Thursday, May 16, 2013

Kabinet Pasca PRU13: KJ Akhirnya Tersenarai

Selepas PRU 2008, YB Khairy Jamaludin atau KJ seolah-olah dipinggirkan oleh Dato Seri Najib biarpun dia memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO. Sebaliknya lawannya yang tewas dalam perebutan jawatan tersebut iaitu YB Dato Mukhriz Mahathir pula yang tersenarai sebagai Timbalan Menteri MITI. Tidaklah sukar untuk kita menilai mengapakan senario tersebut berlaku. Reputasi KJ ketika itu agak buruk dengan pelbagai tuduhan biarpun tidak pernah mampu dibuktikan melalui proses undang-undang. Sebagai menantu kepada Perdana Menteri sebelum itu, KJ dilihat terlalu berkuasa dan mempengaruhi banyak keputusan-keputusan penting kerajaan.Tun Mahathir antara tokoh yang sangat marah dan dilihat benci dengan geng tingkat 4 JPM ketika itu.Walaupun tidak terpilih menyertai kabinet pasca 2008, KJ tetap menunjukkan kesetiaannya kepada UMNO dan menjalankan tugasnya sebagai Ketua Pemuda. Kesabarannya terbalas nampaknya hari ini apabila beliau akhirnya diberi kepercayaan oleh Dato Seri Najib untuk mengepalai Kementerian Belia dan Sukan.

Dengan pendekatan dan penampilan beliau yang agak mesra remaja, saya melihat pemilihan KJ mampu sedikit sebanyak menambah sokongan anak-anak muda. Beliau dilihat pandai mengambil hati anak muda dengan pelbagai strategi. Sebagai contoh program realiti bolsepak MyTeam yang dihasilkan oleh beliau dan rakan-rakannya seperti Jason Lo, Bojan Hodak dan Tony Fernandes berjaya menaikkan imej beliau sebagai seorang yang serius dan gigih dalam menaikkan imej bola sepak negara sehinggalah ke hari ini. Biarpun tidak berjaya mengubah FAM selepas diangkat sebagai Timbalan Presiden, KJ tetap tidak dipersalahkan oleh para peminat bolasepak tanah air sebaliknya yang menjadi mangsa kutukan bos beliau. Kita boleh melihat dalam page-page bola popular di facebook, ramai peminat yang mengharapkan beliau mengetuai KBS dengan harapan beliau akan mampu mengangkat bolasepak negara ke tahap yang lebih tinggi.

KJ sebagai pemandu teksi dalam filem pendek

Imej beliau yang bersahaja dan tidak kekok untuk berlakon dalam projek filem pendek 15Malaysia satu ketika dulu contohnya memperlihatkan beliau seorang yang "cool dan sempoi" di kalangan anak muda.Dia berjaya membuang imej mat skema yang hanya memakai songkok tinggi dan berkemeja yang sebelumnya sinonim dengan ketua-ketua pemuda UMNO sebelumnya. Dalam erti kata lain, beliau berjaya 'blend in' dengan 'environment' anak muda yang dipimpinnya.

KJ terserempak dengan Dato Wan Abd Rahim di Manik Urai

Bagi saya beliau juga boleh dikategorikan sebagai generasi pemimpin UMNO yang punya pendekatan dan pandangan baru dalam berpolitik.KJ boleh diletakkan satu bakul denganKu Li, Dato Saifudin Abdullah, Dato Razali Ibrahim mahupun Dato Sahlan Ismail dari sudut idea dan pendekatan. Mereka ini berjaya mengurangkan elemen emosi dan lebih menggunakan hujah yang berasaskan fakta yang bersifat lebih akademik dalam menangani sesuatu isu. Keberanian mereka mengeluarkan idea yang berbeza dengan parti mereka ada kalanya dilihat merugikan UMNO sendiri. Namun bagi saya, untuk UMNO menjadi lebih dinamik dan  relevan, pemimpin-pemimpin sebegini harus lebih ramai dalam UMNO.

Akhir kata selamat berjaya diucapkan kepada YB KJ dan semua anggota kabinet yang terpilih kali ini. Jalankanlah tanggungjawab anda dengan penuh amanah.Teringat pula kata-kata guru saya satu ketika dulu, "Leadershp is about action and not position"..

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...