Wednesday, April 15, 2009

Apabila nasyid hilang identiti

Semasa mengendalikan salah satu event di Stadium Malawati Shah Alam aku sempat bertemu dengan kawan lama aku Akramin. Dia ada sebut kat aku tentang satu artikel yang ditulis dalam Utusan Malaysia oleh seorang yang bernama Abd Aziz Itar. Akramin mintak aku ulas tentang artikel tu dari sudut pandang aku sebagai seorang aktivis nasyid. Berikut aku sertakan bersama artikel tersebut untuk rujukan korang semua sebelum aku buat ulasan..

IRAMA nasyid mula mendapat sambutan hangat dalam industri muzik tanah air pada tahun 1997 apabila kumpulan Raihan muncul dengan album sulung mereka, Puji-Pujian. Album itu mencatat sejarah album paling laris yang dijual lebih 750,000 unit.

Mulai saat itu, Raihan bukan setakat meniti puncak populariti, malah turut mencetuskan suatu fenomena baru dalam bidang rakaman album di negara ini. Antaranya menyaksikan kemunculan banyak kumpulan nasyid yang dibaratkan cendawan selepas hujan. Kemudian banyak pula penerbitan banyak album nasyid yang mempergayakan dalam pelbagai rentak.

Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-16 (AIM) yang akan diadakan pada 2 Mei depan misalnya, turut memberi pengiktirafan kepada irama nasyid sama seperti genre muzik yang lain.Sayangnya, selepas 12 tahun, irama yang berasal dari Asia Barat itu dikatakan semakin jauh tersasar daripada segi tema lirik serta keaslian muziknya.

Irama nasyid kini semakin hilang identitinya daripada segi elemen-elemen muzik di dalamnya yang bercampur aduk dengan muzik-muzik lain. Pada peringkat awal, irama nasyid banyak disaluti melodinya yang lembut serta mendamaikan dengan menggunakan alat-alat muzik tidak bertali terutamanya gendang, tabla dan kompang.Penyanyi Nazrey Johani dan Raihan antara artis nasyid yang dilihat masih mengekalkan penggunaan alat-alat muzik itu yang dianggap sebagai konservatif dalam irama nasyid.

Secara umumnya ramai yang mungkin bersetuju irama nasyid digunakan sebagai medium untuk berdakwah. Namun, terdapat kekeliruan apabila segelintir penyanyi atau kumpulan yang mendakwa mengetengahkan lagu-lagu nasyid tetapi tidak pula membawa mesej dari lirik yang sepatutnya. Penggunaan banyak alat-alat muzik moden juga dilihat kurang perlu kerana apa yang penting ialah kekuatan melodi dan harmoni vokal serta mesej yang ingin disampaikan.

Irama nasyid juga kini tidak jauh bezanya dengan muzik-muzik moden lain kerana ia turut menggunakan instrumen-instrumen seperti gitar, bass, deram dan keyboard.Dengan adanya instrumen seperti itu, lengguk irama nasyid kini tidak lagi selembut dulu, sebaliknya tempo serta semangatnya lagu-lagunya juga seakan-akan lebih rancak daripada lagu pop.Malah, percampuran elemen-elemen muzik dari Barat seperti hip hop yang adakalanya kasar gaya sebutannya turut diselitkan dalam lagu-lagu nasyid moden sejak kebelakangan ini.

Bukan tidak mahukan pembaharuan, tetapi tokok tambah muzik moden yang agak melampau seperti itu adakalanya bukan setakat menjejaskan identiti asal irama nasyid. Kalau sudah dipergayakan, tidak usah menggunakan nama “nasyid”, sebutlah apa saja nama baru yang lebih sesuai.Ini kerana eksperimentasi seperti itu akan mencetuskan persoalan-persoalan lain seperti hala tuju dan keaslian irama nasyid dalam menyampaikan mesejnya kepada khalayak.Contohnya, bagaimana untuk menyampaikan mesej atau dakwah jika lagu-lagu nasyid yang disampaikan itu bingit, rancak, terkinja-kinja dan bercelaru pula sebutan vokalnya?

Tidak seperti kumpulan-kumpulan nasyid tahun 1970-an dan 1980-an seperti Al-Jawahir, El Suraya dan Al-Mizan, pendekatan mereka dalam bernasyid tidak banyak mencetuskan pertikaian ramai.Meskipun tampil dengan konsep muzik pop, tetapi lengguk melodi lagu serta lirik-lirik yang mereka sampaikan jelas masih berada dalam jalur irama nasyid yang sopan dan bermatlamat.Kumpulan-kumpulan nasyid moden hari ini bukan tidak bermatlamat tetapi matlamat itu lebih untuk mencari pembaharuan muzik dan berorientasikan komersial semata-mata.

Pada masa sama, ada juga di kalangan penyanyi nasyid yang merakamkan album dengan menyanyi atau membacakan semula petikan surah-surah dari al-Quran dalam karya-karya mereka.Pendekatan itu bolehlah dianggap sebagai Islamik, tetapi yang kurang eloknya ialah, ia dilihat sebagai jalan mudah untuk menambahkan lagi produk-produk nasyid di pasaran.Sepatutnya, golongan ini tampil dengan melodi lagu-lagu nasyid dan lirik-lirik terbaru berdasarkan situasi semasa serta tidak lari daripada landasan asal iaitu menyampaikan mesej-mesej yang baik.Apabila berlakunya lambakan album nasyid yang berkonsepkan sedemikian, ia telah menimbulkan kekeliruan bukan sahaja di kalangan pendengar, tetapi juga panel juri pada sesuatu anugerah.

Para juri AIM16 misalnya, mungkin keliru mengadili album atau lagu nasyid yang dipertandingkan jika ia menampilkan petikan ayat-ayat suci al-Quran yang tidak boleh dipertikaikan.Kesukaran mengadili lagu atau album nasyid seperti itu dapat dirasai kerana, bagaimana untuk memberi pemarkahan kepada ayat-ayat al-Quran yang terbukti jelas tiada cacat celanya?Kalau boleh biarlah kemunculan album-album nasyid bukan setakat memberi hiburan, sumber ekonomi dalam industri muzik tetapi juga tanggungjawab sosial mereka kepada khalayak.Justeru, niat untuk menerbitkan album-album nasyid haruslah jelas kerana biarlah keuntungan sesebuah album itu seiring dengan manfaat yang bakal diperoleh oleh para pendengar kelak.

Oleh ABD. AZIZ ITAR
sumber daripada utusan.com.my

2 comments:

Anonymous said...

Kenapa pada era hujung 80-an dan awal 90-an majoriti kumpulan nasyid di Malaysia tak guna alat muzik lain selain daripada kompang, gendang dan alat2 perkusi yang lain?

Puncanya ialah pengaruh dan populariti nasyid2 Al Arqam.

Jika kita sorot kembali populariti lagu2 nasyid sebelum kemunculan nasyid2 arqam, alat muzik yang diketengahkan adalah sama seperti alat muzik yang digunakan oleh hampir semua kumpulan nasyid zaman sekarang iaitu gitar, keyboard dsb. Bezanya cuma majoriti kumpulan nasyid zaman sebelum nasyid arqam tu adalah wanita, dan irama lebih menjurus kepada padang pasir, kecuali kumpulan Al Jahawer yang menerapkan unsur2 pop.

Tapi bila gerakan Al Arqam mula menjadikan nasyid sebagai salah satu wadah perjuangannya, ia perlukan satu bentuk pendekatan muzik yang lain daripada arus perdana untuk menangkap minat masyarakat. Jadi muncullah nasyid tanpa muzik dalam album2 seperti Kelahiran dsb.

Pada awalnya hanya suara vokal dan diikuti dengan suara ramai, tetapi lama kelamaan nasyid tanpa muzik ini mula didokong oleh alunan2 suara latar dengan harmoni yang tersusun.

Kemudian kompang masuk dalam album2 seterusnya, diikuti pula dengan programming perkusi yang lain dengan menggunakan peralatan2 seperti drum machine, sampler dsb.

Walau bagaimanapun, side drum tidak digunakan atas alasan haram.

Malah lagu2 yang agak moden dan tidak mendapat restu pimpinan Arqam turut ditarik balik. Lihatlah pada nasib yang dialami oleh lagu 'Hidden Beneath' dendangan the Zikr feat. Farihin dalam album Munajat. Cetakan kedua album ini menyaksikan lagu itu digantikan dengan rakaman baru lagu 'Sunnah Berjuang'.

Album Munajat meletup, dan kumpulan The Zikr yang turut diperkenalkan dalam album ni mendapat perhatian.

Pada masa itu kita boleh lihat kumpulan2 nasyid sekolah, universiti dsb berlumba2 nak jadi macam Nada Murni / The Zikr. Hasilnya macam2 album dikeluarkan dengan konsep muzik yang sama: nasyid dengan iringan alat perkusi.

Pada masa itu hampir semua penasyid sekolah, kolej dan universiti berpegang teguh kepada konsep nasyid yang dipelopori oleh Al arqam ini, sehingga sesiapa yang cuba menggunakan alat muzik moden dalam lagu2 nasyid dianggap sesat.

Masa zaman tu semua cadangan saya untuk menggunakan peralatan muzik moden dalam nasyid seperti gitar, keyboard, biola, piano dsb ditolak mentah2. Begitu taksub sekali mereka dengan aura Abuya.

Malah bila kumpulan Suara Hati dan Bangsar Boys buat perubahan sikit pada peralatan muzik yang digunakan pun ada yang bising.

Tapi bila Arqam terkubur, semuanya berubah.

Tapi perubahan itu tak mendadak sebab bukan senang nak mengembalikan minda orang yang dah terbiasa dengan 'kehalalan' muzik nasyid ala arqam kembali semula kepada 'kehalalan' muzik nasyid sebelum zaman al arqam.

Jadi mula2 kumpulan2 nasyid ni, terutama sekali kumpulan Mirwana mula mengetengahkan muzik nasyid 'halal' bentuk baru iaitu gunakan segala bentuk alat muzik asalkan tidak bertali dan bertiup.

Maka lahirlah album2 nasyid dengan logo 'neither string nor wind instruments are used'. Hakikatnya, muzik yang dihasilkan itu menggunakan keyboard sepenuhnya. Jadilah muzik yang kedengaran itu seperti biola tetapi bukan biola, seperti gitar bass tetapi bukan gitar bass dsb.

Apa yang berlaku selepas itu rasanya semua dah tahu. Mula2 ada juga yang bising kenapa kumpulan UNIC pakai gitar tapi selepas itu semua senyap.

Dan akhirnya pada hari ini nasyid kembali semula kepada status quo sebelum zaman nasyid2 arqam.

Jadi pandangan peribadi saya, faktor Abuya memainkan peranan yang penting kenapa kumpulan nasyid hujung 80-an dan awal 90-an hanya berpegang kepada nasyid dengan peralatan perkusi yang terhad.

Melodi nasyid memang berevolusi, tetapi peralatan muziknya tidak berevolusi; ia hanya kembali semula kepada kedudukan asal seperti zaman sebelum nasyid2 al arqam.

Alasan kumpulan2 nasyid bahawa mereka berubah daripada segi pendekatan peralatan muzik kerana menyedari wujud khilaf dalam pandangan ulama berkenaan alat muzik hanya alasan sampingan semata2. Alasan utama yang sebenar ialah: mereka kini bebas untuk mengekperimentasikan muzik mereka kerana tiada lagi 'orang atas' yang akan memantau penggunaan peralatan muzik mereka. Maklumlah hampir semua kumpulan nasyid yang popular di Malaysia ni sebelum ini berasal usul daripada al arqam atau bergurukan individu dari al arqam.

Hukum tidak berubah. Manusia yang berubah. Kalau mereka guna hujah 'menjumpai khilaf' sekarang, saya daripada dulu lagi dah guna hujah tu, tapi mereka tolak mentah2.

Wallahu a'lam."

tokjeng said...

Satu ulasan yang padat dan berisi. Terima kasih atas komentar

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...