Friday, July 17, 2009

PRK Manik Urai: PAS Kelantan Perlu Muhasabah

Semua orang sudah maklum dengan keputusan PRK Manik Urai baru-baru ini. Berdasarkan mood rakyat dalam beberapa pilihanraya kecil sebelum ini yang memihak kepada Pakatan Rakyat, kemenangan tipis PAS dengan majoriti 65 undi bagi aku merupakan suatu yang mengejutkan. Walaupun Dato' Husam dalam sidang media selepas keputusan diumumkan menyatakan bahawa beliau menjangkakan pada awalnya PAS kalah, aku melihat itu hanyalah statement yang bersifat "coverline" sahaja. Jika ditanya kepada para pemerhati politik, aku rasa hampir semuanya menjangka PAS akan menang. Malah ramai orang UMNO sendiri pun menjangka mereka akan kalah cuma sasaran mereka adalah untuk mengurangkan seminima mungkin dan mereka telah berjaya malah hampir memalukan PAS.


Walaupun para pemimpin PAS termasuklah Tok Guru Nik Aziz menyalahkan rasuah politik UMNO sebagai punca kemerosotan undi PAS, hakikatnya pengundi di Manik Urai telah menghantar mesej yang jelas kepada kerajaan negeri bahawa mereka tidak teragak-ragak untuk memberi undi kepada UMNO sekiranya PAS "off performed". Harus diingat bahawa Manik Urai adalah kubu kuat tradisi PAS dan apa yang berlaku seharusnya mendapat perhatian serius oleh pimpinan kerajaan Kelantan. Jika PAS Kelantan masih cuba memekakkan telinga daripada isu-isu tempatan yang dibangkitkan oleh rakyat Kelantan maka tak mustahil kerajaan akan bertukar tangan pada pilihanraya umum akan datang. Janganlah sampai rakyat Kelantan menganggap kerajaan Kelantan "manggok" yakni angkuh. Malah telah ramai juga yang bersungut, "Aku cayo ko Tok Guru jah, hok lain tu aku tok beghapo haghap mano" ( Aku percaya kat Tok Guru je, yang lain tu ( pimpinan PAS Kelantan) aku tak berapa percaya sangat).



Kini UMNO Kelantan kembali diterajui Dato' Mustapha Mohamed yang merupakan seorang tokoh UMNO yang mempunyai imej yang boleh dikatakan bersih dan agak dihormati kawan dan lawan. Ketokohan beliau walaupun dibantu oleh populariti Pak Lah pada PRU 2003 hampir menumbangkan kerajaan Kelantan. Malah beliau boleh dikatakan agak sukar dicabar di Jeli. Sikapnya yang "tok banyok bunyi" ( kurang karenah) menyebabkan dia disenangani. Walaupun imej parti UMNO agak buruk di mata rakyat Kelantan, tetapi Tok Pa secara individunya tetap diundi oleh penduduk Jeli. Aku percaya Tok Pa sedang membina kembali kekuatan UMNO Kelantan sama ada dari dalam atau di luar Kelantan. Jika PAS Kelantan ada kelompok penyokong PAS di Lembah Kelang yang dikenali "PERAKAN", UMNO Kelantan juga punya sayapnya di Lembah Kelang yang turut aktif mengumpul sokongan menggunakan organisasi tertentu seperti PAKATAN (Persatuan Anak Kelantan di Perantauan) , HIMSAK ( Himpunan Siswazah Kelantan) , INSPEK (Institut Pemikiran Kreatif) dan sebagainya.



Sudah sampai masanya untuk PAS Kelantan untuk bermuhasabah dan menilai kekuatan serta kelemahan mereka jika ingin terus relevan di Kelantan. Jika tidak, tidak mustahil kerajaan PAS Kelantan akan turut tumbang. Memang benar rakyat Kelantan mahu aspek pembangunan rohani ditekankan namun ia tidak bermakna aspek pembangunan fizikal tidak perlu dititik beratkan. Janganlah cuba berselindung di sebalik isu nasional untuk menutup isu-isu tempatan yang dibangkitkan rakyat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...