Wednesday, May 6, 2015

Nasyid Berbahasa Melayu Low Class?

Kali ini saya ingin menyentuh sedikit tentang persepsi sesetengah peminat nasyid, pengamal media dan mungkin rakyat Malaysia secara umunya yang seolah-olah meletakkan bahasa kebangsaan yakni bahasa melayu sebagai bahasa kelas dua. Kita melihat ibubapa berlumba-lumba memastikan anak mereka mahir berbahasa Inggeris malah mereka juga bertutur dalam bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian walaupun hakikatnya mereka adalah berbangsa Melayu. Sehinggakan ada kalanya amalan sebegini menyebabkan ana-anak mereka tidak mampu bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu. Ini satu perkara yang sungguh mendukacitakan.


Ramai juga anggota masyarakat khususnya di bandar-bandar besar berlumba-lumba untuk mengikuti kuliah-kuliah agama yang dibuat dalam bahasa Inggeris yang disampaikan oleh tokoh-tokoh agama luar negara mahupun tempatan. Mungkin mereka hadir dalam kuliah sebegini untuk dilihat istimewa dan berbeza daripada khalayak umum biarpun adakalanya mereka sendiri tidaklah begitu fasih dalam bahasa Inggeris. Ada juga menganggap penyertaan dalam acara berbhasa Inggeris ini secara tidak langsung meningkatkan taraf mereka pada kaca mata masyarakat.


Saya tidaklah menafikan kepentingan kita umat Islam untuk mengusai bahasa Inggeris dan juga bahasa-bahasa lain seperti Arab dan Mandarin. Namun penguasaan dalam bahasa tersebut sehingga menjejaskan keupayaan atau keinginan untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Harus kita ingat suatau ketika dahulu di era kegemilangan empayar Melaka, bahasa Melayu merupakan bahasa yang menjadi lingua franca bukan sahaja di kalangan penduduk asia tenggara tetapi juga pedagang-pedagang yang datang dari timur dan barat.


Fenomena yang berlaku ini juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada industri nasyid itu sendiri di Malaysia. Saya perhatikan album-album nasyid berbahasa Inggeris lebih mendapat perhatian media dan khalayak umum berbanding album bahasa Melayu. Album dan artis yang menyanyikan lagu Inggeris dilihat lebih “high class” berbanding lagu-lagu Melayu walaupun dari segi jualan album berbahasa Melayu lebih mendapat sambutan. Malah album yang memegang rekod jualan tertinggi dan membawa nama Malaysia ke seluruh dunia adalah album berbahasa Melayu yang dinyanyikan kumpulan Raihan berjudul Puji-Pujian.


Saya bukanlah anti bahasa Inggeris malah saya juga bertutur dalam bahasa Inggeris apabila diperlukan.Cuma saya kira sebagai anak Malaysia kita harus cekal dengan jatidiri kita dan terus mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita.


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...