Friday, January 28, 2011

PRK Tenang: Mampukah PAS Membuat Kejutan?

Nampaknya musim pilihanraya datang lagi. Ahad ini pengundi di DUN Tenang di Johor akan menunaikan tanggungjawab masing-masing. Selepas  itu pilihanraya akan diadakan pula di DUN Merlimau Melaka cuma tarikhnya belum ditentukan SPR. Satu lagi PRK yang mungkin berlaku adalah di DUN Pelabuhan Klang, Selangor. Berbeza dengan DUN Tenang dan Merlimau yang mana PRK diadakan kerana kematian ADUNnya, di Pelabuhan Klang kerusi DUN diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN Selangor ekoran kegagalan ADUN hadir ke sidang DUN melebihi 6 bulan tanpa sebab munasabah. Notis kekosongan kerusi telah dihantar oleh Speaker DUN kepada SPR tetapi SPR belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi. YB Badrulhisham pula selaku ADUN Pelabuhan Klang mencabar keputusan Speaker melalui proses mahkamah. Berdasarkan kes yang hampir sama yang berlaku di DUN Kota Seputeh, Kedah, aku yakin kes DUN Pelabuhan Klang ini juga akan turut tergantung. Mungkin pengundi akan dapat ADUN baru selepas pilihanraya ke 13 nanti. Itulah yang akan berlaku apabila kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan tidak dihormati.



Berbalik kita ke PRK Tenang. Johor adalah negeri kubu kuat Umno-BN yang amat sukar ditembusi oleh Pakatan Rakyat. Buat masa ini PAS hanya punya 2 wakil di DUN Johor selepas PRU-12 dan kalau tak silap aku inilah kali pertama mereka berjaya menghantar wakil ke DUN Johor sejak sekian lama melalui kemenangan secara merit. Kewujudan kawasan Felda yang boleh dikatakan fix deposit UMNO serta mempunyai lebih 20 peratus pengundi menyukarkan lagi usaha PAS untuk menawan DUN Tenang. Apapun jentera PAS tidak harus mudah menyerah kalah. Bak kata Leftenan Adnan dalam peristiwa Bukit Chandu, "Mereka mungkin akan menang tapi bukan kerana kita tidak melawan!"



Dari sudut isu, PAS mendapat manfaat awal apabila Presiden MCA Dr Chua Soi Lek mempertikaikan tindakan calon PAS yang tidak bersalam dengan kaum lelaki. Tindakan beliau ini sama sekali merugikan UMNO-BN. Malah beliau turut dikritik oleh tokoh-tokoh masyarakat termasuklah Mufti Perak yang dilihat mesra UMNO sebelum ini. Soi Lek sebenarnya tersilap langkah (atau mungkinkah dia sengaja?) kerana tindakannya seolah-olah mengiyakan dakwaan PAS bahawa UMNO tidak pernah cuma memberi kefahaman kepada rakan sekutunya tentang keluhuran Islam.Akhirnya Tan Sri Muhyidin selaku TPM turut menasihati Soi Lek agar menghentikan isu itu. PAS dilihat menang untuk round pertama.



PAS kemudiannya mengeluarkan pula isu tentang keterlibatan calon UMNO-BN dalam skandal lelongan tanah milik seorang individu ketika menjawat jawatan penolong pegawai daerah sehingga  disaman oleh mangsa. PAS harus berhati-hati apabila membawa isu bersifat peribadi seperti ini kerana jika dimanipulasi secara berlebihan boleh mengakibatkan timbul rasa simpati di kalangan pengundi terhadap calon BN. Apapun pertempuran masih berlangsung dan perang belum berakhir maka belum tentu siapa yang menang dan siapa pula yang kalah. Masih ada 3 hari untuk membuat perhitungan.



Aku harap kedua-dua pihak berkempenlah dengan cara yang betul dan bijaksana. Janganlah menggunakan cara samseng dan di luar batas undang-undang. Aku mengimpikan satu suasana kempen pilihanraya yang bukan sahaja bersih malah diisi dengan nilai-nilai positif. Masing-masing membentangkan tawaran kepada rakyat dengan hujah yang bersifat ilmiah dan rasional. Rakyat pula bebas membuat pilihan tanpa sebarang tekanan dan mampu menggunakan kuasa mereka dengan sempurna. Tiada lagi ugutan atau ancaman yang timbul. Rakyat berhak memilih melalui sistem pilihanraya yang berintegriti dan telus.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...