Waktu ini aku sangat sibuk dengan persiapan akhir Karnival Maher Zain Live in Concert. Tidur pun tak berapa nak cukup. Ini boleh dikatakan kali pertama aku diberi tanggungjawab selaku pengarah karnival. Dan ianya tentunya sesuatu yang cukup mencabar bagi orang yang pertama kali buat karnival macam aku. Gerak kerja dan persediaan logistik serta pemasarannya berbeza dengan penganjuran event-event lain. Apapun aku harapkan semua teman-teman mendoakan kejayaan buat kami kejayaan dalam penganjuran karnival ini. Semoga Allah memberi kami panduan dan kekuatan dalam melaksanakannya.
Monday, February 21, 2011
Saturday, February 12, 2011
Hosni Akhirnya Tumpas!
Setelah lebih 18 hari 'bertempur' dengan tuntutan rakyat Mesir yang mahukan beliau Meleltak jawatan, Presiden Hosni Mubarak akhirnya terpaksa akur dan turun dari "takhta"nya. Pengumuman perletakan jawatan tersebut telah dibuat oleh Naib Presiden Omar Suleiman pada pukul 12.00 malam tadi waktu Malaysia sekaligus menyerahkan pemerintahan negara arab itu kepada Majlis Tertinggi Tentera Mesir. Sementara itu Hosni dan keluarganya dilaporkan telah meninggalkan Kaherah menuju ke Sharm el Sheikh di Laut Merah.
Berita gembira itu disambut baik oleh seluruh penunjuk perasaan dan mungkin juga majoriti rakyat Mesir yang telah lama berada di bawah cengkaman regim Hosni Mubarak. Pemimpin-pemimpin Turki, Iran serta kumpulan Hezbollah Lubnan dan Hamas di Gaza turut menyambut baik berita tersebut. Sementara itu pihak Ikhwanul Muslimin dalam satu kenyataan melahirkan rasa kagum kepada perjuangan rakyat Mesir dan pada masa yang sama mengucapkan terima kasih kepada pihak tentera yang menunaikan janji mereka untuk menyokong "tuntutan sah" rakyat Mesir.Semoga Allah merahmati Mesir dan penduduknya sekaligus menganugerahkan kemakmuran kepadanya. Amin..
Wednesday, February 9, 2011
Hosni Mubarak di Ambang Kemenangan?
Melihat kepada perkembangan krisis di Mesir sehari dua ini, ianya macam masih jauh lagi daripada penyelesaian. Tuntutan penunjuk perasaan supaya Hosni Mubarak meletak jawatan sebagai Presiden masih belum menjadi kenyataan. Jumaat lepas yang dilaungkan sebagai "Hari Pengunduran" tidak berjaya menjatuhkan Hosni sebaliknya beliau masih terus bertahan. Beliau cuba 'membeli masa' dengan harapan para penunjuk perasaan akan 'letih' dan berundur dari dataran tahrir sekaligus melupakan tuntutan masing-masing. Mengikut laporan berita beberapa media antarabangsa yang sempat aku tonton kat astro, bilangan penunjuk perasaan memang semakin berkurangan dan mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Bank dan pusat perniagaan juga banyak yang telah kembali dibuka. Apakah mereka sudah berputus asa? Hanya mereka sahaja yang tahu..
Sifat "baik" penunjuk perasaan anti-hosni mubarak yang tidak merusuh atau melakukan keganasan ternyata diambil kesempatan oleh Hosni Mubarak. Perhimpunan aman tidak memberi sebarang tekanan berkesan kepada Hosni dan rejimnya. Perhimpunan rakyat tidak mampu menumbangkan pemimpin yang degil seperti Hosni. Jangan salah faham, aku bukanlah nak suruh mereka semua merusuh tapi jika benar mereka ingin melihat Hosni tumbang maka mereka harus punya tindakan konkrit dan perancangan yang teliti dan tersusun. Mereka harus 'menekan' regim Hosni Mubarak dengan erti kata yang sebenarnya.
Hakikatnya agak sukar untuk mereka melakukan tindakan berkoordinasi kerana mereka tidak punya pimpinan yang jelas. Pada mulanya aku melihat revolusi yang cuba digerakkan ini sangat unik kerana ia tidak punya pemimpin atau ikon yang dijadikan simbol perjuangan sebagaimana revolusi atau tunjuk perasaan lain macam Khomeni di Iran, Lenin di Russia, Fidel Castro di Cuba mahupun Su Kyi di Myanmar. Namun 'keunikan' ini nampaknya tidak membawa kesan yang baik kepada mereka. Namun ada juga kemungkinan juga pemimpin mereka sengaja disembunyikan atas faktor keselamatan.
Sesetengah pihak mendakwa protes ini sebenarnya digerakkan oleh Ikhwanul Muslimin tetapi tidak ada bukti jelas tentang dakwaan ini. Ikhwan sememangnya adalah antara kumpulan pembangkang terbesar di Mesir dan berpengaruh walaupun ianya pertubuhan yang diharamkan oleh kerajaan Mesir. Malah boleh dikatakan Ikhwan merupakan gerakan yang menjadi rujukan atau model bagi gerakan-gerakan Islam lain di seluruh dunia sejak zaman berzaman. Buku-buku atau kitab yang ditulis oleh pimpinan Ikhwan antaranya menjadi silibus usrah banyak pertubuhan Islam termasuk di Malaysia. Malah sedar atau tidak amalan Al Mathurat yang diamalkan oleh banyak orang hari ini termasuk di Malaysia juga adalah hasil susunan As Syahid Hassan Al Banna pemimpin utama Ikhwanul Muslimin. Aku berani katakan melihat Ikhwan berkuasa di Mesir adalah satu cita-cita yang dikongsi bersama oleh semua pendukung gerakan Islam di seluruh dunia. Soalnya adakah Hosni Mubarak akan tewas kali ini? Sama-sama kita nantikan..
Battle for Egypt |
Hakikatnya agak sukar untuk mereka melakukan tindakan berkoordinasi kerana mereka tidak punya pimpinan yang jelas. Pada mulanya aku melihat revolusi yang cuba digerakkan ini sangat unik kerana ia tidak punya pemimpin atau ikon yang dijadikan simbol perjuangan sebagaimana revolusi atau tunjuk perasaan lain macam Khomeni di Iran, Lenin di Russia, Fidel Castro di Cuba mahupun Su Kyi di Myanmar. Namun 'keunikan' ini nampaknya tidak membawa kesan yang baik kepada mereka. Namun ada juga kemungkinan juga pemimpin mereka sengaja disembunyikan atas faktor keselamatan.
Perjuangan diiringi doa dan tawakkal |
Sunday, February 6, 2011
Ops Piramid: 9000 ke Jeddah, 2000 kekal di Mesir
Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan Timbalan Menteri Luar Malaysia yang kini mengkoordinasi pemindahan rakyat Malaysia dari Mesir iaitu Senator A Kohilan Pillay mengatakan hanya 9000 rakyat Malaysia yang memohon untuk ke Jeddah sebelum dibawa pulang ke Kuala Lumpur. Manakala baki 2000 orang lagi ingin terus berada di Mesir. Operasi mengeluarkan rakyat Malaysia dari Mesir dijangka selesai sepenuhnya hari ini. Hmm.. aku tertanya-tanya juga mengapakah baki 2000 orang ni tak mahu keluar dari Mesir dan siapakah mereka? Secara logiknya, dalam situasi keselamatan yang tidak menentu seperti itu tentunya masing-masing akan berebut-rebut pulang ke kampung halaman. Mesti ada sebab kukuh yang menyebabkan mereka bertekad untuk terus kekal di bumi Anbia itu.
Demonstrasi solidariti rakyat Mesir di Kuala Lumpur
Pada masa yang sama, aku harap Ops Piramid ni tak payahlah dipolitikkan. Ini melibatkan kepentingan negara dan rakyat kita dan bukan lagi soal politik PAS, UMNO, PKR atau DAP. Semua pihak harus bekerjasama mengembeling usaha untuk menyelamatkan semua warganegara kita yang berada di Mesir dengan apa cara sekalipun. Kalaupun kita ni penyokong pembangkang, janganlah sampai kita tak mahu memberi kredit kepada pihak kerajaan pusat yang melancarkan Ops Piramid ini. Begitu juga dengan bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri yang diterajui pembangkang, mereka juga wajar diberi pujian dan terima kasih.
Ops Piramid ini bukanlah sesuatu yangmudah untuk dilaksanakan. Ia memerlukan perancangan teliti dari pelbagai sudut terutamanya dari sudut logistik dan keselamatan. Halangan utama pada peringkat awal ialah untuk mendapatkan kebenaran mendarat dan menggunakan ruang udara daripada pihak berkuasa Mesir dan Arab Saudi yang menjadi tempat transit. Agak lambat juga kita mendapat kebenaran mendarat terutamanya untuk 3 pesawat Charlie milik TUDM. Namun alhamdulillah nampaknya semuanya dah beres. Cuma aku rasa, kita agak lambat bertindak berbanding negara lain. Di saat banyak negara telah mula membawa keluar warga mereka, TPM kita yang ketika berada di Tenang kerana PRK mengatakan bahawa tiada keperluan untuk membawa pulang warganegara kita. Aku tak tahulah siapa yang brief kat dia macam tu.
Perkembangan Ops Piramid oleh PM
Strategi membawa keluar rakyat kita dari kawasan konflik ke Jeddah sebelum dibawa pulang adalah sangat tepat. Ianya lebih praktikal berbanding tindakan membawa pulang secara terus ke tanah air yang memerlukan jangka masa yang lebih panjang atau kemudahan pengangkutan yang lebih banyak. Langkah selepas ini adalah untuk membawa kesemua mereka pulang ke tanah air secara berperingkat. Yang lebih penting, kerajaan wajar menanggung keseluruhan kos tersebut. Para pelajar dan keluarga mereka terutamanya bukan semuanya mempunyai sumber kewangan yang besar. Apatah lagi apa yang berlaku ini bukanlah atas kehendak mereka. Lagipun kebanyakan pelajar hanya pulang 2-3 kali saja ke kampung mereka sepanjang pengajian di sana. Tidak kurang juga yang hanya pulang ke tanah air selepas tamat belajar. Kita doakan sahaja yang terbaik buat mereka semua..
"Kegilaan" Bolasepak di Serambi Mekah
Sudah terlalu lama aku tak menjejakkan kaki ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV Kota Bharu untuk menonton bola. Selalunya aku tengok Kelantan atau Malaysia main di Stadium Shah Alam atau Stadium MPPJ. Alhamdulillah masa balik kampung baru-baru ni aku sempat menyaksikan pertemuan antara Kelantan dan Terengganu dengan seorang sahabat lama. Kebetulan kami memang ada urusan di KB jadi alang-alang tengoklah bola sekali. Aku sampai di perkarangan stadium sekitar pukul 2.00 petang. Masa tu memang orang dah ramai beratur untuk beli tiket. Suasana di perkarangan stadium sangat meriah dengan gerai-gerai jualan serta penyokong yang beratur panjang membeli tiket. Macam perlawanan akhir Piala Malaysia pulak. Aku rasa suasana macam ni memang sukar dilihat di venue-venue lain untuk perlawanan liga. Begitulah padunya sokongan rakyat Kelantan kepada pasukan kesayangan mereka.
Stadium yang menjadi nadi bolasepak Kelantan |
Aku ngan Mat Din pun terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan tiket. Nasib kami baik sebab dapat tiket astaka. Kalau hujan pun takdelah basah nanti. Harga tiket astaka tentunya lebih mahal dari tiket tempat duduk biasa. Aku beruntung sebab Mat Din belanja.Orang tengah banyak projek la katakan. huhuhu..Anyway,thanks bro! Kami pun tak payah nak berebut masuk awal ke dalam stadium sebab tempat duduk penonton di astaka ada nombor seat. Aku tertanya-tanya juga mereka yang masuk stadium seawal pukul 6.00 petang tu solat maghrib kat mana sebab surau stadium kat luar. Nak kata semuanya musafir pun aku rasa agak mustahil sebab jumlahnya agak ramai. Apapun aku harap diorang semua tetap menunaikan solat walau apapun caranya. Tengok bola takde salahnya tapi kalau dah sampai tak solat memang banyak salahnya!
Tengoklah betapa ramainya orang beratur membeli tiket |
Kami masuk ke stadium lebih kurang pukul 8.30 malam. Satu benda yang menarik aku lihat apabila menjejakkan kaki ke dalam stadium adalah kehadiran segelintir penonton berbangsa Cina yang turut menyokong The Red Warriors. Sejak aku bertandang ke stadium untuk menyaksikan aksi liga Malaysia rasanya inilah pertama kali aku terserempak dengan penyokong bolasepak berbangsa Cina yang menyokong sebuah pasukan negeri. Selalunya kawan-kawan kita berbangsa Cina ni tak layan liga Malaysia. Diorang cuma layan team kelab Eropah macam ManU, Chelsea, Real Madrid dan lain-lain. Apatah lagi nak tengok diorang pakai jersi pasukan negeri. Tapi aku tengok mereka di Kota Bharu ni siap dengan jersi dan mafla lagi.
Bila orang ramai lubang bisnes pun banyak |
Perlawanan berlangsung menarik. Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi yang menghiburkan. Kelantan lebih awal menguasai permainan dengan menjana serangan daripada bahagian sayap. Hasilnya Piya berjaya menjaringkan gol hasil hantaran lintang Nurul Azwan Roya. Namun selepas itu, skuad "Ayoh Wang" pula yang lebih banyak mengawal bola dan melancarkan serangan merbahaya ke kubu Kelantan. Pemain Terengganu kelihatan lebih cergas dan mantap dari sudut fizikal berbanding The Red Warrios. Mereka menggunakan ketinggian sebilangan pemain mereka untuk mematahkan serangan Kelantan dan mengancam kubu lawan. Yang peliknya, pemain Kelantan tetap menghantar bola tinggi walaupun mereka seringkali kalah dalam pertembungan di udara. Sepatutnya Kelantan lebih banyak menggunakan hantaran pendek dan through pass sebelum melepaskan rembatan ke gawang lawan. Lagipun ramai pemain Kelantan yang punya kelebihan mengelecek seperti Nurul Azwan Roya, Danial Fadzly, Mat Yo dan Solehin (K.Soley).
Lautan Merah yang membanjiri stadium |
Serangan bertali arus Terengganu pada separuh masa kedua akhirnya membuahkan hasil apabila Marzuki Yusof berjaya menjaringkan gol penyamaan melalui tandukan kencang yang gagal diselamatkan oleh Apex. Aksi longlai Kelantan menimbulkan rasa kurang senang para penyokong namun yang bagusnya tiada lagi bunyi mercun mahupun botol air dibaling ke tengah padang. Ini satu perkembangan positif dan pujian harus diberikan buat semua penyokong yang menunjukkan disiplin yang tinggi. Tindakan M.Karathu memasukkan Nizad Ayub dan Khalid Jamlus tidak mendatangkan kesan kepada corak permainan Kelantan. Aku rasa Datuk M.Karathu perlu mencari gandingan Mat Yo dengan segera sebab taktik meletakkan dia sebagai penyerang tunggal tidak begitu menjadi nampaknya. Kelantan ada masa 10 hari untuk mencari penyelesaian sebelum bertemu Johor FC pada 12 Febuari ini. Selamat maju jaya buat the Red Warriors!
Baik-Baik Jalan Basah Tu..
Tahun ni aku tak balik kampung time cuti raya Cina macam orang lain. Sebabnya Zul (Nasyeed.Com) punya majlis resepsi dibuat pada raya kedua so aku balik la minggu sebelumnya. Alhamdulillah majlis kelmarin berlangsung meriah dengan kehadiran tetamu yang sangat ramai. Sempat juga aku menyanyi selagu dua dengan grup Amrain bagi menghiburkan tetamu. Sesekali dapat peluang nyanyi ngan live band ni memang best.
Aku bertolak pulang ke Machang pada hari Sabtu 29 Jan 2011 kiranya hari-hari awal Ops Sikap. Lepas aku ambik Kak Ya kat Putrajaya, kami terus bergerak pulang ke kampung. Jalan agak sesak sekitar Ampang menuju ke Plaza Tol Gombak pada tengahari tu. Tak sangka juga ramai juga warga kota yang mengambil kesempatan untuk balik kampung sempena cuti hari Wilayah. Keadaan cuaca yang agak basah menyebabkan ramai pemandu yang memandu ada kelajuan yang minima tapi ada juga yang tak ambik kisah. Hujan ke, basah ke, diorang tetap berpecutan di lebuhraya.
Inilah kereta mangsa |
Sedang aku leka memandu melepasi RnR Genting Sempah, aku perasan sebuah kereta Mercedes dipandu dengan sangat laju memotong kereta aku dan dua buah lagi kereta lain dihadapan aku. Kawasan tu sebenarnya jalan yang menuruni bukit dan memang ada amaran supaya pemandu menggunakan gear yang rendah ketika melaluinya. Tiba-tiba aku dapat tengok dengan jelas pada jarak lebih kurang 10 meter kereta Mercedes tadi berpusing dan terbabas menghentam pembahagi jalan sebelum melantun kembali ke tengah lebuh raya. Nasib baik juga kereta-kereta lain agak jauh kalau tak tentunya kemalangan tu akan melibatkan lebih dari sebuah kereta.
Bila aku memandu melepasi kereta tersebut, aku nampak ada seorang pemandu dan seorang penumpang di sebelahnya. Kedua-duanya lelaki kelihatan ok dan sedar. Aku dan 2 buah kereta lain di hadapan berhenti di tepi jalan bergegas ke tempat mangsa untuk menghulurkan bantuan. Aku bertindak mengawal lalulintas dan 2 orang lagi cuba membuka pintu kereta untuk membantu mangsa keluar. Aku nampak kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan luaran cuma pemandunya kelihatan sangat trauma dengan apa yang berlaku. Kejap menangis, kejap ok. Mulanya sampai lemah kaki nak berjalan. Tapi tak peliklah sebab aku rasa kalau bukan kereta Mercedes memang dah arwah dah kedua-duanya. Paling kurang pun cedera parah. Itulah bagusnya kereta mahal ni, ciri-ciri keselamatannya memang bagus.
Bantuan dah sampai |
"Dah call peronda belum?", tanya aku pada 2 lagi remaja lelaki yang turut sama menolong."Belum lagi bang!" Kami bertiga kemudiannya disertai oleh seorang lagi brother bermotosikal yang dalam perjalanan balik ke Bentong dari tempat kerja di Wangsa Maju. Yang 2 orang tadi pulak rupanya nak balik ke Machang jugak macam aku. Diorang rupanya pelajar Maktab Bahasa. Mangsa dua orang tu, tak pulak aku tanya. Yelah malas nak ganggu diorang yang tengah trauma tu. Janji diorang semuanya cukuplah.
Oleh sebab aku takde nombor Peronda MTD Prime, aku terus call 999. Seorang operator wanita yang angkat. Selepas bagi maklumat yang diminta panggilan aku disambung ke pihak polis (tak silap aku IPD Bentong). Alhamdulillah lebih kurang dalam tempoh 5 minit selepas panggilan, peronda MTD Prime terus sampai di lokasi. Bila dah semua nampak ok, aku dan 3 orang brother tadi terus bersalaman sesama sendiri dan dengan mangsa memohon diri. Maklumlah jauh lagi perjalanan kami. Buat pemandu-pemandu yang balik kampung tu, memandulah dengan berhati-hati. Jalan basah dan licin jadi tak usahlah bawak laju-laju ye..
Subscribe to:
Posts (Atom)