Sunday, July 19, 2009

Syabas Harimau Malaya!


Ramai yang menyangka Malaysia akan mudah diratah gergasi bolasepak dunia Manchester United dalam perlawanan persahabatan semalam. Rekod pertemuan terakhir pada tahun 2001 menunjukkan Malaysia kecundang 0-6. Malah aku masih ingat, penjaga gol MU Fabian Barthez naik ke atas dan bermain sebagai pemain tengah. Betapa rendahnya pandangan MU terhadap Malaysia ketika itu. Malaysiapada tahun 2001 boleh dikatakan dibarisi oleh antara generasi terbaik di era 2000 dengan di ketuai oleh Akmal Rizal Rakhli, Shukor Adan, Hairuddin Omar, Indraputra dan lain-lain.

Kali ini Malaysia dibarisi ramai pemain yang jarang sekali kita dengar beraksi untuk skuad negara seperti Mazlizam Mohamad, Amar Rohidan, Farizal Marlias, Azmi Muslim dan beberapa nama yang telah lama tidak dipanggil menyertai kem kebangsaan seperti Amri Yahyah, Shafiq Rahim, Mohd Sabre Mat Abu selain nama-nama regular seperti Indraputra, Norhafiz Zamani, Zaquan Adha, Aidil Zafuan, Khyrill Muhaymeen dan lain-lain. Nampaknya resipi K Rajagopal menunjukkan hasilnya kali ini. Pemain yang paling mencuri tumpuan tentunya Amri Yahyah yang berjaya membolosi gawang MU sebanyak 2 kali. Gol pertama yang dihasilkan melalui volley jarak jauh memerangkap Edwin Van De Sar sekaligus memaksanya mengutip bola di dalam gawangnya sendiri. Gol kedua pula walaupun hasil "kesilapan budak sekolah" penjaga gol kedua MU, Ben Foster, tetap membuktikan Amri mempunyai killer instinct yang tinggi.

Mungkin Manchester United tidak memberi aksi 100 peratus namun barisan Harimau Malaya tetap wajar diberi pujian di atas semangat juang tinggi mereka untuk memberi saingan kepada barisan bintang dunia. Aku juga berasa lega kerana tiada lagi komentar negatif terhadap fasiliti dan kualiti padang daripada pihak MU sebagaimana diterima ketika pertemuan menentang Chelsea dan Brazil tidak lama dulu. Nampaknya pihak pengurusan stadium telah benar-benar mengambil iktibar daripada perlawanan lalu.

Aku sebenarnya baru saja pulang dari membeli tiket perlawanan kedua esok hari. Dan aku akan hadir sebagai penyokong dengan memakai jersi Harimau Malaya. Lagipun aku memang bukan peminat MU pun. Aku fan Chelsea..huhuhu.. Aku harap pasukan Malaysia akan tampil dengan aksi yang bertenaga sebagaimana yang ditunjukkan semalam. Aku tidaklah mengharap Malaysia akan mengalahkan MU sebab ianya sesuatu yang hampir mustahil berdasarkan reputasi kedua-dua pasukan. Cukuplah andai Malaysia mampu memberi saingan bermakna dan persembahan yang menarik. Insya Allah esok aku yakin akan ada lebih ramai yang memakai jersi Malaysia berbanding semalam. So cakap banyak tak guna, jom turun ramai-ramai ke Bukit Jalil malam esok! Malaysia Boleh!!!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...