Monday, July 13, 2009

PRK Manik Urai: Masih 50:50


Tepat jam 12.00 malam ini maka tamatlah secara rasminya waktu berkempen bagi PRK Manik Urai. Esok merupakan tarikh pengundian yang bakal menentukan parti manakah yang akan mewakili suara penduduk Manik Urai dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan. Sehingga ke hari ini tiada pihak yang mampu mendakwa mereka akan menang esok hari. Mungkin ramai yang menganggap Pas akan menang mudah namun tindakan drastik kerajaan Negeri Kelantan yang mengumumkan cuti peristiwa bagi seluruh negeri Kelantan esok hari menceritakan bahawa wujud kebimbangan pengundi-pengundi berdaftar yang berada di luar kawasan tidak dapat pulang mengundi kerana hari bekerja.


Dalam konteks Kelantan, faktor isu setempat sebenarnya lebih mempengaruhi pengundi dalam membuat pilihan. Jadi kecenderungan pengundi-pengundi dalam kawasan untuk memberi undi protes kepada parti yang diberi mandat sebelum ini (dalam konteks ini PAS) tetap ada. Sebenarnya di Kelantan ada banyak isu yang menimbulkan ketidak puasan hati penduduk. Tapi UMNO Kelantan sendiri gagal mengambil kesempatan dan menampilkan calon yang berwibawa dalam pilihanraya. Lebih teruk lagi budaya "cah keting" masih subur dalam UMNO Kelantan. Pada pilihanraya umum yang lepas telah terbukti bahawa kemenangan besar PAS Kelantanadalah kerana mereka dibantu oleh undi daripada pengundi-pengundi yang pulang dari luarKelantan. Jika tidak kerana golongan ini, UMNO mungkin tidak kalah seteruk itu. Tidak dinafikan dasar yang dilaksanakan oleh PAS Kelantan sangat baik namun dari sudut pelaksanaan masih banyak masalah. Malah dalam kes-kes tertentu, penyakit-penyakit yang dihidapi UMNO telah mula berjangkit kepada segelintir pemimpin dan aktivis PAS Kelantan. Ramai juga yang percaya, sebilangan wakil rakyat PAS Kelantan menang kerana berlindung di sebalik serban Tok Guru Nik Aziz saja. Jika faktor TGNA tak diambil kira, belum tentu mereka mampu menang.


Di tempat aku sendiri yakni di Machang, banyak juga tindakan pimpinan PAS tertinggi yang sangat mengecewakan penduduk setempat. Malangnya mereka seringkali terselamat daripada hukuman rakyat apabila isu diperingkat nasional lebih mempengaruhi setiap kali pilihanraya umum diadakan. Jika apa yang dilakukan itu, berlaku dilakukan di negeri seperti Selangor yang mana rakyatnya punya kesedaran dan sensitiviti yang tinggi aku rasa tak mustahil PAS bungkus di Machang. Aku pernah dengar beberapa penyokong PAS sendiri yang merungut, "Kalu kito tok undi, kaloh pulok parti kito. Tapi kalu undi, oghe atas segho hok dio buat betul blako pah disokong pulok. Oghe bowoh tegur buke nok dengar. Kito keno ajar jugok sekali. Ni mace doh manggok benar doh ni." (Kalau kita tak undi, kalah pula parti kita. Tapi kalau undi, orang atas akan rasa dia buat semua betul dan disokong pula.Orang bawah tegur bukan nak dengar.Kita kena ajar juga sekali. Ini macam dah bongkak dah ni). Insya Allah andai aku ada kelapangan akanku ulas dengan lebih lanjut tentang isu ini. Itupun selepas maklumat yang aku dapat semua lengkap.

Dilihat dari sudut calon PRK Manik Urai, tidak dinafikan calon BN dilihat lebih berkaliber dari sudut pendidikan mahupun kemampuannya untuk berpidato. Dia juga dilihat lebih "lokal" kerana dia telah lama bergaul dengan penduduk setempat atas kapasitinya sebagai pegawai Kasedar. Tidak dinafikan calon PAS yakni Abe Uji memang tidak kurang popularnya dan dikenali. Akan tetapi dia lebih dikenali di Bandar Kuala Kerai dan pekan Guchil kerana aktiviti perniagaan ikannya bertumpu di situ berbanding di Manik Urai. Walau bagaimanapun Abe Uji tetap punya peluang cerah untuk menang. Apatah lagi dia dibantu pengaruh TGNA yang sangat dihormati di Kelantan.

Apapun aku bersetuju dengan pendapat Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu temubual apabila mengulas tentang PRK ini. Kata Tun, "Ini bukan soal UMNO kalah atau menang. Soalnya adalah sama ada UMNO kalah banyak atau kalah sikit". Sama-sama kita tunggu keputusannya esok hari.



No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...