Wednesday, April 22, 2009

Pertahanan Negara: Jangan Dipolitikkan


Soal keselamatan dan pertahanan negara merupakan satu isu yang penting kepada semua rakyat di Malaysia ini tanpa mengira bangsa, agama mahupun ideologi politik. Ianya harus dilihat secara objektif demi kepentingan bersama. Baru-baru ini, Menteri Pertahanan yang baru YB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan penubuhan 1 batalion Rejimen Askar Wataiah dengan kekuatan anggota 3000 orang di setiap 222 kawasan parlimen seluruh negara. Dalam tempoh 5 tahun, dijangka kekuatan askar wataniah akan mencapai 600 ribu orang.Malangnya ianya ditentang oleh beberapa tokoh pembangkang kerana bimbang batalion ini akan dimanipulasi untuk memenangkan BN dalam pilihanraya melalui undi pos. Datuk Johari Abdul ahli parlimen PKR dari Sungai Petani contohnya mendakwa cadangan ini bertentangan dengan konsep "pertahanan menyeluruh"(HANRUH) atau "total defence". Aku sendiri tak faham apa yang beliau maksudkan.

Setahu aku konsep HANRUH ini adalah satu konsep yang melibatkan semua agensi kerajaan, swasta dan anggota masyarakat dalam mempertahankan negara sekiranya perang tercetus. Perkara ini termasuklah pembentukan pasukan-pasukan tentera simpanan seperti Rejimen Askar Wataniah. Dalam dokrin pertahanan dewasa ini, adalah menjadi amalan biasa dalam sesebuah negara bilangan askar simpanan atau kerahan melebihi bilangan tentera "regular" atau tetap. Bilangan anggota tetap dikurangkan ditahap minimum demi untuk menjimatkan kos operasi pada waktu aman. Angkatan Tentera Malaysia ketika ini secara umumnya memiliki 100 ribu anggota merangkumi 70 ribu tentera darat dan 15 ribu setiap satu bagi TLDM dan TUDM. Jumlah ini tentunya bukanlah satu jumlah yang besar jika berlaku sesuatu konflik. Oleh sebab itulah kita memerlukan jumlah anggota tentera simpanan yang efektif dan mampu dikerah mempertahankan negara apabila diperlukan.


Begitu juga dengan isu pembelian aset-aset ketenteraan di mana sebahagian ahli parlimen menganggapnya satu pembaziran. Hujah mereka mudah. Pembelian tidak perlu kerana Malaysia aman dan tidak terlibat dalam sebarang konflik ketenteraan. Hakikatnya mereka terlupa bahawa kita terlibat dalam beberapa konflik yang belum selesai antaranya isu perebutan kepulauan Spratly, pertikaian blok petroleum Ambalat dengan Indonesia dan pelbagai isu tertunggak dengan Singapura. Lagipun takkanlah bila berlaku peperangan barulah nak beli peralatan. Aku tak nafikan bahawa Malaysia lebih cenderung untuk menggunakan pendekatan diplomatik dalam menyelesaikan sesuatu isu. Namun harus diingat, perundingan yang didokong oleh kekuatan ketenteraan akan lebih bermakna dan berkesan.

Pembelian helikopter SAR model EC 725 Cougar baru untuk menggantikan pesawat Nuri contohnya terpaksa ditangguhkan oleh kerajaan ekoran bantahan keras oleh pembangkang kerana ianya didakwa mempunyai unsur penyelewengan. Sebagai rakyat Malaysia, aku juga tidak mahu penyelewengan berlaku apatah lagi apabila melibatkan pembelian aset pertahanan negara namun ianya bukan menjadi alasan untuk membatalkan pembeliannya. Nuri contohnya sangat kritikal untuk diganti kerana sejak digunakan pada tahun 60-an, ia telah terlibat dalam banyak kemalangan yang mengorbankan nyawa perajurit negara. Sampai bila kita mahu mendedahkan perajurit kita kepada risiko kemalangan apabila menggunakan helikopter yang layak digelar keranda terbang ini?

Walau apapun setiap pembelian aset-aset ketenteraan ini mestilah bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan. Perolehan aset ketenteraan harus telus agar wang rakyat dapat dibelanjakan dengan berhemah dan berkesan. Penilaian dari sudut teknikal dan strategik juga harus dilakukan dengan teliti agar tidak tersilap langkah. Malaysia pernah membeli lebih 80 buah pesawat pejuang A4 Skyhawk dari US namun akhirnya sebahagian besar pesawat tersebut tersadai di padang pasir Ariziona. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed pernah mengakui dalam satu seminar bahawa pembelian pesawat F-18 Hornet dari US merupakan satu kesilapan strategik. Menurut beliau walaupun pesawat tersebut dijual kepada Malaysia, "source code"nya tetap disimpan dan dikawal oleh US. Kesannya Malaysia secara hakikatnya tidak boleh menggunakan pesawat tersebut mengikut keperluannya tanpa "blessing" Amerika. Beliau menambah lagi, perkara ini berbeza dengan pembelian pesawat MIG-29 dari Rusia yang mana pihak Rusia tidak mengenakan sebarang kekangan atau syarat tersembunyi. Pendek kata kita boleh menggunakannya dengan bebas. Untuk mendengar ucapan tersebut, sila klik pada video di bawah.


Kesimpulannya, aku berharap agar pimpinan negara dan masyarakat tidak mempolitikkan isu-isu yang melibatkan soal kedaulatan dan pertahanan negara. Berbincanglah secara ilmiah dan tanganilah ia secara objektif. Malaysia adalah negara tumpah darah kita dan ianya milik kita bersama. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan kedaulatan dan keamanan Malaysia terjaga.Gempur Wira!!!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...