Monday, March 8, 2010

Tenggelam Dalam Dunia Maya

       Dewasa ini kita hidup di kelilingi oleh teknologi yang pelbagai terutamanya melibatkan teknologi maklumat dan komunikasi yang kita sebut sebagai ICT. Kalau kita tengok remaja khususnya, mereka melengkapkan diri dengan pelbagai gajet seperti iPod, GPS, PDA, DigiCam, telefon bimbit dan sebagainya. Kewujudan telefon bimbit yang mempunyai gabungan fungsi peralatan yang disebut tadi memudahkan lagi pengguna untuk memanfaatkan setiap teknologi yang ada. Ditambah pula dengan kemudahan internet yang agak mudah dan murah untuk dicapai, manusia semakin galak memanipulasi teknologi untuk memudahkan perjalanan hidup seharian. Kadang-kadang, sampai tahap kita akan rasa hidup kita tak lengkap bila tiada kemudahan internet di sisi. Padahal sebelum internet wujud, kita boleh sahaja menjalani hidup dengan lancar seperti biasa.

       Satu lagi perkara yang popular di kalangan remaja sekarang ialah laman sosial internet. Hari ini ada pelbagai laman sosial yang menawarkan pelbagai item yang menarik pelayarnya seperti Facebook, Twitter, Friendster dan bermacam lagi. Laman sosial sebegini diwujudkan dengan tujuan yang baik bagi menambah kenalan serta memudahkan kita berhubung dengan kawan-kawan sedia ada. Namun penggunaan secara tidak terkawal dan cermat boleh mendatangkan kesan buruk. Kegairahan kita berkongsi maklumat peribadi boleh mengundang padah sekiranya maklumat tersebut jatuh ke tangan yang salah. Penjenayah juga boleh mengambil kesempatan untuk memanipulasi maklumat tersebut untuk tujuan jenayah.Malah terdapat juga kes, di mana pekerja dibuang kerja didapati mengutuk atau mencerca majikan di laman sosialnya.

    Sebahagian ulama Indonesia pernah mengeluarkan fatwa mengharamkan laman “facebook” kerana penggunaan secara berlebihan boleh membawa kesan buruk apabila terdapat individu yang seolah-olah ketagih melayari laman tersebut sehingga melupakan urusan kehidupan di alam nyata. Suami atau Isteri yang terlalu asyik dengan facebook sehingga terlupa untuk melaksanakan urusan rumah tangga sehingga boleh menggugat keharmonian rumah tangga. Perkara-perkara seperti inilah yang harus dielak. Aku sendiri pun punya teman-teman yang agak ketagih dengan laman sosial ni walaupun tidaklah kronik dan mendatangkan masalah. Mereka sanggup bangun di tengah malam untuk melayari laman sosial mereka. Apatah lagi dengan kewujudan ‘internet games’ yang bersifat ‘real time’ seperti mafia wars, Farmville dan lain-lain lagi memberi keseronokan baru kepada para pelayarnya.

     Sebagai manusia yang diangkat sebagai khalifah Allah di muka bumi, kita harus bijak memanfaatkan teknologi, Janganlah pula kita yang terperangkap dengan dunia maya ciptaan kita sendiri sehingga mendatangkan kesan buruk kepada kehidupan sebenar kita di alam hakiki. Sekian.

1 comment:

Aizuddin said...

hmm.. btol 2.. kelekaan dunia maya mmg sukar dipadamkn jika mula mncintainya~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...