Wednesday, October 1, 2014

Belasungkawa: Al Fadhil Ustaz Sohibul Fadhil Sabikin

Dunia nasyid Malaysia baru sahaja kehilangan seorang tokoh besar yang boleh dianggap sebagai bapa, guru dan abang kepada kami semua kumpulan nasyid. Beliau juga sebelum ini pernah menyandang jawatan sebagai Pengerusi Majlis Usahawan Nasyid Malaysia atau lebih dikenali MUNSYID Malaysia yang mana saya sendiri adalah setiausahanya sebelum beliau terpaksa melepaskan jawatan atas faktor kesihatan. Tokoh ini tidak lain dan tidak bukan adalah Almarhum Ustaz Sohibul Fadhil Hj Sabikin. Almarhum turut menggunakan nama B.Nury sebagai nama pena dalam hasil hampir semua hasil karya beliau.
Perginya sebutir bintang

Nama ini mungkin tidak begitu dikenali oleh khalayak umum namun beliau telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada irama nasyid tempatan sejak era 80-an lagi. Beliau adalah antara orang yang bertanggungjawab dalam menubuhkan kumpulan nasyid Nadamurni dan The Zikr yang kemudiannya menjadi nukleus kepada kumpulan-kumpulan nasyid terkemuka hari ini seperti Rabbani, Hijjaz dan Raihan. Almarhum juga memanfaatkan penggunakan teknologi laser, sistem lampu dan sistem bunyi yang canggih sejak penghujung 80-an yang menjadikan Malam Puisi Islam atau Konsert Kesenian Islam yang dianjurkan berada dalam kelas yang tersendiri malah menarik minat ramai penonton.
Anugerah Khalifah Nasyid

Satu lagi perkara sumbangan yang memberi impak yang sangat besar kepada irama nasyid Malaysia ialah penerbitan lagu "Pergi Tak Kembali "oleh kumpulan Rabbani. Almarhum bertanggungjawab memujuk Almarhum Ustaz Asri Ibrahim vokalis Rabbani yang pada mulanya keberatan untuk menyanyikan lagu tersebut kerana susunan muziknya yang dianggap tidak sesuai bagi sebuah lagu nasyid. Namun akhirnya, lagu tersebut telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada masyarakat malah menjadi siulan anak-anak muda. Ia juga secara tidak langsung memberi nafas dan dimensi baru kepada irama nasyid tempatan. Sebagai menghargai sumbangan besar dalam lapangan nasyid, beliau telah diangkat menerima anugerah Khalifah Nasyid sempena Anugerah Nasyeed.Com 2012 yang disiarkan secara langsung di TV Al Hijrah.
Semoga Allah menempatkan Almarhum Ustaz Sohibul Fadhil Sabikin di kalangan orang-orang yang beriman dan soleh serta segala sumbangan almarhum dalam lapangan seni khususnya nasyid akan diangkat menjadi amalan yang membuahkan pahala buat almarhum oleh Allah SWT. Al fatihah...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...