Friday, August 8, 2014

Apabila Juri Pun Tidak Tahu

Pada setiap tahun saya dan beberapa penasyid lain seringkali diminta oleh sekolah-sekolah tertentu untuk mencipta lagu dan lirik untuk pertandingan-pertandingan nasyid yang bakal hadapi. Selalunya, ada dua pertandingan nasyid utama yang disertai oleh sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu Festival Nasid Sekolah dan Pertandingan Nasyid sempena Pertandingan Seni Jauhi Dadah anjuran bersama KPM dan AADK. Ketika sesi perbincangan sebelum lagu dan lirik dibuat, saya telah diajukan dengan satu maklumat yang agak “mengejutkan” saya.

Bintang Nasyid Mukmin antara pertandingan nasyid yang
sangat teliti dari pemarkahan dan pemilihan juri
“En. Razin, ketika kami bertanding di peringkat kebangsaan tahun lepas, pihak juri telah memberitahu kami bahawa formula untuk mendapat markah yang tinggi dalam penciptaan lagu adalah dengan mencipta lagu yang tidak mempunyai melodi yang berulang..” Saya terus membalas, “ Sejak saya terlibat dalam industri nasyid, saya tidak pernah dengar formula sebegitu. Malah bagi saya ia bertentangan dengan karakter atau ciri asas bagi setiap lagu yang mempunyai verse dan chorus. Dan apabila kita sebut chorus, ia bermaksud melodi dan lirik yang berulang di dalam lagu yang menjadi intipati utama dalam sebuah lagu. Apatah lagi bagi sebuah lagu nasyid, chorus sangat penting untuk memastikan mesej lebih sampai dan melekat dalam benak penonton”.

Atas prinsip itu saya tetap mencipta lagu untuk mereka sebagaimana biasa tanpa menghiraukan apa yang diberitahu oleh juri kepada kumpulan nasyid tersebut. Namun demi menepati kehendak juri tahun lalu, mereka menggubah kembali lagu tersebut. Malangnya mereka tersingkir di peringkat awal pertandingan. Apabila ditanya kepada juri yang mengadili pertandingan pada tahun ini, pihak juri menyatakan perkara yang sama sebagaimana yang saya katakan.

FNS medan yang ditunggu-tunggu oleh setiap kumpulan nasyid sekolah
Saya dan rakan-rakan penasyid lain amat berterima kasih kepada semua pihak yang terus menganjurkan pertandingan-pertandingan nasyid di semua peringkat. Namun harapan kami agar biarlah ianya dirujuk kepada kalangan penasyid yang tentunya lebih memahami tentang irama nasyid itu sendiri agar tidak berlakunya salah faham atau kesilapan dari teknikal mahupun konsep dalam persembahan nasyid itu sendiri. Kita mahukan irama nasyid terus berada di landasan yang betul dan tidak dipesongkan secara tidak sengaja oleh individu yang kurang pengetahuan dalam bidang berkaitan. Perkara ini mengingatkan saya kepada sabda Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Al Bukhary yang bermaksud, “..Apabila sesuatu urusan itu diberikan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kehancurannya..” 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...