Hari ini dan semalam masyarakat sivil di seluruh dunia mula menyuarakan bantahan mereka terhadap tindakan Israel menyerang konvoi bantuan kemanusian Freedom Flotilla. Majoriti masyarakat antarabangsa menuntut kerajaan masing-masing untuk bertindak terhadap negara haram yahudi itu. Ada yang meminta hubungan diplomatik diputuskan, ada yang meminta hubungan dagang dikaji semula, memboikot produk yang menyokong zionis dan sebagainya. Masyarakat di Eropah terutamanya mula sedar akan hakikat bahawa walaupun satu ketika masyarakat yahudi dikatakan pernah dizalimi Nazi German, tidak bermakna ia menjadi lesen kepada mereka untuk menzalimi orang lain. Insiden kali ini ternyata lebih membuka mata dunia tentang kezaliman Israel terhadap insan lain yang tak berdosa.
Tunjuk perasaan dan demonstrasi anti Israel mendapat sambutan hangat bukan sahaja di kota-kota negara umat Islam seperti Istanbul, Tehran, Jakarta, Kuala Lumpur dan Islamabad tetapi juga di New York, London, Toronto, Dublin, Sydney, San Fransisco dan lain-lain walaupun kebanyakannya dirancang dalam tempoh tidak sampai 24 jam. Ia adalah reaksi spontan masyarakat dunia yang marah dan jijik dengan kekejaman Israel. Peserta-peserta tunjuk perasaan bukan saja muslim tapi juga non-muslim dari pelbagai latar belakang dan budaya. Semoga mereka akan terus bersatu dan mengenepikan perbezaan mereka demi menentang kezaliman dan keangkuhan zionis.
Di Kuala Lumpur, hari ini pelbagai pihak telah mengadakan demonstrasi pada skala kecil dan menyerahkan memorendum bantahan kepada wakil Kedutaan US. Wakil-wakil NGO Islam, Pakatan Rakyat dan Perkasa telah menyerahkan memorendum mereka secara berasingan di Kedutaan US manakala Pemuda BN pula telah mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat wakil PBB sekaligus menyerahkan memorendum bantahan mereka kepada wakil PBB. Walau bagaimanapun satu demonstrasi besar-besaran akan dilakukan selepas solat jumaat ini bermula dari Masjid Tabung Haji ke Kedutaan US di Kuala Lumpur. Semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan tanpa mengira bangsa dan agama diseru untuk menyertai demonstrasi ini. Ketepikan seketika perbezaan kita dan tunjukkanlah kesatuan kita dalam menentang kezaliman. Takbir!!!
No comments:
Post a Comment