Pada
setiap tahun saya dan beberapa penasyid lain seringkali diminta oleh
sekolah-sekolah tertentu untuk mencipta lagu dan lirik untuk
pertandingan-pertandingan nasyid yang bakal hadapi. Selalunya, ada
dua pertandingan nasyid utama yang disertai oleh sekolah-sekolah di
bawah Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu Festival Nasid Sekolah dan
Pertandingan Nasyid sempena Pertandingan Seni Jauhi Dadah anjuran
bersama KPM dan AADK. Ketika sesi perbincangan sebelum lagu dan
lirik dibuat, saya telah diajukan dengan satu maklumat yang agak
“mengejutkan” saya.
Bintang Nasyid Mukmin antara pertandingan nasyid yang sangat teliti dari pemarkahan dan pemilihan juri |
“En.
Razin, ketika kami bertanding di peringkat kebangsaan tahun lepas,
pihak juri telah memberitahu kami bahawa formula untuk mendapat
markah yang tinggi dalam penciptaan lagu adalah dengan mencipta lagu
yang tidak mempunyai melodi yang berulang..” Saya terus membalas,
“ Sejak saya terlibat dalam industri nasyid, saya tidak pernah
dengar formula sebegitu. Malah bagi saya ia bertentangan dengan
karakter atau ciri asas bagi setiap lagu yang mempunyai verse dan
chorus. Dan apabila kita sebut chorus, ia bermaksud melodi dan lirik
yang berulang di dalam lagu yang menjadi intipati utama dalam sebuah
lagu. Apatah lagi bagi sebuah lagu nasyid, chorus sangat penting
untuk memastikan mesej lebih sampai dan melekat dalam benak
penonton”.
Atas
prinsip itu saya tetap mencipta lagu untuk mereka sebagaimana biasa
tanpa menghiraukan apa yang diberitahu oleh juri kepada kumpulan
nasyid tersebut. Namun demi menepati kehendak juri tahun lalu, mereka
menggubah kembali lagu tersebut. Malangnya mereka tersingkir di
peringkat awal pertandingan. Apabila ditanya kepada juri yang
mengadili pertandingan pada tahun ini, pihak juri menyatakan perkara
yang sama sebagaimana yang saya katakan.
FNS medan yang ditunggu-tunggu oleh setiap kumpulan nasyid sekolah |
Saya
dan rakan-rakan penasyid lain amat berterima kasih kepada semua pihak
yang terus menganjurkan pertandingan-pertandingan nasyid di semua
peringkat. Namun harapan kami agar biarlah ianya dirujuk kepada
kalangan penasyid yang tentunya lebih memahami tentang irama nasyid
itu sendiri agar tidak berlakunya salah faham atau kesilapan dari
teknikal mahupun konsep dalam persembahan nasyid itu sendiri. Kita
mahukan irama nasyid terus berada di landasan yang betul dan tidak
dipesongkan secara tidak sengaja oleh individu yang kurang
pengetahuan dalam bidang berkaitan. Perkara ini mengingatkan saya
kepada sabda Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam
Al Bukhary yang bermaksud, “..Apabila
sesuatu urusan itu diberikan kepada orang yang bukan ahlinya, maka
tunggulah kehancurannya..”
No comments:
Post a Comment