Friday, January 28, 2011

M.Karathu Kembali

Kembalinya Dato M Karathu ke Kota Bharu bagi mengemudi skuad the red warriors bagi menggantikan Abe Ya ( nama timangan penyokong kelantan kepada B.Sathianathan) yang terlibat dalam penggantungan kontroversi oleh FAM, mengembalikan nostalgia kecemerlangan skuad 1993 yang pernah dibimbingnya. Untuk rekod pada waktu itu beliau adalah jurulatih pertama yang membawa Kelantan ke separuh akhir Piala Malaysia sejak 1970. Ironinya, Hashim Mustapha yang kini penolong jurulatih Kelantan merupakan tonggak utama dalam skuad 1993 selain daripada Zahasmi Ismail, Tuan Kamree Yahya, Salim Mahmood serta tonggak import Marco Kraljevic, Dimitri Kalkanov dan Michael Roki. Aku sendiri masih ingat aksi separuh akhir kedua di Kota Bharu pada tahun tersebut yang aku tonton secara langsung di TV1. Kelantan yang tumpas 2-3 sebelumnya di Alor Star gagal meneruskan kemaraan apabila tumpas 0-1 hasil jaringan Lee Kin Hong.

Dato' M.Karathu bersama skuad Kelantan 1993

Skuad Kelantan nampaknya memang 'sekung' (serasi) dengan jurulatih berbangsa India. Selepas M.Karathu pada 1993, giliran K.Rajagopal yang kini jurulatih kebangsaan meneruskan legasi kecemerlangan beliau dengan membawa Kelantan ke separuh akhir pada 2001. Selepas itu B.Sathianathan pula membawa kejayaan paling gemilang buat Kelantan apabila membawa pulang Piala Malaysia ke Kota Bharu pada 2010 untuk pertama kali. Kini selepas Sathia digantung FAM, Dato M. Karathu mengambil alih tanggungjawab menggalas harapan penyokong the reds warriors. Ujian pertama beliau adalah bertemu Selangor dalam Piala Sumbangsih esok. Untuk berlaku adil, janganlah kita mengharapkan yang bukan-bukan daripada Karathu. Beliau baru hanya 2 hari bersama pemain Kelantan. Maka andai kalah tipis kepada Selangor pun bagi aku boleh dianggap satu kejayaan. Kemenangan adalah satu bonus buat beliau. Perlawanan pada hari esok lebih kepada pertarungan antara pemain di atas padang. Aku rasa Dato' M Karathu tidak akan mengubah apa-apa yang Sathia aturkan sebelum ini untuk perlawanan esok. Beliau baru nak mengenali dengan rapat The Red Warriors.. Apapun selamat maju jaya buat Kelantan and Dato' M.Karathu.

PRK Tenang: Mampukah PAS Membuat Kejutan?

Nampaknya musim pilihanraya datang lagi. Ahad ini pengundi di DUN Tenang di Johor akan menunaikan tanggungjawab masing-masing. Selepas  itu pilihanraya akan diadakan pula di DUN Merlimau Melaka cuma tarikhnya belum ditentukan SPR. Satu lagi PRK yang mungkin berlaku adalah di DUN Pelabuhan Klang, Selangor. Berbeza dengan DUN Tenang dan Merlimau yang mana PRK diadakan kerana kematian ADUNnya, di Pelabuhan Klang kerusi DUN diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN Selangor ekoran kegagalan ADUN hadir ke sidang DUN melebihi 6 bulan tanpa sebab munasabah. Notis kekosongan kerusi telah dihantar oleh Speaker DUN kepada SPR tetapi SPR belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi. YB Badrulhisham pula selaku ADUN Pelabuhan Klang mencabar keputusan Speaker melalui proses mahkamah. Berdasarkan kes yang hampir sama yang berlaku di DUN Kota Seputeh, Kedah, aku yakin kes DUN Pelabuhan Klang ini juga akan turut tergantung. Mungkin pengundi akan dapat ADUN baru selepas pilihanraya ke 13 nanti. Itulah yang akan berlaku apabila kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan tidak dihormati.



Berbalik kita ke PRK Tenang. Johor adalah negeri kubu kuat Umno-BN yang amat sukar ditembusi oleh Pakatan Rakyat. Buat masa ini PAS hanya punya 2 wakil di DUN Johor selepas PRU-12 dan kalau tak silap aku inilah kali pertama mereka berjaya menghantar wakil ke DUN Johor sejak sekian lama melalui kemenangan secara merit. Kewujudan kawasan Felda yang boleh dikatakan fix deposit UMNO serta mempunyai lebih 20 peratus pengundi menyukarkan lagi usaha PAS untuk menawan DUN Tenang. Apapun jentera PAS tidak harus mudah menyerah kalah. Bak kata Leftenan Adnan dalam peristiwa Bukit Chandu, "Mereka mungkin akan menang tapi bukan kerana kita tidak melawan!"



Dari sudut isu, PAS mendapat manfaat awal apabila Presiden MCA Dr Chua Soi Lek mempertikaikan tindakan calon PAS yang tidak bersalam dengan kaum lelaki. Tindakan beliau ini sama sekali merugikan UMNO-BN. Malah beliau turut dikritik oleh tokoh-tokoh masyarakat termasuklah Mufti Perak yang dilihat mesra UMNO sebelum ini. Soi Lek sebenarnya tersilap langkah (atau mungkinkah dia sengaja?) kerana tindakannya seolah-olah mengiyakan dakwaan PAS bahawa UMNO tidak pernah cuma memberi kefahaman kepada rakan sekutunya tentang keluhuran Islam.Akhirnya Tan Sri Muhyidin selaku TPM turut menasihati Soi Lek agar menghentikan isu itu. PAS dilihat menang untuk round pertama.



PAS kemudiannya mengeluarkan pula isu tentang keterlibatan calon UMNO-BN dalam skandal lelongan tanah milik seorang individu ketika menjawat jawatan penolong pegawai daerah sehingga  disaman oleh mangsa. PAS harus berhati-hati apabila membawa isu bersifat peribadi seperti ini kerana jika dimanipulasi secara berlebihan boleh mengakibatkan timbul rasa simpati di kalangan pengundi terhadap calon BN. Apapun pertempuran masih berlangsung dan perang belum berakhir maka belum tentu siapa yang menang dan siapa pula yang kalah. Masih ada 3 hari untuk membuat perhitungan.



Aku harap kedua-dua pihak berkempenlah dengan cara yang betul dan bijaksana. Janganlah menggunakan cara samseng dan di luar batas undang-undang. Aku mengimpikan satu suasana kempen pilihanraya yang bukan sahaja bersih malah diisi dengan nilai-nilai positif. Masing-masing membentangkan tawaran kepada rakyat dengan hujah yang bersifat ilmiah dan rasional. Rakyat pula bebas membuat pilihan tanpa sebarang tekanan dan mampu menggunakan kuasa mereka dengan sempurna. Tiada lagi ugutan atau ancaman yang timbul. Rakyat berhak memilih melalui sistem pilihanraya yang berintegriti dan telus.

Wednesday, January 19, 2011

Nasyid @ Persada: Ana Maly Fehash - Abdel Salam AlHassani

Kali ni aku nak kongsikan dengan korang satu lagi munsyid antarabangsa yang aku terjumpa kat youtube ni. Nama dia Abdelsalam Al Hassani. Mengikut apa yang aku baca kat web rasmi dia, dia ni asal dari Maghribi. First time aku discover pasal dia bila aku jumpa video dia buat live show di youtube dalam satu function di Yaman. Masa tu dia nyanyi lagu Nasem Habbat. Memang layan la lagu tu walaupun berirama tradisional arab. Lagu yang dalam video kat bawah ni pulak rasanya latest single dia. To be honest selain daripada selawat, aku tak faham apa lagi yang disebut dalam lagu ni. Mungkin kawan-kawan yang mahir dalam bahasa arab boleh kongsikan sikit kisah dalam lirik lagu ni. Enjoy the song!


Seperti Dijanjikan..

Alhamdulillah.. akhirnya dapat juga aku menyambung penulisan aku di sini. Baru la ade kelapangan sikit selepas pulang dari outstation tempohari. Kritikan aku kepada Harakahdaily dalam artikel sebelum ini nampaknya menimbulkan reaksi yang pelbagai. Ada yang setuju, ada yang tak setuju dan ramai juga yang tak ambik kisah pun. Huhuhu.. biasalah.. orang kita memang suka bersikap tunggu dan lihat apatah lagi tentang perkara yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan mereka. Dan apabila kita bercakap tentang sesuatu isu, tentunya ada yang suka dan tidak kurang juga yang benci. Kita tidak boleh memaksa orang untuk menerima pandangan kita.Cuma kita boleh berhujah dengan berlandaskan ilmu serta fakta dan bukannya emosi. Berhujah dan berbahas itu boleh membawa kepada percambahan ilmu dan idea selagi mana niat kita adalah untuk mencari kebenaran dan membawa kebaikan. Bila kita berbahas dan berhujah, kita tidak perlu terpekik terlolong untuk membuktikan kita benar. Adakalanya perbahasan masih boleh berlangsung dengan ton suara yang mendatar serta disulam dengan senyuman. Malah aku rasa itu lebih menyelesakan dan mendamaikan untuk kita mencari keputusan terbaik.



Ucapan TGNA pada majlis yang aku ulas tu

Ada juga yang berpendapat apa yang tulis itu agak kasar dan keterlaluan. Bagi aku soal kasar or keterlaluan ini satu yang subjektif. Kasar bagi aku mungkin tak kasar bagi korang dan begitulahjuga sebaliknya. Ala samalah kalau kita bercakap soal cantik. Cantik pada pandangan korang mungkin tidak cantik pada pandangan aku. Apatah lagi dalam soal hukum atau penilaian yang tidak bersifat qat'ie tentunya pandangannya pelbagai. So tak perlulah kita kita kecoh sangat. Janji ianya masih dalam linkungan syariah. Berbalik kepada isu nasi tambah harakahdaily tu, aku minta maaf la pada yang terasa ianya keterlaluan walaupun aku tak rasapun ianya macam tu. Aku mengeluarkan pendapat sekaligus melahirkan rasa tidak bersetuju serta kurang senang dengan fakta yang dikeluarkan harakahdaily. Sebagaimana yang aku tegaskan, harakahdaily sebagai lidah rasmi sebuah gerakan Islam perlu lebih berhati-hati dalam membuat laporan. Kesalahan ini mungkin dianggap kecil atau biasa jika dilakukan media lain, tapi bagi aku it is a double 'No' for Harakahdaily. Apatah lagi di saat PAS dan Pakatan Rakyat memperjuangkan soal integriti dan ketelusan media.




Aku teringat dengan ucapan Abg Mat ( Haji Mat Sabu) dalam Parlimen satu ketika dulu. Antara lain beliau menyarankan agar perbincangan dilihat secara objektif dan bukannya atas 'line' parti (boleh la dengar ucapan penuh beliau dalam video kat atas tu). Dalam bahasa mudahnya kita tak boleh menyokong  sesuatu hujah, pendapat atau usul hanya kerana ianya dibawa oleh kelompok atau parti kita. Ianya wajib dinilai secara objektif berlandaskan neraca iman, ilmu serta fakta yang ada. Kita tidak perlu cepat melenting apabila puak kita ditegur. Kalau teguran tu kita rasa betul maka kita ambil iktibar tapi kalau tak betul kita nak bangkul sampahkan pun takpe. 

Blog ini aku wujudkan sebagai tempat untuk aku berkongsi pandangan dan pendapat serta sedikit ilmu yang aku ada untuk manfaat bersama. Aku tak pernah paksa untuk sesiapapun untuk menerima segala apa yang tertulis di sini. Bak kata Nabil, " Lu fikirlah sendiri". Aku pun tak tulis kat sini sembarangan. Aku sememangnya bertanggungjawab atas apa yang aku tulis. Sebab tulah aku tak bertindak menyamar atau menyorok. Dan sebagaimana yang aku tulis dalam entry pertama 2011, aku memang sangat tak suka blogger atau sesiapa saja kat dalam dunia siber ni yang menyorok identiti sendiri tapi suka 'tembak' orang lain. Korang cakaplah apepun tapi bagi aku diorang tetap pengecut dan tidak bertanggungjawab. Apabila orang lain tak tahu diorang tu sebenarnya siapa tentunya dia akan rasa bebas menulis apa sahaja sesuka hati tanpa rasa tanggungjawab. Jauh sekali untuk dia berhati-hati dalam mengeluarkan fakta atau maklumat. Yela nak hati-hati buat ape, bukan orang tahu pun siapa yang tulis! Apapun sebenarnya kat internet ni orang tetap boleh kenal pasti siapa kita cuma diorang kena kerja lebih sikit la macam check IP Address, server dan sebagainya. Kalau tak takkanlah blogger Aduka Taruna tu kena cekup jugak sebab hina Almarhum Sultan Johor dulu. Tapi kes dia tu mungkin lain sikit la kot sebab ada nombor akaun bank. Itu yang mudah kantoi tu.. huhu.. Alhamdulillah nampaknya sekarang ni dia dah berani dah letak gambar sendiri kat blog. Tapi still banyak  yang aku tak setuju ngan dia.. :)

Hmm alamak! Jauh pulak aku menyimpang. Actually sepatutnya entry ni aku nak kongsikan layout stadium melawati jer untuk membuktikan fakta yang aku keluarkan dalam artikel sebelum ini tapi takpelah layan jelah. Dah penat aku tulis kat atas tu takkan nak padam pulak. Korang bolehlah kira sendiri bilangan seat yang tertulis kat dalam layout. Nombor dalam kotak tu mewakili bilangan kerusi bagi setiap seksyen dalam setiap wing. So aku bila aku kira bilangan untuk seat untuk semua wing tanpa dicampur di arena ialah 9703. Kat arena tu kalau letak kerusi bolehlah cecah 2000 lagi. So korang bolehlah agak berapa kapasiti stadium tu.Harapnya korang boleh nampaklah layout tu.Enjoy the fact! 


Monday, January 10, 2011

"Nasi Tambah" Harakahdaily

Pagi tadi aku nak tergelak bila baca laporan Harakahdaily berkenaan dengan Majlis Solat Hajat Perdana anjuran AJK Pas Pusat di Stadium Melawati semalam. Tajuk artikelnya ialah Solat Hajat Penuh Sesak di Stadium Melawati. Tajuknya tak salah sebab kalau dah semua bigshot Pakatan Rakyat turun berceramah di situ memang stadium selalunya kalau tak penuh pun 3/4 confirm penuh. Cuma bila laporan tu menyebut 30 ribu orang yang hadir, aku rasa itu adalah dakwaan yang bukan sahaja keterlaluan malah tak masuk akal.

Gambar Solat Hajat Perdana oleh Harakahdaily
Stadium Melawati mempunyai kapasiti maksima tempat duduk untuk 12 ribu orang. Ia ada 4 wing yang mana setiap satu mampu menampung kurang lebih 3000 orang. Di kawasan arena ( tempat yang solat hajat dibuat tu boleh memuatkan sekitar 1500 - 2000 orang jika menggunakan kerusi. Apabila ceramah sebegini diadakan selalunya wing yang membelakangi pentas ceramah akan ditutup menjadikan kapasiti maksimum berkurangan kepada 9 ribu. Maka dengan itu secara logiknya jika dicampur dengan penonton yang berdiri di ruang-ruang tertentu dalam stadium pun, jumlah hadirin hanya mampu meningkat sekitar 2000 orang. Maka dengan itu jumlah maksimum kehadiran hanyalah sekitar 12 ribu orang. Andai semua wing dibuka pun akan jadi 15 ribu. Maka untuk mendakwa kehadiran mencecah 30 ribu orang adalah satu penipuan besar. Sebagai portal berita rasmi sebuah gerakan Islam terbesar di Malaysia, Harakahdaily harus lebih berhati-hati dalam laporan mereka. Apatah lagi PAS dan Pakatan Rakyat sering mengkritik media arus perdana yang dikatakan membuat laporan yang menyeleweng dan tidak tepat. Kalau nak buat psy-war pun agak-agak la. So harapnya Harakahdaily akan lebih berhati-hati dalam laporan mereka selepas ini.

Saturday, January 8, 2011

Nasyid @ Persada: Al Munawwarah

Kali pertama aku dengar lagu ni lebih kurang 3 tahun lepas di IKIM.fm. Masa tu aku tak tahu pun siapa yang nyanyi. Selepas aku dengar temubual mereka di Carta Nasyid IKIM.fm  barulah aku maklum tentang kumpulan Al Munawwarah yang berasal dari Johor ni. Tak silap aku masa tu mereka masih lagi bersekolah. Frankly speaking, first time aku dengar lagu ni aku terus suka. Jangan salah sangka, aku suka bukan sebab diorang ni comey-comey ke ape.Lagipun aku baru je dapat tengok wajah group ni selepas jumpa video ni secara tak sengaja di youtube beberapa minggu lepas. It just about the melody and the vocal performance. Lagipun masa tu, dah lama aku tak dengar penyanyi nasyid wanita yang dapat menyanyikan lagu-lagu berasaskan tarannum dengan sangat baik.



Aku pun tabik juga kepada komposer yang dapat mencipta lagu tarannum sebagus ini.  Aku katakan bagus bukan hanya sebab aku suka lagu ni tapi memang terbukti kesedapannya. Kalau tak sedap, takkanlah banyak kumpulan nasyid sekolah yang menyanyikan lagu ni dalam pertandingan. Aku yang selalu jadi hakim pun dah selalu sangat dengar lagu ni dipersembahkan oleh banyak kumpulan dalam pelbagai pertandingan. Sampai ada yang mengaku lagu ciptaan mereka sendiri. Nak je aku cepuk grup-grup yang cuba menipu ni! Walaupun lagu ni taklah popular sangat, tidaklah bermakna hakim tak tahu. Kalau tak, abang tak la jadi hakim dik oi!  Aku tak pasti apa dah jadi pada kumpulan Al Munawwarah ni. Mungkin mereka dah berpecah kot selepas ahli-ahlinya melanjutkan pelajaran di peringkat universiti. Bagi aku mereka ni ada potensi untuk pergi jauh kalau kena gayanya.Sekurang-kurangnya kalau mereka aktif, dapatlah mereka sedikit sebanyak mengisi kekosongan kumpulan nasyid wanita yang dah makin pupus dewasa ini.Enjoy the song!

Apa Nasib Bekas Trio Kelantan?

Semalam ribuan peminat the red warriors membanjiri KB Mall untuk mengikuti majlis pengenalan pemain pasukan kesayangan mereka bagi musim 2011. Mereka yang datang dari jauh dan dekat memenuhi hampir segenap ruang concourse KB Mall sebagai tanda sokongan tidak berbelah bagi terhadap the red warrirors. Turut hadir memeriahkan majlis adalah para tetamu kehormat yang terdiri daripada Dato Chan Tien Ghee selaku pemilik kelab Cardiff City, YB Abdul Fatah Mahmood (Exco Kerajaan Negeri) dan Datuk Takiyuddin Hassan selaku Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia merangkap ahli majlis FAM.

Ramainya orang
Persoalan mengenai pemain ke 25 yang belum disenaraikan sebelum petang semalam terjawab apabila Halim Napi, penjaga gol yang digugurkan sebelum ini disenaraikan semula. Rasionalnya ialah khidmat Halim diperlukan kerana dijangka Apek akan banyak dipanggil untuk bersama skuad kebangsaan dalam beberapa kejohanan besar tahun ini seperti kelayakan Olimpik, Sukan SEA dan kelayakan Piala Dunia. Namun ada juga yang tidak bersetuju di atas tindakan ini kerana ianya seolah-olah Kelantan ketandusan bakat baru. Semalam para peminat juga dapat menatap wajah Nick Chan buat kali pertama "in flesh and blood" setelah kembali ke tanah air dari Cardiff City. Kehadiran beliau diharap dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Azizi Mat Rose di bahagian pertahanan.

Yang baju putih tu la Nick  Chan
Selain itu, para penaja pasukan turut menyerahkan replika cek kepada KAFA sekaligus mengesahkan komitmen mereka untuk menaja The Reds Warriors musim ini. Akhbar Sinar Harian, Al Jabar Group, Yusmira Trading dan Umbro, masing-masing mengesahkan tajaan bernilai RM 200 ribu. Pemilik Cardiff City, Dato Chan Tien Ghee turut membuat kejutan apabila mengumumkan tajaan peribadi beliau berjumlah RM100 ribu. Nampaknya dua penaja musim lalu iaitu Air Asia dan Al Hamra tidak lagi bersama The Red Warriors. Begitu juga dengan ura-ura tajaan daripada Tune Talk juga belum menjadi realiti sehingga ke hari ini.

Gandingan mantap: Dato Chan, Tan Sri Annuar, YB Abd Fatah (Exco Kerajaan Negeri) dan YB Dato Takiyuddin ( Ahli Majlis FAM merangkap Exco Kerajaan Negeri)
Kebimbingan peminat tentang isu perlawanan yang akan dilangsungkan pada waktu petang di Stadium Sultan Muhammad ke-IV juga sedikit terubat apabila KAFA menjelaskan komitmen yang diberikan kerajaan negeri untuk menaik taraf sistem lampu limpah di stadium berkenaan dalam masa terdekat. Namun yang masih menjadi persoalan di kalangan peminat adalah perkembangan kes 'perpindahan haram' tiga bekas pemain Kelantan iaitu Indraputra Mahyudin, Azizi Mat Rose dan Norfarhan Mohamad ke T-Team. Adakah kes ini dianggap selesai tanpa tindakan tegas dikenakan ke atas mereka? Atau T-Team telah membayar sejumlah wang untuk menebus kontrak ketiga-tiga pemain terbabit? Hanya KAFA saja yang boleh jawab... aku pun tak tahu.. :)

Friday, January 7, 2011

Menanti Kejutan KAFA

Hari ini 7 Januari 2011 pukul 3 petang bertempat di KB Mall, Kota Bharu Persatuan Bolasepak Amatur Kelantan (KAFA) akan mengadakan majlis memperkenalkan pemain untuk skuad Liga Super Kelantan 2011. Para peminat pasukan The Red Warriors tentunya menantikan majlis ini dan aku percaya jumlah mereka semakin meningkat selepas kejayaan sensasi Harimau Malaya menjuarai Piala Suzuki AFF baru-baru ini. Hari ini   kalau kita pergi mana-mana pun, semakin ramai orang yang bercakap tentang bolasepak Malaysia. Jersi Malaysia pun dah tak lagi segan dipakai oleh kebanyakan orang. Malah ramai yang cuba menunjukkan merekalah penyokong sejati bolasepak Malaysia walaupun hakikatnya mereka hanya baru kenal nama pemain Malaysia sejak Malaysia menang baru-baru ini.

Semoga KAFA dan Kerajaan Negeri mengenepikan perbezaan politik demi bolasepak Kelantan

Berbalik kepada majlis petang ini, aku rasa ada beberapa perkara atau spekulasi bermain dalam fikiran peminat bolasepak Kelantan yang memerlukan jawapan rasmi daripada pihak KAFA. Antaranya yang aku boleh senaraikan di sini ialah seperti berikut:
    • Siapa pemain ke 25? - Sehingga setakat ini, pihak KAFA hanya menyenaraikan 24 orang pemain untuk saingan Liga Seper 2011 menyebabkan masih ada satu kekosongan untuk diisi dari 25 orang kuota yang ditetapkan oleh FAM. Baru-baru ini juga KAFA ada memaklumkan tentang penyertaan Nick Chan, pemain remaja Cardiff City kelahiran Malaysia dalam skuad Kelantan namun khabarnya beliau masih belum menandatangani sebarang kontrak.
    • Bermain sebelah petang? - Peminat juga tertanya-tanya status jadual perlawanan musim ini apabila laporan akhbar baru-baru ini menyatakan perlawanan di Stadium Sultan Muhammad keIV terpaksa diadakan pada sebelah petang kerana masalah kecerahan lampu yang tidak memenuhi spesifikasi FAM. Perlawanan pada sebelah petang dikhuatiri akan menyebabkan kehadiran penonton berkurangan.
    • Senarai penuh penaja - Buat masa ini KAFA telah memaklumkan Alhamra, Yusmira Trading dan Sinar Harian meneruskan Komitemen mereka sebagai penaja TRW musim ini. Sementara itu Al Jabar Group menjadi penaja terbaru yang tampil menyahut cabaran membangunkan bolasepak Kelantan. Difahamkan juga setiap penaja tersebut menyumbang RM200 ribu untuk TRW musim ini menjadikan jumlah tajaan setakat ini bernilai RM800 ribu. Ada juga ura-ura yang mengatakan TuneTalk juga akan menjadi salah satu penaja TRW dan perbincangan antara kedua-dua pihak juga difahamkan telah berlangsung di Kuala Lumpur tidak lama dulu. Mungkin ramai juga nak tengok Jason Loo sebagai orang kuat TuneTalk mengangkat bendera Kelantan di stadium musim ini. Ke mana pula perginya Air Asia? Kita tunggu saja kata putusnya petang ini.
    • Jersi baru TRW?
    • Kerjasama Strategik bersama Cardiff City - Lebih kurang sebulan lepas juga Tan Sri Annuar selaku Presiden KAFA dikhabarkan telah membuat pertemuan dengan pemilik Cardiff City warga Malaysia,Dato Chan Tien Ghee di UK. Namun tidaklah disebut dengan jelas apakah inti perbincangan antara kedua-dua pihak. Semoga persoalan tentang bentuk kerjasama rasmi yang terjalin (sekiranya ada) akan terjawab petang ini. Apatah lagi Dato' Chan dikatakan akan turut berada di KB Mall.

Thursday, January 6, 2011

Cinema@Persada: Hantu Kak Limah Balik Rumah

I give five out of five stars.Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) layak pada perkiraan aku untuk mendapat filem komedi terbaik tahun ini malah aku rasa antara filem Melayu terbaik bagi tahun 2010. Setelah gagal dalam filem Estet, sutradara Mamat Khalid berjaya menerbitkan filem yang sangat 'menjadi'. Aku ni bukannya kaki wayang so aku agak selective dalam memilih filem untuk ditonton.Namun filem HKLBR ni berjaya menarik aku ke panggung. Aku nak tengok awal tapi penuh so terpaksalah aku tengok yang midnight punya. Itupun penuh jugak. Memang diorang buat duit la dengan filem ni.



Sejak dari awal lagi satu panggung dok gelak je. Filem ni ada dua elemen iaitu seram dan komedi. Time seram memang rasa keseramannya dan bila time lawak memang pecah panggung penonton gelak. Filem ni juga sarat dengan pengajaran dan sindiran yang agak pedas tapi membina. Antaranya filem ini mengetengahkan sikap masyarakat masa kini yang bersikap nafsi-nafsi. Sampai jiran sekampung pun tak tahu hidup ke mati. Kak Limah yang disangka dah mati dan jadi hantu, rupanya mengalami masalah mental dan lari dari hospital. Turut diketengahkan juga sikap segelintir (bukan semua) pegawai kerajaan yang suka merungut dan tak bersungguh-sungguh menjalankan tugas kerana kononnya dibebani dengan pelbagai tanggungjawab melalui watak pembantu perubatan bernama Zulfekar. Subjek yang diangkat untuk dijadikan bahan lawak juga berbeza dengan filem-filem komedi lain. Ianya sangat bersahaja dan logik, bukannya lawak slapstik atau lawak pakai tie yang hanya difahami oleh golongan tertentu. Kira lawak HKLBR ni boleh dilayan oleh pakcik yang menoreh getah dikampung sampailah ke CEO syarikat korporat. Aku doakan lebih banyak lagi karya-karya sebegini dapat diterbitkan untuk masa akan datang. Inilah kali pertama dalam sejarah aku rasa macam nak masuk panggung 2 kali bagi menonton filem yang sama. Syabas Mamat Khalid dan HKLBR!

Harga Petrol Naik: Hadiah Tahun Baru Buat Rakyat!

Kerajaan Malaysia nanpaknya memberi hadiah yang paling bermakna buat rakyatnya apabila membenarkan harga petrol RON97 naik 10 sen menjadi RM 2.40 bermula semalam. Harga minyak kerosin atau minyak tanah juga meningkat RM2.50. Bagaimanapun harga petrol RON95 masih kekal dengan harga RM1.90 seliter. Alasan yang diberikan adalah harga dinaikkan berdasarkan nilai pasaran dunia. Cuma kali ini, nampaknya kerajaan dah sedikit 'cerdik' apabila bertindak memberi tanggungjawab kepada Presiden Persatuan Pembekal Minyak Malaysia Datuk Hashim Othman untuk mengumumkan kenaikan  opsss atau disebut dengan senyuman sebagai 'rasionalisasi' itu (rasional ape kejadahnya?). Mungkin perkara ni dibuat untuk menunjukkan bahawa kenaikan ini takde kena mengena dengan kerajaan.


Tapi kalau kerajaan dah tak mampu jaga kebajikan rakyat, baik berhenti jelah jadi kerajaan. Asyik nak ikut kehendak towkey-towkey je. Kami yang rakyat bawah ni terus ditekan. Bukannya kerajaan tak tahu, kenaikan harga petrol memberi kesan berangkai kepada sistem ekonomi kita. Dalam bahasa mudah, kalau petrol naik harga barangan lain juga naik. Baru-baru ini, geng restoran mamak pulak nak naikkan harga barang sebab kononnya dah tak mampu tanggung kos operasi yang tinggi. Semalam pulak heboh pasal minyak masak tiba-tiba 'hilang' dari pasaran. Ini mesti pasal kes cuba nak naikkan harga. Peniaga rakus ni sanggup lakukan macam-macam demi mencapai keuntungan sampai anak ayam pun sanggup dibakar hidup-hidup demi nak mengekalkan harga tinggi di pasaran.



Amatlah malang bagi kita rakyat Malaysia apabila kerajaan seolah-olah tidak punya kuasa apabila berdepan tekanan tokey-tokey besar nih. Kerajaan selalunya hanya mampu menangguhkan seketika kenaikkan harga tapi tak lama lepas tu harga tetap naik. Bercakap soal kenaikan harga petrol, kerajaan selalu dengan bangganya menyatakan harga di negara kita masih rendah berbanding negara lain tapi malangnya perbandingan itu dibuat dengan negara-negara lain yang bukan pengeluar minyak. Sebagai pengeluar minyak, hakikatnya Malaysia tetap menjana keuntungan apabila harga petrol naik di pasaran dunia. Sebab itulah negara-negara pengeluar minyak lain mampu menawarkan harga yang rendah  kepada rakyat. Jom kita tengok searai harga minyak petrol beberapa pengeluar minyak di dunia:

sumber: erozbyte.com
Kalau negara macam negara macam Nigeria dan Turkmenistan yang dianggap kurang maju daripada kita pun boleh offer harga yang lebih rendah, apa lagi hujah kerajaan untuk menyokong kenaikan harga petrol ini? Untuk rekod ini adalah kali kedua RON97 dinaikkan harga dalam tempoh sebulan! 15 Disember lalu RON97 dinaikkan15 sen menjadi RM2.30 seliter.

Tuesday, January 4, 2011

Melangkah ke Tahun Baru 2011

Memori: Stand off  SMSD Vikings 95-99
Alhamdulillah blog ini sudah menjangkau usia 3 tahun sejak berada di atas talian pada Ogos 2008. Di kesempatan ini aku nak ucapkan terima kasih kepada semua teman-teman yang memberi sokongan dan sudi menjenguk blog aku yang tak seberapa ni. Diharapnya coretan aku di sini sedikit sebanyak dapat membawa manfaat kepada kita bersama. Kalau apa yang aku tulis di sini membuat sebahagian daripada kalian kurang senang atau selesa, aku mohon maaf. Apa yang aku tulis adalah ikhlas dari hati dan tentunya aku bertanggungjawab atas apa yang aku cakap dan tulis. Aku tak suka bersikap baling batu sembunyi tangan dan 'penakut' seperti yang dilakukan oleh sesetengah pengendali blog. Ado yang cuba menyorok identiti demi untuk membolehkan berkata sesuka hati tanpa etika. Ini adalah cara yang tidak bertanggungjawab. Berani kerana benar, takut kerana salah.

Insya Allah pada tahun baru 2011 ini, aku akan cuba menulis dengan lebih konsisten dengan isu yang pelbagai. Aku bercadang juga mewujudkan satu lagi segmen iaitu 'memori' atau 'nostalgia' yang bakal mengimbas kembali perkara-perkara yang punya 'intrinsic value' pernah dalam hidup aku. Ia bukanlah satu tindakan 'show of' cuma aku rasa mungkin ada pengajaran atau perkara yang boleh diambil iktibar darinya. Lagipun adakalanya kita harus belajar daripada sejarah untuk menempuh masa depan dengan lebih gemilang. Akhir kata aku ucapkan selamat tahun baru 2011 kepada semua. Aku tinggalkan korang dengan klip video 'Sahabat Selamanya'  yang aku tujukan khas buat semua peminat bolasepak di Malaysia dan Indonesia. Hentikanlah segala sengketa kerana Piala AFF baru-baru ini. Biarlah kita hanya 'bertempur' di atas padang kerana hakikatnya kita adalah bangsa serumpun.




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...