bagi aktiviti-aktiviti ko kurikulum yang tidak dijalankan di peringkat antara sekolah. Aku sendiri pun seringkali terlibat dalam pertandingan nasyid sempena MTQ baik sebagai jurulatih mahupun hakim. Namun nampaknya tahun ini, takdelah lagi.

Ni le anak-anak buah aku..huhu

Ini bukanlah kali pertama dunia mengalami krisis ekonomi yang turut menjejaskan Malaysia. Pada penghujung 90-an contohnya, kita juga mengalami masalah ekonomi namun seingat aku ianya tak pernah menjejaskan aktiviti pelajar-pelajar di peringkat sekolah. Ia belum lagi kita bicarakan tentang pemotongan elaun atau faedah tertentu yang diterima oleh cikgu-cikgu kita yang mungkin boleh menyebabkan moral dan produktiviti mereka terjejas.

Pada pandangan aku, kita tak perlu berbangga dengan kemampuan kita untuk menaja pasukan F1 atau menganjurkan program-program mewah sehingga menjejaskan keperluan asas rakyat. Dasar 1 Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri mesti dilaksanakan dengan semangat dan tujuan yang betul yakni memberi manfaat kepada rakyat satu Malaysia dan bukannya kelompok tertentu sahaja. Semoga para pemimpin negara mengambil serius tentang hal ini.

Wednesday, March 3, 2010

Lagu Terpanjang dan Menyentuh Hati

Kepenatan
Kebelakangan ini aku memang kurang 'motivasi' untuk menulis kat blog aku ni. Mungkin sebab banyak kerja yang perlu aku selesaikan di pejabat. 2-3 minggu lepas aku banyak menumpukan masa dan tenaga untuk buat persediaan dan melaksanakan Malam Sinar Maulidurrasul di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man Kuala Terengganu. Kemudian disambung dengan Family Day NC juga di KT. Balik ke Shah Alam, aku terus sambung dengan preparation untuk Bintang Nasyid Mu'min yang akan bermula 13 Mac ni.Kalau nak dikira letih, memang letih beb!Tapi aku tetap enjoy sebab dah memang minat dan keje aku.Hehehe..



Menyentuh Hati
Bila ada masa terluang kat office, aku selalu buka youtube dan cari lagu-lagu yang best terutamanya daripada luar negara. Sebagai orang yang terlibat dengan kerja-kerja produksi album, aku cuba mencari inspirasi dan idea-idea baru untuk produksi-produksi album yang bakal aku terbitkan nanti. Nak dijadikan cerita semalam aku terjumpa satu lagu yang sedap telinga aku mendengarnya dan sangat menyentuh hati aku. Aku mulanya tengok video yang takde sarikata. Dengan ilmu bahasa arab yang sangat sedikit masa aku belajar bahasa arab komunikasi tingkatan 1-3 dan bahasa ketiga di universiti, dapat la aku faham tak sampai 5 peratus daripada keseluruhan lirik lagu tu.



Berdasarkan melodi lagu dan susunan muziknya, aku dapat rasa ianya sebuah lagu yang mood dia agak sedih dan menginsafkan. Paparan video juga menunjukkan mood yang sama. Dalam keadaan aku hampir tak faham langsung liriknya, aku cuba hayati lagu tu dan secara spontan air mata aku menitis. Bukan sebab video yang dipapar sebab sebelum ni aku pernah tengok yang lebih teruk daripada tu tapi aku selamba je. Hati aku tersentuh sebab melodi dan muziknya. Baru aku dapat rasakan penangan bahasa muzik buat pertama kalinya. Ini memberi bukti bahawa cerita yang kita dengar tentang kehebatan Al Farabi membuat orang ketawa dan menangis apabila memainkan alat muziknya adalah sesuatu yang benar.Air mata aku terus bergenang hampir sepanjang aku mendengar lagu ini tapi yang bestnya, takde sorang pun budak office aku perasan.hohoho..



Al Dhomir Al Arabi (The Arab Conscience)
Aku kemudiannya jumpa video yang ada sarikata dalam bahasa Inggeris maka baru lah aku faham keseluruhan lagu ni. Secara umumnya mesejnya adalah untuk menyeru kepada keperihatinan umat manusia seluruhnya dan bangsa arab khususnya kepada nasib mereka yang menghadapi konflik dan penindasan terutamanya di timur tengah, orang arab juga adalah saudara kita walau berlainan negara. Lagu yang dicipta oleh Ahmed Al Arian melibatkan puluhan artis daripada negara-negara arab sepertii Lebanon, Syria, Mesir, UAE, Bahrain, Kuwait, Jordan dan diterbitkan dalam bulan Febuari 2008. 10 tahun sebelum itu, beliau telah mengetuai projek pembikinan lagu yang hampir sama objektifnya dengan penglibatan ramai artis arab melalui lagu yang berjudul The Arab Dream. Kali ini lebih ramai artis yang terlibat. Antara artis arab terlibat yang aku kenal (tapi diorang tak kenal aku) ialah Amal Hijazi, Nancy Ajram, Abdullah Rowaished, Wael Jassar dan Hany Shaker. Yang lain-lain tu first time aku dengar nama mereka. Lagu ni juga aku rasa lagu paling panjang aku pernah dengar iaitu lebih kurang 40 minit. Dalam durasi biasa 40 minit ni dah macam 8 lagu. Oleh sebab terlalu panjang jugaklah videoklip lagu ni terpaksa dibahagikan kepada 5 bahagian untuk di upload ke youtube.



Keistimewaan Lagu-Lagu Arab
Lagu-lagu arab ni punya keistimewaan tersendiri pada pandangan aku terutamanya dari sudut gaya bahasa liriknya yang sangat indah dan lenggok melodi lagunya. Setiap kali aku mendengar lagu-lagu arab, aku akan cuba cari sarikata dalam bahasa Inggeris atau Melayu. Bila aku amati memang tak dapat dinafikan jika ikut istilah majalah Ujang, lirik diorang memang sangat cantik tahap 8. Metafora yang digunakan adakalanya sesuatu yang tak pernah terlintas di fikiran kita. Patutlah Allah turunkan Al-Quran dalam bahasa Arab. Allah nak tunjukkan kat orang Arab walaupun mereka punya bahasa yang indah dan hebat, Allah berkuasa mencipta sesuatu gaya bahasa yang lebih indah dan hebat daripada apa yang mereka tuturkan.



Lenggok melodi lagu Arab juga sangat sukar untuk kita tiru atau lagukan. Notasi muzik mereka pun hingga ke peringkat quarter note yang sangat-sangat jarang kita temui dalam lagu-lagu berbahasa Melayu atau Inggeris. Half note pun jarang jumpa, ini kan pulak quarter note. Kalau korang nak mudah faham, yang dimaksudkan quarter note adalah bunyi yang cikgu-cikgu tarannum kita istilahkan sebagai suara yang sumbang tapi sedap masa kita melagukan Quran. Camtulah lebih kurang. Aku nak explain lebih-lebih, aku pun bukannya pandai sangat.huhu.. Oklah aku rasa cukuplah setakat ni buat kali ini. Korang hayatilah lagu yang aku sediakan untuk korang ni. Hayatilah ia, mana tahu kot-kot korang pun boleh tersentuh bila dengar lagu ni.. Enjoy it! Wasallam..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...