Kali ini
saya ingin menyentuh sedikit tentang persepsi sesetengah peminat
nasyid, pengamal media dan mungkin rakyat Malaysia secara umunya yang
seolah-olah meletakkan bahasa kebangsaan yakni bahasa melayu sebagai
bahasa kelas dua. Kita melihat ibubapa berlumba-lumba memastikan anak
mereka mahir berbahasa Inggeris malah mereka juga bertutur dalam
bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian walaupun hakikatnya mereka
adalah berbangsa Melayu. Sehinggakan ada kalanya amalan sebegini
menyebabkan ana-anak mereka tidak mampu bertutur dengan baik dalam
bahasa Melayu. Ini satu perkara yang sungguh mendukacitakan.
Ramai
juga anggota masyarakat khususnya di bandar-bandar besar
berlumba-lumba untuk mengikuti kuliah-kuliah agama yang dibuat dalam
bahasa Inggeris yang disampaikan oleh tokoh-tokoh agama luar negara
mahupun tempatan. Mungkin mereka hadir dalam kuliah sebegini untuk
dilihat istimewa dan berbeza daripada khalayak umum biarpun
adakalanya mereka sendiri tidaklah begitu fasih dalam bahasa
Inggeris. Ada juga menganggap penyertaan dalam acara berbhasa
Inggeris ini secara tidak langsung meningkatkan taraf mereka pada
kaca mata masyarakat.
Saya
tidaklah menafikan kepentingan kita umat Islam untuk mengusai bahasa
Inggeris dan juga bahasa-bahasa lain seperti Arab dan Mandarin. Namun
penguasaan dalam bahasa tersebut sehingga menjejaskan keupayaan atau
keinginan untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan adalah sesuatu yang
tidak sepatutnya berlaku. Harus kita ingat suatau ketika dahulu di
era kegemilangan empayar Melaka, bahasa Melayu merupakan bahasa yang
menjadi lingua franca bukan sahaja di kalangan penduduk asia tenggara
tetapi juga pedagang-pedagang yang datang dari timur dan barat.
Fenomena
yang berlaku ini juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada industri
nasyid itu sendiri di Malaysia. Saya perhatikan album-album nasyid
berbahasa Inggeris lebih mendapat perhatian media dan khalayak umum
berbanding album bahasa Melayu. Album dan artis yang menyanyikan lagu
Inggeris dilihat lebih “high class” berbanding lagu-lagu Melayu
walaupun dari segi jualan album berbahasa Melayu lebih mendapat
sambutan. Malah album yang memegang rekod jualan tertinggi dan
membawa nama Malaysia ke seluruh dunia adalah album berbahasa Melayu
yang dinyanyikan kumpulan Raihan berjudul Puji-Pujian.
Saya
bukanlah anti bahasa Inggeris malah saya juga bertutur dalam bahasa
Inggeris apabila diperlukan.Cuma saya kira sebagai anak Malaysia kita
harus cekal dengan jatidiri kita dan terus mendaulatkan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan kita.
No comments:
Post a Comment