Saturday, December 27, 2008

Suka vs Cinta

Salam sejahtera buat semua. Sorrylah minggu ni nampaknya tema dia jiwang-jiwang sikit.Aku nak rehat sekejap dari tulis benda-benda berat nih. Insya Allah minggu depan aku akan kembali dengan isu-isu yang lebih berat. Mungkin kita akan sembang pasal pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Hmm...Ala sekali sekala jadi mat bunga ape salahnye ye tak?huhuhu

Untuk kali ini aku nak kongsikan some sort of kata-kata la yang aku rasa dekat blog lain pun dah banyak dipublish. First time aku dapat benda ni kalau tak silap aku masa aku tengah belajar di peringkat Diploma kat UiTM dulu. Tak silap aku, seorang teman dari KB bagi kat aku melalui kawan baik aku Nora. Malam tu kebetulan Aku dan jerk@ijoi@Zulazri Harun jumpa Nora kat seksyen 17, so dapatlah benda ni. Namun cerita tu semua tak penting. Yang penting harapnya benda ni walaupun mungkin tak semestinya betul seratus peratus, ianya dapat beri sedikit panduan pada mereka-mereka yang dok tengah pening-pening nak identify perasaan mereka yang sebenarnya terhadap pasangan mereka. Korang nak bercinta ke ape ke, itu takde masalah. Yang penting semuanya mesti berlandaskan agama. Jangan dok buat tak tentu hala udah le ok! tata

Di hadapan orang yang kita cinta, hati kita akan berdegup kencang…
Tapi di depan orang yang kita suka, hati kita akan gembira…

Di depan orang yang kita cinta, musim sentiasa berbunga-bunga…
Di depan orang yang kita suka, musim itu cuma berangin sahaja…

Jikalau kita lihat di dalam mata orang yang kita cinta, kita akan kaku…
Tapi jikalau kita melihat ke dalam mata orang yang kita suka, kita akan tersenyum…

Di depan orang yang kita cinta, lidah kelu untuk berkata-kata…
Di depan orang yang kita suka, lidah bebas berkata apa sahaja…

Di depan orang yang kita cinta, kita menjadi pemalu…
Di depan orang yang kita suka, kita mampu tunjukkan imej yang sebenar…

Kita tidak boleh merenung mata orang yang kita cinta…
Tapi kita selalu merenung mata orang yang kita suka…

Bila orang yang kita cinta menangis, kita akan turut menangis…
Bila orang yang kita suka menangis, kita akan turut membuat dia gembira…

Perasaan dari "cinta" dimulai dari tatapan mata.
Dan perasaan "suka" dimulai dari pendengaran telinga.

Jadi, jika kkita berhenti menyukai seseorang,
yang harus kita lakukan adalah menutup telinga.
Tetapi jika kita mencuba untuk menutup mata,
cinta akan berbalik menjadi titisan air mata
dan akan selalu berbekas di hati selamanya...

Thursday, December 25, 2008

Saya Hanya Orang Biasa

Hari ni aku nak kongsikan satu surat yang ditulis oleh seorang sahabat kepada calon isterinya. Isinya agak menarik dan menyentuh jiwa. Semoga kita mendapat manfaat daripada tulisan beliau ini.


Kehadapan Calon isteri saya, calon ibu anak-anak saya, calon menantu Ibu dan Ayah saya dan calon adik buat kakak-kakak saya

Assalamu'alaikum wbt

Mohon maaf kalau awak tidak berkenan. Tapi saya mohon bacalah surat ini hingga ke akhir. Baru kemudiannya bolehlah dibuang atau dibakar, tapi saya mohon, bacalah dulu sampai selesai.

Saya, yang bernama ..............................berhasrat mengambil awak ................... untuk menjadi isteri saya. Saya bukan siapa-siapa. Saya hanya manusia biasa. Buat masa ini saya mempunyai pekerjaan. Tetapi saya tidak tahu apakah kemudiannya saya akan tetap bekerja. Tapi yang pasti saya akan berusaha mendapatkan rezeki untuk mencukupi keperluan isteri dan anak-anak saya kelak.

Saya memang masih menyewa rumah. Dan saya tidak tahu apakah kemudiannya akan terus menyewa selamanya. Yang pasti, saya akan tetap berusaha agar isteri dan anak-anak saya tidak dibaham panas terik mentari dan kebasahan di kala hujan. Saya juga hanya punya sebuah kereta biasa dan sebuah motosikal kapcai yang telah banyak berjasa kepada saya.

Saya hanyalah manusia biasa, yang punya banyak kelemahan dan beberapa kelebihan. Saya amat mengharapkan awak sudi bersama saya demi menutupi kelemahan saya dan mengendalikan sedikit kelebihan yang saya ada. Saya hanya manusia biasa. Cinta saya juga biasa saja. Oleh kerana itu, saya harap awak dapat membantu saya memupuk dan merawat cinta ini, agar menjadi luar biasa.

Saya tidak tahu apakah kita nanti dapat bersama-sama sampai mati. Kerana saya tidak tahu suratan jodoh saya. Yang pasti saya akan berusaha sepenuh hati menjadi suami dan ayah yang baik.

Kenapa saya memilih awak? Sampai saat ini saya tidak tahu kenapa saya memilih awak. Saya sudah solat istiqarah berkali-kali, dan saya semakin mantap memilih awak. Yang saya tahu, saya memilih awak kerana Allah. Dan yang pasti, saya berkahwin untuk menyempurnakan agama saya, juga sunnah Rasulullah. Saya tidak berani menjanjikan apa-apa, saya hanya berusaha sekuat mungkin menjadi lebih baik dari apa yang saya ada sekarang ini.

Saya memohon agar awak solat istiqarah dulu sebelum memberi jawaban pada saya. Saya harap awak dapat mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu atau selewatnya dalam tempoh satu bulan untuk memberi jawapan. Semoga Allah redha dengan jalan yang kita tempuh ini. Amin

Wslm.

Wednesday, December 24, 2008

Aku Bukan Musuh Harta : Tribute Untuk Semua


Dah lama aku tak menulis kat blog kesayangan aku ni. Sejak cuti raya haji ari tu sampailah ke hari ini, jadual aktiviti aku agak padat terutamanya urusan syarikat. Hari raya ke-3 Iduladha semua BOD Nasyeed.Com termasuklah aku buat retreat kat El Ezhar Camp, Morib. 3 hari kami berkampung di sana memerah otak yakni " brainstorming" tentang perancangan dan belanjawan syarikat bagi tahun 2009 disamping membuat bedah siasat terhadap prestasi syarikat pada tahun ini. Alhamdulillah tahun demi tahun, rezeki kami di Nasyeed.Com semakin bertambah berkat usaha semua pihak dan doa serta sokongan keluarga dan rakan-rakan. Kami bermula dari 0 (zero) pada tahun 2003 dengan kalangan BOD majoritinya adalah di kalangan fresh graduates pada ketika itu. Namun dengan izin Allah Swt kini kami punya 2 buah anak syarikat dan satu associate company. Sedikit sebanyak, kini nama Nasyeed.Com semakin dikenali ramai.

Di kesempatan ini juga aku nak ucapkan terima kasih kepada teman-teman yang tidak putus-putus menjenguk aku di sini. Terkejut juga bila melihat ada teman-teman di luar negara terutamanya dari Mesir dan Australia yang sudi melayari web ini. Apa yang aku harapkan, kalian semua mendapat manfaat daripada apa yang aku coretkan disini.

Sebelum mengundur diri ingin aku tinggalkan kalian dengann sebuah lagu yang menjadi topik yang agak panas seminggu dua ini berikutan pengharamannya oleh RTM. Lagu berjudul "Aku Bukan Musuh Harta" persembahan kopratasa & algebra ini memang agak keras mesejnya. Ia menceritakan tentang perihal individu yang menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan diri terutamanya apabila membabitkan soal rasuah dan sebagainya. Aku sendiri sebagai penerbit eksekutif album ini memang agak tidak jelas dengan sebab pengharamannya. Bagi aku alasan liriknya "tidak sesuai" dan "kasar" tidak cukup kuat untuk membawa kepada pengharamannya. Hanya RTM dan Allah saja yang tahu sebabnya. Apapun nikmatilah lagu ini.





Monday, December 1, 2008

Algebra: The First Nasyid Band in Malaysia

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah kurnia-Nya syarikat aku dan kawan-kawan yakni Nasyeed.Com telah berjaya menampilkan album nasyid pertama yang diterbitkan sepenuhnya di bawah label kami. Actually album ni diterbitkan oleh Nasyeed Edutainment Publishing Sdn Bhd (NEPSB) yang merupakan sayap produksi Nasyeed.Com."


Siapa Algebra?

Algebra adalah gabungan 5 anak muda iaitu Ahnaf Jamal (19- vokalis utama/gitar), Nur Mohd Alieff Ayub (20- vokalis kedua/drummer), Raja Mohd Farhan Raja Shaifulzaman (21-keyboardist), Ahmad Syauqi Ahmad Shabir(19-lead guitar) dan Mohd Hafiedz Samsuri (24-percussionist/drummer) yang merupakan mahasiswa-mahasiswa institusi pengajian tinggi tempatan. Algebra ditubuhkan pada awal tahun 2008 dan aktif membuat persembahan dengan menyampaikan lagu-lagu yang bersumberkan hadis. Algebra yang dipimpin oleh Xifu Naser juga merupakan artis pertama bernaung di bawah Nasyeed Edutainment Publishing Sdn Bhd yang lebih dikenali dengan jenama Nasyeed.Com.

Band Nasyid Pertama

Walaupun kumpulan-kumpulan nasyid sedia ada di Malaysia berbentuk “vocal group”, namun Algebra membawa kelainan dalam industri nasyid tanah air apabila muncul sebagai kumpulan nasyid pertama yang tampil dalam bentuk “band”. Ini merupakan satu langkah yang berani di sebalik masih terdapatsegelintir pihak yang masih berpendapat bahawa penggunaan alat muzik bertali dan tiupan tidak islamik.

Yang Benar Tetap Benar

Album Yang Benar Tetap Benar ini mengandungi 10 track merangkumi 8 buah lagu dan dua bacaan puisi. Antara lagu yang dijangka hit ialah Aku Rela ciptaan Xifu Naser dan lirik Dr. MAZA (SS Dr. Mohd Asri Zainul Abidin) nyanyian Algebra, Islam Di China ( Xifu Naser/ Dr.MAZA / Dakmie & Algebra), Aku Bukan Musuh Harta ( Xifu Naser/ Dr.MAZA / Kopratasa & Algebra) dan Derita Hati Seorang Bonda ( Xifu Naser/ Dr.MAZA / Aishah & Algebra). Lagu-lagu lain adalah Daerah Ini( Xifu Naser/ Dr.MAZA / Algebra), Puisi Dunia ( Xifu Naser/ Dr.MAZA / Algebra), Suara Tajdid Kami ( Xifu Naser/ Dr.MAZA / Algebra) dan Yang Benar Tetap Benar ( Xifu Naser/ Dr.MAZA / Algebra).Sementara itu 2 buah puisi yang dibacakan oleh SS Dr Mohd Asri Zainul Abidin berjudul Itulah Politik Namanya dan Salah Menduga menyempurnakan kandungan 10 track album ini. Selain itu, album ini turut melibatkan nama-nama besar dalam industri muzik antaranya Dakmie selaku Penerbit, Eddie Marzuki, Adnan Abu Hasan, Zairi Ariffin, Ujang dan lain-lain. Album ini juga adalah terbitan dan edaran Nasyeed.Com.


Puisi Mufti Perlis

Dalam album pertama ini Algebra telah diberi penghormatan untuk melagukan puisi-puisi yang dinukil oleh tokoh agama terkenal iaitu SS Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang juga merupakan Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Selain daripada 8 lagu yang dimuatkan dalam album ini diadaptasi daripada puisi karya beliau, Dr Mohd Asri sendiri turut menyampaikan 2 buah puisi di dalam album ini. Dr Mohd Asri merupakan seorang tokoh yang agak vokal dalam menangani isu-isu semasa dan beliau pernah menggemparkan dunia hiburan tanah air apabila tidak membenarkan beberapa artis tertentu tampil membuat persembahan di negeri Perlis dalam satu program anjuran sebuah stesen TV tempatan. Tindakan tersebut telah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak. Pada ketika kebanyakan tokoh-tokoh agama tanah air agak menjauhkan diri daripada dunia muzik, Dr Asri mengambil langkah sebaliknya apabila melibatkan diri dalam pembikinan album Algebra: Yang Benar Tetap Benar ini.


Penampilan Aishah, Kopratasa dan Dakmie (ex vokalis barongan)

Penampilan nama-nama besar dalam industri muzik tanah air seperti Aishah, Kopratasa dan Dakmie (ex vokalis barongan) telah menyerlahkan lagi keistimewaan album ini. Aishah dan Kopratasa terutamanya telah lama tidak tampil dengan album atau lagu baru. Kolaborasi mereka dengan Algebra melalui lagu Derita Hati Seorang Bonda dan Aku Bukan Musuh Harta diharap sedikit sebanyak mengubat kerinduan para peminat. Sementara itu Dakmie yang juga bertindak selaku penerbit merupakan nama yang tidak asing lagi dalam industri nasyid. Malah pada tahun ini beliau telah memenangi anugerah AIM 2008 bagi kategori Album Nasyid Terbaik bersama kumpulan Rabbani selain terlibat dalam pembikinan soundtrack untuk filem I’m Not Single dan Selamat Pagi Cinta.

Sunday, November 23, 2008

Ke Mana Mestica Menghilang?

"Ke mana Mestica menghilang? Senyap jer.." begitulah bunyi pertanyaan yang selalu aku terima sama ada secara lisan mahupun melalui SMS dan email. Ramai para peminat nasyid yang tertanya-tanya tentang perkembangan Mestica. Maklumlah dah lama berita tentang kami tak kedengaran atau terpapar di media arus perdana. Tambahan pula website Mestica Fanz Club (MFC) iaitu www.mestica.org sudah lama tidak dapat diakses atas sebab-sebab tertentu. Jika web tersebut beroperasi tentunya lebih mudah untuk para peminat mengikuti perkembangan dan berinteraksi dengan kami. Telah lama kami cuba berhubung dengan webmaster MFC yang berpengkalan di Johor untuk mengetahui perkembangan web tersebut tetapi gagal. Insya Allah jika ada perkembangan tentang web MFC, kami akan beritahu kepada rakan-rakan semua.

Sebenarnya Mestica masih aktif membuat persembahan di seluruh negara. Cuma lately kami agak sibuk dengan kerjaya masing-masing. Aku dan Khairul sedang membina business, Epul di Plus Expressway dan Khalil pulak bertugas dengan agensi kerajaan di Johor. Khalil dah dapat baby girl dan Khairul pula akan dapat baby tak lama lagi insya allah. Aku dan Epul masih bergelar "bachelor" huhuhu.

Antara show terdekat kami adalah pada 29 Nov ini di PICC, Putrajaya sempena Festival Nasyid Kebangsaan dan Juara NMI. Mestica dan Far East dipilih untuk menyanyikan lagu tema fesival tersebut. Kemudian pada 13 Dis kami akan beraksi di Kolej Matrikulasi Pahang. Lain-lain aktiviti aku akan update kemudian. Dikesempatan ini aku nak ucapkan terima kasih kepada semua teman-teman yang tak jemu menyokong Mestica selama ini. Tanpa sokongan kalian tak mungkin kami dapat bertahan sehingga ke hari ni. Untuk mengubat sedikit rindu teman-teman di sini aku selitkan rakaman ACNI 2005 yang menjadi antara nostaliga buat Mestica.


Itulah Politik Namanya

Hari ni aku nak kongsikan puisi yang dinukil oleh SS Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Puisi ni aku rasa satu pandangan yang jujur tentang dunia politik di Malaysia. Hayatilah isinya..

Jika kamu kesukaanku, semuanya baik belaka
Jika kamu berwang banyak, aku kata kuat kamu berusaha
Jika kamu berkereta lawa, aku kata itu berkat bekerja
Jika kamu berumah mewah, aku kata untuk tamu yang melimpah

Jika kamu kebencianku, semuanya dinilai celaka
Jika kamu berwang banyak, aku kata duit orang kamu lanyak
Jika kamu bekereta lawa, aku kata kamu mengada-ngada
Jika kamu berumah mewah, aku kata idu duit rasuah

Jika kamu pilihanku, semuanya aku setuju
Jika kamu bercakap kasar, kataku memang mereka perlu diajar
Jika kamu cakap berputar, aku kata mereka itu yang celupar
Jika kamu berdusta, aku kata bohong mereka lebih berganda
Jika kamu bersumpah, aku kata itu tanda mereka bersalah
Jika kamu berdansa, itu hanya untuk rakyat bersuka

Jika kamu seteruku, semua tindakanmu aku palu
Jika kamu bercakap lunak, aku kata kamu memang nak berlagak
Jika kamu bercakap lurus, aku kata harapan kamu dah putus
Jika kamu bercakap benar, aku kata kamu hanya buat kelakar
Jika kamu bersumpah, aku kata kamu memang telah diupah
Jika kamu berzikir, aku kata kamu hanya cuba menyindir

Musuhku semuanya haram…
Pilihanku semuanya harum…

Ajaran Tuhan
Jangan hukum ikut perasaan dan sangkaan
Jangan hukum ikut kumpulan dan pasukan
Hukumlah ikut firman dan alasan

Ajaran Syaitan
Hukumlah ikut perasaan dan kebenciaan
Lihat dulu kawan atau lawan
Bukan kata Tuhan atau Sabda Junjungan

Maka dunia pun bertukar
Hukum menjadi putar-putar
Siapa sahabat, maka dia diangkat
Siapa tak sepakat, maka dia musibat

Pilihanku semuanya ditabal mulia
Pilihanmu semuanya ditabal celaka
Tanya mereka, Mengapa begitu jadinya?
Jawabku , itulah politik namanya..

Saturday, November 22, 2008

Sempurnakan tudungmu

Aku tengok sekarang ni dah macam-macam jenis ikatan tudung dan fesyen tudung digayakan remaja perempuan kita di Malaysia. Seingat aku Wardina dan Waheeda antara selebriti terawal yang mencetuskan revolusi pemakaian tudung yang agak ranggi ni sampaikan fesyen tudung seperti yang mereka pakai terus dinamakan sempena nama mereka. Macam gak kopiah Raihan, orang panggil kopiah tu kopiah Raihan diorang yang popularkan pemakaiannya sedangkan kopiah tu kalau tak silap aku berasal dari Republik Chech.


Pemakaian tudung dengan fesyen yang pelbagai ni sangat bagus kerana ia berjaya menarik lebih ramai wanita untuk bertudung. Jika dulu ramai wanita yang rasa mereka tak akan dapat tampil cantik dengan bertudung, kini berfikiran sebaliknya. Sesungguhnya Islam memang menggalakkan umatnya tampil kemas dan bergaya. Rasulullah SAW bersaba," Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan menyukai keindahan", (Riwayat Muslim dan Tirmidzi).

Aku sa
njung dan puji kepada rakan-rakan yang menyahut seruan agama dengan bertudung dan menutup aurat mereka cuma lately aku sedikit gusar apabila ada sesetengah daripada wanita sedikit alpa dengan perkara-perkara yang mungkin dianggap kecil tapi sebenarnya menyebabkan usaha mereka untuk menutup aurat tidak sempurna. Perkara yang paling simple, material tudung itu sendiri yang nipis dan menampakkan bahagian dalamnya. Apatah lagi jika anak tudung tidak dipakai. Rambut mencanak keluar menembusi tudung yang secara zahirnya menutupi aurat. Ini belum lagi dikira tentang soal labuhan tudung yang seharusnya menutupi bahagian dada.

Firman Allah dalam surah An-Nur ayat 31 boleh dijadikan panduan dalam soal pemakaian tudung yang sempurna. “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya m
enyekat pandangan mereka (daripada memandang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang ‘aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Ayuh teman-teman muslimah yang dikasihi, sama-samalah kita menyempurnakan amalan dan ibadah kita dengan sebaiknya agar ianya diterima oleh Allah SWT. Sempurnakan tudungmu!

Sunday, November 16, 2008

"Kerusi tu perlu diisi.."


Ni gambar Apiz kawen lebih setahun yang lepas


Hmm... setiap kali musim cuti sekolah, ramai la orang buat kenduri kahwin. Semalam adik perempuan kawan aku, Waie (CEO NC) kawin. Aku ngan geng NC sampai dalam pukul 1 petang. Sempat juga aku menyanyi satu dua lagu dengan budak-budak Amrain. Aku kalau dapat peluang menyanyi dengan live percussion ni memang aku tak lepaskan. Layan pulak semua lagu-lagu lama. Memang "masyuk" huhuhu. Sedang aku dok menyanyi aku terperasan kelibat seorang individu yang dah hampir setahun aku tak jumpa. Orang tu tak lain tak bukan ialah si Yosman, classmate aku masa MBA dulu. Rupa-rupanya pengantin lelaki tu adik kakak dia. Memang kecik betul dunia ni, dok pi mai pi mai tang tu je. Hari ni pulak aku ada satu lagi kenduri kawin kat Taman Melati KL. Kali ni staff Hijjaz Records pula yang kawin.

Aku ke Taman Melati dengan Kerol, Uya dan Muaz. Sampai je sana, aku dapat tengok ramai juga kawan-kawan yang dah lama aku tak jumpa terutamanya si Zaidi dan isterinya Mas. Depa dah nak dapat baby dah. Aku, Kerol, Uya, Zaidi dan Mas dok makan sekali satu meja. Kebetulan kerusi kat sebelah aku kosong. Tengah kami borak tetiba Zaidi mencelah, "Zin, kerusi tu perlu diisi..". Mula-mula aku tak dapat tangkap maksud kata-katanya tu tapi bila si Zaidi sambung statement dia, "Kena la cari cepat-cepat.." then aku perasan yang orang lain semua dok sebelah isteri masing-masing. Aku je yang dok sorang-sorang sebelah kerusi kosong. Hmm.. fahamlah aku maksud tersirat di sebalik statement tu. Aku tersenyum membisu. Itulah reaksi aku setiap kali orang tanya pasal kawin. Macam aku cakap selalu, aku kalau boleh sekarang pun aku nak kawin tapi ada pertimbangan tertentu yang harus aku ambil kira. Hati pun tengah kosong sekarang ni.Insya Allah sampai masanya kahwin le aku..huhuhu.. Harap kawan-kawan semua doakan ye..

Sunday, November 9, 2008

Berehat Seketika

Minggu ni merupakan minggu yang cukup memenatkan bagi aku. Hampir seminggu aku berjaga malam menyiapkan kerja-kerja produksi untuk album sebuah band nasyid baru yang akan berada di pasaran tak lama lagi. Yang menariknya album ini menampilkan puisi karya Dr Mohd Asri Zainul Abidin iaitu Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Aishah dan Kopratasa juga buat comeback menerusi album ini. Band ni actually nama dia The Algebra.. Ape? Oh memang kelakar sikit bunyi dia, macam matematik je. Kenapa nama ni dipilih? Itu nanti aku citer. Aku malas nak citer sekarang. Penat masih belum hilang. Kasi suspense sikit.

Minggu ni aku nak kongsi ngan korang semua salah satu lagu yang pernah menjadi kesukaan aku satu ketika dulu. Seingat aku salah satu sebab aku suka lagu ni ialah penggunaan sitar sebagai salah satu instrumen muziknya. Masa tu tak banyak lagu mainstream yang pakai sitar. That's why aku suka lagu ni. Kalau dari sudut vokal, bagi aku lagu ni biasa je tapi suara Ashira tu not bad la. Apapun enjoy the song.. See you..

Friday, November 7, 2008

Pelantikan Madam Low Satu Umpan?

Pelantikan Madam Low sebagai pemangku Pengurus Besar PKNS telah menimbulkan polemik di kalangan pemimpin politik dan rakyat Selangor umumnya.Aku tengok MB Selangor kita yang baru ni acap kali juga mencetuskan kontroversi. Dulu hal projek ladang babi sekarang ni pulak isu PKNS. Namun tak semestinya tindakan kontroversi yang dibuat tu salah. Cuma ia menjadi hangat apabila banyak pihak yang bersuara dan mengemukakan pandangan masing-masing. Aku percaya sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman, Tan Sri Khalid punya strategi dan sebab tersendiri di atas setiap tindakan yang dibuat.

Dalam isu PKNS ini, ramai pihak membantah pelantikan Madam Low kerana bangsanya kerana pada anggapan mereka kerusi GM PKNS milik mutlak bumiputera.Aku tak berminat untuk mengulas tentang kewajaran seorang bukan bumiputera dilantik menerajui PKNS kerana sudah ramai yang memperkatakannya. Namun yang jelas daripada laporan di media cetak prestasi PKNS tahun lepas tidak memberangsangkan malah banyak projek mencatatkan kerugian. Lebih mengejutkan 75 peratus projek-projek PKNS yang kononnya bertujuan untuk membangunkan taraf ekonomi bumiputera diberikan secara langsung atau tidak langsung kepada tauke-tauke bukan bumiputera.Ini tidak termasuk unsur "conflict of interest" dalam struktur PKNS itu sendiri apabila terdapat sekumpulan pegawai kanan memegang saham 30% dalam anak syarikat PKNS, iaitu PKNS Infra Sdn Bhd.

Pada pandangan aku, kontroversi ini sememangnya sengaja dibuat sebagai satu umpan untuk membongkar penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran sebelum ini sekiranya ada. Golongan yang membantah pelantikan ini akan tampil mengeluarkan fakta-fakta atau cerita-cerita yang sebelum ini tersembunyi untuk menyokong bantahan mereka.Cerita-cerita tersebut mungkin termasuk dakwaan aktiviti penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran sebelum ini.Aku percaya pelantikan Madam Low bukanlah untuk memberi peluang pada beliau untuk "memulihkan" PKNS tetapi untuk membongkar dan mencari bukti-bukti sekiranya penyelewengan berlaku sebelum ini. Dan jika ianya dapat dibongkar, maka Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan mendapat peluru baru untuk membedil kerajaan sebelum ini. Apa yang berlaku ini adalah hampir sama dengan kontroversi pembelian Mercedes Benz sebagai kereta rasmi Exco Kerajaan Terengganu yang akhirnya membawa kepada penemuan kepada bukti berlakunya penyelewengan dalam urusan penyelenggaraan kenderaan Exco Kerajaan Terengganu sebelum ini.

BPR telah memulakan langkah untuk menyiasat PKNS. Kita tengok saja apa yang bakal berlaku selepas ini.Berjayakah Kerajaan PR Selangor menemui peluru yang dicari? Sama-sama kita tunggu...

Tuesday, November 4, 2008

Teruskan Pembelian Eurocopter


Saya tidak bersetuju sama sekali dengan tindakan YAB Menteri Pertahanan yang ingin menangguhkan pembelian pesawat sayap putar Eurocopter EC725 Cougar. Isu ini hangat diperkatakan oleh ahli-ahli politik yang mengaitkannya dengan penyelewengan dana kerajaan. Jika benar berlaku penyelewengan maka hal ini yang perlu dihentikan dan bukannya menangguhkan pembelian aset pertahanan negara tersebut.

Cadangan pembelian helikopter ini timbul selepas insiden menyayat hati terhempasnya pesawat Nuri di Genting Highland yang mengorbankan 6 anggota TUDM pada Julai 2007. Sejak pembeliannya pada 1968, Nuri telah terlibat dalam lebih 19 insiden yang meragut
97 nyawa. Apa yang telah berlaku ini menjadi hujah kukuh untuk menggantikan pesawat usang Nuri yang telah berkhidmat hampir 40 tahun dalam TUDM. Kita tidak mahu lagi melihat perajurit-perajurit kita yang dilatih untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh terus "terperangkap" dalam pesawat yang disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai keranda terbang ini. Janganlah hanya kerana perkiraan ekonomi dan kewangan semata-mata, kita sanggup melihat lebih ramai perajurit kita yang "mati katak".

Pembelian harus diteruskan dan dilakukan sekarang kerana kita tak mampu lagi menunggu. Beli helikopter ni bukan macam beli kereta, hari ni bayar minggu depan terus dapat. Prosesnya mungkin mengambil masa 2-5 tahun. Yang peting pembelian aset-aset ketenteraan kita haruslah dibuat dengan telus dan bijak. Janganlah ia diambil kesempatan untuk meng'kaya'kan sesetengah pihak yang berkepentingan. Biarlah setiap pembelian itu membawa impak semaksimum mungkin terhadap kekuatan tentera kita.
GEMPUR WIRA!!!

Wednesday, October 29, 2008

Pestabola Merdeka: Malaysia anti klimaks

Sebagai salah orang penyokong setia skuad Malaysia aku merasa terpanggil untuk menulis tentang prestasi skuad negara dalam Pestabola Merdeka yang aku sifatkan sebagai anti klimaks. Malaysia beraksi cemerlang di peringkat awal dengan membenam Nepal 4-0, menundukkan Sierra Leone 4-0 dan membelasah Afghanistan 6-0. Malah di peringkat separuh akhir harapan untuk mempertahankan kejuaraan dilihat cerah setelah sang harimau tenang membaham Myanmar dengan 4-o. Harapan menggunung penyokong Malaysia akhirnya lebur di final apabila skuad negara tunduk 5-6 kepada skuad bawah 23 tahun Vietnam.

Aku adalah antara ribuan penyokong Malaysia yang berada di stadium dalam perlawanan akhir tempohari. Aku ke stadium dengan Epul Amrain. Memang selalunya kami akan pergi berdua setiap kali ada perlawanan membabitkan Malaysia. Aku dan Epul punya cita-cita yang sama iaitu ingin melihat Malaysia beraksi di Piala Dunia atau setidak-tidaknya di Piala Asia secara merit. Hahaha.. aku tahu mungkin ramai yang sinis tentang cita-cita aku tu. Apatah lagi dengan prestasi skuad negara yang tak menentu. Namun yang pasti aku akan terus menyokong skuad harimau malaya.



Dalam perlawanan akhir tempohari semua yang menonton mengakui bahawa skuad negara telah memberikan yang terbaik. Hampir keseluruhan permainan dikuasai oleh Malaysia namun malangnya gawang Vietnam gagal dibocori. Selain daripada taktik pemain Vietnam yang melengah-lengahkan perlawanan dengan pura-pura sakit, diakui juga jentera serangan hilang idea. Safee Sali, Zaquan Adha, Amirulhadi dan Indraputra gagal berfungsi dengan baik. Keadaan bertambah buruk apabila Hardi Jaafar dikeluarkan. Jentera tengah terus tak berfungsi. Ramai yang hairan mengapa Sathianathan bertindak demikian. Aku bertambah hairan apabila Zaquan dikeluarkan dan diganti dengan Hairudin Omar. Serangan Malaysia terus layu selepas itu walaupun mendapat bantuan daripada pemain pertahanan seperti Daudsu dan Irwan Fadli yang rajin naik ke atas. Ashaari Shamsudin yang masuk menggantikan Hardi pula ternyata belum cukup bersedia untuk beraksi di perlawanan yang genting sebegini. Dia sering kehilangan bola dan membuat hantaran yang entah apa-apa. Cuma apabila Khyril Muhaymeen masuk, barulah serangan sedikit menyengat namun segalanya sudah terlambat.

Aku menyokong cadangan Sathianathan untuk memanggil semula Akmal Rizal namun aku rasa ada beberapa nama lain yang turut boleh dipertimbangkan antaranya Khalid Jamlus dan Liew Kit Kong. Walaupun Khalid dan Kit Kong boleh dianggap kuda tua tapi mereka telah membuktikan kemampuan mereka melalui jumlah jaringan yang dibuat dalam liga Malaysia musim ini. Nak mengharapkan Titus James yang main kat Perancis pun rasanya baik lupakan sajalah. Nampak gayanya dia tidak begitu berminat untuk menyarung jersi negara. Dah banyak kali panggil tapi tak balik-balik jugak.

Untuk menghadapi saingan Piala AFF nanti terlalu banyak yang perlu dibaiki skuad negara. Apatah lagi kita akan menghadapi pasukan-pasukan jauh lebih kuat daripada pasukan-pasukan yang beraksi di Pestabola Merdeka. Apapun aku harap Malaysia dapat menjadi juara untuk Piala AFF kali ini. Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan ini hanyalah naib juara iaitu pada tahun 1996. Insya Allah dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan mental yang kuat, sang harimau malaya akan kembali mengaum. Malaysia Boleh!!!


Tuesday, October 28, 2008

Aku kembali..


"Abang Razin, kenapa tak update blog? Lama sangat dah tu.." sapaan Mass pada pagi tu mengejutkan aku dari lamunan yang panjang. "A ah la. Lama dah abg tak menulis", jawapku spontan. Hmm.. bukannya sengaja tak menulis. Kebelakangan ini banyak komitmen lain yang perlu aku tunaikan. Malah lama juga aku tak online sejak laptop dan PC aku di format balik. Ramai juga kawan-kawan yang selalu chat ngan aku kat YM tanya, ke mana aku menghilang. Aku mohon maaf atas "penyepian" aku tu. Baru aku sedar, lama juga aku "bertapa" rupanya. It was almost a month. Takpelah yang penting kini aku telah kembali untuk berkongsi idea dan pandangan untuk tatapan semua. Semoga blog ini bukan sahaja dapat merapatkan ukhwah sesama kita malah menjadi tempat percambahan ilmu yang sedikit sebanyak mampu membantu menjana pembangunan minda ummah seluruhnya. Amin

Sunday, September 7, 2008

16 September: Retorik atau Realiti


Kelmarin aku sempat bersembang dengan beberapa orang aktivis dan pemimpin Pakatan Rakyat tentang isu peralihan kuasa yang dikatakan bakal berlaku pada 16 September ini. Dari gaya percakapan dan maklumat yang mereka peroleh, mereka begitu yakin perkara tersebut akan berlaku. Malah mereka punya jadual yang tersusun tentang peristiwa yang bakal berlaku secara berturutan ke arah pembentukan kerajaan baru dan ini termasuklah tarikh dan masa Anwar akan mengadap Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong untuk memohon perkenan pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat! Daripada pelan yang dinyatakan seolah-olah peralihan kuasa akan berlaku dengan lancar sekali tanpa sebarang gangguan. Senarai anggota kabinet daripada parti-parti komponen PR juga telah ada.

Aku juga sempat menelefon kawan-kawan aku dalam UMNO untuk mendapat reaksi mereka. Mereka sama sekali menyangkal bahawa peralihan kuasa akan berlaku pada 16 September ini. Malah bagi mereka ia hanyalah retorik Anwar semata-mata. Bagi mereka Kerajaan BN akan terus bertahan sekurang-sekurangnya sehingga PRU ke 13 nanti.Secara berseloroh kawan aku tu mempelawa aku untuk menganggotai Kabinet BN dalam tempoh sepuluh tahun lagi. Aku hanya tersenyum mendengar tawaran itu. Tak dinafikan aku memang amat meminati bidang siasah ini. Percaya atau tidak aku mengikuti perkembangan siasah negara sejak aku di sekolah rendah lagi.Malah aku pernah bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Aku tak kisah sesiapa yang memimpin kerajaan Malaysia menjelang 16 September nanti. Yang penting kerajaan itu hendaklah adil kepada rakyatnya dan mampu menjadikan Malaysia sebagai Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghofur. Kita tunggu dan lihat sahaja apa yang bakal berlaku 16 September ini.

Thursday, September 4, 2008

Meeting, PKNS, Gathering...

Hmm hari ni aku agak boring dok ofis. Pagi tadi ada meeting dengan dengan En Ikram Yayasan Restu. Basically kitorang bincang tentang open house Nasyeed.Com dan Yayasan Restu akan dijalankan pada minggu terakhir Syawal nanti. Tahun lepas cukup meriah dengan pelbagai pengisian dengan kehadiran team produksi Islamic Content TV3. Tahun ni diharap akan lebih meriah dengan penglibatan pelbagai pihak.

Balik ofis dalam tengahari aku ada meeting pulak dengan commitee gathering Nasyeed.Com dan Nasyid FM yang akan diadakan pada bulan 12 nanti. Aku pun actually tengah pening jugak cari peserta untuk pertandingan nasyid PKNS Kuala Selangor. Selalunya senang je nak cari tapi kali ni uissh susah banget seh! Aku tak pasti adakah sebab lokasinya yang agak jauh dari ibu kota atau masanya tak sesuai atau sebab lain. Actually kompleks PKNS Kuala Selangor ni dalam proses rebranding. Diorang pun dah lama tak buat event kat sana. Kali terakhir event dibuat pun lebih kurang 3 tahun lepas. Dengan lokasinya yang tidak strategik, agak sukar untuk menarik pengunjung ke sana. Nasib baik ada beberapa premis agensi kerajaan yang beroperasi di sana. Kalau tak bertambah sunyilah kompleks tu. Proses untuk "menghidupkan" kembali kompleks tersebut tentunya memerlukan masa dan "massive spending" especially on marketing and promotion. Aku nampak insya allah yang pastinya kompleks tu akan meriah apabila projek perumahan di sekelilingnya siap dan diduduki.



Hmm.. bulan-bulan puasa ni aku selalu mengantuk sikit terutamanya lepas asar. Memang tahap kritikal punye ngantuk. Kenkadang tu memang terlelap kat ofis. Dah ngantuk kan, tido jelah. Hari ni aku rasa nak berbuka ngan "Nasi Ambeng". Hari tu aku dah layan skali, memang masyuk la. So nak kena layan lagi.huhu.. tata!

Tuesday, September 2, 2008

Pemansuhan Pemain Import Bukan Jalan Penyelesaian!



Tindakan FAM untuk memansuhkan kehadiran pemain import dalam kancah liga Malaysia pada tahun hadapan merupakan satu langkah ke belakang. Alasan kehadiran mereka merencatkan pembangunan bakat dan merampas peluang pemain tempatan untuk beraksi sekaligus menjejaskan mutu bolasepak Malaysia adalah sangat dangkal dan tidak tepat sama sekali. Selama ni pun mutu bolasepak kita sememangnya merudum. Dulu kita setanding malah ada masanya jauh lebih baik daripada Korea dan Jepun. Perlu diingat Jepun lebih lambat melancarkan Liga J-nya berbanding Liga-M tapi kita boleh tengok di mana mereka berada sekarang.

Pada pandangan aku mutu bolasepak kita tidak meningkat bukan kerana faktor luaran tapi faktor dalaman atau tepat lagi mentaliti pemain dan pegawai bolasepak Malaysia. Majoriti pemain kita tidak mempunyai wawasan yang jauh dan rasa selesa dengan apa yang mereka dah ada. Dengan gaji antara 5 hingga 10 ribu sebulan (malah ada yang lebih dari itu) mereka merasakan apa yang didapati itu sudah cukup. Aku berani kata tiada seorang pun yang berani mengambil risiko untuk mencuba nasib di liga yang lebih kompetitif untuk meningkatkan mutu permainan sekaligus mendapat hasil yang lebih lumayan. Lupakan saja tentang mencuba nasib di EPL atau liga Eropah tapi cukup untuk mencuba nasib di Liga-liga negara Asia. Kalau tak Liga Jepun atau Korea pun, cukuplah kalau dapat menembusi liga negara-negara Arab mahupun liga Thailand atau Singapura. Yang pernah ke luar negara sebelum ini pun macam Akmal Rizal, Juzaili Samion, Rudie Ramli, Fadzli Saari, Lim Chan Yew dan lain-lain bukanlah dengan inisiatif sendiri tapi dengan bantuan FAM. Berlainan dengan pemain-pemain di era 70-an dan 80-an seperti Dali Omar yang beraksi di Australia dan Lim Teong Kim (Jerman) yang merantau ke luar negara dengan usaha mereka sendiri. Jadi para pemain harus mempunyai cita-cita dan azam yang tinggi untuk berjaya.

Pihak pengurusan pula harus lebih professional dalam mengendalikan persatuan dan kelab. Persatuan dan kelab bolasepak dia Malaysia harus dikendalikan secara korporat dan dilihat sebagai entiti perniagaan yang boleh mendatangkan keuntungan. Setidak-tidaknya suntikan elemen perniagaan akan memberi lebih motivasi kepada pihak pengurusan untuk mengendalikan kelab-kelab bolasepak dengan lebih baik sekaligus menghapuskan masalah-masalah memalukan seperti tunggakan gaji pemain dan sebagainya.

Aku ni bukanlah selalu ke stadium untuk tengok Liga Malaysia kerana bagi aku ianya kurang tarikan dan membosankan. Akan tetapi setiap kali pasukan kebangsaan beraksi aku pasti akan turun memberi sokongan di stadium terutamanya jika perlawanan diadakan di sekitar lembah klang. Aku bercita-cita untuk melihat team Malaysia beraksi di Piala Dunia. Namun berdasarkan prestasi semasa aku tak pasti sama ada impian aku tu tercapai dalam hayat aku ni. Apapun aku ucapkan Selamat Maju Jaya buat team bolasepak Malaysia. Malaysia Boleh!!!

Monday, September 1, 2008

Ahlan Ya Ramadhan


Hari ni hari pertama puasa tahun ni. Ofis aku pun cuti sampai fari selasa tapi aku lepak kat ofis ari ni sebab bosan dok kat rumah. Bukan ade sape pun. Sekurang-kurangnya aku boleh buat keje yang mana belum settle.Housemate pun balik kampung. Aku nak balik jugak cuma maybe hari Rabu lepas settle meeting dengan client. Itupun kalau program kat USM tak jadi.Kalau program tu on, kenalah aku balik hari isnin.

Ramadhan kali ni aku harap dapat relaks dan lebih fokus pada amal ibadah. .Sekurang-kurangnya aku harap dapat khatam quran dalam tempoh sebulan ni. That's why aku tak ambik banyak sangat show iftar kali ni. Kalau tak, confirm tak berpeluang nak terawikh kat surau. Bukan tak boleh terawikh kat rumah cuma kurang feel dia.Hmm petang nanti aku nak berbuka di rumah kakak aku. At least first day berbuka takde la aku sunyi sangat. Dapat la aku bebuka dengan meriah sikit.Ramadhan kareem..

Saturday, August 30, 2008

30 Ogos 2008

Hmm.. aku masih mengantuk dan penat sebab baru je sampai dari Terengganu. Semalam ada show bersama UNIC di UMT. Budak-budak UNIC masih lepak kat sana sebab hari ni diorang ada show di Kemaman. Kami pulak terpaksa pulang terus ke KL lepas show sebab petang ni ada event di PKNS Kuala Selangor. Kitorang bergilir-gilir drive tapi aku sempat bawak sampai dungun je lepas tu Khalil take over sampai KL.

Minggu ni bukanlah minggu yang bagus buat aku. Malah antara minggu yang merakamkan banyak peristiwa yang tidak mengembirakan malah mengecewakan. Namun sebagai seorang muslim yang mukmin, aku harus menerima apa jua yang berlaku dengan sabar dan redha walaupun ianya amat pahit untuk ditelan. Namun sebagai manusia biasa, kesan emosi dan perasaan tetap ada malah kadang-kadang tidak dapat disembunyikan. Marah, kecewa, sedih dan segala macam perasaan menyentap emosi aku sehari dua ni. Apa yang aku harapkan semua yang berlaku menjadi pengajaran yang berguna buat semua yang terlibat. Amin..

Weh mana si mass ngan Ada tak sampai-sampai lagi nih? Pukul berapa nak bertolak ke Kuala Selangor? Kasim betul la..

Friday, August 29, 2008

Mengapa Perlu Ada Dia

Mengapa perlu ada dia bila aku yang kau ada
Mengapa perlu ada dia bila aku yang kau cinta
Mengapa perlu ada dia di saat sabar yang kau ada
Mengapa perlu ada dia di kala impian yang sedang diusaha

Mengapa perlu ada cinta bila sahabat yang kau kata
Mengapa perlu ada cinta bila kau kata kau setia
Mengapa perlu pintu dibuka bila akibat sudah dijangka
Memang kesetiaan tiada harga
Selagi curang tidak menjelma

Mengapa perlu ada dia
Mengapa perlu ada dia
Mengapa perlu ada dia

Panggung kini dibuka

Assalamualaikum wbt..
Sebenarnya dah lama aku berhasrat nak jadi blogger ni tapi memandangkan masa dan jadual aku yang agak padat maka aku terpaksa tangguhkan dulu hasrat tersebut. Namun alhamdulillah menjelang Ramadhan ni aku agak free dan rasanya inilah waktu yang sesuai untuk memulakan semua ini. Dulu aku dah start buat blog tapi kat friendster jela. Tapi dah lama tak akif dah pun. Friendster pun dah jarang sekali aku bukak. Maybe sebab takde masa sangat nak melayan semua tu. Ye la kat friendster tu, asyik-asyik komen gambar, tengok gambar orang, upload gambar baru, bagi mesej dan benda-benda yang agak membosankan aku. So harapnya blogging ni dapat memberi lebih manfaat kepada aku sendiri dan orang lain yang melayari blog aku ni. Cukuplah sampai di sini buat waktu ini. Lagipun esok pagi aku nak ke terengganu. Jam dah pukul 3 pagi. Kta Bertemu di lain masa.. chiao

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...