Sunday, July 12, 2009

PRK Manik Urai: Benarkah Tiada Petroleum di Kelantan?


ISU HANGAT
Antara isu yang hangat dimainkan oleh Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil Manik Urai ialah isu royalti minyak. Seingat aku, isu minyak ni memang dah lama dan diketahui ramai cuma baru sekarang secara rasmi kerajaan negeri Kelantan menuntut bayaran royalti tertunggak sejak tahun 2004 yang dianggarkan berjumlah1.7 billion ringgit daripada kerajaan persekutuan. Isu ini panas kembali apabila mesyuarat exco kerajaan kelantan pada 17 jun 2009 bersetuju supaya Tuan Guru Dato Menteri Besar Kelantan untuk menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri berhubung perkara itu. Jabatan Perangkaan Malaysia dalam laporannya pada tahun 2007 turut menyenaraikan Kelantan sebagai salah satu negeri pengeluar minyak di Malaysia selainTerengganu, Sabah dan Sarawak. Malah sehingga tahun 2007 nilai pengeluaran petroleum dan gas negeri Kelantan ialah RM46.8 billion yang mana lebih tinggi daripada Terengganu (36 billion) dan Sabah ( 5 billion).

Dalam kempen PRK Manik Urai, isu ini menjadi rencah utama dalam ucapan-ucapan pimpinan Pakatan Rakyat terutamanya YB Dato' Husam Musa dan YB Saifuddin Nasution Ismail yang uga ahli parlimen Machang. Dalam hujah balas, pimpinan Umno yang diketuai oleh YB Dato Mustapa Mohamad yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengatakan bahawa Kelantan tidak layak mendapat royalti kerana pelantar-pelantar minyak Kekwa, Seroja, Cakerawala, Bintang dan Lawit berada di sebuah kawasan perairan antarabangsa yang mempunyai tuntutan bertindih antara Malaysia dan Thailand dan BUKANNYA di perairan Kelantan. Menurut mereka lagi ketiga-tiga negara telah menandatangani MOU berkaitan kawasan pembangunan bersama yang diteroka pada tahun 1979.Serentak dengan itu Malaysia dan Thailand juga bersetuju untuk mengusahakan cari gali minyak di kawasan berkenaan secara bersama.

JOINT DEVELOPMENT AREA
Bagi aku hujah yang dikemukakan oleh UMNO agak sukar untuk aku terima. Jika benar pelantar-pelantar minyak tersebut tidak terletak dalam perairan Kelantan, mana mungkin laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menyenaraikan Kelantan sebagai negeri pengeluar petroleum? Dan andai jika betul pun ianya terletak di kawasan tuntutan bertindih, ianya telah selesai dengan perjanjian yang ditandatangani Malaysia-Thailand serta penubuhan Malaysia-Thailand Joint Authority (MTJA). Masalah Kelantan hilang hak royalti petroleum tidak timbul sama sekali kerana kawasan carigali minyak tersebut tetap berada di perairan Kelantan. Perjanjian yang di tandatangani oleh Petronas dan Kerajaan-Kerajaan Negeri pada tahun 1975 jelas menyatakan Petronas perlu membayar 5% daripada hasil pengeluaran petroleum kepada kerajaan negeri yang mengeluarkan minyak.

Jika diteliti kawasan yang dimaksudkan dikenali sebagai Malaysia-Thailand Joint Development Area yang merupakan salah satu kawasan yang sangat aktif dalam carigali dan pengeluaran Gas Asli. Ia terletak di bahagian bawah teluk Thailand (Siam).Kawasan telah dibahagikan kepada 3 blok iaitu Blok A-18, Blok B-17 dan Blok C-19 yang diuruskan secara bersama oleh Malaysia-Thailand Joint Authority (MTJA), dengan setiap Negara menguasai 50% dari sumber hydrocarbon yang ditemui di JDA , sumber Gas Asli dikawasan tersebut dianggarkan 9.5 Tcf (Trillion cubic feet). Spekulasi dari para penganalisa mengatakan kemungkinan besar simpanan Gas Asli dikawasan tersebut mungkin mencecah hingga 24 Tcf.

Block A-18 dikendalikan oleh The Carigali-Triton Operating Company (CTOC) iaitusebuahsyarikat kerjasama antara Petronas Carigali dan Hess. Manakala bagi Block B-17 dan C-18 dikendalikan oleh Carigali-PTTEP Operating Company (CPOC), satu syarikat kejasama antara Pengeluar Minyak Nasional dari kedua-dua Negara yang terlibat dalam kerja-kerja pencarian dan pengeluaran dikawasan tersebut. Dalam bulan Mac 2005 Carigali-Triton Operating Company (CTOC), usahasama antara Petronas Carigali dan Hess telah memulakan pengeluaran dari JDA di Block A-18 yang dianggarkan mempunyai simpanan sebanyak 2.8 Tcf, jumlah pengeluaran bagi sehari adalah disekitar 390 MMcf (Million cubic feet) dan pengeluaran dijangka meningkat sehingga 590 MMcf sehari pada April 2007. Menerusi penerokaan GAS ASLI di Blok A 18, setiap hari, Petronas sepatutnya membayar rakyat Kelantan royalti yang bernilai RM512,000.00 (RM512 ribu) sehari dan ini bererti Kerajaan Kelantan seharusnya mendapat pendapatan tambahan dari royalti GAS ASLI yang bernilai RM186,880,000 (RM186 juta) setahun.

MENGAPA SONGKHLA BUKAN KELANTAN?
Satu lagi persoalan yang berkait rapat dengan isu ini ialah mengapa Petronas mendaratkan petroleum daripada kelima-lima pelantar minyak tersebut di Songkhla, Thailand dan bukannya di pantai Kelantan? Dari sudut jarak, pantai Kelantan lebih dekat berbanding Songkhla dan pendaratan di Thailand akan memakan kos yang lebih tinggi. Selain
itu kerajaan Negeri Kelantan telah meluluskan pembinaan terminal gas dan supply base petroleum di atas tanah seluas 2000 hektar Pantai Senok, Bachok.Aku pernah bertanya dengan Dato' Mustapa
Mohamed secara langsung tentang isu ini dalam satu majlis perjumpaan antara beliau dan mahasiswa Kelantan dari IPT lembah Klang. Pada ketika itu aku merupakan presiden Himpunan Mahasiswa Anak Kelantan ( Hikmah) UiTM yang merupakan sayap kepada sebuah NGO yang dikenali sebagai Himpunan Melayu Muda Kelantan. Ramai juga yang tidak sedar kewujudan kami di UiTM Shah Alam kerana kami bergerak secara underground kerana larangan telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk memansuhkan sebarang pertubuhan bersifat kenegerian di kampus-kampus. Namun hakikatnya atas hubungan baik kami dengan Dato Pa yang juga Pengarah Eksekutif MTEN ketika itu maka Bahagian HEP UiTM tetap memberi sokongan secara tidak langsung kepada kami. Malah kami berjaya menganjurkan Himpunan Mahasiswa Kelantan bersama Dato' Pa di Dewan Sri Budiman UiTM Shah Alam yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada mahasiswa Kelantan yang berada di Kembah Klang. Turut hadir ketika itu ialah Dato Naib Canselor UiTM serta Dato Hasan Said yang mana ketika itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi.

Berbalik kepada soalan yang aku kemukakan kepada Dato' Pa, beliau menjelaskan minyak didaratkan di Songkhla kerana kegagalan kerajaan negeri melalui GLC Kelantan iaitu Keloil Sdn Bhd yang juga rakan kongsi kepada KUB Berhad dalam projek terminal minyak membangunkan fasiliti yang sepatutnya bagi pendaratan minyak kerana kekurangan dana. Aku secara jujurnya agak skeptikal terhadap penjelasan ini. Jika benar begitu mengapa Kerajaan Persekutuan tidak memberi bantuan atau pinjaman kepada kerajaan Kelantan agar projek tersebut dapat direalisasikan? Dan mengapa pula kerajaan sanggup mendaratkan minyak di Thailand yang tentunya memakan kos yang tinggi kerana jarak yang lebih jauh? Malah yang paling menyedihkan rangsangan ekonomi kesan daripada ativiti petroleum yang sepatutnya dinikmati rakyat kelantan, sebaliknya berpindah kepada penduduk Songhkla. Mengapa ini semua terjadi? Hanya pemimpin Kerajaan Pusat sahaja yang punya jawapannya. Amatlah malang jika semua ini sengaja dilakukan sebagai hukuman kepada rakyat Kelantan yang berterusan memberi sokongan kepada PAS. Sewajarnya kepentingan rakyat dan negara lebih diutamakan berbanding kepentingan politik. Untuk menawan hati rakyat Kelantan UMNO harus berubah dan menunjukkan keikhlasan mereka. Sama ada menang atau kalah, UMNO-BN yang menguasai Kerajaan Persekutuan wajib tetap membawa pembangunan di negeri Kelantan. Kita lihat sahaja sama ada isu royalti minyak ini berjaya mempengaruhi rakyat Manik Urai 14 Julai nanti.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...