Tuesday, September 23, 2014

Terima Kasih Khalid Ibrahim, Tahniah Azmin Ali

Pagi ini, Menteri Besar Selangor yang baru akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan DYMM Sultan Selangor sekaligus menamatkan krisis yang telah membawa keributan besar kepada parti-parti dalam Pakatan Rakyat khususnya PAS. Lihat saja apa yang berlaku dalam muktamar PAS baru-baru ini yang memperlihatkan 'pergaduhan besar' antara perwakilan. Seingat saya tidak pernah lagi insiden merampas microphon, pembahas di'boo' dan doa laknat berlaku dalam mana-mana muktamar sebelum ini. Presiden PAS  malah Majlis Syura Ulama juga dikritik secara terbuka baik di media sosial, media arus perdana, mahupun di pentas forum serta ceramah. Begitulah hebatnya penangan krisis MB Selangor kali ini.

Dari Khalid Ibrahim kepada Azmin Ali

Dengan pelantikan YB Azmin Ali yang juga ADUN Bukit Antarabangsa sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, diharapkan kemelut yang berlaku ini akan tamat serta merta biarpun jelas sekali bahawa pemilihan Azmin Ali masih kurang disenangi oleh parti beliau sendiri. Ini dapat dilihat melalui kenyataan media yang dibuat Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah yang menjadi calon tunggal MB Selangor bagi PKR dan DAP sebelum ini. Bagi saya ini tidak sepatutnya berlaku atas 2 faktor. Pertama, Tan Sri Khalid berjaya diturunkan sebagaimana yang dikehendaki mereka.Kedua, ADUN yang dipilih Sultan tetap ADUN PKR malah orang nombor dua parti. Kecualilah Wan Azizah perlu menjadi MB atas agenda besar tersembunyi suaminya yang juga Ketua Umum PKR. Jangan pula selepas ini Azmin pula diganggu dan ditekan demi memenuhi agenda pihak-pihak berkepentingan.

Langkah Kajang gagal 

Krisis MB ini juga memberi pengajaran berguna buat Anwar bahawa dia bukanlah sekuat sebagaimana yang digembar gemburkan. Dia tak mampu memaksa Azmin Ali menolak pelantikan dan memberi laluan kepada isterinya kerana dia sedar Azmin punya kelompok penyokongnya tersendiri termasuk di kalangan ADUN PKR Selangor. Keadaan mungkin berbeza sekiranya ADUN Pas yang dipilih Sultan kerana Anwar sedar Azizah tetap mendapat sokongan majoriti di DUN Selangor, Namun selepas nama Azmin yang naik, sokongan terhadap Azizah telah berpecah dua. Harus diingat juga bahawa Azmin adalah calon MB bagi PAS bukan PKR dan tentunya pandangan PAS juga akan dianggap penting dalam dasar-dasar yang bakal diterapkan dalam pentadbiran yang diterajui Azmin nanti sebagai menghargai sokongan PAS.

"Terima kasih Ayoh Chik!"... mungkin itulah yang dikatakan Azmin

Di hari terakhir tugas beliau sebagai Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dilihat begitu tenang dan gembira. Saya sempat menonton temubual beliau dalam Agenda Awani yang dirakamkan di pejabat Menteri Besar pada jam-jam terakhir beliau sebagai MB. Beliau kelihatan yakin dan sangat positif. Semua persoalan dijawap dengan penuh professional tanpa dipengaruhi emosi. Saya kira memang layak beliau diangkat sebagai antara MB terbaik yang pernah dimiliki negeri Selangor. Satu majlis perpisahan ringkas turut diadakan oleh kakitangan SUK Selangor dan Exco sebagai satu tanda terima kasih atas khidmat beliau selama ini. Mungkin ramai lagi rakyat Selangor yang ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau.

Kakitangan SUK Selangor mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Khalid

Saya mendoakan agar YB Azmin Ali yang bakal menjadi MB Selangor ke 15 akan mampu memikul amanah yang diberi dengan penuh tanggungjawab dan professional. Dasar-dasar positif yang dilaksanakan oleh Tan Sri Khalid wajar diteruskan malah ditambah baik. Apa yang kurang pula seharusnya diperbaiki demi kebaikan rakyat Selangor seluruhnya. 




Friday, September 5, 2014

Macam-Macam Nak Tulis Tapi.. Video Parody

Kalau ikutkan apa yang ada dalam kepala, macam-macam isu sebenarnya yang nak ditulis. Daripada krisis MB di Selangor, ISIS, bolasepak Piala Malaysia, nasyid, Harimau Malaya ke Sukan Asia, sampailah Piala AFF yang bakal berlangsung. Itu belum dicampur dengan pengalaman menghadiri beberapa acara yang saya kira elok juga dikongsikan demi manfaat bersama. Tapi tula kan, nak menulis ni bukan benda yang senang. Selain kena buat research, kita kena pastikan benda yang ditulis tu credible dan disokong dengan fakta yang kukuh. Maklumlah sekarang ni musim saman-menyaman.Sikit-sikit saman.. 

Apatah lagi sebagai blogger yang bertanggungjawap atas apa yang ditulis, saya tentunya tidak mahu terlibat dengan sebarang unsur fitnah dan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah kepada para pembaca setia blog ini. Mungkin adakalanya saya bersikap sinis dan menggunakan pendekatan menyindir atau parody dalam mengupas sesuatu namun ianya tetap mempunyai asas dan tidak sekadar cakap-cakap kosong. 

Krisis MB Selangor yang di parodykan

Adakalanya cara parody khususnya dalam bentuk video, bukan sahaja lebih santai dan mudah difahami tetapi ia menarik minat golongan yang mungkin sebelumnya tidak berminat dengan isu tersebut. Tapi nak buat video parody ni bukan mudah.Bukan setakat nak kena cari bahan, tapi memerlukan skill editing video. Senang cerita, kena gigih la..huhu

Hanief.blogspot antara orang terawal yang rajin buat video parody politik

 Satu ketika dulu sebelum popularnya facebook, seorang blogger dikenali sebagai Hanief sering buat video-video parody berkenaan isu politik. Saya juga sering mengikuti karya-karya beliau di youtube. Saya tak pasti beliau masih aktif atau tidak.Yang saya tahu beliau pernah dikenakan tindakan undang-undang kerana kegiatan beliau di laman sosial.Mungkin ada video-video yang menyakitkan hati pihak lawan politik beliau namun saya yakin pada masa yang sama ianya juga boleh membuatkan mereka tergelak pada masa yang sama.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...